Rabu, 16 April 2008

Buah Roh

Tajuk yang menjadi perbincangan kita dalam artikel ini merujuk kepada satu watak penting di dalam kehidupan rohani kita. Satu fungsi utama Roh Kudus ialah untuk menanam kekudusan Allah di dalam kita. Buah Roh membuktikan kepenuhan Roh serta penguasaanNya di dalam kita. Buah Roh menghasilkan watak yang akan menyatakan sifat-sifat Kristus dalam diri kita. Ini bertujuan untuk membantu kita mendapat kedewasaan yang sepenuhnya di dalam pertingkatan kerohanian kita. Peningkatan ini dapat digalakkan sesuai dengan kepenuhan Kristus dalam kita. Surat Efesus 4:13 berkata bahawa adalah keinginan Allah supaya semua orang Kristian diperlengkapi dan mencapai “kedewasaan penuh dan tingkat pertumbuhan yang sesuai dengan kepenuhan Kristus.”
Buah Roh ini merupakan sesuatu yang amat diharapkan oleh Allah dalam hidup kita. Harus kita ingat bahawa Buah Roh tidak sama dengan kurnia-kurnia Roh. Ini adalah kerana kurnia-kurnia Roh diberikan lengkap kepada orang yang percaya manakala Buah Roh dihasilkan secara perlahan-lahan. Buah Roh sebenarnya adalah hasil daripada kepenuhan Allah di dalam kita. Ianya bertentangan dengan segala keinginan-keinginan daging yang ada di dalam kita. Terdapat dua kemestian yang harus terjadi di dalam hidup kita untuk menghasilkan Buah Roh ini.
Pertama, kita haruslah meninggalkan segala dosa serta pelanggaran kita. Kedua, kita hendaklah membenarkan Roh Kudus masuk untuk memenuhi hidup kita. Kolose fasal 3 ayat 5 dan 12 menyatakan ini:

Kerana itu matikanlah dalam dirimu segala sesuatu yang duniawi .. Sebagai orang pilihan Allah yang dikuduskan dan dikasihiNya, kenakanlah belas kasihan, kemurahan, kelemah-lembutan dan kesabaran.

Dengan mengeluarkan hal-hal yang tidak baik dari dalam diri kita, kita telah pun membenarkan Roh Kudus itu masuk, serta mengendalikan hidup kita. Itulah sebabnya mengapa kita harus berserah kepada Allah selalu. Dengan terbuangnya segala hal yang tidak baik dari dalam diri kita, kita telah pun membenarkan Dia menguasai kitaran hidup kita. Penyingkiran ketidak-baikan kita ini akan membawa sesuatu yang baru di dalam diri kita. Roh Kudus ingin agar kita berbuah, dan kemudian berbuah lagi, sehinggalah berlimpah-limpah.
Jadi, sejauh manakah keterbukaan hati kita kepada Allah Roh Kudus itu? Sediakah kita untuk membenarkan Roh Kudus mengendalikan hidup kita? Sudahkah segala sesuatu yang telah diterapkan oleh Allah Roh Kudus itu ke dalam kita menghasilkan buahnya?
Untuk mempunyai buah sepertimana yang diharapkan oleh Allah itu, kita haruslah tahu bagaimana buah itu bertumbuh. Saya percaya jawapannya terkandung di dalam Mazmur 1:2 yang berbunyi,

Tetapi yang kesukaannya ialah Taurat Tuhan, dan yang merenungkan Taurat itu siang dan malam. Dia seperti pohon yang ditanam ditepi aliran air, yang menghasilkan buah pada musimnya, dan tidak layu daunnya; apa saja yang diperbuatnya berhasil.

Dengan menjadikan Hukum Tuhan sebagai kesukaan kita serta merenungnya siang dan malam, kita akan menjadi lebih matang dalam
iman. Hasil daripada kematangan iman ini, kita akan menghasilkan buah itu, sesuai pada musimnya.
Mari kita perhatikan beberapa ciri buah Roh. Yang pertama, kasih. Kasih merupakan tonjolan ciri seorang Kristian. Ia merupakan sifat yang paling anggun di dalam jiwa kita, anugerah Allah yang terindah. Kasih ini dihasilkan oleh suatu kehendak yang telahpun diserahkan kepada Kristus. Kerana itu, haruslah kita ingat bahawa perintah Allah untuk mengasihi bukanlah suatu pilihan, melainkan suatu keharusan bagi kita. Lantas Allah di dalam surat 1 Yohanes 3:18 mengatakan ini,

Anak-anakKu, marilah kita mengasihi bukan dengan perkataan atau dengan lidah tetapi dengan perbuatan dan dalam kebenaran.

Allah langsung tidak memilih bangsa, asal-usul, keturunan, dan juga warna kulit untuk diberikan kasihNya. Yang pasti adalah bahawa kasihNya meliputi seluruh dunia. Ini membuktikan bahawa kasih yang dimilikiNya adalah kasih yang sejati, kasih yang tidak memandang kepada rupa. Inilah jenis kasih yang Allah mahu hasilkan di dalam kita. Kasih yang Allah mahu kita nyatakan adalah kasih yang ingin untuk mencapai setiap orang.
Satu lagi ciri buah Roh ialah sukacita. Sukacita membawa erti "perasaan senang" atau "kegirangan". Sukacita seperti ini mempunyai Allah sebagai sumbernya. Sukacita dari Roh Allah ini tetap akan meliputi jiwa seseorang, walaupun dia bersemuka dengan pintu gerbang maut sekalipun. Misalnya Rasul Paulus. Walaupun dihukum penjara, dan diancam maut namun sukacita Tuhan sentiasa bersamanya. Dia mampu menulis surat terakhirnya kepada Timotius sebelum dihukum mati, di mana dia menggalakkan Timotius untuk terus bersukacita di dalam Allah.
Ciri buah Roh yang terakhir dalam pengajian saya kali ini ialah damai sejahtera. Perkataan damai membawa erti kesatuan, kesempurnaan dan ketenteraman. Untuk memiliki damai, kita mesti sedar bahawa hanya Allah sahaja yang mampu untuk memapah kita, memimpin kita serta menghiburkan kita. Allah biasanya memberi kita damai, ketika kita menghadapi saat-saat keputus-asaan, keresahan, dan kesedihan. Surat Roma 15:13 berkata,

Semoga Allah, sumber pengharapan, memenuhi kamu dengan segala sukacita dan damai sejahtera dalam iman kamu, supaya oleh kekuatan Roh Kudus kamu berlimpah-limpah dalam pengharapan.

Saya berdoa supaya kita juga akan memperolehi Buah Roh Kudus dan mengalami kasih, damai dan sukacita Allah. Lakukanlah apa yang telah saya kongsikan dalam artikel ini supaya Buah Roh Allah juga nyata dalam hidup kita.

Tiada ulasan: