Isnin, 4 Februari 2008

Bebas dari Masa Dulu

Berjuta-juta manusia hidup dalam keputus-asaan kerana mereka tidak dapat melupakan masa lalu mereka. Mereka disiksa oleh ingatan-ingatan yang dapat membawa dukacita, kerisauan batin dan bahkan maut.
Iblis mengerti akan kelemahan kita. Itulah sebabnya dia menggunakan kekeliruan mengenai masa lalu kita untuk menyiksa dan menjebak kita dalam dosa. Satu daripada senjata iblis yang paling merbahaya yang digunakannya untuk melawan kita ialah masa lalu kita.
Syukur kepada Allah kerana darah dari salib dapat menyingkirkan perbuatan sia-sia itu dari hati nurani kita. Inilah yang dijanjikan Allah di dalam surat Ibrani bab 9 ayat 13 dan 14.

Sebab, jika darah domba jantan dan darah lembu jantan dan percikan abu lembu muda menguduskan mereka yang najis, sehingga mereka disucikan secara lahiriah, betapa lebihnya darah Kristus, yang oleh Roh yang kekal telah mempersembahkan diriNya sendiri kepada Allah sebagai persembahan yang tidak bercacat.

Sedarkah kita betapa merdeka rasanya kita jika kita dibebaskan dari masa lalu kita? Dapatkah kita memahami sepenuhnya erti hidup ini tanpa berasa salah dan terhukum?
Sebahagian dari kita mungkin berpendapat bahawa masa lalu kita jauh lebih ternoda jika dibandingkan dengan orang lain di sekeliling kita. Dengarlah apa yang dikatakan oleh seorang Kristian terkenal, R.A. Torrey mengenai hal ini. Dia berkata,

Jika kita dapat melihat masa lalu kita seperti Allah melihatnya sebelum ianya dibasuh, rekod mengenai hal yang terbaik diri kita adalah hitam, hitam dan hitam. Tetapi, jika kita berjalan di dalam terang, sambil menyerah kepada kebenaran Allah, percaya pada Yesus dan terangNya, maka rekod kita pada hari ini ialah seputih pakaian Kristus ketika para murid melihatNya di gunung saat Dia dipermuliakan.

Biarlah kata-kata ini meresap masuk ke dalam hati kita: Pada saat darah Yesus yang tercurah itu diletakkan di hati kita, masa lalu kita terkubur sudah. Ianya telah lenyap selama-lamanya dan tidak akan diingat lagi di syurga.
Bayangkanlah kita sedang berdiri di dalam satu ruangan pengadilan. Allah menjadi hakim dan kita berdiri dihadapanNya. Di hadirat kesucianNya, kita ditimbun oleh kesedaran akan dosa kita yang tidak mengenal belas kasihan. Suara Allah bergemuruh, "Aku tahu engkau bersalah." Kita gementar menantikan hukuman maut. Kemudian Allah melanjutkan kata-kataNya, "Engkau bersalah, tetapi Aku menyatakan bahawa dirimu benar. Hukumanmu dibatalkan."
Itulah yang disebutkan pembenaran. Allah memberikan kepada kita suatu kedudukan yang baru. Dia memberi kita satu lembaran hidup yang baru. Kita bersih.
Allah dalam Alkitab mengumumkan kita benar disebabkan perbuatan Yesus di atas kayu salib. Dengarlah kata-kata ini yang dipetik dari surat Roma pasal 3 ayat 25 dan 26.

Dia telah membiarkan dosa-dosa yang telah terjadi dahulu pada masa kesabaranNya. MaksudNya ialah untuk menunjukkan keadilanNya pada masa ini, supaya nyata, bahawa Dia benar dan juga membenarkan orang yang percaya kepada Yesus.

Allah membenarkan semua orang yang percaya kepada Yesus. Darah Yesus yang tercurah itu menyelamatkan kita dari kemurkaan Allah. Amarah Allah yang suci terhadap dosa tidak lagi dituangkan atas kita. Lihatlahapa yang dikatakan Rasul Paulus di dalam surat Roma 5 ayat 9 mengenai perkara ini.

Lebih-lebih, kerana kita sekarang telah dibenarkan oleh darahNya, kita pasti akan diselamatkan dari murka Allah.

R.A. Torrey membuat suatu perbandingan yang indah antara pengampunan dan pembenaran. Katanya,

Dalam pengampunan kita dilucuti dari kain compang-camping yang kotor dan berbau busuk dari dosa-dosa kita; dalam pembenaran kita disaluti kemuliaan dan keindahan Kristus.
Saya berharap agar setiap orang Kristian memahami hal ini. Di dalam Yesus ada pengampunan. Di dalam Yesus ada pembenaran. Di dalam Yesus ada pelepasan.


Jika kita sungguh-sungguh telah bertaubat dari dosa-dosa kita, darah Yesus menyucikan kita dengan sempurna. Rekod masa lalu kita dihapuskan. Tuhan tidak hanya mengampuni melainkan Dia juga telah memilih untuk melupakan dosa-dosa kita. Sebelum saya berhenti, benarkan saya mengongsikan ayat ini yang dipetik dari Yesaya 43:25-26. Semoga ianya memberkati kita.

Aku, Akulah Dia yang menghapus dosa pemberontakkanmu oleh kerana Aku sendiri, dan Aku tidak mengingat-ingat dosamu. Ingatkanlah Aku, marilah kita berperkara, kemukakanlah segala sesuatu, supaya engkau nyata benar!

Tiada ulasan: