Isnin, 14 April 2008

Bertumbuh Dalam Bait Allah

Kita memerlukan satu sama lain. Terdapat aspek-aspek tertentu pertumbuhan kita dalam Tuhan yang tidak dapat berlaku di luar persekutuan yang biasa bersama dengan orang Kristian yang lain. Allah telah memberi kepada kita keistimewaan bagi bergaul setiap hari dengan orang percaya yang lain sebagai caraNya untuk kita bertumbuh bersama. Idea untuk mewujudkan gereja-gereja tempatan tidak bermula dari kita, tetapi dari Allah sendiri. Adanya gereja tempatan ini menunjukkan bahawa kita bukan hanya perlu dipersatukan dengan Allah tetapi juga dengan satu sama lain. Kita mesti bertumbuh bersama-sama melalui perhubungan yang sudah ada.
Mari kita mengenal pasti apakah kunci kepada kemajuan dan keberhasilan bagi hidup kita sepertimana yang diberikan Allah dalam Mazmur 92:13-15.

Orang benar akan bertunas seperti pohon kurma, akan tumbuh subur seperti pohon aras di Libanon; mereka yang ditanam dibait TUHAN akan bertunas dipelataran Allah kita. Pada masa tua pun mereka masih berbuah, menjadi gemuk dan segar, untuk memberitakan, bahawa TUHAN itu benar, bahawa Ia gunung batuku dan tidak ada kecurangan padaNya.

Orang benar iaitu mereka yang percaya dalam Yesus diibaratkan sebagai pohon yang tumbuh subur. Pokok-pokok yang tumbuh di kawasan Lebanon, khasnya pokok aras, terkenal kerana saiz dan kualiti kayu yang sangat tinggi. Pokok yang ditanam di kawasan yang subur dan sesuai akan menghasilkan pokok-pokok yang besar dan bermutu tinggi. Jika orang benar diibaratkan sebagai pokok kurma atau pokok aras, di manakah tempat ia harus ditempatkan? Di manakah tempat yang sesuai untuk orang benar bertumbuh? Jawapannya mudah sekali - mereka ditanam di bait TUHAN. Orang benar yang bertempat di rumah Allah sememangnya akan bertumbuh dan berhasil dalam kehidupannya. Orang percaya yang selalu menempatkan dirinya bersama orang percaya yang lain, yakni Gereja Allah, sesungguhnya akan menjadi gemuk dan segar secara rohani. Mereka akan melihat dan mengalami penyelamatan Allah serta kesetiaanNya. Sesungguhnya, mereka yang berada dalam rumah Allah akan dapat bersaksi bahawa TUHAN itu benar, bahawa Ia gunung batu yang teguh dan tidak ada kecurangan padaNya. Adakah kita sudah menempatkan diri kita di bait Allah? Sudahkah kita menjadi ahli sebuah gereja tempatan yang dinamik dan bertuankan Yesus? Ingat, kunci keberkesanan dan keberhasilan hidup kita bergantung kepada tempatnya kita berada. Biarlah kita didapati selalu di bait Allah, bersama orang percaya yang lain.
Sama seperti tanaman yang tidak dapat bertumbuh tanpa makanan dari tanah, tenaga dari matahari dan air dari langit, kita juga tidak akan dapat memenuhi keperluan untuk bertumbuh jika kita selalu bersendirian. Kita mesti ditanam di dalam satu persekutuan Kristian yang sihat, jika tidak akar-akar rohani kita akan kering dan kita akan layu.
Mari kita perhatikan tanggungjawab kita sepertimana yang ditulis dalam surat Ibrani pasal 10 ayat 25.

Janganlah kita menjauhkan diri dari pertemuan-pertemuan ibadah kita, seperti yang dibiasakan oleh beberapa orang, tetapi marilah kita saling menasihati dan semakin giat melakukannya menjelang hari Tuhan yang mendekat.

Pembaca sekalian, sebagai orang percaya yang mahu bertumbuh dan berhasil, adalah tanggungjawab kita untuk mendekatkan diri kepada pertemuan-pertemuan ibadah Kristian. Dengan kata lain, jika kita mahu maju dalam iman kita, kita mesti senang menghadiri dan mengambil bahagian dalam kebaktian-kebaktian Kristian yang banyak diadakan di sekeliling kita. Janganlah kita menjauhkan diri dari berkumpul dengan orang percaya yang lain. Janganlah kita tidak hadir pada kebaktian-kebaktian doa yang dianjurkan oleh gereja tempatan kita. Janganlah kita malas menghadiri kebaktian-kebaktian kelompok kecil yang kita anggotai. Ini adalah tanggungjawab kita, janganlah kita abaikannya.
Kita juga bertanggungjawab untuk saling menasihati sesama mereka yang percaya yang hadir bersama dalam satu-satu kebaktian Kristian. Di dalam setiap pertemuan ibadah kita, kita mesti menasihati antara satu sama lain. Kita mesti mengambil inisiatif untuk bercakap dengan orang benar yang lain dalam kelompok ibadah yang kita hadiri itu dengan tujuan mahu menggalakkan dan membangunkan mereka yang kita berkesempatan untuk menasihati. Janganlah kita menjauhkan diri dari tanggungjawab kita ini tetapi sebaliknya, marilah kita melakukannya dengan lebih giat lagi, memandangkan Tuhan Yesus akan kembali tidak lama lagi.
Apakah hal-hal lain yang patut kita lakukan apabila kita mengambil bahagian dalam satu pertemuan ibadah? Mari kita baca dari surat Ibrani pasal 10 ayat 24 pula untuk mencari jawapannya.

Dan marilah kita saling memperhatikan supaya kita saling mendorong dalam kasih dan dalam pekerjaan baik.

Pertama, kita mesti memerhatikan keadaan mereka yang ada bersama kita. Ini jarang dilakukan. Kita datang ke kebaktian, kita berdoa dan menyembah Allah, kita mendengar penyampaian Firman Allah dan kemudian kita kembali ke rumah masing-masing. Jarang sekali kita memerhatikan keadaan mereka yang di sekeliling kita. Jarang sekali kita mengetahui keadaan orang yang duduk di kanan dan kiri kita apatah lagi mereka yang beberapa baris di belakang ataupun yang di depan kita. Mengapakah situasi ini sering terjadi? Kerana kita tidak saling memperhatikan keperluan satu sama lain. Kita jarang memperhatikan bagaimana kita boleh menolong mereka yang lain yang juga berbakti bersama dengan kita. Marilah kita singkirkan sikap mementingkan diri dan mencari keuntungan sendiri ini dari diri kita apabila kita menghadiri satu-satu pertemuan ibadah. Mulai sekarang saya mahu menggalakkan kita untuk saling memperhatikan keadaan mereka yang datang beribadah bersama kita.
Mengapakah saya menyeru demikian? Supaya kita akan mendapat peluang bukan sahaja untuk mendorong mereka yang bersama kita tetapi juga untuk melakukan pekerjaan yang baik sepertimana yang diingini Allah bagi kita. Tujuan kita memerhatikan keadaan orang yang bersama kita adalah dengan niat ingin mendorong dan melakukan apa yang baik bagi kesejahteraan dan kemajuan orang benar yang lain yang beribadah bersama kita. Apabila kita menghadiri satu kebaktian rohani, ingatalah bahawa kita bukan hanya hadir untuk berbakti kepada Allah tetapi juga kepada mereka yang ada bersama kita. Kita berada di bait Allah bukan hanya untuk melayani Allah tetapi juga untuk mereka yang percaya yang ada bersama kita. Jika ini diambil sebagai amalan kita, saya pasti setiap pertemuan ibadah akan menjadi satu masa yang sungguh memuaskan serta membangunkan, bukan hanya diri kita tetapi juga bagi mereka yang telah datang berbakti bersama dengan diri kita.
Untuk bertumbuh dalam kehidupan rohani kita, kita mesti menempatkan diri kita dalam bait Allah. Kita mesti bergiat secara aktif dalam satu gereja tempatan. Dari ayat-ayat yang telah dikongsikan, saya harap kita sedar bahawa kehadiran kita dalam satu pertemuan ibadah bukan hanya untuk berbakti kepada Allah tetapi juga kepada mereka yang dalam keperluan yang juga beribadah bersama kita. Berketetapanlah dalam hati kita untuk menghadiri pertemuan-pertemuan ibadah Kristian selalu dengan tujuan mahu melayani Allah dan juga orang percaya yang lain. Semoga Allah membantu anda.

Tiada ulasan: