Isnin, 25 Februari 2008

Pagar Perlindungan

Apabila kita memohon kepada Allah untuk melindungi kita, saya yakin Allah akan mendirikan satu pagar perlindungan di sekitar rumah kita. Saya mengatakan ini kerana itulah yang Allah telah lakukan bagi Ayub.
Siapakah Ayub? Alkitab mengatakan bahawa Ayub adalah seorang yang benar, saleh dan jujur. Dia takut akan Allah dan telah menjauhkan dirinya daripada kejahatan. Allah menjadikannya seorang yang makmur, dengan ribuan domba, unta, lembu dan harta benda yang lain. Ayub disebut orang yang terkaya dari semua orang di sebelah timur.
Ayub juga prihatin terhadap gaya hidup anak-anaknya. Ketujuh anak lelakinya secara bergiliran mengadakan pesta di rumah mereka. Mereka mengundang ketiga adik perempuan mereka untuk makan minum bersama dengan mereka. Ayub sangat susah hati dengan keadaan rohani mereka ketika hari-hari pesta itu berakhir. Lihatlah apa yang dilakukan Ayub bagi anak-anaknya sepertimana yang dicatat di dalam buku Ayub 1:5

Ayub memanggil mereka, dan menguduskan mereka; keesokan harinya, pagi-pagi, bangunlah Ayub, lalu mempersembahkan korban bakaran sebanyak jumlah mereka sekalian, sebab fikirnya: "Mungkin anak-anakku sudah berbuat dosa dan telah mengutuki Allah di dalam hati." Demikianlah dilakukan Ayub sentiasa.

Pada suatu hari, tidak lama selepas peristiwa ini berlaku, beberapa malaikat datang menghadap Allah. Iblis adalah satu di antara mereka. Dengarlah seterusnya dialog di antara Allah dan Iblis mengenai Ayub yang terkandung di dalam buku Ayub 1:7-10.

Maka bertanyalah Tuhan kepada Iblis: "Dari mana engkau?" Lalu jawab Iblis kepada Tuhan: "Dari perjalanan mengelilingi dan menjelajah bumi." Lalu bertanyalah Tuhan kepada Iblis: "Apakah engkau memperhatikan hambaKu Ayub? Sebab tiada seorang pun di bumi seperti dia, yang demikian saleh dan jujur, yang takut akan Allah dan menjauhi kejahatan." Lalu jawab Iblis kepada Tuhan: "Apakah dengan tidak mendapat apa-apa Ayub takut akan Allah? Bukankah Engkau yang membuat pagar di sekeliling dia dan rumahnya dan segala yang dimilikinya?"

Ayub melakukan tepat seperti yang diperintahkan Allah kepadanya. Dia menerapkan kuasa darah persembahan korban baik bagi dirinya maupun bagi keluarganya. Ayub menudungi keluarganya dengan darah melalui persembahan korban. Menurut Alkitab, Ayub melakukan hal itu sentiasa.
Dalam Perjanjian Baru, korban itu telah dilakukan sekali untuk selama-lamanya melalui Yesus Kristus. Di dalam Ibrani 9:26 ada tertulis,

Tetapi sekarang Ia (Yesus) hanya satu kali saja menyatakan diriNya, pada zaman akhir untuk menghapuskan dosa oleh korbannya.

Jadi bagaimanakah kita dapat memanfaatkan hal yang telah dibuat Yesus bagi kita itu? Pertama, kita harus percaya pada pengorbanan yang sudah dipersembahkan Yesus. Kita mesti percaya bahawa Yesus telah mati di kayu salib sebagai korban Allah bagi kita. Kita mesti percaya bahawa darah Yesus sudah ditumpahkan bagi kita. Bila kita percaya, kita perlu menyatakan kepercayaan kita itu kepada Allah dalam doa. Sedarkah kita bahawa melalui doa, kuasa darah Yesus itu dapat dicurahkan atas kita dan keluarga kita? Tetapi ingat, tidak ada rumus atau ungkapan ajaib yang dapat menggerakkan kuasa darah Yesus itu. Kuasa darah Yesus hanya digerakkan oleh iman. Berdoalah dengan iman, dan Allah akan menghormati iman kita itu.
Mahukah kita hidup dalam kemenangan dan bebas dari perhambaan? Kuncinya ialah mematuhi Firman Allah.Sebelum Paskah pertama, Tuhan berfirman di dalam buku Keluaran 12:13 begini:
"Darah itu menjadi tanda bagimu pada rumah-rumah di mana kamu tinggal."
Perkataan ‘tanda’ bererti ‘bukti’ atau ‘satu isyarat’ dalam Bahasa Ibrani. Allah berjanji untuk melindungi semua rumahtangga yang memiliki tanda itu. Ketika Allah melihat tanda itu maka Dia akan melindungi kita.
Ada di antara kita yang mungkin bertanya, "Mengapakah kita harus memohon Allah untuk menudungi kita dengan darah AnakNya setiap hari? Bukankah itu merupakan satu pengulangan yang sia-sia? Tidakkah kita bersikap takhayul?
Kita tidak berdoa setiap hari kerana kita harus berdoa. Kita bersekutu dengan Tuhan kerana kita mengasihiNya dan ingin berbicara dengan Dia setiap hari. Kita juga memohon Roh Kudus memenuhi kita setiap hari. Memohon Tuhan untuk menudungi kita dengan darah Yesus terus-menerus bukan satu usaha yang sia-sia. Ianya adalah satu usaha yang timbul dari niat untuk bersekutu dengan Allah.
Kita juga mungkin bertanya, "Apakah yang di maksudkan dengan ditudungi oleh darah Yesus?
Frasa ini bermaksud kita memanfaatkan semua keuntungan dari salib Yesus Kristus - perlindungan, pengampunan, keamanan, penebusan, pengudusan dan kemenangan.Kerana itu adalah baik bagi kita untuk setiap pagi menyerahkan semula tubuh dan fikiran kita kepada Allah. Mohonlah agar Allah menudungi kita dengan darah Anaknya setiap hari juga. Ini bukan satu upacara yang mesti kita buat melainkan satu penghormatan yang kita miliki sebagai anak Tuhan.
Darah Yesus tidak menudungi kita secara otomatik. Allah tidak akan menjangkau dari langit dan meletakkan tandaNya pada tempat kediaman kita. Kita harus memohon perlindunganNya. Ingatlah bahawa Allah menyediakan apa yang kita perlu tetapi kita pula perlu menerapkan apa yang Allah telah bekalkan. Ini kita dapat lakukan melalui doa yang berlandaskan iman. Umat Israel telah mengambil darah anak domba itu dan membubuhkannya di atas kedua tiang dan ambang atas rumah mereka. Kita juga harus mengambil dan membubuhkan darah Yesus atas diri kita dan seisi rumahtangga kita. Dengan cara ini, sesungguhnya, pagar perlindungan Allah tetap milik kita kerana tandaNya di atas kita selalu.

Tiada ulasan: