Khamis, 8 September 2011

Kuat Dalam Allah


Kekuatan ilahi dapat kita terapkan dalam beberapa cara yang berbeza. Allah memberikan kepada kita kuasa rohani yang kita perlukan untuk memperkuatkan pelayanan kita. Adalah melalui autoriti dari FirmanNya dan kuasa Roh Kudus bahawa kita dapat memaksa lawan kita untuk lari. Bilamana kita tunduk dan berada di bawah autoriti Allah, maka autoritiNya akan berada di atas kita. Setan atau si jahat itu tidak dapat bertahan menghadapi kekuatan rohani yang ada di dalam kita. Kita akan dapat mengusir dia dan dia akan lari. Inilah yang dijanjikan Allah di dalam surat Yakobus 4:7.
Allah juga memperkuatkan kita dengan keamanan ilahi. Petrus mengetengahkan hal ini dalam ungkapan berikut yang telah dipetik dari 1 Petrus 1:5,
     Kamu dipelihara dan dijaga dalam kekuatan Allah kerana imanmu. Keselamatanmu sepenuhnya akan dinyatakan kepadamu pada zaman akhir.
Iman dan keyakinan kita, keselamatan dan keamanan kita, berada di dalam kekuatan Allah yang Mahakuasa. Kita sudah dibersihkan, dipanggil dan diutus oleh Allah. Kita juga dengan aman akan dipelihara dan diselamatkan oleh Allah sampai selama-lamanya.
Dengan kefahaman ini, lihatlah kata-kata yang membangkitkan iman,  diambil dari 2 Timotius 1:12.
     Kerana aku tahu kepada siapa aku percaya dan aku yakin bahawa Dia berkuasa untuk memelihara apa yang telah dipercayakanNya kepadaku hingga pada hari Tuhan.
Kekuatan Allah juga kita terima apabila kita mengambil bahagian dalam pujian Allah. Kita adalah imam-imam bagi Allah. Kita duduk bersamaNya di syurga. Kita berbaris bersama Dia dalam kemenangan sesudah peperangan rohani dimenangkan.
Isteri seorang raja atau presiden akan ikut ambil bahagian dalam kebesaran dan pujian apabila berada di sisi suaminya. Dalam hal yang sama, kita juga, yang disebut "mempelai Kristus" turut mengambil bahagian dalam kemuliaan pengantin lelaki syurgawi kita itu. Sebagai Raja atas segala raja dan Tuhan atas segala tuhan, semua hormat dan pujian adalah milikNya. Dengan kekuatan kita dan kerana diri kita sendiri, kita tidak layak mendapatkan kehormatan seperti itu. Tetapi, kerana kita milikNya, kita dapat berkongsi hormat itu. Seluruh syurga akan selama-lamanya memuji Allah. Dan kita berada di sana, di sisi Allah, ikut serta bersama Dia dalam kebesaran dan hormat dari Allah yang Maha Perkasa.
Di dalam Mazmur 68:28, Raja Daud berkata kepada Allah,
     .. tunjukkanlah kekuatanMu, ya Allah, Engkau yang telah bertindak bagi kami.
"Kuatkan atau mantapkanlah, ya Allah apa yang sudah Engkau kerjakan bagi kami" nampaknya seperti satu doa yang luarbiasa untuk diucapkan oleh Daud. Namun saya pasti kita tahu apa yang dimaksudkannya. Allah mahu mengerjakan sesuatu di dalam kita yang akan menetap bersamaNya. Dia mahu menempatkan kuasaNya yang cukup kuat di dalam jiwa kita untuk selama-lamanya.
Banyak pekerjaan Allah runtuh apabila menghadapi ujian dan pencobaan. Mereka tidak cukup kuat untuk bertahan menghadapi tekanan. Allah ingin mengerjakan di dalam kita satu pekerjaan yang kuat, mantap dan teguh. Dia mahu membuat kita tetap bertahan apabila menghadapi pencobaan.
Kekuatan Allah adalah seperti adunan konkrit pada saat dituangkan ke dalam rangka bangunan buat pertama kalinya. Ianya harus ditekan-tekan atau dipadatkan sebelum cukup kuat dan kukuh untuk digunakan. Inilah juga keinginan rasul Paulus bagi orang Kristian di Korintus. Dia berkata,
     Kerana itu, saudara-saudaraku yang dikasihi, berdirilah teguh, jangan goyah, dan giatlah selalu didalam pekerjaan Tuhan! Sebab kamu tahu bahawa dalam persekutuan dengan Tuhan jerih payahmu tidak sia-sia (1 Korintus 15:58).
Allah bermaksud untuk memantapkan pekerjaanNya di dalam kehidupan kita sehingga kita kuat. Ini juga merupakan keinginan yang sangat besar di dalam hati Daud bagi dirinya dan bangsanya. Oleh itu, dia telah berdoa, "Ya Allah perkuatkanlah diriku".
Kita akan menang dan berhasil apabila Allah menguatkan kita. Kita akan mencapai sasaran-sasaran kita dan mengatasi semua halangan. Allah sudah menyakinkan kita bahawa kita pasti akan menang, akhirnya. 

Tiada ulasan: