Jumaat, 15 Februari 2008

Perlindungan Daripada Tulah

Ketika umat Israel masih dalam perhambaan di Mesir, mereka berseru kepada Allah untuk dibebaskan. Tuhan mendengar suara mereka lalu mengangkat Musa sebagai wakilNya. Musa telah pergi ke Firaun lalu berkata bahawa dia telah diutus Allah, yang mahukan umatNya dibebaskan. Tetapi Firaun menolak. Pada hari itu juga Allah mengubahkan Sungai Nil menjadi darah, tetapi Firaun masih tidak mahu mendengar kata-kata Musa. Kemudian Tuhan mengirimkan tulah katak, nyamuk, lalat, penyakit sampar pada ternak, barah, hujan air batu, belalang dan kegelapan di seluruh negeri Mesir. Firaun tetap menolak permintaan Allah.
Akhirnya Allah memberitahu Musa untuk mengisytiharkan kepada Firaun mengenai satu lagi tulah. Inilah yang dikatakan Allah melalui Musa, sepertimana yang dicatat di dalam buku Keluaran bab 11 ayat 4 dan 5.

Aku akan berjalan dari tengah-tengah Mesir. Maka tiap-tiap anak sulung di tanah Mesir akan mati, dari anak sulung Firaun yang duduk di takhtanya sampai kepada anak sulung budak perempuan yang menghadapi batu kilangan.

Sekali lagi, Firaun menahan umat Allah untuk pergi dari Mesir. Allah memberitahu Musa bahawa waktunya telah tiba untuk pembebasan umat Israel. Peristiwa ini merupakan satu peristiwa yang sungguh penting bagi semua orang Israel, sehinggalah hari ini. Tuhan bersabda kepada umatNya, dalam buku Keluaran bab 12 ayat 2, demikian

Bulan inilah akan menjadi permulaan segala bulan bagimu; itu akan menjadi bulan pertama bagimu tiap-tiap tahun.

Kemudian Tuhan memberitahu Musa caranya umat Israel dapat membebaskan diri mereka daripada terkena tulah kematian anak sulung. Dalam buku Keluaran bab 12, dari ayat 3 hingga ayat 11, terdapat arahan-arahan yang khusus dari Tuhan mengenai apa yang harus mereka lakukan supaya selamat.
Tuhan menyuruh setiap keluarga untuk memilih seekor anak domba jantan yang tidak cacat. Mereka diperlukan menyimpan anak domba itu selama empat hari. Kemudian kepala rumahtangga itu harus menyembelih anak domba itu pada petang hari tanggal empat belas bulan itu. Darah anak domba itu pula dipercikkan pada kedua tiang pintu dan pada ambang pintu atas. Allah menyuruh umatNya menyiapkan diri dan melakukan upacara korban itu kerana Dia akan membunuh semua anak sulung di Mesir dan menjatuhkan hukuman atas semua allah di Mesir.
Setelah menyatakan semua itu, Allah memberikan satu janji indah kepada umatNya. Dia berkata,

Dan darah itu menjadi tanda bagimu pada rumah-umah di mana kamu tinggal: Apabila Aku melihat darah itu, maka Aku akan lewat daripada kamu. Jadi tidak akan ada tulah kemusnahan di tengah-tengah kamu, apabila Aku menghukum tanah Mesir.

Inilah janji Allah kepada umatnya yang boleh kita temui di dalam buku Keluaran bab 12 ayat 13. Pada tengah malam, hari Paskah yang pertama itu, anak sulung dalam setiap rumahtangga Mesir mati. Ratapan kesedihan kedengaran di seluruh negeri Mesir. Tetapi, di rumah-rumah orang Israel, hanya suara pujian dan kesyukuran kedengaran kerana tidak ada kematian di antara mereka. Allah telah menggenapi janjiNya. Dia telah melewati setiap rumah yang telah dipercikkan dengan darah anak domba yang telah dikorbankan.
Paskah yang pertama itu merupakan bayangan bagi hal yang akan datang pada suatu hari kelak di bukit Golgota. Di Golgota, anak domba Paskah kita juga telah disembelih, iaitu Yesus. Di sana kita telah ditebus dengan darah yang mahal, iaitu darah Yesus yang sama seperti darah anak domba yang tidak bernoda dan yang tidak bercacat.
Mengapakah Tuhan memberitahu umat Israel untuk mengambil seekor anak domba untuk setiap rumahtangga? Saya yakin alasannya ialah bahawa berkat-berkat dari perjanjian Allah dapat merangkumi keselamatan seluruh keluarga. Walaupun nabi Nuh adalah satu-satunya orang saleh yang Allah temukan, Dia memberitahu Nuh bahawa seluruh rumahtangganya akan mendapat perlindungan sebagai akibat perbuatannya. Berabad-abad kemudian, ketua penjara di Filipi bertanya kepada Paulus dan Silas mengenai apa yang perlu dia lakukan supaya dia selamat. Jawab mereka

Percayalah kepada Tuhan Yesus Kristus dan engkau akan selamat, engkau dan seisi rumahmu.

Dari ayat ini, yang diambil dari buku Kisah Para Rasul bab 16 ayat 31, dan contoh-contoh lain yang telah dikongsikan, saya yakin bahawa Tuhan menempatkan anugerah dan perlindunganNya dalam keluarga-keluarga yang mempunyai orang Kristian sebagai anggotanya. Jika kita telah memasuki kerajaan Allah, keluarga kita juga secara langsung akan mengalami berkat dan perlindungan Allah. Ini tidak bermaksud mereka telah diselamatkan dari hukuman dosa tetapi mereka juga menumpang berkat yang dicurahkan Allah atas kita. Semoga ini akan terus menggalakkan kita untuk percaya dalam Yesus dan membawa berkat-berkat Allah ke dalam keluarga kita masing-masing.

Tiada ulasan: