Sabtu, 19 November 2011

Pembaptis dan baptisan


Dalam Markus 1:4, penulis Injil ini memperkenalkan Yohanes Pembaptis (Matius 3) sebagai penggenapan nubuatan Yesaya dan Maleakhi yang baru sahaja disebut sebelum ini.  Hal pertama yang dinyatakan tentang Yohanes ialah bahawa dia sibuk membaptis orang. Adalah menarik dalam penterjemahan lama Alkitab dalam Bahasa Indonesia, ‘baptisan’ diterjemahkan sebagai ‘permandian’ (Nabi Yahya tampil di padang gurun. Ia mengabarkan permandian sebagai tanda pertobatan demi pengampunan dosa-dosa ( KSI 2000, satu terjemahan baru juga menggunakan peerkataan ini) kerana sememangnya itu maksud asal baptisan – diselaputi air biasanya dengan cara dicurahkan atau diselam).

Baptisannya dilakukan sesudah dia berseru atau memberitakan mesej pertaubatan kepada semua yang datang mendengarnya. Ingat bahawa dalam Alkitab pertaubatan merujuk kepada perubahan minda yang disusuli oleh perubahan perbuatan.

Satu bahaya dalam ayat ini ialah kemungkinan salah faham atau salah tafsir pemberitaan Yohanes sehingga ada wujudnya satu ajaran yang sehingga hari ini mengganggu akidah Kristian tulen: anda perlu dibaptis untuk dosa dibuang. Ini senang disimpulkan kerana ada terjemahan yang seolah-olah menyatakan ini:

. . . demikianlah Yohanes Pembaptis d  tampil di padang gurun dan menyerukan: "Bertobatlah   dan berilah dirimu dibaptis dan Allah akan mengampuni dosamu. " (TB 1974)

Yohanes tampil membaptis di padang gurun dan memberitakan baptisan pertobatan untuk penghapusan dosa. (MILT 2008)

Akan tetapi ini sebenarnya bukan kepercayaan atau mesej Yohanes mahupun kepercayaan Kristian. Mungkin terjermahan lain boleh menjelaskan kekeliruan ini:

Kemudian tampaklah Yohanes Pembaptis di padang gurun. Ia memanggil orang banyak untuk dibaptis. Baptisan itu merupakan tanda bahwa mereka mau bertobat, supaya dosanya diampuni. (WBTC Draft 2006)

Utusan itu ialah Yohanes Pembaptis. Ia hidup di padang gurun dan mengajarkan bahwa semua orang harus bertobat supaya Allah mengampuni mereka, dan mereka harus dibaptiskan sebagai pernyataan kepada umum bahwa mereka telah mengambil keputusan untuk meninggalkan dosa. (FAYH 1989)

Bagi Yohanes dan semua pendengarnya yang merupakan orang Yahudi yang mengamalkan ajaran-ajaran Musa, baptisan bukan satu konsep atau amalan yang baru. Baptisan bagi orang Yahudi ialah pembasuhan beristiadat sebagai tanda renovasi moral dan berkait dengan penyembahan korban tanda  pembuangan dosa  telah berlaku sesudah korban pembenaran dibuat. Jadi bagi mereka permandian ini melibatkan dan menunjukkan pertaubatan melalui perubahan minda berkaitan dengan dosa telah berlaku.

Pertaubatan ini yang disahkan melalui pemberian diri secara sukarela untuk dibaptis ialah untuk menandakan peninggalan dosa dan terlepasnya dari dosa. Jadi apa yang dilakukan oleh Yohanes ialah menyeru orang Yahudi bertaubat dan bagi mereka yang sudah dan tahu mereka telah diampuni, dia menyeru mereka untuk memberi diri dibaptis sebagai tanda luaran perubahan yang telah mereka terima.

Hari ini, Gereja Kristian masih lagu melaungkan seruan yang sama: Bertaubatlah dan terima pengampunan Allah dan sesudah itu, nyatakannya secara luaran dan simbolik dengan memberi diri dibaptis.

Sudahkah anda bertaubat dan memberi diri dibaptis?

Isnin, 24 Oktober 2011

Bila undang-undang dan perhimpunan diperlukan untuk memelihara akidah

‘Sejuta’ orang Islam akan mengadakan perhimpunan mempertahankan akidah umat Islam yang satu daripada tergugat, pada masa sama mengekalkan keharmonian antara kaum dan agama di negara iniUtusan Malaysia melapurkan.

Apa silap dalam ayat ini? Penggabungan dua idea atau sasaran yang saling meng’cancel’ satu sama lain.

Perhimpunan yang sengaja dibuat besar yang terhasil dari satu reaksi (knee jerk reaction) kepada maklumat bahawa usaha mendakyah oleh orang Kristian berjaya ‘memurtadkan’ orang merupakan satu usaha ‘show of force’ yang akan menyemai rasa takut kepada penyebar agama lain dengan terdengarnya mesej yang tersirat dalam perhimpunan ini – Awas! Sentuh kami dan bersedia menghadapi ‘mass retaliation’.

Kesan atau mesej seperti ini tidak akan menghasilkan apalagi mengkekalkan harmoni antara kaum dan agama. Sebaliknya akan terhasil perasaan ditindas dan dibuli oleh agama rasmi dan penganut agama itu serta perasaan takut bahawa serangan balik yang tidak diingini adalah satu kemungkinan yang boleh berlaku dan tidak akan dihalang oleh pihak berkuasa.

Perkumpulan besar-besaran dikatakan mahu menyampaikan mesej bahawa akidah umat Islam mesti dipelihara dan diperkukuhkan dalam sebuah negara berbilang agama.

Apakah tidak ada cara lain untuk memelihara dan mengukuhkan agama Islam? Bagaimana dengan rundingan atau randau ruai dengan penganut agama lain atau dengan memberi  fokus kepada pendidikan dan program yang mengukuhkan iman dan akidah penganut agama Islam?

Tujuan perhimpunan sah besar-besaran ini adalah untuk menegakkan larangan menyebarkan dan mengembangkan agama selain Islam kepada umat Islam yang sepatutnya dihormati dan tidak dicabarkata penganjurnya.

Larangan menyebarkan agama (Kristian) kepada agama lain tidak asing dengan orang Kristian. Permulaan komuniti Kristian dipenuhi dengan larangan seperti ini yang telah ditetapkan tidak patut ditaati oleh orang Kristian. Saya tahu ramai orang Kristian tutup mata kepada arahan ini tetapi mana-mana orang Kristian yang setia kepada agamanya dan Alkitab tidak boleh mematuhi larangan ini:

Mereka (pemimpin agama bukan-Kristian) mengeluarkan perintah jangan sekali-kali bercakap atau mengajar dengan nama Isa Al-Masih (Yesus). Tetapi Petrus dan Yahya (dua rasul penting agama Kristian) menjawab, “Wajarkah pada pandangan Allah jika kami mendengar katamu (laranganmu) lebih daripada mendengar kata Allah? Kami mesti bercakap (berdakyah) tentang segala yang telah kami lihat dan dengar (tentang Yesus) – Kisah Para Rasul 4:18-20

Tuntutan supaya agama Islam dihormati dan tidak dicabar akan sentiasa dipandang berat sebelah jika tuntutan yang sama tidak dibuat ke atas agama Islam sendiri untuk juga menghormati dan tidak mencabar agama lain, contohnya dalam kes ini agama Kristian. Sehingga ini nampak, tuntutan ini akan memburukkan situasi.

Saya juga tertanya bagaimana dengan memanggil satu juta orang Islam untuk membantah perbuatan orang Kristian menyebarkan agama mereka boleh dianggap menyampaikan mesej supaya semangat perhubungan yang harmonis antara semua penganut agama perlu dipertahankan berdasarkan hak dan kebebasan beragama seperti yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan?

Mesej yang saya dengar ialah – Jangan ganggu kami kalau tidak . . . Jika perjumpaan ini mahu menjalinkan perhubungan harmonis, jemputlah penganut agama-agama lain hadir bersama, dan suruh ketua-ketua agama lain, khususnya pemimpin Kristian untuk juga berceramah. Baru nampak saling hormat, saling menerima, harmonis . . .

Saya juga kurang yakin kenyataan penganjur akan tercapai apabila mereka berkata perjumpaan ini  akan menerbitkan nilai-nilai positif di kalangan penganut agama lain terhadap Islam. Sebaliknya perhimpunan ini akan meneguhkan fahaman bahawa orang Islam adalah kaum yang cepat berreaksi dan tidak ada toleransi kepada agama lain serta tidak segan mengambil tindakan tegas dan ‘mengancam’ terhadap usaha agama lain.

''Melalui perhimpunan ini kita akan mengingatkan mereka supaya menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan dan bukannya bertindak mencetuskan ketegangan agama,''  kata penganjur.

Saya berkata ketegangan agama baru saja bertambah, khususnya antara orang Islam dan Kristian kerana perhimpunan ini dianjurkan, mendapat sambutan dan disokong pihak berkuasa.

Ini bukan caranya memastikan Malaysia yang dikasihi aman damai dan rakyatnya saling hormati dan saling mengasihi.

Selasa, 27 September 2011

Keintiman dan penyembuhan


Nampaknya manusia sama sahaja, tidak kira apa agama mereka, lebih-lebih lagi jika mereka sedar kewujudan dan keperibadian Allah.

Ini ialah kesimpulan yang saya capai apabila saya memerhatikan senarai buku-buku paling laris di MPH (satu rangkaian kedai buku paling besar di Malaysia) bar-baru ini.

Buku-buku yang paling banyak dibaca menyentuh dua topik yang saya yakin orang Kristian pun minat: kerinduan untuk mendekati dan berhubung dengan Allah, dan penyembuhan ilahi.

Jika ini ialah apa yang dicari oleh pembaca-pembaca Muslim, usaha mengkhabarkan Berita Baik harus menawarkan dua solusi hebat dari Yesus: jalan kepada Allah yang terbuka dan penyembuhan sempurna dalam nama Yesus.

Lain kali anda bersaksi kepada orang Muslim (dan sesiapa yang lain di Malaysia) jangan lupa menyentuh dua hal ini: Yesus ialah jalan kepada Allah dan Yesus boleh menyembuh.

Bagaimana dengan anda pula, hai pembaca blog ini yang beragama Kristian? Adakah anda mendekati Allah dan mempunyai perhubungan yang intim denganNya? Apakah anda telah mengalami kuasa penyembuhan Yesus dan mendoakan orang supaya sembuh?

Jumaat, 9 September 2011

Jangan gagal kerana cacat sifat


Dalam surat Ibrani pasal 12, penulisnya mengutip dari buku Hagai mengenai maksud Allah untuk menggoncangkan bumi dan langit. Dia selanjutnya menjelaskan bahawa maksud penggoncangan Allah adalah untuk membiarkan hal-hal yang sudah terjadi berguguran, sehingga hal-hal yang tidak dapat digoncangkan tetap tinggal. Dewasa ini, dalam dunia Kekristianan di seluruh dunia, kita dapat melihat dengan jelas goncangan ini. Melalui goncangan ini, Tuhan mahu menguji tubuhNya, menyingkirkan dosa, membersihkan dan memurnikan tubuhNya. Melalui goncangan ini banyak kelemahan dan kecacatan dalam watak dan moral para pemimpin gereja dinyatakan.
Apabila pendedahan ini berlaku, ramai ahli gereja mengalami perasaan sakit kerana dikhianati atau merasa duka seperti mana yang mungkin dialami oleh seorang isteri apabila suaminya tidak setia. Reaksi dari ahli-ahli memang berbeza antara satu dengan yang lain, tetapi yang seringkali ada pada mulanya ialah perasaan marah dan sakit hati terhadap orang yang bersalah itu.
Akan tetapi, akibat jangka panjanglah yang paling dikhuatirkan. Ada orang percaya yang menjadi kecewa, bingung dan tidak menentu arah tujuan mereka, bahkan ramai yang mundur sama sekali. Orang Kristian yang dahulunya berapi-api bagi Tuhan, kini memendam luka batin kerana dikecewakan dan mulai kendor dalam semarak mereka. Mereka berubah menjadi orang Kristian biasa yang menghadkan diri untuk hadir ke gereja yang dirasai lebih aman. Mereka memberhentikan semua aktiviti Kristian mereka kecuali pembacaan Alkitab dan renungan peribadi. Untuk mengisi kekosongan yang sekarang ada dalam hidup mereka, mereka mencari kebahagian dengan melakukan pekerjaan-pekerjaan yang dapat menghasilkan wang yang banyak, mengejar kekayaan material dan mencari kesenangan.
Bagi gereja yang terlibat pula, akibatnya sudah pasti: ianya menjadi suam, ramai anggota tidak bersedia untuk memberi diri mereka dengan bersungguh-sungguh bagi melayani, enggan mempercayai para pemimpin yang lain dan akhirnya bersikap curiga dan ragu akan visi pemimpin-pemimpin gereja yang baru.
Mengapakah hal seperti ini boleh berlaku? Salah satu dari jawapannya ialah kerana fokus yang salah. Fokus dunia Kristian pada beberapa dekad yang lepas ialah pada peribadi Roh Kudus dan pada kurnia-kurnia rohani yang diberikan Roh kepada orang yang mencarikannya. Allah telah membangkitkan kurnia-kurnia pelayanan dengan mengadakan banyak mukjizat-mukjizat besar dan perbuatan-perbuatan yang ajaib. Melalui pelayanan orang yang diberi kurnia-kurnia ini, ramai yang sudah dibawa masuk ke dalam Kerajaan Allah. Pelayanan pengajaran dan nubuatan telah memberikan tuntunan kepada kita untuk mendapatkan pengertian yang mendalam dari Alkitab, apabila pemimpin-pemimpin yang diurapi Allah membukakan kepada kita rahsia-rahsia yang terkandung di dalam Firman Allah.
Kita memuji Tuhan kerana Dia telah memakai baik lelaki maupun perempuan untuk membangunkan gerejaNya. Ramai dari mereka ini setiap tahun menyelesaikan tugas yang hanya dapat dilakukan oleh sepuluh orang melalui kuasa dinamik Roh Kudus. Tetapi lambat laun, kita telah mengizinkan fokus kita berpindah dari kurnia Allah dalam seseorang kepada orang itu sendiri. Kita mula berfikir bahawa pemimpin itu mendapat kenan Allah dan berjasa kepada Allah melalui kesalehan dan kekudusan. Oleh kerana itu, kita berfikir, Allah menggunakannya dengan begitu luarbiasa sekali. Fokus yang salah ini seringkali menyebabkan ahli-ahli gereja menyerahkan kekuasaan dan pengawalan secara mutlak kepada pemimpin mereka. Ini adalah kerana mereka keliru, berfikir bahawa pemimpin mereka itu begitu rapat dengan Tuhan dan kerana itu tidak berani untuk mengawal atau membatasi hidupnya. Sikap sebegini sudah menjadikan kepemimpinan dalam gereja dewasa ini berada dalam situasi yang bahaya kerana ianya memberi pemimpin dalam gereja kuasa mutlak.
Rasul Paulus dalam suratnya kepada Titus, pasal 1:5-9 memberikan kepada kita syarat-syarat bagi seorang yang mahu menjadi pemimpin. Dia menggunakan empat dari lima ayat itu untuk menyenaraikan watak, reputasi dan kedewasaan yang diperlukan bagi seorang pemimpin gereja.Hanya satu ayat sahaja berbicara mengenai kebolehan dan kurnia. Dalam hal yang sama, rasul Paulus dalam surat 1 Timotius mempergunakan tiga belas ayat dalam pasal 3 untuk menyenaraikan syarat-syarat yang perlu bagi seorang pemimpin, menyebutkan kecekapan mengajar sebagai satu kurnia yang diperlukan selain dari lapan belas syarat mengenai watak yang dicari dalam seorang pemimpin.
Walaupun kurnia-kurnia karisma dan panggilan Allah dalam kehidupan seorang pemimpin itu jelasnya penting, jelas dari apa yang sudah diketengahkan oleh Alkitab bahawa hal-hal ini merupakan hal-hal yang kedua penting jika dibandingkan dengan mempunyai watak dan gaya hidup yang sesuai.
Dari kenyataan ini dapat kita simpulkan bahawa seorang pemimpin gereja tidak dapat diangkat dengan terburu-buru hanya atas sebab ia memiliki kurnia sepertimana kita diingatkan dalam 1 Timotius 5:22. Sebaliknya kepemimpinan gereja harus terdiri dari orang yang sudah diamati untuk satu jangkamasa tertentu dan sudah membuktikan diri mereka sesuai dalam satu-satu pelayanan di sebuah gereja tempatan. Kenyataan penting yang mesti diingat oleh setiap daripada kita ialah bahawa syarat-syarat ini tidak hanya laku pada awal pelayan pemimpin itu, tetapi masih laku juga selama pemimpin itu terus melayani secara langsung.
Walaupun kurnia-kurnia rohani dari Allah nyata terbukti dalam kehidupan seorang pemimpin, perkembangan buah Roh sepertimana dihuraikan dalam Galatia 5 harus diberi perhatian untuk menyediakan satu dasar kukuh bagi kehidupan peribadi setiap pemimpin. Kejayaan atau kegagalan seorang pemimpin sebenarnya bergantung kepada sifat dan wataknya. Biarlah kita mempunyai fokus ini apabila memimpin atau mencari pemimpin.

Khamis, 8 September 2011

Kuat Dalam Allah


Kekuatan ilahi dapat kita terapkan dalam beberapa cara yang berbeza. Allah memberikan kepada kita kuasa rohani yang kita perlukan untuk memperkuatkan pelayanan kita. Adalah melalui autoriti dari FirmanNya dan kuasa Roh Kudus bahawa kita dapat memaksa lawan kita untuk lari. Bilamana kita tunduk dan berada di bawah autoriti Allah, maka autoritiNya akan berada di atas kita. Setan atau si jahat itu tidak dapat bertahan menghadapi kekuatan rohani yang ada di dalam kita. Kita akan dapat mengusir dia dan dia akan lari. Inilah yang dijanjikan Allah di dalam surat Yakobus 4:7.
Allah juga memperkuatkan kita dengan keamanan ilahi. Petrus mengetengahkan hal ini dalam ungkapan berikut yang telah dipetik dari 1 Petrus 1:5,
     Kamu dipelihara dan dijaga dalam kekuatan Allah kerana imanmu. Keselamatanmu sepenuhnya akan dinyatakan kepadamu pada zaman akhir.
Iman dan keyakinan kita, keselamatan dan keamanan kita, berada di dalam kekuatan Allah yang Mahakuasa. Kita sudah dibersihkan, dipanggil dan diutus oleh Allah. Kita juga dengan aman akan dipelihara dan diselamatkan oleh Allah sampai selama-lamanya.
Dengan kefahaman ini, lihatlah kata-kata yang membangkitkan iman,  diambil dari 2 Timotius 1:12.
     Kerana aku tahu kepada siapa aku percaya dan aku yakin bahawa Dia berkuasa untuk memelihara apa yang telah dipercayakanNya kepadaku hingga pada hari Tuhan.
Kekuatan Allah juga kita terima apabila kita mengambil bahagian dalam pujian Allah. Kita adalah imam-imam bagi Allah. Kita duduk bersamaNya di syurga. Kita berbaris bersama Dia dalam kemenangan sesudah peperangan rohani dimenangkan.
Isteri seorang raja atau presiden akan ikut ambil bahagian dalam kebesaran dan pujian apabila berada di sisi suaminya. Dalam hal yang sama, kita juga, yang disebut "mempelai Kristus" turut mengambil bahagian dalam kemuliaan pengantin lelaki syurgawi kita itu. Sebagai Raja atas segala raja dan Tuhan atas segala tuhan, semua hormat dan pujian adalah milikNya. Dengan kekuatan kita dan kerana diri kita sendiri, kita tidak layak mendapatkan kehormatan seperti itu. Tetapi, kerana kita milikNya, kita dapat berkongsi hormat itu. Seluruh syurga akan selama-lamanya memuji Allah. Dan kita berada di sana, di sisi Allah, ikut serta bersama Dia dalam kebesaran dan hormat dari Allah yang Maha Perkasa.
Di dalam Mazmur 68:28, Raja Daud berkata kepada Allah,
     .. tunjukkanlah kekuatanMu, ya Allah, Engkau yang telah bertindak bagi kami.
"Kuatkan atau mantapkanlah, ya Allah apa yang sudah Engkau kerjakan bagi kami" nampaknya seperti satu doa yang luarbiasa untuk diucapkan oleh Daud. Namun saya pasti kita tahu apa yang dimaksudkannya. Allah mahu mengerjakan sesuatu di dalam kita yang akan menetap bersamaNya. Dia mahu menempatkan kuasaNya yang cukup kuat di dalam jiwa kita untuk selama-lamanya.
Banyak pekerjaan Allah runtuh apabila menghadapi ujian dan pencobaan. Mereka tidak cukup kuat untuk bertahan menghadapi tekanan. Allah ingin mengerjakan di dalam kita satu pekerjaan yang kuat, mantap dan teguh. Dia mahu membuat kita tetap bertahan apabila menghadapi pencobaan.
Kekuatan Allah adalah seperti adunan konkrit pada saat dituangkan ke dalam rangka bangunan buat pertama kalinya. Ianya harus ditekan-tekan atau dipadatkan sebelum cukup kuat dan kukuh untuk digunakan. Inilah juga keinginan rasul Paulus bagi orang Kristian di Korintus. Dia berkata,
     Kerana itu, saudara-saudaraku yang dikasihi, berdirilah teguh, jangan goyah, dan giatlah selalu didalam pekerjaan Tuhan! Sebab kamu tahu bahawa dalam persekutuan dengan Tuhan jerih payahmu tidak sia-sia (1 Korintus 15:58).
Allah bermaksud untuk memantapkan pekerjaanNya di dalam kehidupan kita sehingga kita kuat. Ini juga merupakan keinginan yang sangat besar di dalam hati Daud bagi dirinya dan bangsanya. Oleh itu, dia telah berdoa, "Ya Allah perkuatkanlah diriku".
Kita akan menang dan berhasil apabila Allah menguatkan kita. Kita akan mencapai sasaran-sasaran kita dan mengatasi semua halangan. Allah sudah menyakinkan kita bahawa kita pasti akan menang, akhirnya. 

Ahad, 21 Ogos 2011

Efektifnya TV


Baru-baru ini saya terlihat sesuatu yang membuka mata saya kepada betapa besar dan efektifnya pengaruh drama Melayu yang banyak sekali ditayangkan dalam semua siaran TV Malaysia. Walaupun keluarga ini berlatar-belakang Kristian, banyak sekali masa diluangkan melihat drama-drama Melayu yang pelbagai jenis - sesuai untuk si ibu, si remaja lelaki dan perempuan dan si anak kecil. Jumlah masa yang diluangkan terpukau di hadapan kotak imej dan suara itu pasti ada kesan atas mereka.

Yang terlintas dalam minda saya ialah kenyataan ini: drama-drama Melayu ini secara halus dan senyap mempengaruhi minda dan kepercayaan penonton-penonton Kristian; drama-drama ini menyahpekakan penonton ini kepada amalan dan ajaran agama rasmi negara ini.

Ini terjadi dengan beberapa cara:

  1. cara masalah diselesaikan - contoh dan prinsip agama mereka diamalkan dan kemungkinan juga dipakai penonton Kristian untuk penyelesaian masalah mereka; prinsip-prinsip Alkitabiah tidak diketahui atau diabaikan.
  2. nilai-nilai hidup yang dipaparkan akan menjadi ikutan - apa jadi dengan nilai-nilai hidup Kristian yang sepatutnya diamalkan?
  3. penjelasan untuk sesuatu yang terjadi adalah dari sudut pandangan agama mereka- apakah pandangan dan penjelasan Kristian Alkitabiah - diketahui dan dipakai?
  4. penampilan agama mereka sebagai baik dan hebat dan merupakan solusi masalah terbaik yang boleh-pakai - bagaimana pula dengan kepercayaan dan keyakinan ajaran Alkitab dan amalan Kristian adalah yang terunggul dan satu-satunya yang mesti diamalkan?

Jika anda orang kristian, fikir-fikirlah lain kali apabila anda juga terpukau di depan kaca TV menonton drama Melayu . . .

Jumaat, 12 Ogos 2011

Kuatnya pengaruh kekasih bukan-Kristian

Saya marah lagi sebab dapat satu lagi sms menceritakan, sekali lagi, kebodohan orang Kristian bila memilih teman bercinta . . .

SMS: Pastor, tolong doakan roommate saya . . . saya semakin bersedih apabila dia turut berpuasa dengan teman-teman Muslimnya. Saya cuba menceritakan Khabar Baik kepada dia tapi semuanya sia-sia . . . saya sedih saya gagal membantu dia. Doakan roommate saya kerana saya yakin lewat doa dia akan sedar sebelum terlambat sebab dia semakin serius tentang Islam. hati saya menangis dan kasihan melihat kawan saya macam ini . . .

Apabila orang Kristian berjinak-jinak dengan amalan keagamaan orang Islam, adalah jelas ada tarikan dan keterbukaan kepada agama itu dan agama Kristian sudah mula hilang tarikannya. Ini satu tanda penting untuk disedari apabila kita saling memerhatikan satu sama lain.

Apabila simtom seperti ini kelihatan saya percaya berdoa dan mengkhabarkan Berita Baik tidak sesuai dan kena pada masanya. Sebaliknya 'intervention' yang keras diperlukan di mana 'si dalam perjalanan menuju kesesatan' harus ditanya dan diingatkan akan kesan amalan dia. Dia juga harus ditanya fahaman serta pegangannya kepada agama Kristian/Yesus, apakah sudah lemah atau tidak diyakini lagi.

Saya juga yakin besar sekali jika tanda seperti ini kelihatan sebab nombor satu ialah cinta dengan orang Islam. Apabila saya tanya si dia yang sms saya, tekaan saya ternyata benar:

SMS: Ya pastor, boyfriend dia Muslim . . . bapa dia tidak suka dia kawan dengan laki tu tapi mereka tak bertindak. Saya sedih lihat dia, macam masih mencari tujuan hidup. Pernah sekali dia tanya dengan saya, "Kenapa orang kata Islam salah sedangkan sepanjang hidup saya, saya jumpa banyak orang bukan-Islam yang buat hal." 

Ibubapa perlu tahu siapa kawan anak mereka dan jika kawan itu membahayakan iman atau kehidupan anak mereka saya yakin mereka berhak campurtangan dan mengambil tindakan tegas untuk 'menyelamatkan' anak mereka. Sedihnya terlalu banyak ibubapa tak endah atau jahil . . .

Apa salah dengan Islam? Sebenarnya saya boleh tukar soalan itu dan bertanya "Apa salah dengan semua agama bukan-Kristian di dunia ini?" Jawapannya satu sahaja dan pakai untuk semua agama bukan-Kristian: penyelamatan dari dosa dan hukuman dosa bukan melalui Yesus dan karyanya di atas kayu salib. Penyelamatan alternatif dan penjelasan berbeza untuk dosa dan Yesus diberikan, yang bercanggah dengan fahaman Kristian ditawarkan. Itu SAHAJA yang salah BUKANNYA agama lain jahat/palsu/dari iblis (atau apa sebab lain yang pernah anda dengar dari orang Kristian).

Menariknya sesebuah agama itu dikatakan baik dan patut dianuti kerana kelakuan baik penganutnya (bukan kerana ajaran atau intipati agama itu benar). Nampaknya baiknya seseorang penganut itu menentukan kesesuaian agama dan BUKANYA kebenaran agama itu sendiri. Kerana ini dijadikan ukuran, agama Kristian banyak kali 'kalah' kerana kegagalan atau kesilapan laku orang Kristian yang diukur menggunakan ukuran 'baik' yang ditentukan oleh pengukur bukan-Kristian.

Sebaliknya saya cadangkan - cari yang benar (true/truth) bukan yang baik (amalan manusia yang 'baik').

Perkembangan secara biologi


Satu pemerhatian dan pendapat . . .

Setelah memerhatikan satu keluarga yang mempunyai beberapa anak (macam satu tahun satu, dari ketinggian setiap anak)  dan isteri sedang mengandung satu lagi, saya tersedar betapa efektifnya sistem peluasan sesebuah agama yang menggalakkan pasangan yang menganuti agama itu mempunyai sebanyak anak yang boleh dengan beberapa isteri sekaligus. Kemudian tetapkan, dari segi agama dan perundangan bahawa semua anak-anak ini juga mesti menganuti agama yang sama dan tidak boleh menukar agama. Bagi mereka yang pandai matematik, saya yakin anda akan sedar betapa cepatnya jumlah penganut agama ini akan bertambah. Inilah kehebatan strategi peluasan agama secara biologi . . . 

Ini mungkin satu sebab mengapa jumlah orang Kristian tidak bertambah begitu cepat. Lagi-lagi mereka tidak ada banyak anak dan satu isteri saja . . . kemudian anak mereka dibenarkan bertukar agama . . . kalau macam ni  bila lagi jumlah orang Kristian akan meningkat?

Sabtu, 30 Julai 2011

Dipilih Untuk Melayani (Titus 1:1-3)

Dalam artikel ini kita akan memberi perhatian kepada satu petikan dari surat Paulus kepada Titus yang diberi judul `Dipilih Untuk Melayani'. Mari kita perhatikan bersama ayat yang pertama hingga ayat yang ketiga dari pasal satu surat Titus ini.

            Dari Paulus, hamba Allah dan rasul Yesus Kristus, untuk memelihara iman orang-orang pilihan Allah dan pengetahuan akan kebenaran, seperti yang nampak dalam ibadah kita, dan berdasarkan pengharapan akan hidup yang kekal yang sebelum permulaan zaman sudah dijanjikan Allah yang tidak berdusta, dan yang pada waktu yang dikehendakiNya, telah menyatakan firmanNya dalam pemberitaan Injil yang telah dipercayakan kepadaku sesuai dengan perintah Allah, Juruselamat kita.

Rasul Paulus memulakan suratnya kepada Titus dengan satu penerangan ringkas mengenai dirinya sendiri, menerangkan siapa dirinya dan apa tanggungjawabnya. Rasul Paulus memperkenalkan dirinya sebagai hamba Allah dan rasul Yesus Kristus. Tidak ada tempat lain di dalam Perjanjian Baru di mana Paulus menggambarkan dirinya sebagai hamba Allah kecuali di sini walaupun frasa `hamba Yesus Kristus' digunakan olehnya dalam surat Roma dan Filipi. Perkataan `rasul' pula menarik perhatian kita kepada sifat rasmi pelayanan Paulus yang telah diterimanya dari Yesus sendiri. Paulus selalu mengaitkan pelayanannya dengan identitinya.

Saya rasa ini adalah satu amalan yang baik dan patut dicontohi oleh semua orang Kristian. Kita harus cenderung mengaitkan identiti kita dengan pelayanan kita dalam Kerajaan Allah. Ramai orang Kristian hanya mengaitkan identiti mereka dengan pekerjaan sekular mereka. Kita biasa mendengar orang memperkenalkan nama mereka serta kerja yang mereka lakukan. Contohnya, seseorang yang bekerja di sekolah akan berkata, "Saya Ibrahim, seorang guru" apabila dia memperkenalkan dirinya. Jarang sekali kita mendengar seorang berkata, "Saya Ibrahim, anak Allah dan hamba Yesus" apabila timbul peluang untuk memperkenalkan diri kita kepada orang lain. Siapakah kita sebenarnya? Apakah kedudukan kita dan tanggungjawab kita di dalam Kerajaan Allah? Ini ialah soalan-soalan yang penting yang harus kita ketahui jawabannya kerana hanya dengan mengetahui siapakah kita dan apakah pelayanan kita di dalam Kerajaan Allah, dapat kita memperkenalkan diri kita sepertimana yang dilakukan oleh Paulus.

Paulus seterusnya menerangkan kenapa ia dipanggil untuk menjadi hamba Tuhan dan rasul Yesus. Ia menyatakan bahawa tanggungjawabnya sebagai seorang hamba dan rasul ialah untuk memelihara iman orang Kristian, orang pilihan Allah, dan pengetahuan akan kebenaran yang nampak dalam ibadah kita yang percaya dalam Yesus. Paulus tahu kenapa ia dipilih menjadi hamba Allah. Paulus tahu apakah tanggungjawabnya sebagai seorang rasul. Kita juga harus tahu kenapa Allah memanggil kita. Kita harus tahu apakah tanggungjawab kita di dalam Kerajaan Alah dan tugas yang Tuhan mahu kita lakukan baginya sebagai seorang hamba milik Allah. Orang Kristian dipanggil orang pilihan Allah. Ini ialah satu konsep yang mesti difahami oleh semua orang Kristian. Kita ialah oarang pilihan Allah. Allah telah memanggil kita. Di dalam panggilan ini terkandung satu mandat yang mesti kita ketahui dan laksanakan dengan sepenuhnya. Kita bukanlah peribadi-peribadi kosong yang diselamatkan untuk memenuhi syurga tetapi kita merupakan umat Allah, pilihanNya sendiri, untuk melakukan berbagai jenis perbuatan baik di dunia ini yang akan membawa kemuliaan kepada Allah dan kemajuan kepada Gereja Allah yang berada di bumi. Sebagai orang pilihan Allah, kita tidak akan tergugat dan terlepas dari hukuman Allah. Kenyataan ini boleh kita ceduk dari surat Roma pasal 8 ayat 33 yang berbunyi,
         
   Siapakah yang akan menggugat orang-orang pilihan Allah? Allah, yang membenarkan mereka? Siapakah yang akan menghukum mereka?

Sebagai orang pilihan Allah, kita juga telah telah dikuduskan dan dikasihi oleh Allah. Ini jelas dinyatakan di dalam surat Kolose pasal 3 ayat 12, bahagian yang pertama yang berbunyi,

            Kerana itu, sebagai orang-orang pilihan Allah yang dikuduskan dan dikasihiNya.

Ya, kita ialah sebahagian daripada umat pilihan Allah yang telah dikuduskan, dibenarkan, dikasihi dan dibebaskan daripada hukuman. Tahukah kita bahawa kita telah dipilih untuk melayani Allah? Tahukah kita bahawa Allah telah memilih kita untuk melakukan sesuatu yang istmewa bagiNya? Tahukah kita kerja baik yang Tuhan mahu kita lakukan itu? Bagi Paulus, Allah telah memilih dia untuk memelihara iman orang percaya dan pengetahuan mereka mengenai ibadah Kristian yang benar. Bagaimana pula dengan diri kita, apakah kita sudah tahu kerja yang Allah mahu kita lakukan?

Seterusnya, Paulus menyentuh mengenai pengharapannya untuk hidup yang kekal yang sudah dijanjikan oleh Allah sebelum permulaan zaman lagi. Harapannya didasarkan atas janji Allah dan harapannya itu tidak sia-sia kerana Allah tidak berdusta, segala yang dikatakanNya benar dan akan terlaksana. Hidup kekal merupakan janji Allah kepada semua yang percaya dalam Yesus dan Paulus sememangnya percaya kepada Yesus. Harapan ini juga harus harapan kita jika kita telah percaya dan menerima Yesus sebagai satu-satunya Tuhan dalam hidup kita. Pelayanan Paulus didasarkan atas harapan ini, iaitu bahawa hidup kekal adalah miliknya kerana Allah yang telah menjanjikannya dan kerana itu segala yang dilakukannya adalah untuk Allah dan tidaklah sia-sia. Ini harus juga dijadikan sebab kita melayani Allah, dan dasar pelayanan kita dalam Kerajaan Allah. Harapan ini berakar di dalam janji-janji Allah yang merupakan batu dasar yang paling kukuh kerana Allah tidak boleh bohong. Dimanakah letaknya harapan kita? Di dalam janji-janji buatan manusia atau di dalam janji-janji dari mulut Allah sendiri? Jika kita bergantung kepada janji-janji manusia, kita senang kecewa dan sakit, tetapi jika kita bersandar kepada janji-janji Allah, kita tidak akan binasa tetapi memperoleh hidup yang kekal dan berkelimpahan. Dimanakah letaknya harapan kita hari ini?

Akhirnya Paulus menyatakan bahawa firman Allah terkandung di dalam mesej Injil. Sudah sampai waktunya, kata Paulus, di mana Allah menyatakan firmanNya, janji-janjiNya, kepada manusia di dalam mesej Injil. Allah telah menampakkan diriNya dan sifat-sifatNya melalui Yesus, fokus utama Injil. Di dalam Yesus dan mesejNya, boleh kita jumpa semua janji-janji Allah, yang akan menjadi dasar harapan kita yang tidak akan goyah. Janji-janji Allah ini dinyatakan kepada kita melalui pemberitaan Injil, satu pelayanan yang telah Allah amanahkan kepada Paulus dan juga kepada ramai lagi orang Kristian sehingga hari ini. Paulus pasti bahawa pemberitaan Injil ialah tugas yang telah dipercayakan Allah kepada dirinya. Apakah kita pasti akan pelayanan yang telah Allah amanahkan kepada kita? Apakah mungkin kita telah dipilih untuk memberitakan Injil kepada orang yang belum mengenali Yesus? Bagi Paulus, memberitakan Injil ialah perintah Allah kepadanya? Apakah perintah Allah kepada kita? Apakah yang Allah mahu kita lakukan?

Saya berharap kita telah sedar bahawa kita ini penting di dalam Kerajaan Allah dan sebenarnya telah di panggil untuk melayani. Saya juga berharap bahawa kita akan dapat mengenalpasti panggilan kita dan bergiat dengan aktif dalamnya sehingga segala yang Allah mahu kita lakukan terlaksana.

Jumaat, 29 Julai 2011

Yesus di kubur Lazarus (2)

Kita telah melihat dalam Injil Yohanes sebuah kisah menarik tentang Yesus. Kisah ini telah saya terangkan dalam 'posting' saya sebelum ini. Kalil ini saya ingin kita terus memberi perhatian kepada kisah itu yang dicatat di dalam Yohanes 11:28-44, iaitu peristiwa  Yesus di kubur Lazarus. Kita sekarang sampai pada saat di mana Yesus mengarahkan orang di tanah perkuburan untuk mengalihkan batu penutup daripada gua tempat Lazarus ditanam. 

Kenyataan bahawa Lazarus sudah dikuburkan selama empat hari adalah sangat penting. Mengapa? Ini adalah untuk menunjukkan bahawa Lazarus bukannya tidur ataupun tidak sedarkan diri. Semua orang Yahudi tahu bahawa Lazarus sudah sungguh-sungguh mati. Pembangkitan Lazarus dari kematian  hanya boleh dijelaskan sebagai satu keajaiban ilahi. 

Bagaimanakah kita sebagai umat Kristian menjelaskan pembangkitan Lazarus kepada orang lain? Adakah kita mempercayainya sendiri? Ataupun, kita mempunyai satu penjelasan yang lain, yang menyangkal Yesus sebagai seorang yang berkuasa membangkitkan orang yang sudah lama mati? Yang terutama di sini ialah, adakah kita percaya bahawa kita juga akan dibangkitkan satu hari nanti oleh Yesus?
Semasa berada di tanah perkuburan, Yesus menyebut kata-kata berikut yang dicatat dalam Yohanes 11:40. Yesus berkata,

Jikalau engkau percaya engkau akan melihat kemuliaan Allah.

Sebelum ini Yesus memberitahu Marta bahawa abangnya akan dibangkitkan. Saya percaya bahawa apa yang diberitahuNya merupakan pengertian kepada apa yang telah Dia katakan sebelum ini. Lihatlah susunan ayat itu, yang bermula dengan perkataan "percaya" dan berakhir dengan perkataan "lihat". Adalah seperti Yesus berkata, "Jikalau kamu percaya, kamu akan melihat Aku melakukan satu keajaiban yang hanya Allah boleh lakukan. Kamu akan melihat kemuliaan Allah dalam Aku tetapi kamu mesti percaya dahulu, kemudian lihat".

Batu penutup kubur itu kemudian dialihkan dari kubur Lazarus. Sebelum melaksanakan mukjizat itu, Yesus mengucap syukur kepada Allah kerana mendengar doa ucapanNya. Walaupun tiada doa Yesus sebelum ini yang dicatatkan bagi kita, saya percaya Dia telah bercakap dengan BapaNya sepanjang masa itu. Yesus berdoa agar nama Allah dimuliakan. Di sini, Yesus mengucapkan syukur kepada Allah BapaNya kerana kejadian itu.

Yesus berdoa dengan suara yang kedengaran supaya orang ramai dapat mendengar dan mempercayai Allah telah mengutuskanNya. Yesus juga berdoa dengan suara kedengaran supaya semua akan tahu bahawa Allah mengarahkanNya, memberitahu Dia  tentang apa yang perlu dibuat dan dikatakan. Yesus selalu bergantung kepada Allah BapaNya apabila Dia melakukan satu-satu mukjizat itu. Di sini kesatuan antara Yesus dan Allah BapaNya jelas dinyatakan. 

Ayat 43 dalam petikan ini adalah satu dari antara sedikit ayat di dalam Perjanjian Baru yang menyatakan Tuhan Yesus bercakap dengan suara yang kuat. Ada orang yang berfikir bahawa jika Yesus tidak memanggil nama Lazarus, nanti semua orang mati di tanah perkuburan itu akan bangkit! Mungkin kita perlu berdoa dengan suara yang kedengaran agar di masa hadapan, orang sakit dipulihkan, orang buta melihat dan yang lumpuh dapat berjalan!

Bagaimanakah caranya Lazarus keluar? Ini adalah antara pendapat pelbagai orang. Ada yang berkata dia berjalan keluar. Ada yang berfikir dia merangkak keluar. Ada pula yang berfikir bahawa tubuh Lazarus telah dibalut dengan ketat, kerana itu mustahil dia dapat keluar dengan kekuatannya sendiri. Ramai juga yang berpendapat bahawa Lazarus keluar dari kuburnya tanpa mencecah kakinya ke tanah sehingga dia berada di hadapan Yesus.

Bagaimana Lazarus keluar adalah tidak penting; yang penting ialah kenyataan bahawa dia yang sudah mati mendapat nyawanya balik. Sememangnya Lazarus yang dibalut itu sudah mati selama 4 hari. Tiada seorangpun yang boleh hidup selama empat hari dengan mukanya dibalut ketat dengan kain. Tetapi sekarang Lazarus sudah hidup. Yesus pun mengarahkan orang ramai yang ada di situ untuk membuka kain kapannya. Lazarus tidak memerlukannya lagi.

Hanya Yesus boleh membangkitkan orang mati. Adalah tidak penting bagaimana Lazarus keluar dengan hidup dari kubur. Sebenarnya kenyataan Yesus yang telah membangkitkan Yesus itu yang paling penting. Yesus berkata, "Akulah jalan dan kebenaran dan hidup, tidak ada seorangpun yang dapat datang kepada Allah, kalau tidak melalui Aku" (Yohanes 14:6). 

Sudahkah anda kenal Yesus ini?


Khamis, 14 Julai 2011

Makan babi?

Shalom pastor!
Saya nak tanya . . . kenapa SDA tidak dapat makan babi dan udang,,,boleh saya tau bahagian Alkitab yang mana mengandungi hukum ini?

 

Pengikut gereja SDA memegang kepada kepercayaan bahawa undang-undang pemakanan yang diberikan oleh Allah kepada orang Israel adalah wajib (mesti) untuk diamalkan oleh orang Kristian. Syarat-syarat pemakanan ini terdapat dalam Keluaran dan Ulangan dan bertujuan untuk memberi sistem pemakanan yang sihat bagi orang Israel yang memulakan negara yang baru.
Kebanyakkan ahli teologia Kristian berfahaman bahawa kematian Yesus diatas kayu salib telah membatalkan semua tuntutan pemakanan ini malahan semua tuntutan undang-undang yang diberikan kepada rakyat Israel - maksud saya, undang-undang ini baik diamalkan tetapi mesti dilakukan untuk menyucikan atau menyelamatkan seseorang itu.
Kerana penyelamatan Yesus, kita sekarang bebas dari tuntutan mengamalkan sistem-sistem penyucian tubuh (cara makan dan sebagainya) kerana darah Yesus menyucikan kita bukan perbuatan-perbuatan kita.
Semoga penjelasan yang sedikit ini akan memulakan proses pemahaman mengenai kedudukan hukum-hukum pengurusan peribadi dan negara yang Allah berikan kepada kerajaan Israel dalam kehidupan orang Kristian hari ini.

Ahad, 3 Julai 2011

Termengandung . . .

Orang Kristian juga boleh tersilap laku dan apabila terbawa dalam arus emosi dan sentuhan fizikal apabila berdua-duaan, ada yang terlanjur dan hasilnya terciptalah anak yang suci dan indah dalam kandungan. Apakah harus reaksi si wanita Kristian yang sudah termengandung ini? si lelaki yang membuat dia mengandung? komuniti Kristian yang mengetahui akan 'kesilapan' ini dan buktinya yang semakin membesar setiap hari?
Banyakalah yang boleh dikatakan dan dilakukan tetapi yang paling penting (mengikut pendapat sayalah) ialah supaya si wanita itu dilindungi dan dipelihara dengan baik dan si anak dalam kandungan diselamatkan dan dilahirkan dengan sempurna. Si wanita itu perlu di beri tempat yang selamat untuk tinggal (bebas dari orang yang mengganggu dengan pe;bagai cara), menjalani sistem pemakanan dan penjagaan tubuh yang baik (termasuk lawatan ke klinik mengikut jadual) dan kaunseling Kristian untuk membantu menyelesaikan seratus satu soalan dan rasa bersalah kerana 'kesilapan' yang telah dilakukan. Anak dalam kandungan mesti dipelihara dengan baik dan dilahirkan dengan sempurna. Si wanita itu ada 3 pilihan: a) menjaga anak itu sendiri (mungkin dengan bantuan keluarga yang mengasihi dan memahaminya), b) memberi anak itu untuk diangkat oleh keluarga/pasangan kristian yang baik dan stabil atau c) berkahwin dan memulakan keluarga baru. Walaupun begitu, saya langsung tidak setuju dia mesti kahwin dengan lelaki yang membuat dia mengandung kecuali mereka mengasihi satu sama lain dan memang ada cadangan mahu mendirikan rumahtangga; jangan terpaksa kahwin kerana teman wanita sudah mengandung!
Apa kata anda?

Isnin, 16 Mei 2011

Yesus Di Kubur Lazarus (1)

Dalam Injil Yohanes ada sebuah kisah menarik tentang Yesus dan saya ingin kita memberi perhatian kepadanya. Kisahnya dicatat dalam Yohanes 11:28-44, iaitu kisah Yesus di kubur Lazarus. 

Kisah ini bermula dengan Marta (kakak Lazarus) bergegas kembali ke kampungnya dan memberitahu adik perempuannya yang bernama Maria bahawa Yesus telah tiba di Betani dan memanggilnya. Dia berkata, "Guru ada di sana dan Dia memanggil engkau". Yesus masih memanggil pada hari ini. Yesus yang sama ini berdiri dan memanggil manusia melalui InjilNya. Setiap orang diseruNya untuk membuka pintu hatinya dan mempelawa Yesus, Juruselamat dunia, untuk masuk. 

Reaksi Maria begitu cepat. Dia tidak membuang masa, tetapi sebaliknya dia dengan segera bangkit dan pergi kepada Yesus. Apakah reaksi kita seperti reaksi Maria? Apakah dengan segera tanpa berlengah-lengah kita pergi ke Yesus apabila dia memanggil? Ataupun dengan lambat?

Yesus menemui Marta dan Maria di luar perkampungan Betani. Apabila berhadapan dengan Yesus, Maria tersungkur di kakiNya. Ini mungkin suatu perlakuan penyembahan ataupun perbuatan seorang yang diselubungi perasaan yang amat sedih. Seperti Marta, kakaknya, Maria meluahkan perasaan kesalnya kerana Yesus belum sampai di Betani pada masa abangnya meninggal; jikalau Yesus ada, abangnya tidak akan mati.

Melihat Maria dan teman-temannya berasa sedih, Yesus pun terasa pilu dan hatinya tidak tenteram. Sememangnya, Yesus memikirkan tentang semua kesedihan, kesengsaraan dan kematian yang telah memasuki dunia akibat daripada dosa. Ini membuatkan Dia merasai kesedihan yang mendalam. Adakah kita berasa baik jikalau kita tidak betul di hadapan Allah? Bagaimanakah perasaan kita jika rakan-rakan kita tidak betul di hadapan Allah? Yesus memahami perasaan kita itu dan Dia sedia menghiburkan kita.

Tuhan Yesus tentulah tahu di mana Lazarus dikuburkan. Tetapi Dia menyoal Marta dan Maria agar memberi pengharapan, untuk mendorongkan iman dan untuk mendapatkan kerjasama daripada mereka. Dengan iklas walaupun diselubungi perasaan sedih mereka membawa Tuhan Yesus ke kubur Lazarus.

Yohanes 11:35 merupakan ayat terpendek di dalam Alkitab. Walaupun begitu mesejnya sungguh luarbiasa. Begini bunyinya: Yesus menangis. Ini ialah satu daripada tiga ayat di dalam Perjanjian Baru yang menyatakan bahawa Yesus menangis. Contoh-contoh yang lain ialah semasa Dia meratapi kota Yerusalem dan ketika Dia berdoa di kebun Getsemani. 

Kenyataan bahawa Yesus menangis merupakan bukti kemanusiaan Yesus. Dia mengalirkan air mata kesedihan apabila Dia melihat kesan buruk dosa ke atas umat manusia. Kenyataan bahawa Yesus menangis ketika hadirnya kematian, menunjukkan bahawa adalah tidak salah jika umat Kristian menangis jika seorang yang dikasihi itu meninggal dunia. Mungkin adalah tidak betul ataupun tidak baik juga jika seseorang itu tidak meratapi kematian seseorang yang dikasihi. 

Di dalam ayat ini, air mata bererti kasih. Air mata bererti mengambil berat. Walau bagaimanapun, umat Kristian tidak menangis seperti orang yang tidak ada harapan. Kita menangis kerana kita mengasihi orang yang telah kembali kepada Allah.  Kita mengasihi orang yang telah ditinggalkan oleh si mati. Itulah sebabnya kita menangis.

Orang Yahudi melihat air mata Yesus sebagai bukti kasih sayangnya kepada Lazarus. Sememangnya mereka betul tentang hal ini. Yesus juga mengasihi mereka dengan kasih yang dalam dan yang tidak terbelah-bahagi. Malangnya, ramai orang Yahudi gagal untuk memamhami hal ini. Hari ini, apakah kita benar-benar memahami bahawa Yesus amat mengasihi kita?

Kehadiran Yesus telah menimbulkan persoalan di antara orang yang ada di tanah perkuburan Betani. Ada di antara mereka yang mengenali Yesus sebagai seorang yang mencelikkan mata orang yang buta. Mereka bertanya-tanya mengapa Yesus tidak menyelamatkan Lazarus daripada kematian. Sememangnya Yesus boleh berbuat demikian. Tetapi sebaliknya Dia memilih untuk melakukan satu daripada keajaiban yang terunggul pernah tercatat dalam sejarah dunia. Sememangnya, keajaiban ini telah membawa harapan besar kepada semua orang yang percaya di seluruh dunia sekarang. Apakah keajaiban ini ada di dalam hidup kita hari ini? Apakah hidup ini di dalam kehidupan kita?

Pelajar-pelajar Alkitab berpendapat bahawa kubur Lazarus merupakan sebuah gua bawah tanah. Seorang itu harus masuk dan keluar menggunakan tangga. Sebuah batu diletakkan di atas mulut gua tersebut. Ini bukanlah seperti kubur Tuhan Yesus yang telah digali daripada batu di mana seseorang itu boleh berjalan masuk dan keluar tanpa menaiki atau menuruni tangga. Yesus mengarahkan orang di sana untuk mengalihkan batu penutup daripada gua Lazarus. Apakah yang Yesus lakukan seterusnya?





Selasa, 3 Mei 2011

Pertaubatan Membaiki Segalanya

Tanggungjawab yang besar bagi seorang guru Kristian ialah menghubungkan muridnya dengan Allah. Hal itu amat penting sekali. Orang tidak akan mempunyai hubungan yang baik dengan dirinya sendiri atau dengan orang lain jika hubungannya dengan Allah belum sempurna. Hubungan itu merupakan satu-satunya dasar untuk mempersatukan hidup secara benar. Sebagaimana jarum bermagnet akan terus bergetar sampai menunjukan kutub utara demikian pula halnya dengan setiap manusia: ia akan terus hidup tanpa ketentuan sampai ia dihubungkan dengan Yesus. Kebenaran hanya dapat diwujudkan apabila seseorang itu bertaubat kepada Allah. Itulah dasar segala kemajuan yang susila. Segala kegiatan hidup harus dikendalikan dari pusat ini. Hal itu merupakan penyesuaian hidup yang terbesar. Benarlah pendapat beberapa orang bahawa masalah-masalah yang bertalian dengan seks dapat dipecahkan dengan perasaan takut akan Allah. Demikian pula segala hal yang berhubungan dengan soal kesusilaan dan perdamaian dunia. Maka Yesus ada berkata: “Carilah dahulu Kerajaan Allah dan kebenaranNya, maka semuanya itu akan ditambahkan kepadamu” (Matius6:33) Ia ada juga berkata: “Jikalau kamu tidak bertaubat, kamu semua akan binasa atas cara demikian” (Lukas 13:3). Kepada Nikodemus yang terpelajar Yesus berkata: “Jika seorang tidak dilahirkan kembali, ia tidak dapat melihat Kerajaan Allah” (Yohanes 3:3). Oleh sebab itu, Yesus Kristuslah yang pertama berusaha untuk membawa orang bertaubat kepada Allah. Itulah juga tugas kita yang terbesar sebagai seorang guru. Pengalaman pertaubatan ini dilukiskan sebagai suatu kelahiran, suatu kebangkitan, suatu hati yang baru, atau suatu cara pemikiran yang baru. Walaupun begitu pengalaman ini tidak sama bentuknya, bergantung kepada tabiat, umur, pendidikan dan taraf dosa seseorang itu masing-masing. Tetapi semuanya itu bertalian dengan hubungan yang selaras antara peribadi insani dengan peribadi ilahi.
Pengalaman pertaubatan itu mungkin terjadi dengan perasaan tenang sahaja, tetapi mungkin juga melalui pergolakan. Pertaubatan mungkin terjadi dengan tiba-tiba, tetapi mungkin pula dengan perlahan-perlahan. Pertaubatan itu mungkin lebih mengenai akal, emosi, ataupun kemahuan. Dan mungkin lebih merupakan penjauhan dari dosa, atau pedekatan kepada kebenaran. Pendek kata semua itu meliputi suatu penyerahan diri kepada Allah dan permulaan kehidupan Kristian. Pertaubatan itu menimbulkan satu tekad yang baru, minat yang baru, dan kegiatan yang baru. “Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengan segenap akal dan budimu dan dengan segenap kekuatanmu”ialah nasihat Yesus kepada semua yang bertaubat dalam Markus 12:30. Itulah pengalaman yang mengubah dunia. Setiap guru Kristian hendaklah mengajar, dan berdoa dan bekerja dengan tujuan agar setiap muridnya menyerahkan hidup mereka kepada Allah secepat mungkin. Hendaklah setiap murid dipimpin, seperti anak yang hilang itu, sehingga ia akan berkata: “Aku akan bangkit dan pergi kepada bapaku”. (Lukas 15:18) Kita juga perlu memperbaiki perhubungan kita dengan orang ramai yang di sekitar kita. Kehidupan Kristian meliputi hubungan yang benar dengan Allah dan hubungan dengan orang lain. Sebenarnya kedua-dua hal itu tersimpul dalam suatu perintah yang dinyatakan oleh Yesus dalam Markus 12:31 di mana Dia berkata: “Kasihilah sesamamu manusia seperti dirimu sendiri.” Ketika Yesus menekankan doktrin pahala dan akhirat, dinyatakanNya bahawa pahala itu berdasarkan kepada apa yang diperbuat orang kepada orang lain sewaktu di dunia, misalnya, memberi makanan kepada orang yang lapar, memberi pakaian kepada orang yang telanjang, dan berbuat baik kepada orang asing, orang sakit, dan orang di dalam penjara. Perkara ini dijelaskan oleh Yesus dalam Matius 25:35-36. Jikalau seorang berkata: ‘Aku mengasihi Allah,’ dan ia  membenci saudaranya, maka ia adalah pendusta.” ialah kesimpulan rasul Yohanes dalam 1 Yohanes 4:20.
Seharusnya kita diubah menjadi makhluk sosial, bukan peribadi yang masing-masing berdiri sendiri, tiada hubungan satu dengan yang lainnya. Kita harus mempunyai hubungan yang selaras dengan Allah, tetapi haruslah kita mempunyai hubungan yang selaras dengan manusia. Seorang pernah berkata: “Agama berhubungan erat dengan hubungan-hubungan, kecenderungan, dan perjuangan-perjuangan manusia secara timbal balik; ini tidak dapat dielakkan. Dan keagungan agama bukannya dalam kebesaran yang terpisah dari kehidupan, melainkan dalam kesanggupannya dalam mengatasi atau menguasai seluruh kehidupan.” Yesus berusaha menyelaraskan hubungan seorang dengan orang lain, melalui pertaubatan kepada Allah. Ia menghendaki kita berbuat hal yang sama.
Tugas menyelaraskan hubungan seorang dengan orang lain meliputi beberapa aspek. Salah satu yang ditekankan oleh Yesus adalah kasih, sebagaimana telah disebutkan dalam Pesan Agung itu. Yesus berkata dalam Yohanes 13:34: “Supaya kamu saling mengasihi; sama seperti Aku telah megasihi kamu.” Yesus sedar bahawa kasih yang sejati dapat meruntuhkan segala macam rintangan. Yesus memperingatkan kita agar waspada terhadap perasaan benci. Ia bahkan berkata: “Berdoalah bagi mereka yang menganiayai kamu” (Matius 5:44). Hubungan yang selaras tidak mungkin terjalin apabila perasaan benci menguasai diri kita. Sesungguhnya perasaan benci itu merupakan benih pembunuhan. Salah satu hal yang amat ditekankan Yesus ialah hal mendamaikan orang. “Berbahagialah orang yang membawa damai, kerana mereka akan disebut anak-anak Allah” ialah pengisytiharan Yesus dalam Matius 5:9. Dan mengenai kesucian seks Ia berkata: “Setiap orang yang memandang perempuan serta menginginkannya, sudah berzinah dengan dia di dalam hatinya” (Matius 5:28). Apakah hubungan kita dengan sesama manusia dipandu oleh prinsip-prinsip Yesus ini?

Isnin, 2 Mei 2011

Tanya Tu Pulak . . .

Di sebuah universiti di Malaysia, pelajar-pelajar sebuah kursus yang langsung tidak ada kaitan dengan kursus Perbandingan Agama, disuruh untuk membentangkan kertas berjudul "Status wanita dari perspektif agama Kristian dan Islam" dan sesudah pembentangan dibuat, pelajar-pelajar disoal oleh pensyarah yang beragama Islam. Soalan-soalannya dikatakan macam sengaja dibuat untuk menyebabkan pelajar Kristian bingung dan meragui fahaman Kristian. 
Dalam membentangkan kisah Hawa, soalan yang ditanya pensyarah Islam ini ialah: Apakah nama saintifik bagi buah kehidupan? 
Saya yakin soalan-soalan ini tidak sesuai ditanya oleh pensyarah ini kerana latar belakang agamanya dan kursus yang dia ajar. Memang tertanya apakah motif sebenar tugasan dan soalan-soalan yang ditanya. Saya juga tertanya apakah dia akan membenarkan seorang pensyarah kristian menyoal pembentangan pelajar-pelajar Islam? 
Pelajar-pelajar Kristian yang terlibat telah cuba menjawab macam-macam ketika ditanya supaya pensyarah mereka itu tidak salah tafsir - mereka kurang yakin mereka berjaya. Saya tidak hairan kerana tajuk seperti ini TIDAK dibentangkan dalam gereja dan buku-buku Kristian tentang hal ini tidak ada dan jika ada memang sukar ditemui. Saya juga yakin ramai pemuda-pemudi Kristian tak pernah memikirkan isu ini . . . nah, tiba-tiba kena tanya dan jawapan pun tunggang terbalik. 
Apakah tujuan 'posting' saya ini? Senang saja - orang muda Kristian mesti belajar dengan mendalam agama mereka untuk sedia menjawab pelbagai soalan pelik-pelik dari pensyarah mereka (dan ramai orang lain) dan memberi jawapan bernas dan berkuasa! 
Pastor-pastor, sedarlah khutbah hari Ahad tidak memadai - banyak maklumat lain mesti anda sediakan dan perlengkapi anak-anak muda dengan banyak hal/topik lain juga.

Isnin, 18 April 2011

Sampai Bila Berdiam?

Isu penghinaan Alkitab oleh Kerajaan Malaysia dianggap terlalu sensitif dan hangat sehingga tidak ada yang mahu menyebutnya mahupun mengambil tindakan. Oleh itu isu ini masih lagi belum selesai dan sedikit demi sedikit tuntutan-tuntutan yang tidak menghormati orang Kristian dan buku suci mereka ditambahkan sehingga pagi ini Ketua Menteri Sarawak berkata bahawa isu ini tidak perlu diberi perhatian politik! 

Sampai bilakah orang Kristian akan berdiam, malu bersuara dan mendesak supaya kehormatan dan kemuliaan Alkitab dihormati? 

Saya yakin satu cara 'halus dan lembut' untuk menyatakan hasrat dan ketidakpuasan kita ialah dengan memprotes dengan perkataan - yang ditulis atas baju yang dipaki dan kereta yang dipandu. Apa pendapat anda?

Cuba lihat contoh-contoh di bawah, apa kata anda?




Sabtu, 19 Mac 2011

Berundur Untuk Bertemu Tuhan

Frodo kini selamat di Rumah Sederhana Terakhir, di bahagian timur Laut. Rumah itu, seperti yang dilapurkan oleh Bilbo sekian lama dulu, ‘sebuah rumah yang sempurna, samada anda suka makan atau tidur atau bercerita atau menyanyi, atau hanya duduk dan berfikir dengan baik, atau satu campuran indah kesemuanya.’ Hanya berada di sana merupakan ubat untuk keletihan, takut dan kesedihan.                                               J.R.R. Tolkien, The Lord of the Rings

Saya kembali ke sini, dan di sini saya telah berada. Saya telah melakukan ini dan itu. Saya telah menulis lagi di dalam buku saya. Dan, semestinya, saya menciptakan beberapa buah lagu. Mereka kadang-kadang menyanyikannya: hanya untuk memuaskan saya, saya fikir; kerana sememangnya, lagu-lagu itu tidak cukup baik untuk Rivendell. Dan saya mendengar dan saya berfikir. Masa seolah-olah tidak berlalu di sini; ia hanya ada. Satu tempat yang sungguh menakjubkan.                                                                            J.R.R. Tolkien, The Lord of the Rings

Seorang pengundur kali pertama baru-baru ini memberitahu saya bahawa apabila dia mendedahkan kepada suaminya apa yang dia ingin lakukan, suaminya mengeluarkan paip dari mulutnya dan berkata dengan sungguh: ‘Pergi, sayangku. Adalah baik anda pergi! Sudah hampir masanya untuk anda mengalami satu titik kelahiran baru.’ Lelaki itu, pada pandangan saya, mempunyai fahaman yang jelas tentang satu daripada fungsi pengunduran: kuasanya untuk menyebabkan deria rohani kita lahir kembali, meghidupkan apa yang telah menjadi pudar dan mati di dalam kita, memanggilnya untuk keluar ke dalam cahaya dan udara, mmeberinya satu peluang lagi.                                                                                Evelyn Underhill, Light of Christ

Kini mereka yang mengawal kilang moden – lebih bijak dalam generasi mereka daripada anak-anak terang – tahu apa maksudnya semua ini dalam kepenatan dan kehabisan bahan manusia, dalam tekanan yang gemuruh, ketidakpedulian, kekacauan. Jadi tidak ada kilang yang baik tanpa jabatan kebajikannya, bilik rehatnya, peluang untuk berdiam. Mengasingkan pekerja itu pada masa-masa tertentu dari bising dan tekanan akan meningkatkan kualiti dan kuantiti kerja. Jadi kadangkala saya berfikir bahawa pengunduran harus diibaratkan sedikit seperti kerja peperangan rohani; sangat penting untuk organisasi gereja dan khasnya untuk keberkesanan pelayan-pelayannya. Saya pasti jika dilakukan sekurang-kurangnya satu pengunduran tahunan sebagai satu kemestian untuk mereka yang menjadi imam Allah, ianya akan lebih lagi menjadi satu cara pembaharuan yang lebih bernilai daripada beberapa cara lain yang telah dicadangkan.
Saya tidak bermaksud dengan ini untuk mengesyorkan pengunduran hanya untuk sebab-sebab praktikal – kerana ianya membuat orang Kristian yang aktif dan berkesan lebih aktif dan berkesan lagi. Saya lebih senang mencadangkannya kerana ianya meletakkan di depan, dan menyimpan di depan apa yang, sememangnya, tujuan pertama minat agama – begitu senang untuk lupakannya – hanya satu ini yang perlu – perhubungan jiwa dengan Allah.
Evelyn Underhill, Light of Christ

Kami ketahui sebagai satu persekutuan bahawa misi kami sebagai gereja di dalam dunia akan menghadapi bahaya jika pergerakan luaran ini tidak mempunyai satu gerakan pengunduran yang selari.
Elizabeth O’Connor, Call to Commitment

Ramai orang mencari persekutuan kerana mereka takut bersendirian. Kerana mereka tidak boleh tahan kesunyian, mereka terdesak untuk mencari hadirat orang.
Dietrich Bonhoeffer, Life Together

Kemudiannya jiwa akan menghasilkan buah yang sesuai dalam ukurannya, di mana kehidupan dalaman dibangunkan dalamnya. Jika tidak ada kehidupan dalaman, biar bagaimana besarnya semangat, tingginya niat, kerasnya kerja, tidak ada buah yang akan dihasilkan; ianya seperti musim bunga yang mahu memberi kesuciannya kepada yang lain tetapi tidak dapat, tiada siapa untuk diberi; seseorang hanya dapat memberi apa yang ia ada. Adalah dalam kesunyian, kehidupan yang sunyi  bersama Allah, dalam imbas kembali jiwa yang dalam, dalam melupakan segala ciptaan, yang Allah dapat memberi dirinya kepada jiwa yang memberi dirinya selengkap dan sepenuhnya kepada dia.                                                                              Charles de Foucauld 

Khamis, 17 Mac 2011

Undur Untuk Menang

Kemudian TUHAN berfirman kepada Elia, ‘Tinggalkanlah tempat ini dan pergilah ke sebelah timur. Bersembunyilah dekat sungai kecil. . .’ (1 Raja-Raja 17:3). Tidakkah anda dapat mendengar nabi ini memprotes: ‘Pergi menyembunyikan diri saya! Tetapi, Tuhan, saya suka bersama orang ramai! Saya perlu berada di mana adanya aksi. Bagaimana jika saya diberi satu lagi tugasan di istana? Tidakkah engkau seronok melihat apa yang terjadi kepada Ahab apabila nubuatan itu diberi? Wah! Kita telah benar-benar menggemparkannya, kan? Jadi, apa yang engkau maksudkan, “Pergi sembunyikan dirimu”? Kenapa, Tuhan, ianya tidak masuk akal, lagi-lagi bila ada banyak kerja untuk dilakukan dan banyak untuk dialami.’
Itulah caranya Elia mungkin respon kepada ‘tugasan’ barunya, jika dia seorang aktivis Kristian di lewat abad keduapuluh.
Tetapi adalah mungkin, dalam usaha untuk ‘kuat bagi Tuhan’, kita iaitu umat Allah mengabaikan sumber kuasa yang sebenar – untuk bersama Tuhan di tempat yang sunyi.
‘Dalam tinggal tenang dan diam terletak kekuatanmu.’ kata Yesaya, bukan dalam banyaknya aktiviti dan banyaknya bunyi. Pengunduran – satu masa yang diasingkan dari aktiviti harian hanya untuk berada dalam hadirat sunyi Allah – telah menyokong orang Kristian berkurun lamanya.Dari biara-biara yang sunyi telah mengalir kehidupan dan kebenaran yang membawa kestabilan apabila peradaban runtuh pada Zaman Kelam.Dari kesunyian bilik penjara telah timbul kuasa baru seperti John Bunyan atau Aleksandr Solzhenitsyn. Dari pengunduran datanglah ubat untuk penyakit masa kini; di mana, dalam kata-kata Frodo Baggins yang dipetik dari buku Tolkien The Lord of the Rings, ‘hanya untuk berada di sana menjadi ubat untuk keletihan, ketakutan dan kesedihan’.
Pengunduran membawa kita kepada satu ‘titik kelahiran kembali’, kata Evelyn Underhill. Masa-masa pengunduran boleh membekalkan kelahiran kembali yang rohani, menghidupkan apa yang telah menjadi malap dan mati dalam kita dan mejadikan kita lebih efektif dalam pekerjaan kita. Dalam pengunduran yang tulen, apa yang dasar kepada kehidupan rohani menjadi pusat: iaitu, perhubungan kita dengan Allah.
John Casteel menyatakan bahawa ‘tujuan pengunduran ialah untuk mendalamkan persekutuan kita dengan Allah. . . satu penyerahan diri kepada Allah dengan sebegitu cara sehingga dia dapat menarik kita ke dalam persektuan yang lebih erat bersamanya – dan melalui persekutuan ini memberi kita persekutuan yang lebih kaya dengan orang lain dalam Kristus dan satu fahaman yang lebih benar tentang diri kita sendiri. Akar tujuan ini boleh ditemui dalam Hukum Agung, “Engkau harus mengasihi TUHAN Allahmu”, dan hukum kedua yang sepertinya, “Engkau harus mengasihi jiranmu seperti dirimu sendiri”.’Jadi, dia mengingatkan orang Kristian yang berfikir untuk mengundur bahawa ‘pengunduran yang benar bukan bertujuan “menghabiskan kerja”, atau “menikmati cuti”. Fokusnya bukan atas satu tugas, subjek, masalah, atau inspirasi yang menyeronokkan. Pusat dan kebenaran pengunduran ditemui dalam persekutuan – dengan datangnya kita kepada diri kita sendiri, dengan penglibatan kita bersama orang lain dalam Kristus, dengan bersama Allah dalam doa.’
Untuk apa pengunduran? Untuk menyingkir tekanan orang ramai, gegasan aktiviti, pandangan, bunyi dan cahaya kehidupan kita yang tidak benar supaya kita boleh membenamkan pancang ke dalam tujuan kewujudan kita: ‘Untuk memuliakan Allah dan menikmatinya sepenuhnya, buat selama-lamanya’.

Selasa, 15 Mac 2011

Pelayanan Di Rumah Rachak

Dari hari Jumaat 11 Mac hingga 14 Mac, sebuah Kem ISCF telah diadakan di RumahRachak (rumah panjang Iban) di kawasan Pakan di daerah Sarikei. Saya berpeluang mengongsikan tiga ajaran penting dan telah melihat ramai pelajar menerima Tuhan serta bertaubat dari dosa mereka. Segala pujian kepada Tuhan!

Ramai berdoa dan bertaubat

Ahad, 6 Mac 2011

Di gunung dan di lembah

Mengapa engkau tertekan, hai jiwaku, dan mengapa engkau gelisah di dalam diriku? Berharaplah kepada Allah! Sebab aku bersyukur lagi kepadaNya, penolongku dan Allahku!
Aku akan sentiasa berharap kepada-Mu. . .
Janganlah hendaknya kamu khuatir tentang apapun juga, tetapi nyatakanlah dalam segala hal keinginanmu kepada Allah dalam doa dan permohonan dengan ucapan syukur.
Bersukacitalah sentiasa. Tetap berdoa. Mengucap syukurlah dalam segala hal, sebab itulah yang dikehendaki Allah di dalam Kristus Yesus bagi kamu.
Kira-kira tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan menyanyikan puji-pujian kepada Allah. Orang tahanan yang lain mendengar mereka.
Walaupun kami menanggung sengsara, kami sentiasa bersukacita.
Dalam segala penderitaan kami aku sangat terhibur dan sukacitaku melimpah-limpah.
Dia mengajar aku menyanyi lagu yang baru, lagu pujian untuk Allah kita. Banyak orang yang melihat perkara ini akan menjadi takut lalu percaya kepada TUHAN.
Tetapi aku akan menyanyi tentang kekuatan_Mu; setiap pagi aku akan bernyanyi dengan nyaring tentang kasih-Mu. Engkau telah menjadi pernaungan bagiku, perlindungan pada masa kesusahanku.
Aku akan memuji Engkau dengan sepenuh hati, ya Tuhan, Allahku; aku akan mengisytiharkan kebesaran-Mu selama-lamanya. Betapa besarnya kasih-Mu untukku; Engkau telah menyelamatkan aku dari kubur.

(Mazmur 42:12, ABI; Mazmur 71:14, ABM; Filipi 4:6, ABI; 1 Tesalonika 5:16-18, ABI; Kisah Rasul-Rasul 16:25, ABM; 2 Korintus 6:10, ABM; 2 Korintus 7:4, ABI;  Mazmur 40:4, ABM; Mazmur 59:17, ABM; Mazmur 86:12-13, ABM)

Sebagai mahkluk dunia ini kita berkongsi kesedihannya, bebannya dan pergelutannya. Seringkali kita tertakluk kepada bunyi dan kekacauannya, peperangan dan kesusahannya ke tahap di mana kehidupan peribadi kita menjadi kabur dan berselerak dengan rasa sangsi dan kesusahan, masalah dan sakit, kesedihan dan sengsara. Pada masa seprti ini sentiasa ada pilihan untuk hidup di bawah atau di atas keadaan itu, untuk memberi perhatian kepada diri sendiri atau fokus kembali kepada Allah, untuk bimbang atau menyembah.
Kekhuatiran tidak dapat mengubah masa lampau, tetapi ia boleh memusnahkan masa sekarang dan masa akan datang. Ia tidak akan mengosongkan hari kemarin dari kesedihan, tetapi ia akan mengosongkan hari ini  dari sukacita. Kekhuatiran ialah satu-satunya permainan apabila anda meneka betul, anda tidak akan berasa lebih baik.

Rabu, 2 Februari 2011

Kata Orang Mengenai Allah (2)

Pendirian yang sesuai dalam perhubungan kita dengan Dia yang Kudus ialah keterbukaan yang penuh dan kefleksibelan dan kepekaan yang tinggi. Sebagai manusia kita mesti bersedia untuk kedatangan Allah dengan kesenyapan, kekosongan dan keterbukaan.
Untuk saya, Allah ialah Dia yang Suci dan namanya yang satu lagi ialah Terkejut. Kesediaan untuk membenarkan yang Utama mengambil apa jua bentuk dia ingin dan datang dengan apa jua cara dia pilih adalah amat penting, dan ia mesti dipasangkan dengan kepercayaan bahawa Allah mahu diketahui oleh kita dan dapat berkomunikasi dengan kita, jika kita membenarkannya atas syarat-syarat ini. . .
Pelekat bampar yang berbunyi 'Biar Allah jadi Allah' menyatakan imperatif hidup yang paling penting. Apakah yang mungkin lebih penting daripada membenarkan tuhan seseorang itu menjadi Allah yang benar - membenarkan dia yang ialah Allah secara semulajadi berfungsi sebagai Allah seseorang? Setiap hari Allah yang menciptakan kita berperang dengan tuhan-tuhan yang telah kita ciptakan. . . Hanya Si Pencipta dapat memuaskan sepenuhnya dan benar-benar memenuhi ciptaannya. Seperti yang dikatakan Santo Augustine lama dahulu, 'Anda telah menciptakan kami untuk Mu, O TUHAN, dan hati kami resah sehingga beristirehat dalam Mu.'
John Claypool

Diri yang kita kasihi bukan diri yang Allah kasihi; jiran yang tidak kita hargai ialah hartanya, kebenaran yang kita singkirkan ialah kebenaran yang dia pelihara, keadilan yang kita cari kerana ianya milik kita bukan keadilan yang kasihNya ingini. Kebenaran yang dia tuntut dan beri bukan kebenaran kita tetapi lebih agung dan berbeza.
Dia memerlukan kita mengorbankan segala yang kita selamatkan dan memberi kepada kita hadiah-hadiah yang tidak pernah kita mimpikan. . . pertaubatan dan kesedihan untuk kesalan dan bukan pelupaan; iman dalamNya dan bukan kepercayaan dalam diri sendiri; harapan dalam rahmatnya dan bukan tampaknya hadiratNya; bukan rehat tetapi penyiksaan yang berulang yang tidak akan membenarkan kita puas; bukan damai dan sukacita dunia tetapi harapan untuk dunia yang akan datang. Dia memaksa kita mengambil kesedihan kita sebagai hadiah dariNya dan untuk mengesyaki sukacita kita jangan-jangan ianya diperoleh dari AnakNya yang menjelma lagi dalam setiap jiran. Dia sesungguhnya melayani kepada semua kebaikan kita, tetapi semua kebaikan kita lain daripada yang difikirkan.
Richard Niebuhr, The Meaning of Revelation

Hanya ada satu definisi yang baik untuk Allah: kebebasan yang membenarkan kebebasan lain wujud.
John Fowles, The French Lieutenant's Woman

... Allah masih lagi Allah yang membangkitkan rasa kagum dan hormat. Adalah Kekristianan yang herot-benyot, yang dalam suasana sukacita perjalanan syurgawi lupa rasanya kagum dan takut itu. . . 'Allah kita ialah api yang membakar' (Ibrani 13: 16).
Michael Ramsay, Be Still and Know

[Apabila muda saya pernah berkata kepada diri saya] 'Jika Allah tidak menghukum saya untuk dosa-dosa saya, dia patut.' Saya rasa bahawa Allah adil, dan dia tahu bahawa saya mahu supaya dia tidak lain dan tidak bukan, hanya adil; kerana fahaman saya yang tidak sempurna tentang Allah termasuk pengecaman saya bahawa dia Allah yang adil dan suci. Jika saya dapat memastikan keselamatan melalui cara lain di mana Allah berhenti menjadi adil, saya tidak akan dapat menerima keselamatan dengan syarat itu; Saya patut rasa bahawa ianya satu penghinaan kepada kemuliaan yang Maha Tinggi dan bahawa ianya bertentangan dengan hukum-hukum kebenaran sejagat.
Charles Haddon Spurgeon, Great Texts of the Bible

'Saya mengasihi mu,' kata satu suara yang halus. Saya memandang sekeliling. Tidak ada orang di sana. Hanya satu pagar dengan papan tanda yang berkata 'Taman Asuhan Humpty Dumpty.'
Kemudian saya nampak seorang gadis kecil, hampir tersembunyi, duduk dalam semak berhampiran. Senyumannya yang mesra dan diselaputi cokelat, menjenguk keluar antara daun-daun semak itu. Saya merasa hangat di dalam. . . seperti anak patung yang dipeluk rapat.
Dia mengasihi sayakah? Tetapi dia tidak kenal saya.
Tetapi tunggu. Dia tidak menilai saya; dia menyatakan dirinya.
Allah berkata, 'Aku mengasihi mu'. Tetapi kita tidak mempercayainya. Bagaimana dia boleh mengasihi kita? Dia kenal kita. Kita lupa bahawa pengisytiharan Allah bukan satu hukuman ke atas kia tetapi satu penyataan akan diriNya.
Wes Seelinger

Lewat telah ku kasihi mu, keindahan begitu purba, begitu baru
lewat telah ku kasihi mu.
Lihatlah engkau di dalam aku, dan aku di luar;
Dan aku mencari mu di luar dan di dalam kehodohan ku jatuh
ke atas benda-benda indah yang telah engkau ciptakan.
Engkau telah bersama ku dan aku tidak bersama mu.
Aku diasingkan dari mu oleh benda-benda itu,
tetapi jika mereka tidak di dalam mu, mereka tidak akan ada langsung.
Engkau memanggil dan menangisi ku dan mencelah masuk ke dalam kepekakkan ku
dan engkau mengirim cahayamu yang menyinari ku,
dan menghalau kebutaan ku.
Engkau menghembus haruman atas ku,
dan ku menarik nafas dan sekarang mengingini mu;
Ku telah merasai mu dan sekarang ku lapar dan dahaga untuk mu;
engkau menyentuh ku, dan kini ku membakar untuk kedamaian mu.
Santo Augustine dari Hippo

TUHAN Allah, Pencipta, Penyelamat dan kawan, saya melihat cebisan keindahan kreatif mu dalam bintang-bintang, dalam gunung-gunung, dalam pokok-pokok, burung-burung dan bunga-bunga. Matahari menyanyikan pujian mu, bulan memberi mu kemuliaan, lautan, ribut dan gemuruh bersatu menyanyi meninggikan keagungan mu.
Engkaulah Dia dalam mana saya hidup, bergerak dan wujud: engkau bukanlah ilah yang jauh yang tidak berperasaan, tetapi, menghairankan, sangat mempedulikan semua tindak-tanduk saya. Saya, ya, saya, boleh mengalami hadirat mu yang menyembuhkan dalam lembah-lembah saya, malam-malam sunyi saya dan kedukaan saya.
Dalam keadaan tidak-terkawal saya, apabila saya terdorong untuk memusnah-diri, kasih kurnia mu menutupi dosa yang banyak. Kehendak mu adalah kedamaian saya. Untuk mentaatimu adalah kebebasan yang benar. Kuasa mu yang menghidupkan memberi hidup saya tujuan dan maksud, dan janji kedekatan mu memberi harapan yang baru. Terimakasih untuk kurnia pagi-pagi baru yang menyegarkan, kerja dan main, ketawa dan keceriaan, rehat dan tidur. Paling utama, terimakasih untuk firman mu yang membimbing saya, kekuatan untuk mengasihi, persekutuan umat mu dan janji-janji pasti akan kehidupan kekal.
TUHAN, semoga saya memberi engkau tempat yang sama yang engkau ada di alam semesta.
Allah yang kekal, cahaya kepada minda yang mengenal mu, sukacita hati yang mengasihi mu dan kekuatan kehendak yang melayani mu; benarkan kami mengenal mu, supaya kami dapat melayani mu sepenuhnya, iaitu pelayanan yang memberi kebebasan yang sempurna, dalam Yesus Kristus Tuhan kami.
Santo Augustine dari Hippo

Doa Restu
Semoga ‘Allah segala mahkluk, jauh bertaktha’
ditakthakan di dalam anda
Semoga dia yang ‘kemuliaannya memancar dari matahari dan bintang’
dimuliakan dalam kehidupan anda
Semoga ‘pusat dan jiwa setiap sfera’
menjadi pusat setiap pemikiran
dan percakapan serta perlakuan anda
Semoga Dia yang dekat setiap hati yang mengasihi
mendekati anda, selamanya. Amen.