Jumaat, 29 Julai 2011

Yesus di kubur Lazarus (2)

Kita telah melihat dalam Injil Yohanes sebuah kisah menarik tentang Yesus. Kisah ini telah saya terangkan dalam 'posting' saya sebelum ini. Kalil ini saya ingin kita terus memberi perhatian kepada kisah itu yang dicatat di dalam Yohanes 11:28-44, iaitu peristiwa  Yesus di kubur Lazarus. Kita sekarang sampai pada saat di mana Yesus mengarahkan orang di tanah perkuburan untuk mengalihkan batu penutup daripada gua tempat Lazarus ditanam. 

Kenyataan bahawa Lazarus sudah dikuburkan selama empat hari adalah sangat penting. Mengapa? Ini adalah untuk menunjukkan bahawa Lazarus bukannya tidur ataupun tidak sedarkan diri. Semua orang Yahudi tahu bahawa Lazarus sudah sungguh-sungguh mati. Pembangkitan Lazarus dari kematian  hanya boleh dijelaskan sebagai satu keajaiban ilahi. 

Bagaimanakah kita sebagai umat Kristian menjelaskan pembangkitan Lazarus kepada orang lain? Adakah kita mempercayainya sendiri? Ataupun, kita mempunyai satu penjelasan yang lain, yang menyangkal Yesus sebagai seorang yang berkuasa membangkitkan orang yang sudah lama mati? Yang terutama di sini ialah, adakah kita percaya bahawa kita juga akan dibangkitkan satu hari nanti oleh Yesus?
Semasa berada di tanah perkuburan, Yesus menyebut kata-kata berikut yang dicatat dalam Yohanes 11:40. Yesus berkata,

Jikalau engkau percaya engkau akan melihat kemuliaan Allah.

Sebelum ini Yesus memberitahu Marta bahawa abangnya akan dibangkitkan. Saya percaya bahawa apa yang diberitahuNya merupakan pengertian kepada apa yang telah Dia katakan sebelum ini. Lihatlah susunan ayat itu, yang bermula dengan perkataan "percaya" dan berakhir dengan perkataan "lihat". Adalah seperti Yesus berkata, "Jikalau kamu percaya, kamu akan melihat Aku melakukan satu keajaiban yang hanya Allah boleh lakukan. Kamu akan melihat kemuliaan Allah dalam Aku tetapi kamu mesti percaya dahulu, kemudian lihat".

Batu penutup kubur itu kemudian dialihkan dari kubur Lazarus. Sebelum melaksanakan mukjizat itu, Yesus mengucap syukur kepada Allah kerana mendengar doa ucapanNya. Walaupun tiada doa Yesus sebelum ini yang dicatatkan bagi kita, saya percaya Dia telah bercakap dengan BapaNya sepanjang masa itu. Yesus berdoa agar nama Allah dimuliakan. Di sini, Yesus mengucapkan syukur kepada Allah BapaNya kerana kejadian itu.

Yesus berdoa dengan suara yang kedengaran supaya orang ramai dapat mendengar dan mempercayai Allah telah mengutuskanNya. Yesus juga berdoa dengan suara kedengaran supaya semua akan tahu bahawa Allah mengarahkanNya, memberitahu Dia  tentang apa yang perlu dibuat dan dikatakan. Yesus selalu bergantung kepada Allah BapaNya apabila Dia melakukan satu-satu mukjizat itu. Di sini kesatuan antara Yesus dan Allah BapaNya jelas dinyatakan. 

Ayat 43 dalam petikan ini adalah satu dari antara sedikit ayat di dalam Perjanjian Baru yang menyatakan Tuhan Yesus bercakap dengan suara yang kuat. Ada orang yang berfikir bahawa jika Yesus tidak memanggil nama Lazarus, nanti semua orang mati di tanah perkuburan itu akan bangkit! Mungkin kita perlu berdoa dengan suara yang kedengaran agar di masa hadapan, orang sakit dipulihkan, orang buta melihat dan yang lumpuh dapat berjalan!

Bagaimanakah caranya Lazarus keluar? Ini adalah antara pendapat pelbagai orang. Ada yang berkata dia berjalan keluar. Ada yang berfikir dia merangkak keluar. Ada pula yang berfikir bahawa tubuh Lazarus telah dibalut dengan ketat, kerana itu mustahil dia dapat keluar dengan kekuatannya sendiri. Ramai juga yang berpendapat bahawa Lazarus keluar dari kuburnya tanpa mencecah kakinya ke tanah sehingga dia berada di hadapan Yesus.

Bagaimana Lazarus keluar adalah tidak penting; yang penting ialah kenyataan bahawa dia yang sudah mati mendapat nyawanya balik. Sememangnya Lazarus yang dibalut itu sudah mati selama 4 hari. Tiada seorangpun yang boleh hidup selama empat hari dengan mukanya dibalut ketat dengan kain. Tetapi sekarang Lazarus sudah hidup. Yesus pun mengarahkan orang ramai yang ada di situ untuk membuka kain kapannya. Lazarus tidak memerlukannya lagi.

Hanya Yesus boleh membangkitkan orang mati. Adalah tidak penting bagaimana Lazarus keluar dengan hidup dari kubur. Sebenarnya kenyataan Yesus yang telah membangkitkan Yesus itu yang paling penting. Yesus berkata, "Akulah jalan dan kebenaran dan hidup, tidak ada seorangpun yang dapat datang kepada Allah, kalau tidak melalui Aku" (Yohanes 14:6). 

Sudahkah anda kenal Yesus ini?


Tiada ulasan: