Isnin, 16 Mei 2011

Yesus Di Kubur Lazarus (1)

Dalam Injil Yohanes ada sebuah kisah menarik tentang Yesus dan saya ingin kita memberi perhatian kepadanya. Kisahnya dicatat dalam Yohanes 11:28-44, iaitu kisah Yesus di kubur Lazarus. 

Kisah ini bermula dengan Marta (kakak Lazarus) bergegas kembali ke kampungnya dan memberitahu adik perempuannya yang bernama Maria bahawa Yesus telah tiba di Betani dan memanggilnya. Dia berkata, "Guru ada di sana dan Dia memanggil engkau". Yesus masih memanggil pada hari ini. Yesus yang sama ini berdiri dan memanggil manusia melalui InjilNya. Setiap orang diseruNya untuk membuka pintu hatinya dan mempelawa Yesus, Juruselamat dunia, untuk masuk. 

Reaksi Maria begitu cepat. Dia tidak membuang masa, tetapi sebaliknya dia dengan segera bangkit dan pergi kepada Yesus. Apakah reaksi kita seperti reaksi Maria? Apakah dengan segera tanpa berlengah-lengah kita pergi ke Yesus apabila dia memanggil? Ataupun dengan lambat?

Yesus menemui Marta dan Maria di luar perkampungan Betani. Apabila berhadapan dengan Yesus, Maria tersungkur di kakiNya. Ini mungkin suatu perlakuan penyembahan ataupun perbuatan seorang yang diselubungi perasaan yang amat sedih. Seperti Marta, kakaknya, Maria meluahkan perasaan kesalnya kerana Yesus belum sampai di Betani pada masa abangnya meninggal; jikalau Yesus ada, abangnya tidak akan mati.

Melihat Maria dan teman-temannya berasa sedih, Yesus pun terasa pilu dan hatinya tidak tenteram. Sememangnya, Yesus memikirkan tentang semua kesedihan, kesengsaraan dan kematian yang telah memasuki dunia akibat daripada dosa. Ini membuatkan Dia merasai kesedihan yang mendalam. Adakah kita berasa baik jikalau kita tidak betul di hadapan Allah? Bagaimanakah perasaan kita jika rakan-rakan kita tidak betul di hadapan Allah? Yesus memahami perasaan kita itu dan Dia sedia menghiburkan kita.

Tuhan Yesus tentulah tahu di mana Lazarus dikuburkan. Tetapi Dia menyoal Marta dan Maria agar memberi pengharapan, untuk mendorongkan iman dan untuk mendapatkan kerjasama daripada mereka. Dengan iklas walaupun diselubungi perasaan sedih mereka membawa Tuhan Yesus ke kubur Lazarus.

Yohanes 11:35 merupakan ayat terpendek di dalam Alkitab. Walaupun begitu mesejnya sungguh luarbiasa. Begini bunyinya: Yesus menangis. Ini ialah satu daripada tiga ayat di dalam Perjanjian Baru yang menyatakan bahawa Yesus menangis. Contoh-contoh yang lain ialah semasa Dia meratapi kota Yerusalem dan ketika Dia berdoa di kebun Getsemani. 

Kenyataan bahawa Yesus menangis merupakan bukti kemanusiaan Yesus. Dia mengalirkan air mata kesedihan apabila Dia melihat kesan buruk dosa ke atas umat manusia. Kenyataan bahawa Yesus menangis ketika hadirnya kematian, menunjukkan bahawa adalah tidak salah jika umat Kristian menangis jika seorang yang dikasihi itu meninggal dunia. Mungkin adalah tidak betul ataupun tidak baik juga jika seseorang itu tidak meratapi kematian seseorang yang dikasihi. 

Di dalam ayat ini, air mata bererti kasih. Air mata bererti mengambil berat. Walau bagaimanapun, umat Kristian tidak menangis seperti orang yang tidak ada harapan. Kita menangis kerana kita mengasihi orang yang telah kembali kepada Allah.  Kita mengasihi orang yang telah ditinggalkan oleh si mati. Itulah sebabnya kita menangis.

Orang Yahudi melihat air mata Yesus sebagai bukti kasih sayangnya kepada Lazarus. Sememangnya mereka betul tentang hal ini. Yesus juga mengasihi mereka dengan kasih yang dalam dan yang tidak terbelah-bahagi. Malangnya, ramai orang Yahudi gagal untuk memamhami hal ini. Hari ini, apakah kita benar-benar memahami bahawa Yesus amat mengasihi kita?

Kehadiran Yesus telah menimbulkan persoalan di antara orang yang ada di tanah perkuburan Betani. Ada di antara mereka yang mengenali Yesus sebagai seorang yang mencelikkan mata orang yang buta. Mereka bertanya-tanya mengapa Yesus tidak menyelamatkan Lazarus daripada kematian. Sememangnya Yesus boleh berbuat demikian. Tetapi sebaliknya Dia memilih untuk melakukan satu daripada keajaiban yang terunggul pernah tercatat dalam sejarah dunia. Sememangnya, keajaiban ini telah membawa harapan besar kepada semua orang yang percaya di seluruh dunia sekarang. Apakah keajaiban ini ada di dalam hidup kita hari ini? Apakah hidup ini di dalam kehidupan kita?

Pelajar-pelajar Alkitab berpendapat bahawa kubur Lazarus merupakan sebuah gua bawah tanah. Seorang itu harus masuk dan keluar menggunakan tangga. Sebuah batu diletakkan di atas mulut gua tersebut. Ini bukanlah seperti kubur Tuhan Yesus yang telah digali daripada batu di mana seseorang itu boleh berjalan masuk dan keluar tanpa menaiki atau menuruni tangga. Yesus mengarahkan orang di sana untuk mengalihkan batu penutup daripada gua Lazarus. Apakah yang Yesus lakukan seterusnya?





Tiada ulasan: