Jumaat, 4 April 2008

Allah rindu bersama kita

Pada waktu Maria, ibu Yesus, bertunang dengan Yusuf ternyata bahawa Maria telah mengandung walaupun dia belum lagi hidup bersama Yusuf sebagai suami isteri. Hal ini telah menggangu Yusuf dan telah menyebabkan dia berfikir untuk memutuskan pertunangannya dengan Maria. Tetapi kerana Yusuf seorang yang tulus hati dan dia tidak mahu melakukan sesuatu yang akan mencemarkan nama tunangnya di muka umum dia bercadang untuk memutuskan pertunangannya dengan Maria secara senyap-senyap. Ketika ia sedang mempertimbangkan tindakan yang dimaksudkannya itu, seorang malaikat Allah telah menampakkan diri kepadanya dan bercakap kepada Yusuf. Inilah yang dikatakan oleh malaikat itu: "Yusuf, anak Daud, janganlah engkau takut mengambil Maria sebagai isterimu, sebab anak yang di dalam kandungannya adalah dari Roh Kudus. Ia akan melahirkan anak laki-laki dan engkau akan menamakan Dia Yesus, kerana Dialah yang akan menyelamatkan umatNya dari dosa mereka." Menurut Matius seorang dari murid Yesus, hal itu terjadi supaya nubuatan nabi Yesaya akan digenapkan atau dengan kata lain apa yang terjadi kepada Maria dibenarkan Allah untuk menggenapkan firmanNya. Apakah yang telah dinubuatkan oleh nabi Yesaya? Mari kita baca dari Injil Matius bab 1 ayat 23.

Sesungguhnya, anak dara itu akan mengandung dan melahirkan seorang anak laki-laki, dan mereka akan menamakan Dia Imanuel - yang bererti: Allah menyertai kita.

Menurut nabi Yesaya, seorang dara, seorang yang tidak pernah mempunyai perhubungan dengan seorang lelaki akan melahirkan anak! Ini ialah satu perkara yang mustahil, ini ialah satu perkara yang tidak masuk akal. Tetapi kita harus ingat bahawa segala sesuatu yang dikatakan Allah akan terjadi kerana bagi Allah tidak ada yang mustahil. Walaupun mengharapkan seorang dara mengandung adalah seperti mengharapkan kuching bertanduk, yang mustahil telah berlaku - Maria telah mengandung dan telah melahirkan seorang anak laki-laki. Anak itu dinamakan Imanuel. Mengapakah anak itu dipanggil Imanuel? Saya percaya kerana anak itu bukan anak biasa tetapi Allah sendiri yang telah menjelma sebagai manusia. Dengarlah apa yang telah dicatatkan oleh Yohanes mengenai anak ini, Firman Allah yang hidup, sepertimana yang tertulis dalam Injil Yohanes bab 1 ayat 14.

Firman itu telah menjadi manusia, dan diam di antara kita, dan kita telah melihat kemuliaanNya, iaitu kemuliaan yang diberikan kepadaNya sebagai Anak Tunggal Bapa, penuh kasih kurnia dan kebenaran.

Anak laki-laki Maria sebenarnya ialah Anak Tunggal Bapa yang penuh kasih kurnia dan kebenaran. Anak Maria ialah Anak Allah yang penuh kemuliaan. Dengarlah apa yang dikatakan rasul Paulus pula mengenai anak Maria ini, yang juga dipanggil Yesus. Petikan ini diambil dari surat Filipi pasal 2 ayat 5 hingga 7.

.. Kristus Yesus yang walaupun dalam rupa Allah, tidak menganggap kesetaraannya dengan Allah itu sebagai milik yang harus dipertahankan, melainkan telah mengosongkan diriNya sendiri dan mengambil rupa seorang hamba, dan menjadi sama dengan manusia.

Menurut Paulus, Yesus yang walaupun setara dengan Allah telah menjadi sama dengan manusia. Yesus telah mengosongkan diriNya dan mengambil satu identiti yang baru, iaitu identiti seorang hamba dan menjadi sama dengan manusia. Bilakah ini terjadi? Apabila Firman Allah itu berada didalam rahim Maria, apabila Maria mengandung.
Mungkin anda akan bertanya, "Mengapakah Allah mahu menjadi manusia?" Saya percaya nama yang diberikan kepada Yesus, anak Maria itu, boleh menyatakan kepada kita satu daripada sebabnya kenapa Allah menjadi manusia dan membenarkan diriNya berada di dalam rahim Maria selama sembilan bulan dan kemudiannya dilahirkan di dalam sebuah kandang binatang ternakan di Bethlehem. Yesus di panggil Imanuel yang bererti `Allah menyertai kita'. Dari nama ini, ingin saya cadangkan bahawa satu daripada sebabnya mengapa Yesus menjadi sama seperti manusia ialah supaya Ia boleh bersama kita, ia boleh menyertai kita. Allah mahu bersama ciptaanNya, Allah mahu bersama umat pilihanNya. Tetapi jika Allah menjelma dalam segala kemuliaanNya untuk bersama kita, kita semua akan mati, dimusnahkan oleh kemuliaan Allah yang terang itu. Cara yang paling senang untuk mengatasi masalah ini ialah untuk Tuhan menjadi manusia. Manusia tidak boleh menjadi seperti Tuhan supaya dapat bersama denganNya tetapi Allah boleh menjadi sama dengan manusia supaya Dia dan kita dapat bersama. Dan inilah yang telah dilakukan Allah didalam rahim Maria. Allah telah menjadi manusia supaya Dia boleh menyertai kita. Tuhan mahu tinggal bersama kita. Rasul Yohanes berkata bahawa Firman itu menjadi manusia dan diam bersama kita. Allah telah menjadi manusia kerana Dia mahu diam bersama kita, dia mahu tinggal bersama kita. Perkataan `diam' yang dipakai rasul Yohanes sebenarnya bermaksud berkhemah. Allah telah datang dan berkhemah di antara kita.
Allah telah datang untuk tinggal bersama kita kerana inilah keinginanNya. Inilah satu daripada sebabnya Allah menciptakan manusia. Allah menciptakan Adam dan Hawa supaya Dia boleh bersama dengan mereka dan mengadakan satu perhubungan intim yang indah dan sihat. Dengarlah apa yang tertulis dalam buku Kejadian bab 3 ayat 8 dan 9.

Ketika mereka mendengar bunyi langkah TUHAN Allah, yang berjalan-jalan dalam taman itu pada waktu hari sejuk, bersembunyilah manusia dan isterinya itu terhadap TUHAN Allah di antara pohon-pohonan dalam taman. Tetapi TUHAN Allah memanggil manusia itu dan berfirman kepadanya: "Di manakah engkau?"

Tuhan datang ke taman Eden mencari Adam dan Hawa. Dia tahu apa yang telah berlaku. Dia tahu bahawa mereka telah berdosa tetapi Dia tetap mencari mereka. Allah memanggil Adam, Allah mencari Adam, kerana Allah mahu bersama mereka. Kerana dosa, Adam dan Hawa tidak mahu bersama Allah lagi, mereka pandai malu dan takut, dua emosi yang tidak pernah mereka alami sebelum ini. Hal ini masih sama sehingga pada hari ini - manusia masih lagi takut untuk bersama Allah, lebih-lebih lagi jika Allah datang dalam segala kemuliaanNya untuk bersama kita. Itulah sebabnya Allah datang dan datang sebagai seorang manusia. Allah mahu bersama kita, Allah mahu menyertai kita selalu.
Soalannya sekarang ialah, mahukah kita bersama Allah? Mahukah kita membenarkan Allah diam bersama kita atau adakah kita takut dan malu? Apakah mungkin reaksi kita jika kita diberitahu bahawa Allah mahu datang dan diam bersama kita? Ingatlah, namaNya Imanuel - Allah rindu bersama kita. Mahukah kita menerimaNya?
Saya berharap kita akan memberi pertimbangan yang serius kepada apa yang telah dikongsikan hari ini. Semoga Allah menyertai kita selalu.

Tiada ulasan: