Sebab itu jauhilah nafsu orang muda, kejarlah keadilan, kesetiaan, kasih dan damai bersama-sama dengan mereka yang berseru kepada Tuhan dengan hati yang murni. (2 Timotius 2:22)
Untuk menjauhi dosa, kita mesti sibuk mengejar apa yang betul dan bukan hanya sibuk lari dari apa yang jahat. Ramai orang Kristian sibuk melarikan diri dari yang jahat tetapi mereka tidak pula mengejar apa yang baik. Maksud saya ialah, jika kita melarikan diri dari sesuatu, kita mesti juga ada satu perkara yang kita tujui, yang kita mahu capai. Jika tidak, kita akan sentiasa dalam keadaan melarikan diri tetapi tidak pernah mencapai apa-apa pun. Apabila kita melarikan diri dari nafsu orang muda, kita mesti mengejar apa yang Allah ingin kita capai. Apabila menjauhi nafsu, kita mesti mendekati keadilan, kesetiaan, kasih dan damai. Jika tidak kita akan kembali kepada nafsu yang dahulu kita tinggalkan. Apa yang ditinggalkan mesti digantikan dengan yang baru. Jika tidak apa yang ditinggalkan akan dicari kembali.
Apabila seseorang itu mula meninggalkan tabiat merokoknya, ia akan menggantikan tabiat itu dengan satu tabiat yang kurang merbahaya seperti memakan gula-gula. Jika ia terus berusaha meninggalkan tabiat merokoknya tanpa menggantikannya dengan gantian yang baik, ia dengan cepat akan kembali merokok. Apabila seseorang itu disuruh berhenti melakukan sesuatu yang jahat, ia juga mesti disuruh melakukan sesuatu yang baik sebagai ganti, sebagai perkara baru yang ia boleh lakukan. Sama juga dengan kita kita yang mahu menjauhi dosa. Jika kita mahu menjauhi dosa, kita mesti mendekati Allah. Jika kita mahu meninggalkan nafsu muda kita, kita mesti mengejar dan memiliki keadilan, kesetiaan, damai dan kasih. Jika keempat hal ini tidak dikejar dan diperolehi, usaha kita untuk menjauhi nafsu muda akan terhalang atau terus gagal. Ini adalah kerana apabila kita menjauhi nafsu tetapi mendapati tidak ada sesuatu yang baru untuk dilakukan untuk mengisi masa dan minda kita, kita dengan senang akan kembali kepada apa yang sudah biasa kita lakukan. Jika kita mahu menjauhi diri dari nafsu orang muda, sibukkanlah diri mengejar keempat hal ini. Berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keadilan, kesetiaan, kasih dan damai, bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga bagi mereka yang di sekeliling kita.
Kejarlah keadilan. Berusaha untuk berpihak kepada yang benar dan berpegang kepada kebenaran dalam segala yang dikatakan dan dilakukan. Pastikan supaya segala yang dilakukan tidak berat sebelah khasnya dalam pelayanan kita kepada tubuh Kristus. Kejarlah kesetiaan. Berusaha untuk amanah dan teguh hati dalam segala hubungan kita baik dengan teman hidup maupun rakan-rakan yang karib. Peganglah kepada janji-janji kita dan taatlah kepada pemimpin-pemimpin kita baik digereja maupun negeri.
Kejarlah kasih. Berusaha dengan sungguh untuk menyayangi semua orang bukan hanya dengan kata-kata tetapi juga dengan perbuatan-perbuatan yang baik. Tunjukkan kasih Allah kepada semua orang, yang Kristian dan yang bukan-Kristian, kawan dan juga lawan. Akhirnya kejarlah damai. Berusaha untuk hidup dengan damai dengan semua orang. Elakkan perselisihan faham dan pergaduhan. Jangan bermusuh-musuhan tetapi buat apa sahaja yang perlu supaya kita boleh berbaik semula. Kejarlah kedamaian dalam diri kita dan dengan orang lain. Apabila ini menjadi fokus kita, memuaskan nafsu muda kita tidak lagi mendapat tempat pertama bahkan akan mula hilang tarikannya. Pastikan fokus kita betul. Kejar apa yang patut dan kita akan semakin jauh dari dosa yang menghancurkan.
Juga perhatikan dari ayat ini, bahawa usaha kita untuk bebas dari hawa nafsu muda dilakukan oleh kita sendiri tetapi usaha kita untuk mengejar keadilan, kesetiaan, kasih dan damai dilakukan bersama-sama dengan orang Kristian yang lain. Kita sendiri mesti memilih untuk bertaubat. Kita sendiri yang mesti pilih untuk menjauhi diri dari nafsu muda. Kita sendiri yang mesti mengasingkan diri dari percabulan. Sesudah itu kita mesti cari dan berkawan dengan orang Kristian yang sefikiran dengan kita. Maksud saya kita mesti bergaul dengan orang Kristian yang mempunyai sasaran yang sama dengan usaha kita menjadi kudus.
Dikatakan dalam ayat yang tertera di atas bahawa kita mesti mengejar keadilan, kesetian, damai dan kasih bersama-sama dengan mereka yang berseru kepada Tuhan dengan hati yang murni. Jika kita mahu mengejar keempat ciri ini, kita mesti megejarnya bersama-sama dengan orang Kristian yang lain. Ini bukan satu usaha yang patut dilakukan sendiri. Ini bukan satu usaha yang boleh dilakukan tanpa bantuan dan kerjasama orang Kristian yang lain. Kerana itu, jika kita serius dalam usaha menjauhi nafsu muda dan mengejar apa yang baik, carilah dan bersekutulah dengan orang Kritian yang mempunyai matlamat dan keinginan yang sama. Dngan cara ini, kita akan memperolehi sokongan serta galakkan untuk terus mengejar apa yang baik dan lari dari apa yang jahat.
Juga kita mesti mencari orang Kristian yang suka berdoa. Menjauhi dosa memerlukan sokongan doa dari teman-teman Kristian yang lain. Kerana itu kita diseru mengejar kebaikan bersama-sama dengan mereka yang berseru kepada Tuhan. Kejar keadilan dengan mereka yang berseru kepada Allah setiap hari. Kejarlah kesetiaan dengan mereka yang berdoa selalu. Kejarlah damai dan kasih dengan orang Kristian yang suka dan sering berdoa. Dengan cari ini, usaha kita lebih berhasil dan akan membawa faedah.
Orang Kristian yang kita pilih sebagai teman sekejaran harus mempunyai hati yang murni. Menjauhkan diri dari nafsu dan mengejar sikap-sikap yang mulia memerlukan bantuan dari teman-teman Kristian yang mempunyai hati yang murni. Pilihlah mereka yang mempunyai hati yang bebas dari niat yang jahat dan sikap-sikap yang buruk. Carilah mereka yang merindui kesuciaan dan membenci percabulan. Bergaullah dengan orang Kristian yang mencari dan menghargai kesuciaan dalam semua aspek hidup mereka. Orang seperti ini akan dapat menolong kita bebas dari nafsu muda dengan lebih cepat serta memperolehi kesetian, keadilan damai dan kasih dengan lebih mudah.
Saya kenal beberapa orang Kristian yang mahu menjauhkan diri daripada perbuatan-perbuatan nafsu muda tetapi mereka sering gagal. Mereka gagal kerana mereka tidak mahu memutuskan perhubungan mereka dengan kawan-kawan yang enggan mengejar kekudusan. Kerana kawan-kawan mereka mengejar kecabulan, orang Kristian ini juga terheret bersama untuk mengejar hal yang sama walaupun hati mereka tidak mahu. Ada juga orang Kristian yang lain yang mahu mengejar kekudusan tetapi mereka bergaul dengan orang Kristian yang tidak mempunyai niat yang sama. Mereka bergaul dengan orang Kristian yang mahu menjadi terkenal dan berkuasa dan akhirnya mereka sendiri terbawa-bawa dengan sikap kawan-kawan Kristian mereka yang lain itu. Janganlah kita jadi seperti mereka. Pilihlah kawan-kawan dengan baik dan dengan bijak.
Untuk menjauhkan diri dari dosa, bertaubatlah dan berkawan dengan orang Kristian yang suka berdoa serta mempunyai hati yang murni. Perbuatan meninggalkan pekerjaan-pekerjaan lama yang jahat serta berdamping dengan orang Kristian yang mempunyai hati yang murni serta keinginan untuk berdoa akan menolong kita hidup suci dan mendapatkan kesetiaan, keadilan damai dan kasih. Semoga anda akan mendapat apa yang dikejarkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan