Dalam surat Ibrani pasal 12,
penulisnya mengutip dari buku Hagai mengenai maksud Allah untuk menggoncangkan bumi
dan langit. Dia selanjutnya menjelaskan bahawa maksud penggoncangan Allah
adalah untuk membiarkan hal-hal yang sudah terjadi berguguran, sehingga hal-hal
yang tidak dapat digoncangkan tetap tinggal. Dewasa ini, dalam dunia
Kekristianan di seluruh dunia, kita dapat melihat dengan jelas goncangan ini.
Melalui goncangan ini, Tuhan mahu menguji tubuhNya, menyingkirkan dosa,
membersihkan dan memurnikan tubuhNya. Melalui goncangan ini banyak kelemahan
dan kecacatan dalam watak dan moral para pemimpin gereja dinyatakan.
Apabila pendedahan ini berlaku, ramai
ahli gereja mengalami perasaan sakit kerana dikhianati atau merasa duka seperti
mana yang mungkin dialami oleh seorang isteri apabila suaminya tidak setia.
Reaksi dari ahli-ahli memang berbeza antara satu dengan yang lain, tetapi yang
seringkali ada pada mulanya ialah perasaan marah dan sakit hati terhadap orang
yang bersalah itu.
Akan tetapi, akibat jangka panjanglah
yang paling dikhuatirkan. Ada orang percaya yang menjadi kecewa, bingung dan
tidak menentu arah tujuan mereka, bahkan ramai yang mundur sama sekali. Orang
Kristian yang dahulunya berapi-api bagi Tuhan, kini memendam luka batin kerana
dikecewakan dan mulai kendor dalam semarak mereka. Mereka berubah menjadi orang
Kristian biasa yang menghadkan diri untuk hadir ke gereja yang dirasai lebih
aman. Mereka memberhentikan semua aktiviti Kristian mereka kecuali pembacaan
Alkitab dan renungan peribadi. Untuk mengisi kekosongan yang sekarang ada dalam
hidup mereka, mereka mencari kebahagian dengan melakukan pekerjaan-pekerjaan
yang dapat menghasilkan wang yang banyak, mengejar kekayaan material dan
mencari kesenangan.
Bagi gereja yang terlibat pula,
akibatnya sudah pasti: ianya menjadi suam, ramai anggota tidak bersedia untuk
memberi diri mereka dengan bersungguh-sungguh bagi melayani, enggan mempercayai
para pemimpin yang lain dan akhirnya bersikap curiga dan ragu akan visi
pemimpin-pemimpin gereja yang baru.
Mengapakah hal seperti ini boleh
berlaku? Salah satu dari jawapannya ialah kerana fokus yang salah. Fokus dunia
Kristian pada beberapa dekad yang lepas ialah pada peribadi Roh Kudus dan pada
kurnia-kurnia rohani yang diberikan Roh kepada orang yang mencarikannya. Allah
telah membangkitkan kurnia-kurnia pelayanan dengan mengadakan banyak
mukjizat-mukjizat besar dan perbuatan-perbuatan yang ajaib. Melalui pelayanan
orang yang diberi kurnia-kurnia ini, ramai yang sudah dibawa masuk ke dalam
Kerajaan Allah. Pelayanan pengajaran dan nubuatan telah memberikan tuntunan
kepada kita untuk mendapatkan pengertian yang mendalam dari Alkitab, apabila
pemimpin-pemimpin yang diurapi Allah membukakan kepada kita rahsia-rahsia yang
terkandung di dalam Firman Allah.
Kita memuji Tuhan kerana Dia telah
memakai baik lelaki maupun perempuan untuk membangunkan gerejaNya. Ramai dari
mereka ini setiap tahun menyelesaikan tugas yang hanya dapat dilakukan oleh
sepuluh orang melalui kuasa dinamik Roh Kudus. Tetapi lambat laun, kita telah
mengizinkan fokus kita berpindah dari kurnia Allah dalam seseorang kepada orang
itu sendiri. Kita mula berfikir bahawa pemimpin itu mendapat kenan Allah dan
berjasa kepada Allah melalui kesalehan dan kekudusan. Oleh kerana itu, kita
berfikir, Allah menggunakannya dengan begitu luarbiasa sekali. Fokus yang salah
ini seringkali menyebabkan ahli-ahli gereja menyerahkan kekuasaan dan
pengawalan secara mutlak kepada pemimpin mereka. Ini adalah kerana mereka
keliru, berfikir bahawa pemimpin mereka itu begitu rapat dengan Tuhan dan
kerana itu tidak berani untuk mengawal atau membatasi hidupnya. Sikap sebegini
sudah menjadikan kepemimpinan dalam gereja dewasa ini berada dalam situasi yang
bahaya kerana ianya memberi pemimpin dalam gereja kuasa mutlak.
Rasul Paulus dalam suratnya kepada
Titus, pasal 1:5-9 memberikan kepada kita syarat-syarat bagi seorang yang mahu
menjadi pemimpin. Dia menggunakan empat dari lima ayat itu untuk menyenaraikan
watak, reputasi dan kedewasaan yang diperlukan bagi seorang pemimpin
gereja.Hanya satu ayat sahaja berbicara mengenai kebolehan dan kurnia. Dalam
hal yang sama, rasul Paulus dalam surat 1 Timotius mempergunakan tiga belas
ayat dalam pasal 3 untuk menyenaraikan syarat-syarat yang perlu bagi seorang
pemimpin, menyebutkan kecekapan mengajar sebagai satu kurnia yang diperlukan
selain dari lapan belas syarat mengenai watak yang dicari dalam seorang
pemimpin.
Walaupun kurnia-kurnia karisma dan
panggilan Allah dalam kehidupan seorang pemimpin itu jelasnya penting, jelas
dari apa yang sudah diketengahkan oleh Alkitab bahawa hal-hal ini merupakan
hal-hal yang kedua penting jika dibandingkan dengan mempunyai watak dan gaya
hidup yang sesuai.
Dari kenyataan ini dapat kita
simpulkan bahawa seorang pemimpin gereja tidak dapat diangkat dengan
terburu-buru hanya atas sebab ia memiliki kurnia sepertimana kita diingatkan
dalam 1 Timotius 5:22. Sebaliknya kepemimpinan gereja harus terdiri dari orang
yang sudah diamati untuk satu jangkamasa tertentu dan sudah membuktikan diri
mereka sesuai dalam satu-satu pelayanan di sebuah gereja tempatan. Kenyataan
penting yang mesti diingat oleh setiap daripada kita ialah bahawa syarat-syarat
ini tidak hanya laku pada awal pelayan pemimpin itu, tetapi masih laku juga selama
pemimpin itu terus melayani secara langsung.
Walaupun kurnia-kurnia rohani dari
Allah nyata terbukti dalam kehidupan seorang pemimpin, perkembangan buah Roh
sepertimana dihuraikan dalam Galatia 5 harus diberi perhatian untuk menyediakan
satu dasar kukuh bagi kehidupan peribadi setiap pemimpin. Kejayaan atau
kegagalan seorang pemimpin sebenarnya bergantung kepada sifat dan wataknya.
Biarlah kita mempunyai fokus ini apabila memimpin atau mencari pemimpin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan