Khamis, 10 April 2008

Bebas Dari Kutukan

Ketika Adam dan Hawa menyerah kepada ajakan Iblis, Alkitab berkata bahawa mata mereka berdua terbuka, mereka tahu bahawa mereka telanjang lalu mereka menyemat daun pohon ara untuk membuat cawat. Kenyataan dari Kejadian bab 3 ayat 7 ini menunjukkan bahawa Adam dan Hawa menyedari perlunya satu penudung bagi diri mereka yang sudah telanjang.
Saya yakin bahawa sebelum kejatuhan manusia dalam dosa, lelaki dan wanita pertama tidak memandang ketelanjangan jasmani mereka sebagai hal yang memalukan. Mereka mungkin tanpa pakaian yang seperti kita kenakan, tetapi saya percaya mereka ditudungi dengan kemuliaan Allah. Kemuliaan Allah menjadi penutup anggun bagi ciptaan Allah yang paling baik! Kerana mereka telah biasa diselimuti oleh kemuliaan Allah, Adam dan Hawa membuat cawat sebagai penudung bagi diri mereka setelah mereka berdosa.
Ketika mereka pertama kalinya memandang diri mereka sendiri, mereka menyedari betapa hampa dan telanjang diri mereka lalu mereka bersembunyi di antara pohon-pohon yang ada di taman Eden. Peristiwa ini boleh kita jumpa di dalam buku Kejadian bab 3 ayat 7 dan 8.

Maka terbukalah mata mereka berdua dan mereka tahu, bahawa mereka telanjang; lalu mereka menyemat daun pohon ara dan membuat cawat. Ketika mereka mendengar bunyi langkah TUHAN Allah, yang berjalan-jalan dalam taman itu pada waktu hari sejuk, bersembunyilah manusia dan isterinya itu terhadap TUHAN Allah di antara pohon-pohon dalam taman.

Alkitab menyatakan bahawa Adam dan Hawa mendengar suara Allah, yang pada ketika itu sedang berjalan di taman pada waktu petang, memanggil mereka. Adam pun menjawab. Lihatlah dialog mereka berdua ini sepertimana yang dicatat dalam buku Kejadian bab 3 ayat 9 hingga 11.

Tetapi TUHAN Allah memanggil manusia itu dan berfirman kepadanya: "Di manakah engkau?" Ia menjawab: "Ketika aku mendengar, bahawa Engkau ada dalam taman ini, aku menjadi takut, kerana aku telanjang; sebab itu aku bersembunyi." FirmanNya: "Siapakah yang memberitahukan kepadamu bahawa engkau telanjang? Apakah engkau makan dari buah pohon yang Ku larang engkau makan itu?"

Adam menjawab soalan Allah dengan menyalahkan isterinya. Ketika Allah menanyakan wanita itu, Hawa tidak mengaku salah tetapi menyalahkan Iblis. Akibat dari dosa mereka itu, Allah mengisytiharkan lima kutukan dan hukuman yang berasingan.
Pertama, Allah mengutuki ular itu.

Lalu berfirmanlah Tuhan Allah kepada ular itu: 'Kerana engkau berbuat demikian, terkutuklah engkau di antara segala ternak dan di antara segala binatang hutan; dengan perutmulah engkau akan menjalar dan debu tanahlah akan kau makan seumur hidupmu.' (Kejadian 3:14)

Kedua, Allah menyatakan hukumanNya kepada Hawa. KataNya, “Susah payahmu waktu mengandung akan Ku buat sangat banyak; dengan kesakitan engkau akan melahirkan anakmu.” (Kejadian 3:16)
Ketiga, Tuhan menghakimi Adam untuk menjalani hidup dengan kerja keras. Kata Allah,

Kerana engkau mendengarkan perkataan isterimu dan memakan dari buah pohon, yang telah ku perintahkan kepadamu: Jangan makan dari padanya, maka terkutuklah tanah kerana engkau; dengan susah payah engkau akan mencari rezekimu dari tanah seumur hidupmu (Kejadian 3:17).

Allah juga telah mengutuki tanah. Di dalam ayat 18, Kejadian bab 3 ada tertulis, “Semak duri dan rumput duri akan dihasilkannya bagimu.” Selepas itu Tuhan menjatuhkan hukuman ke atas Adam untuk akhirnya mati.
Namun begitu, di tengah-tengah semua hukuman Allah itu, ada satu janji. Allah memberi satu janji penebusan yang ajaib. Apabila Tuhan bersabda kepada ular, Dia juga telah berkata,

Aku akan mengadakan permusuhan antara engkau dan perempuan ini, di antara keturunanmu dan keturunannya; keturunannya akan meremukkan kepalamu, dan engkau akan meremukkan tumitnya.

Dalam ayat ini, yang di ambil dari Kejadian bab 3 ayat 15, Tuhan menyatakan bahawa Dia akan mengutus keturunan wanita itu untuk membawa pembebasan. Ini adalah sebuah janji yang telah digenapkan dalam penaklukan Yesus atas Iblis di kayu salib. Ini jugalah kemenangan yang dapat dinikmati oleh kita yang percaya dalam Yesus.

Tiada ulasan: