Jumaat, 4 April 2008

Bagaimana Menjauhi Dosa

Sebab itu jauhilah nafsu orang muda, kejarlah keadilan, kesetiaan, kasih dan damai bersama-sama dengan mereka yang berseru kepada Tuhan dengan hati yang murni. (2 Timotius 2:22)

Untuk menjauhi dosa, kita mesti sibuk mengejar apa yang betul dan bukan hanya sibuk lari dari apa yang jahat. Ramai orang Kristian sibuk melarikan diri dari yang jahat tetapi mereka tidak pula mengejar apa yang baik. Maksud saya ialah, jika kita melarikan diri dari sesuatu, kita mesti juga ada satu perkara yang kita tujui, yang kita mahu capai. Jika tidak, kita akan sentiasa dalam keadaan melarikan diri tetapi tidak pernah mencapai apa-apa pun. Apabila kita melarikan diri dari nafsu orang muda, kita mesti mengejar apa yang Allah ingin kita capai. Apabila menjauhi nafsu, kita mesti mendekati keadilan, kesetiaan, kasih dan damai. Jika tidak kita akan kembali kepada nafsu yang dahulu kita tinggalkan. Apa yang ditinggalkan mesti digantikan dengan yang baru. Jika tidak apa yang ditinggalkan akan dicari kembali.
Apabila seseorang itu mula meninggalkan tabiat merokoknya, ia akan menggantikan tabiat itu dengan satu tabiat yang kurang merbahaya seperti memakan gula-gula. Jika ia terus berusaha meninggalkan tabiat merokoknya tanpa menggantikannya dengan gantian yang baik, ia dengan cepat akan kembali merokok. Apabila seseorang itu disuruh berhenti melakukan sesuatu yang jahat, ia juga mesti disuruh melakukan sesuatu yang baik sebagai ganti, sebagai perkara baru yang ia boleh lakukan. Sama juga dengan kita kita yang mahu menjauhi dosa. Jika kita mahu menjauhi dosa, kita mesti mendekati Allah. Jika kita mahu meninggalkan nafsu muda kita, kita mesti mengejar dan memiliki keadilan, kesetiaan, damai dan kasih. Jika keempat hal ini tidak dikejar dan diperolehi, usaha kita untuk menjauhi nafsu muda akan terhalang atau terus gagal. Ini adalah kerana apabila kita menjauhi nafsu tetapi mendapati tidak ada sesuatu yang baru untuk dilakukan untuk mengisi masa dan minda kita, kita dengan senang akan kembali kepada apa yang sudah biasa kita lakukan. Jika kita mahu menjauhi diri dari nafsu orang muda, sibukkanlah diri mengejar keempat hal ini. Berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keadilan, kesetiaan, kasih dan damai, bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga bagi mereka yang di sekeliling kita.
Kejarlah keadilan. Berusaha untuk berpihak kepada yang benar dan berpegang kepada kebenaran dalam segala yang dikatakan dan dilakukan. Pastikan supaya segala yang dilakukan tidak berat sebelah khasnya dalam pelayanan kita kepada tubuh Kristus. Kejarlah kesetiaan. Berusaha untuk amanah dan teguh hati dalam segala hubungan kita baik dengan teman hidup maupun rakan-rakan yang karib. Peganglah kepada janji-janji kita dan taatlah kepada pemimpin-pemimpin kita baik digereja maupun negeri.
Kejarlah kasih. Berusaha dengan sungguh untuk menyayangi semua orang bukan hanya dengan kata-kata tetapi juga dengan perbuatan-perbuatan yang baik. Tunjukkan kasih Allah kepada semua orang, yang Kristian dan yang bukan-Kristian, kawan dan juga lawan. Akhirnya kejarlah damai. Berusaha untuk hidup dengan damai dengan semua orang. Elakkan perselisihan faham dan pergaduhan. Jangan bermusuh-musuhan tetapi buat apa sahaja yang perlu supaya kita boleh berbaik semula. Kejarlah kedamaian dalam diri kita dan dengan orang lain. Apabila ini menjadi fokus kita, memuaskan nafsu muda kita tidak lagi mendapat tempat pertama bahkan akan mula hilang tarikannya. Pastikan fokus kita betul. Kejar apa yang patut dan kita akan semakin jauh dari dosa yang menghancurkan.
Juga perhatikan dari ayat ini, bahawa usaha kita untuk bebas dari hawa nafsu muda dilakukan oleh kita sendiri tetapi usaha kita untuk mengejar keadilan, kesetiaan, kasih dan damai dilakukan bersama-sama dengan orang Kristian yang lain. Kita sendiri mesti memilih untuk bertaubat. Kita sendiri yang mesti pilih untuk menjauhi diri dari nafsu muda. Kita sendiri yang mesti mengasingkan diri dari percabulan. Sesudah itu kita mesti cari dan berkawan dengan orang Kristian yang sefikiran dengan kita. Maksud saya kita mesti bergaul dengan orang Kristian yang mempunyai sasaran yang sama dengan usaha kita menjadi kudus.
Dikatakan dalam ayat yang tertera di atas bahawa kita mesti mengejar keadilan, kesetian, damai dan kasih bersama-sama dengan mereka yang berseru kepada Tuhan dengan hati yang murni. Jika kita mahu mengejar keempat ciri ini, kita mesti megejarnya bersama-sama dengan orang Kristian yang lain. Ini bukan satu usaha yang patut dilakukan sendiri. Ini bukan satu usaha yang boleh dilakukan tanpa bantuan dan kerjasama orang Kristian yang lain. Kerana itu, jika kita serius dalam usaha menjauhi nafsu muda dan mengejar apa yang baik, carilah dan bersekutulah dengan orang Kritian yang mempunyai matlamat dan keinginan yang sama. Dngan cara ini, kita akan memperolehi sokongan serta galakkan untuk terus mengejar apa yang baik dan lari dari apa yang jahat.
Juga kita mesti mencari orang Kristian yang suka berdoa. Menjauhi dosa memerlukan sokongan doa dari teman-teman Kristian yang lain. Kerana itu kita diseru mengejar kebaikan bersama-sama dengan mereka yang berseru kepada Tuhan. Kejar keadilan dengan mereka yang berseru kepada Allah setiap hari. Kejarlah kesetiaan dengan mereka yang berdoa selalu. Kejarlah damai dan kasih dengan orang Kristian yang suka dan sering berdoa. Dengan cari ini, usaha kita lebih berhasil dan akan membawa faedah.
Orang Kristian yang kita pilih sebagai teman sekejaran harus mempunyai hati yang murni. Menjauhkan diri dari nafsu dan mengejar sikap-sikap yang mulia memerlukan bantuan dari teman-teman Kristian yang mempunyai hati yang murni. Pilihlah mereka yang mempunyai hati yang bebas dari niat yang jahat dan sikap-sikap yang buruk. Carilah mereka yang merindui kesuciaan dan membenci percabulan. Bergaullah dengan orang Kristian yang mencari dan menghargai kesuciaan dalam semua aspek hidup mereka. Orang seperti ini akan dapat menolong kita bebas dari nafsu muda dengan lebih cepat serta memperolehi kesetian, keadilan damai dan kasih dengan lebih mudah.
Saya kenal beberapa orang Kristian yang mahu menjauhkan diri daripada perbuatan-perbuatan nafsu muda tetapi mereka sering gagal. Mereka gagal kerana mereka tidak mahu memutuskan perhubungan mereka dengan kawan-kawan yang enggan mengejar kekudusan. Kerana kawan-kawan mereka mengejar kecabulan, orang Kristian ini juga terheret bersama untuk mengejar hal yang sama walaupun hati mereka tidak mahu. Ada juga orang Kristian yang lain yang mahu mengejar kekudusan tetapi mereka bergaul dengan orang Kristian yang tidak mempunyai niat yang sama. Mereka bergaul dengan orang Kristian yang mahu menjadi terkenal dan berkuasa dan akhirnya mereka sendiri terbawa-bawa dengan sikap kawan-kawan Kristian mereka yang lain itu. Janganlah kita jadi seperti mereka. Pilihlah kawan-kawan dengan baik dan dengan bijak.
Untuk menjauhkan diri dari dosa, bertaubatlah dan berkawan dengan orang Kristian yang suka berdoa serta mempunyai hati yang murni. Perbuatan meninggalkan pekerjaan-pekerjaan lama yang jahat serta berdamping dengan orang Kristian yang mempunyai hati yang murni serta keinginan untuk berdoa akan menolong kita hidup suci dan mendapatkan kesetiaan, keadilan damai dan kasih. Semoga anda akan mendapat apa yang dikejarkan.

Allah rindu bersama kita

Pada waktu Maria, ibu Yesus, bertunang dengan Yusuf ternyata bahawa Maria telah mengandung walaupun dia belum lagi hidup bersama Yusuf sebagai suami isteri. Hal ini telah menggangu Yusuf dan telah menyebabkan dia berfikir untuk memutuskan pertunangannya dengan Maria. Tetapi kerana Yusuf seorang yang tulus hati dan dia tidak mahu melakukan sesuatu yang akan mencemarkan nama tunangnya di muka umum dia bercadang untuk memutuskan pertunangannya dengan Maria secara senyap-senyap. Ketika ia sedang mempertimbangkan tindakan yang dimaksudkannya itu, seorang malaikat Allah telah menampakkan diri kepadanya dan bercakap kepada Yusuf. Inilah yang dikatakan oleh malaikat itu: "Yusuf, anak Daud, janganlah engkau takut mengambil Maria sebagai isterimu, sebab anak yang di dalam kandungannya adalah dari Roh Kudus. Ia akan melahirkan anak laki-laki dan engkau akan menamakan Dia Yesus, kerana Dialah yang akan menyelamatkan umatNya dari dosa mereka." Menurut Matius seorang dari murid Yesus, hal itu terjadi supaya nubuatan nabi Yesaya akan digenapkan atau dengan kata lain apa yang terjadi kepada Maria dibenarkan Allah untuk menggenapkan firmanNya. Apakah yang telah dinubuatkan oleh nabi Yesaya? Mari kita baca dari Injil Matius bab 1 ayat 23.

Sesungguhnya, anak dara itu akan mengandung dan melahirkan seorang anak laki-laki, dan mereka akan menamakan Dia Imanuel - yang bererti: Allah menyertai kita.

Menurut nabi Yesaya, seorang dara, seorang yang tidak pernah mempunyai perhubungan dengan seorang lelaki akan melahirkan anak! Ini ialah satu perkara yang mustahil, ini ialah satu perkara yang tidak masuk akal. Tetapi kita harus ingat bahawa segala sesuatu yang dikatakan Allah akan terjadi kerana bagi Allah tidak ada yang mustahil. Walaupun mengharapkan seorang dara mengandung adalah seperti mengharapkan kuching bertanduk, yang mustahil telah berlaku - Maria telah mengandung dan telah melahirkan seorang anak laki-laki. Anak itu dinamakan Imanuel. Mengapakah anak itu dipanggil Imanuel? Saya percaya kerana anak itu bukan anak biasa tetapi Allah sendiri yang telah menjelma sebagai manusia. Dengarlah apa yang telah dicatatkan oleh Yohanes mengenai anak ini, Firman Allah yang hidup, sepertimana yang tertulis dalam Injil Yohanes bab 1 ayat 14.

Firman itu telah menjadi manusia, dan diam di antara kita, dan kita telah melihat kemuliaanNya, iaitu kemuliaan yang diberikan kepadaNya sebagai Anak Tunggal Bapa, penuh kasih kurnia dan kebenaran.

Anak laki-laki Maria sebenarnya ialah Anak Tunggal Bapa yang penuh kasih kurnia dan kebenaran. Anak Maria ialah Anak Allah yang penuh kemuliaan. Dengarlah apa yang dikatakan rasul Paulus pula mengenai anak Maria ini, yang juga dipanggil Yesus. Petikan ini diambil dari surat Filipi pasal 2 ayat 5 hingga 7.

.. Kristus Yesus yang walaupun dalam rupa Allah, tidak menganggap kesetaraannya dengan Allah itu sebagai milik yang harus dipertahankan, melainkan telah mengosongkan diriNya sendiri dan mengambil rupa seorang hamba, dan menjadi sama dengan manusia.

Menurut Paulus, Yesus yang walaupun setara dengan Allah telah menjadi sama dengan manusia. Yesus telah mengosongkan diriNya dan mengambil satu identiti yang baru, iaitu identiti seorang hamba dan menjadi sama dengan manusia. Bilakah ini terjadi? Apabila Firman Allah itu berada didalam rahim Maria, apabila Maria mengandung.
Mungkin anda akan bertanya, "Mengapakah Allah mahu menjadi manusia?" Saya percaya nama yang diberikan kepada Yesus, anak Maria itu, boleh menyatakan kepada kita satu daripada sebabnya kenapa Allah menjadi manusia dan membenarkan diriNya berada di dalam rahim Maria selama sembilan bulan dan kemudiannya dilahirkan di dalam sebuah kandang binatang ternakan di Bethlehem. Yesus di panggil Imanuel yang bererti `Allah menyertai kita'. Dari nama ini, ingin saya cadangkan bahawa satu daripada sebabnya mengapa Yesus menjadi sama seperti manusia ialah supaya Ia boleh bersama kita, ia boleh menyertai kita. Allah mahu bersama ciptaanNya, Allah mahu bersama umat pilihanNya. Tetapi jika Allah menjelma dalam segala kemuliaanNya untuk bersama kita, kita semua akan mati, dimusnahkan oleh kemuliaan Allah yang terang itu. Cara yang paling senang untuk mengatasi masalah ini ialah untuk Tuhan menjadi manusia. Manusia tidak boleh menjadi seperti Tuhan supaya dapat bersama denganNya tetapi Allah boleh menjadi sama dengan manusia supaya Dia dan kita dapat bersama. Dan inilah yang telah dilakukan Allah didalam rahim Maria. Allah telah menjadi manusia supaya Dia boleh menyertai kita. Tuhan mahu tinggal bersama kita. Rasul Yohanes berkata bahawa Firman itu menjadi manusia dan diam bersama kita. Allah telah menjadi manusia kerana Dia mahu diam bersama kita, dia mahu tinggal bersama kita. Perkataan `diam' yang dipakai rasul Yohanes sebenarnya bermaksud berkhemah. Allah telah datang dan berkhemah di antara kita.
Allah telah datang untuk tinggal bersama kita kerana inilah keinginanNya. Inilah satu daripada sebabnya Allah menciptakan manusia. Allah menciptakan Adam dan Hawa supaya Dia boleh bersama dengan mereka dan mengadakan satu perhubungan intim yang indah dan sihat. Dengarlah apa yang tertulis dalam buku Kejadian bab 3 ayat 8 dan 9.

Ketika mereka mendengar bunyi langkah TUHAN Allah, yang berjalan-jalan dalam taman itu pada waktu hari sejuk, bersembunyilah manusia dan isterinya itu terhadap TUHAN Allah di antara pohon-pohonan dalam taman. Tetapi TUHAN Allah memanggil manusia itu dan berfirman kepadanya: "Di manakah engkau?"

Tuhan datang ke taman Eden mencari Adam dan Hawa. Dia tahu apa yang telah berlaku. Dia tahu bahawa mereka telah berdosa tetapi Dia tetap mencari mereka. Allah memanggil Adam, Allah mencari Adam, kerana Allah mahu bersama mereka. Kerana dosa, Adam dan Hawa tidak mahu bersama Allah lagi, mereka pandai malu dan takut, dua emosi yang tidak pernah mereka alami sebelum ini. Hal ini masih sama sehingga pada hari ini - manusia masih lagi takut untuk bersama Allah, lebih-lebih lagi jika Allah datang dalam segala kemuliaanNya untuk bersama kita. Itulah sebabnya Allah datang dan datang sebagai seorang manusia. Allah mahu bersama kita, Allah mahu menyertai kita selalu.
Soalannya sekarang ialah, mahukah kita bersama Allah? Mahukah kita membenarkan Allah diam bersama kita atau adakah kita takut dan malu? Apakah mungkin reaksi kita jika kita diberitahu bahawa Allah mahu datang dan diam bersama kita? Ingatlah, namaNya Imanuel - Allah rindu bersama kita. Mahukah kita menerimaNya?
Saya berharap kita akan memberi pertimbangan yang serius kepada apa yang telah dikongsikan hari ini. Semoga Allah menyertai kita selalu.

Selasa, 25 Mac 2008

Kem Keluarga SIB Shalom

Cuti Good Friday/Easter ini saya menjadi pengkhutbah jemputan untuk Kem Keluarga SIB Shalom, Kuching yang berlangsung di SIB Pueh, Sematan, Sarawak. Saya berkhutbah tentang 4 perubahan yang perlu dibuat untuk mengalami 'breakthrough' dalam kehidupan seseorang Kristian. Untuk sesi bengkel saya mengajar Bagaimana Mengalami 'Breakthrough' dalam Kewangan dan Perhubungan Lelaki-Perempuan. Dengan bantuan Tuhan saya dapat menyampaikan Firman Tuhan dan beberapa prinsip yang berkuasa untuk mengubah hidup dan saya berdoa apa yang telah diajar kepada lebih 20 peserta (ramai daripada mereka pelajar UNIMAS) akan membantu mereka mengalami kejayaan dalam hidup mereka.

Khamis, 20 Mac 2008

Hidup Dalam Alam Roh

Dunia roh adalah satu alam yang tidak dikenali oleh ramai orang. Bagi sesetengah orang Kristian, inilah tempat mereka menghayati kehidupan mereka setiap hari. Orang Kristian seperti ini lebih sedar akan dunia roh, daripada tempat yang disebut "bumi". Para pendamping mereka yang hidup dalam daging tidak dapat memahami hal ini. Mereka melihat orang seperti ini (yang telah membayar harganya untuk hidup dalam dunia roh) lalu menggelar mereka aneh, fanatik ataupun keliru.
Namun satu hal yang tidak dapat dilakukan oleh para pengecam mereka ialah mengalahkan jumlah mukjizat yang dilakukan oleh mereka yang sedang hidup dalam dunia roh. Mereka juga tidak dapat mengalahkan khutbah-khutbah Roh Kudus yang disampaikan oleh para pengkhutbah yang hidup dalam dunia roh. Surat Roma pasal 8 ayat 15 dan 16 menyatakan,

"Semua orang yang dipimpin oleh Roh Allah adalah anak Allah. Sebab kamu tidak menerima roh perbudakan yang membuat kamu menjadi takut lagi tetapi kamu telah menerima Roh yang menjadikan kamu anak Allah. Oleh Roh itu kita berseru: " ya Abba, ya Bapa!" Roh itu bersaksi bersama - sama dengan roh kita, bahawa kita adalah anak - anak Allah."

Pada hari ini, kita sedang berdiri di persimpangan jalan. Jika kita tidak mengambil keputusan untuk mematuhi Firman Allah, esok mungkin akan terlambat. Zaman ini sedang menuju ke pengakhirannya. Bila zaman ini berakhir, di manakah kita akan berdiri? Adakah kita akan berdiri dalam daging kita sendiri? Adakah kita akan berdiri kita di dunia kita yang runtuh, sambil menangis dan berusaha untuk mendirikannya kembali? Atau adakah kita akan di dapati sedang mencari Kerajaan Allah?
Kita harus memikul salib kita sendiri dan memakukan diri kita pada ‘kayu’ itu. Kita harus pergi ke ‘kubur’ itu dan menguburkan daging kita. Kita harus menutup ‘peti jenazah’ kita pada saat daging kita menjerit menuntut meneruskan hidupnya. Kita harus membantu para malaikat menimbunkan tanah atas ‘peti jenazah’ kita. Kita mesti menulis ‘batu nisan’ kita sendiri, meninggalkan ‘kubur’ itu lalu membuang debu dari kaki kita, ketika kita berangkat dari situ. Kita mesti meninggalkan ‘kubur’ itu dengan kepala yang menegak dan siap untuk menghadapi umat manusia yang sedang bersedia untuk mengecam.
Orang yang telah mengubah jalan sejarah adalah mereka yang telah mati terhadap daging mereka. Mereka tidak berjalan menuju ke mimbar dengan kekuatan tubuh manusiawi. Mereka melangkah sebagai bejana hampa dan melalui mereka Tuhan Yesus sendiri berbicara kepada umatNya.
Bila kita mati terhadap diri sendiri, satu-satunya hal yang dapat mempertahankan kita untuk tetap hidup ialah hadirat Allah. Kemudian bila kita berjalan menuju ke mimbar atau ke tempat yang lain, kita tidak pergi sebagai diri kita sendiri. Kita pergi sebagai utusan dari Kristus, iaitu Tuhan di atas segala tuan dan Raja di atas segala raja.
Bila kita telah mati terhadap diri kita sendiri dan Yesus mendahului serta bercakap melalui kita, maka kita akan bertindak benar, berbicara benar, melihat benar dan berjalan benar. Bila kita menjadi seperti ini, orang lain akan memberikan ulasan bahawa ada suatu kelainan tentang diri kita. Itulah yang di cari oleh dunia.
Kristus menyerahkan diriNya agar Dia dapat dipakai. Kita harus menyerahkan diri kita agar kita juga dapat dipakai. Ketika kita memandang orang yang menderita sakit dan yang dirasuk setan, kita tahu bahawa kedua belah tangan kita tidak dapat menyembuhkan mereka. Kita tidak mempunyai kuasa di dalam diri kita melainkan kuasa yang datang dari Yesus.
Prestasi dunia tidak memberi kesan ke atas Allah, tetapi doa dapat menggerakkan Tuhan. Rahsia memahami Roh Kudus dan mempersilakanNya mengalir dalam hidup kita ialah dengan menyerahkan diri kita kepadaNya. Roh Kudus tidak menerima perintah dari manusia.
Dia tidak bekerja berasaskan rumus. Dialah yang memberikan perintah dan kitalah yang mematuhinya. Dialah yang mengalir dan kitalah yang tunduk.
Alkitab di dalam surat 2 Korintus pasal 4 ayat 7 menyatakan bahawa kita diibaratkan bejana tanah liat yang tidak bernilai tetapi diisi dengan kekuatan Allah. Begini bunyinya,

"Tetapi harta ini kami punyai dalam bejana tanah liat, supaya nyata, bahawa kekuatan yang melimpah- limpah itu berasal dari Allah, bukan dari diri kami."

Bejana-bejana emas dan perak hanya mahu mengunjungi orang yang berkedudukan tinggi. Bejana-bejana emas dan perak menginginkan sebahagian dari perhatian, semarak dan kemuliaan Allah. Namun mereka biasanya mempunyai kuasa yang sedikit atau tiada sama sekali. Mereka itu hanyalah suatu perkakas biasa sahaja. Allah sedang mencari orang yang telah memberi diri sepenuhnya kepada Roh Kudus. Dia sedang mencari peribadi yang mahu menyerahkan segala- galanya kepada Dia untuk pelayanan. Bila pengorbanan seperti ini terjadi dalam gereja secara menyeluruh, kita akan menyaksikan pencurahan Roh Kudus yang besar.
Jadi, tidak ada suatu apapun yang dapat menghentikan pencurahan besar Roh Kudus itu. Gerbang neraka tidak dapat mencegah hal-hal yang terjadi di tengah-tengah kita. Tiada apapun yang dapat menghentikan hal yang telah dimulai oleh Allah.

Isnin, 17 Mac 2008

Yesus Pengantara Kita

Dunia memerhati dengan kagum ketika negara Israel dan Organisasi Pembebasan Palestin menandatangani suatu perjanjian yang menjanjikan perdamaian antara mereka yang telah bermusuhan berabad-abad lamanya.
Apakah kedua tokoh pemimpin itu hanya secara kebetulan berjumpa pada suatu hari? Tidak. Saat bersejarah itu tiba setelah adanya perundingan bertahun-tahun melalui pihak ketiga iaitu melalui seorang pengantara.
Akibat dari darah yang dicurahkannya, Tuhan Yesus telah menjadi pengantara kita dengan Allah. Marilah kita perhatikan bersama apa yang ditulis di dalam surat Ibrani 9:15.

Kerana itu Ia adalah Pengantara dari suatu perjanjian yang baru, supaya mereka yang telah terpanggil, dapat menerima bagian kekal yang dijanjikan, sebab Ia telah mati untuk menebus pelanggaran-pelanggaran yang telah dilakukan selama perjanjian yang pertama.

Umat manusia selalu memerlukan seorang pengantara. Ayub pernah berkata, "Oh, kiranya ada seorang yang dapat memohon untuk manusia kepada Allah" (Ayub 6:21).
Di bawah perjanjian yang lama, imam besar menjadi wakil rasmi umat Allah dalam urusan-urusan rohani. Tetapi, ada beberapa persoalan yang tidak dapat diselesaikannya.
Eli, seorang imam besar Israel ada berkata, "Jika seseorang berdosa terhadap seorang yang lain, maka Allah yang akan mengadili: tetapi jika seseorang berdosa terhadap Tuhan, siapakah yang menjadi pengantara baginya?" (1 Samuel 2:25).
Kini Kristus telah menjadi imam besar kita melalui penumpahan darahNya. Itulah yang memberikanNya hak untuk menjadi pengantara kita yang rasmi di syurga, mewakili kita di hadapan Allah. Sebagai pengantara, Yesus mengantara untuk kepentingan kita. Di dalam surat Roma 8:34, Rasul Paulus berkata bahawa Yesus telah mati, bangkit dan duduk di sebelah kanan Bapa. Di sana Yesus menjadi Pembela bagi kita. Dialah imam besar kita yang selalu mengantara untuk kita.
Kerana Yesuslah imam besar kita, maka dosa tidak akan dapat mengalahkan kita. Inilah harapan kita semua kerana ada tertulis di dalam surat Ibrani 7:25 janji ini:

Kerana itu Ia sanggup juga menyelamatkan dengan sempurna semua orang yang oleh Dia datang kepada Allah, sebab Ia hidup sentiasa untuk menjadi Pengantara mereka.

Hanya ada satu alasan sahaja mengapa Yesus dapat menjadi pengantara kita di syurga. Ini adalah kerana Dia adalah Allah dan manusia sekaligus! Dengarlah kesaksian Alkitab mengenai hal ini di dalam surat Ibrani 2:14.

Kerana anak-anak itu adalah anak-anak dari darah dan daging, maka Ia juga menjadi sama dengan mereka dan mendapat bagian dalam keadaan mereka.

Hanya Yesus dapat berkata, "Aku tahu keadaan manusia dan Aku dapat memberitahukan kepadamu keadaan Allah. Aku memahami keadaan mereka berdua". Apabila kita sedang digoda, Yesus dapat berbicara kepada Bapa dan berkata, "Aku telah mengalami hal itu juga". Surat Ibrani 4:15 berkata,

Sebab Imam Besar yang kita punyai, bukanlah imam besar yang tidak dapat turut merasakan kelemahan-kelemahan kita, sebaliknya sama dengan kita, Dia telah dicobai, hanya tidak berdosa.

Yesus tidak berdosa, namun Dia menjadi penanggung dosa kita. Dia menyucikan kita dari kenajisan dosa sepenuhnya. Melalui darah dari salib, Yesus menyingkirkan rintangan yang menyebabkan pemisahan antara Allah dan manusia dan memulihkan persekutuan kita dengan Allah.
Walaupun Yesus itu kudus dan tanpa salah, namun Dia turut merasakan kelemahan-kelemahan kita. Kerana itu kita dapat dengan penuh keberanian menghampiri takhta Allah kerana di sana Juruselamat kita sedia untuk membela kita. Kita dapat menghampiri takhta kasih kurnia Allah dan menerima rahmat dari Allah melalui pengantaraan Yesus. Juruselamat yang ajaib ini tidak akan menghukum kita. Dia mengasihi kita. Dia telah mati bagi kita supaya kita dapat sekali lagi menjadi waris rahmat Allah. Yesuslah pengantara kita, antara kita dan Allah. Inilah yang dinyatakan di dalam surat 1 Timotius 2:5-6,

Kerana Allah itu esa dan esa pula Dia yang menjadi pengantara antara Allah dan manusia, iaitu manusia Yesus Kristus, yang telah menyerahkan diriNya sebagai tebusan bagi semua manusia.

Kerana tebusan inilah, maka Allah menyatakan bahawa kita bebas dari dosa dan maut. Jadi, datanglah kepada Yesus Kristus pengantara kita sekarang. Yesus telah bersabda,

Akulah jalan dan kebenaran dan hidup. Tidak ada seorang pun yang datang kepada Bapa, kalau tidak melalui Aku. (Yohanes 14:6)

Yesus sedang menunggu kita.

Khamis, 6 Mac 2008

Tahirnya Seorang Penderita Kusta

Ketika Allah memberikan ketetapan-ketetapan dalam Perjanjian Lama, Dia berfirman kepada Musa tentang hukum orang sakit kusta dan hari pentahirannya. Segala yang berkaitan dengan hal ini direkodkan oleh Musa di dalam buku Imamat bab 14. Kita akan memberi perhatian kepada rekod itu kerana proses pentahiran ini mengandungi makna simbolik yang khusus bagi kita masa kini.
Dalam Alkitab, perkataan 'kusta' merujuk kepada berbagai jenis penyakit kulit. Kusta juga adalah lambang dosa. Jadi, pentahiran penderita kusta ini saya percaya, sebenarnya melambangkan rencana Allah di masa depan untuk menyucikan seluruh umat manusia dari dosa.
Pertama, Imamat 14:2 berkata bahawa orang kusta yang akan ditahirkan harus dibawa kepada imam. Imam diperintahkan untuk pergi ke luar kota dan bagi orang yang akan ditahirkan itu diambil dua ekor burung yang hidup dan yang tidak haram, juga kayu aras, kain kirmizi dan hisop. Ini dicatat di dalam Imamat 14:4.Setiap unsur ini mengingatkan kita akan karya Yesus untuk pengampunan dosa.
Imam yang pergi ke luar perkhemahan merujuk kepada Yesus yang disalibkan di luar tembok-tembok Yerusalem. Dua ekor burung itu mengingatkan kita kepada kematian dan kebangkitan Yesus. Kayu aras pula merujuk kepada salib dan kain kirmizi mengarah pandangan kita kepada penderitaanNya.
Akhirnya hisop melambangkan iman. Raja Daud pernah berkata di dalam Mazmur 51:9 kata-kata ini,

Bersihkanlah aku dari dosaku dengan hisop, maka aku menjadi tahir, basuhlah aku, maka aku menjadi lebih putih dari salji.

Hisop yang dipakai dalam upacara pengudusan biasanya tumbuhan wangi dari keluarga majoram. Ianya melambangkan iman kerana dipakai dalam penerapan darah.
Hal yang dilakukan seterusnya menakjubkan jika ianya dibandingkan dengan apa yang akan dilakukan oleh Kristus di Golgota. Lihatlah arahan-arahan ini dari Imamat bab 14 ayat 5 dan 6.

Imam harus memerintahkan supaya burung yang seekor disembelih di atas belanga tanah berisi air mengalir. Tetapi burung yang masih hidup haruslah diambilnya bersama-sama dengan kayu aras, kain kirmizi dan hisop, lalu bersama-sama dengan burung itu semuanya harus dicelupkannya ke dalam darah burung yang sudah disembelih di atas air mengalir itu.

Ketika burung pertama disembelih, darahnya ditampung dalam belanga tanah yang berisi air. Ini berbicara tentang penumpahan darah Kristus dalam belanga tanah iaitu tubuh manusiawiNya.
Kemudian imam itu mengambil burung yang hidup itu bersama dengan kayu aras, kain kirmizi dan hisop dan mencelup semuanya dalam darah burung yang disembelih itu.
Darah burung yang disembelih dicampur dengan air dalam belanga tanah yang saya percaya, melambangkan pentahiran atau penyucian.
Petunjuk terakhir bagi pentahiran seorang penderita kusta terdapat di dalam Imamat 14 ayat 7 yang berbunyi,

Kemudian ia harus memercik tujuh kali kepada orang yang akan ditahirkan dari kusta itu dan demikian mentahirkan dia, lalu burung hidup itu haruslah dilepaskannya ke padang.

Ayat ini membicarakan tentang dosa-dosa kita disucikan oleh darah Yesus. Kita kemudiannya melihat unsur kebangkitan menerusi burung hidup yang dilepaskan.
Upacara pentahiran ini hanya sebuah contoh dari Perjanjian Lama yang memberi bayangan akan datang dalam Perjanjian Baru.
Perlu juga kita ketahui bahawa para imam memercik penderita kusta dengan darah tujuh kali. Saya yakin perbuatan mereka itu bersifat nubuat kerana di dalam Alkitab kita diberitahu bahawa darah Yesus di tumpahkan tujuh kali pada masa yang berlainan sewaktu penyalibanNya.
Pertama, apabila Yesus berdoa dan peluhnya menjadi seperti titik-titik darah yang bertetesan ke tanah (Lukas 22:44). Kedua apabila janggutNya dicabut orang (Yesaya 50:6). Ketiga bila askar-askar Romawi menganyam sebuah mahkota duri dan menaruhnya di atas kepalaNya (Matius 27:29). Keempat apabila Yesus disesahkan (Matius 27:26). Kelima apabila mereka menusuk tanganNya dengan paku (Mazmur 22:17). Keenam, bila mereka menusuk kakiNya, juga dengan paku dan akhirnya apabila seorang askar Romawi menikam rusuk Yesus dengan lembing (Yohanes 19:34). Tujuh kali darah Yesus di tumpahkan, tujuh kali penderita kusta dipercik dengan darah.
Penderita kusta itu yang sudah ditahirkan kemudian diizinkan memasuki perkhemahan orang Israel. Demikianlah juga keadaannya dengan kita bila kita telah disucikan oleh darah Yesus. Kita siap dan layak untuk memasuki Kerajaan Allah.

Rabu, 5 Mac 2008

Seruan Darah

Kisah Kain dan Habel, kedua anak lelaki Adam dan Hawa, merupakan satu kisah yang penuh dengan pelajaran bagi kita hari ini. Kain dan Habel telah mempersembahkan kepada Allah persembahan mereka masing-masing. Persembahan Habel diterima dan persembahan Kain ditolak. Kisah ini boleh kita baca di dalam buku Kejadian bab 4 dari ayat 3 hingga ayat 5.
Pada hari ini, kita akan meneliti reaksi Kain terhadap penolakan Allah itu. Kita semua mengalami penolakan. Reaksi yang salah terhadap penolakan hanya akan membawa padah kepada kita. Respons yang betul akan menguntungkan kita. Kain telah mengalami penolakan apabila Allah tidak mengindahkan persembahannya. Apakah tanggapan Kain terhadap penolakan Allah itu? Marilah kita baca bersama dari buku Kejadian bab 4 ayat 5 hingga 7 untuk mengetahui jawabannya.

Maka Kain menjadi sangat marah dan wajahnya menjadi muram. Kemudian Tuhan bersabda kepada Kain, "Mengapa engkau marah dan mukamu muram? Apakah engkau tidak akan diterima jika engkau berbuat hal yang benar? Tetapi jika engkau tidak melakukan hal yang benar, dosa sedang mengintai di muka pintu; dia ingin memilikimu, tetapi engkau harus menguasainya".

Inilah yang sebenarnya dikatakan Allah kepada anak lelaki yang membangkang itu: "Pilihan ada padamu. Kamu dapat mengambil keputusan untuk memilih di antara yang benar dan yang salah". Inilah satu amanat yang terdapat di merata tempat di seluruh Alkitab. Kita mempunyai kuasa atas dosa jika kita memilih untuk berjalan dalam iman dan kepatuhan kepada Allah.
Tetapi Kain mengabaikan peringatan Allah dan langkahnya yang berikut ialah untuk mengambil suatu tindakan yang tidak dipertimbangkan terlebih dahulu. Mengikut catatan di dalam buku Kejadian bab 4 ayat 8, Kain berkata "kepada Habel, adiknya: "Marilah kita pergi ke padang." Ketika mereka ada di padang, tiba-tiba Kain memukul Habel, adiknya itu, lalu membunuh dia."
Pembunuhan pertama dalam Alkitab dilakukan dengan tipu daya yang disengajakan. Kain memanggil adiknya yang tidak menaruh curiga apapun untuk pergi ke padang lalu membunuh dia. Pembunuhan itu juga adalah akibat dari ketidakpatuhan rohani Kain. Dia membangkang keharusannya satu persembahan korban darah dipersembahkan kepada Allah. Keengganan dia menyebabkan Allah menolak Kain yang kemudian bertindak balas dengan membunuh Habel, adiknya.
Perbuatan Kain merupakan satu hal yang sangat bertentangan dengan kehendak Allah. Firman Allah dalam surat 1 Yohanes 3:11-12 menasihatkan kita agar kita "saling mengasihi, bukan seperti Kain, yang berasal dari si jahat dan yang membunuh adiknya. Dan apakah sebabnya ia membunuhnya? Sebab segala perbuatannya jahat dan perbuatan adiknya benar".
Segera setelah peristiwa menyedihkan itu terjadi, Tuhan bertanya kepada Kain, "Di mana Habel, adikmu itu?' Jawabnya, "Aku tidak tahu! Apakah aku penjaga adikku?" Kata-kata Kain ini yang diambil dari buku Kejadian bab 4 ayat 9 lebih dari sekadar kebohongan yang palsu. Ianya adalah satu kenyataan yang bodoh. Sekali lagi Allah berbicara kepada Kain dan bertanya, "Apakah yang telah kau perbuat ini? Darah adikmu itu berteriak kepadaKu dari tanah".
Kenyataan ini yang dipetik dari buku Kejadian bab 4 ayat 10 menerangkan bahawa darah Habel berteriak menuntut agar keadilan dilaksanakan. Pada hari ini, darah Yesus, yang membicarakan hal-hal yang lebih baik, berteriak bahawa keadilan telah dilaksanakan dan dosa-dosa kita sudah diampuni. Darah Habel berseru menuntut pembalasan; darah Yesus memohon pengampunan dan pemulihan.
Janganlah menolak berita baik tentang darah Yesus. Risikonya terlalu besar. Orang yang menolak perjanjian darah dari Allah berkemungkinan besar menjadi pengembara rohani yang tidak berpengharapan dan hilang buat selama-lamanya. Apabila kita menolak korban darah Kristus, kita menjatuhkan hukuman Allah ke atas diri kita.
Lihatlah petikan berikut yang diambil dari surat Ibrani pasal 10 ayat 29.

Betapa lebih beratnya hukuman yang harus dijatuhkan atas dia, yang menginjak-injak Anak Allah, yang menganggap najis, darah perjanjian yang menguduskannya, dan yang menghina Roh kasih kurnia?

Darah Yesus bukanlah satu topik yang harus ditolak, diabaikan atau disingkirkan dengan kasar. Darah Yesus masih merupakan penjalin hubungan yang sangat penting antara kita dengan Allah. Darah Yesus memberi pengampunan dan pemulihan. Darah Yesus berseru mengisytiharkan keselamatan kita buat selama-lamanya!