Isnin, 24 Oktober 2011

Bila undang-undang dan perhimpunan diperlukan untuk memelihara akidah

‘Sejuta’ orang Islam akan mengadakan perhimpunan mempertahankan akidah umat Islam yang satu daripada tergugat, pada masa sama mengekalkan keharmonian antara kaum dan agama di negara iniUtusan Malaysia melapurkan.

Apa silap dalam ayat ini? Penggabungan dua idea atau sasaran yang saling meng’cancel’ satu sama lain.

Perhimpunan yang sengaja dibuat besar yang terhasil dari satu reaksi (knee jerk reaction) kepada maklumat bahawa usaha mendakyah oleh orang Kristian berjaya ‘memurtadkan’ orang merupakan satu usaha ‘show of force’ yang akan menyemai rasa takut kepada penyebar agama lain dengan terdengarnya mesej yang tersirat dalam perhimpunan ini – Awas! Sentuh kami dan bersedia menghadapi ‘mass retaliation’.

Kesan atau mesej seperti ini tidak akan menghasilkan apalagi mengkekalkan harmoni antara kaum dan agama. Sebaliknya akan terhasil perasaan ditindas dan dibuli oleh agama rasmi dan penganut agama itu serta perasaan takut bahawa serangan balik yang tidak diingini adalah satu kemungkinan yang boleh berlaku dan tidak akan dihalang oleh pihak berkuasa.

Perkumpulan besar-besaran dikatakan mahu menyampaikan mesej bahawa akidah umat Islam mesti dipelihara dan diperkukuhkan dalam sebuah negara berbilang agama.

Apakah tidak ada cara lain untuk memelihara dan mengukuhkan agama Islam? Bagaimana dengan rundingan atau randau ruai dengan penganut agama lain atau dengan memberi  fokus kepada pendidikan dan program yang mengukuhkan iman dan akidah penganut agama Islam?

Tujuan perhimpunan sah besar-besaran ini adalah untuk menegakkan larangan menyebarkan dan mengembangkan agama selain Islam kepada umat Islam yang sepatutnya dihormati dan tidak dicabarkata penganjurnya.

Larangan menyebarkan agama (Kristian) kepada agama lain tidak asing dengan orang Kristian. Permulaan komuniti Kristian dipenuhi dengan larangan seperti ini yang telah ditetapkan tidak patut ditaati oleh orang Kristian. Saya tahu ramai orang Kristian tutup mata kepada arahan ini tetapi mana-mana orang Kristian yang setia kepada agamanya dan Alkitab tidak boleh mematuhi larangan ini:

Mereka (pemimpin agama bukan-Kristian) mengeluarkan perintah jangan sekali-kali bercakap atau mengajar dengan nama Isa Al-Masih (Yesus). Tetapi Petrus dan Yahya (dua rasul penting agama Kristian) menjawab, “Wajarkah pada pandangan Allah jika kami mendengar katamu (laranganmu) lebih daripada mendengar kata Allah? Kami mesti bercakap (berdakyah) tentang segala yang telah kami lihat dan dengar (tentang Yesus) – Kisah Para Rasul 4:18-20

Tuntutan supaya agama Islam dihormati dan tidak dicabar akan sentiasa dipandang berat sebelah jika tuntutan yang sama tidak dibuat ke atas agama Islam sendiri untuk juga menghormati dan tidak mencabar agama lain, contohnya dalam kes ini agama Kristian. Sehingga ini nampak, tuntutan ini akan memburukkan situasi.

Saya juga tertanya bagaimana dengan memanggil satu juta orang Islam untuk membantah perbuatan orang Kristian menyebarkan agama mereka boleh dianggap menyampaikan mesej supaya semangat perhubungan yang harmonis antara semua penganut agama perlu dipertahankan berdasarkan hak dan kebebasan beragama seperti yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan?

Mesej yang saya dengar ialah – Jangan ganggu kami kalau tidak . . . Jika perjumpaan ini mahu menjalinkan perhubungan harmonis, jemputlah penganut agama-agama lain hadir bersama, dan suruh ketua-ketua agama lain, khususnya pemimpin Kristian untuk juga berceramah. Baru nampak saling hormat, saling menerima, harmonis . . .

Saya juga kurang yakin kenyataan penganjur akan tercapai apabila mereka berkata perjumpaan ini  akan menerbitkan nilai-nilai positif di kalangan penganut agama lain terhadap Islam. Sebaliknya perhimpunan ini akan meneguhkan fahaman bahawa orang Islam adalah kaum yang cepat berreaksi dan tidak ada toleransi kepada agama lain serta tidak segan mengambil tindakan tegas dan ‘mengancam’ terhadap usaha agama lain.

''Melalui perhimpunan ini kita akan mengingatkan mereka supaya menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan dan bukannya bertindak mencetuskan ketegangan agama,''  kata penganjur.

Saya berkata ketegangan agama baru saja bertambah, khususnya antara orang Islam dan Kristian kerana perhimpunan ini dianjurkan, mendapat sambutan dan disokong pihak berkuasa.

Ini bukan caranya memastikan Malaysia yang dikasihi aman damai dan rakyatnya saling hormati dan saling mengasihi.

Tiada ulasan: