Rabu, 13 Februari 2008

Kuasa Darah Dan Doa

Firman Allah itu diperlukan untuk mendatangkan pengetahuan dan menimbulkan iman kepada Allah. Kita perlu memperolehi pengetahuan yang terbanyak dari Firman Allah. Kita mesti ingat bahawa Firman Allah dan darah Yesus bekerjasama - Firman menyatakan dan darah melakukan. Si jahat mungkin memerangi kita pada setiap kesempatan, tetapi bila kita menerapkan kuasa darah Yesus, maka kuasa Allah akan digerakkan.
Seorang gembala pernah bersaksi mengenai apa yang terjadi setiap kali dia berkhutbah mengenai darah Yesus. Katanya,
Setiap kali saya berkhutbah mengenai darah Yesus, tiga hal terjadi. Pertama, iblis selalu berusaha untuk mengalihkan perhatian saya supaya saya tidak dapat menyiapkan diri bagi topik itu. Kedua, dia berusaha sedapat-dapatnya untuk mengganggu kebaktian itu. Akhirnya, hadirat Allah yang luarbiasa biasanya menyertai penyampaian khutbah itu dan ramai yang menerima Yesus sebagai Juruselamat mereka.
Sedihnya, ada sebilangan gembala yang tidak pernah menyampaikan satu khutbah pun mengenai darah Yesus dan dengan itu kehilangan berkat yang besar bagi sidang mereka. Begitu juga keadaannya dengan sebahagian orang Kristian yang jarang mengucapkan kata 'darah Yesus' sejak pertaubatan mereka. Topik darah Yesus ini agaknya sudah terhapus sama sekali dari ingatan mereka.
Walaupun begitu, kita harus sedar bahawa Allah secara khusus telah memerintahkan umat Israel untuk memperingati hari Paskah. Apabila Yesus meraikan Paskah dan memperkenalkan apa yang kita panggil Jamuan Suci pada hari ini, Dia juga memberi perintah yang sama. Di dalam surat 1 Korintus 11:23-26, Rasul Paulus menerangkan kepada kita apa yang telah dikatakan Yesus. Katanya,

Sebab apa yang telah ku teruskan kepadamu, telah aku terima dari Tuhan, iaitu bahawa Tuhan Yesus, pada malam waktu Ia diserahkan, mengambil roti dan sesudah itu Ia mengucap syukur atasnya; Ia memecah-mecahkannya dan berkata: "Inilah tubuhKu yang diserahkan bagi kamu; perbuatlah ini menjadi peringatan akan Aku!" Demikian juga Ia mengambil cawan, sesudah makan lalu berkata:"Cawan ini adalah perjanjian baru yang dimeteraikan oleh darahKu; perbuatlah ini, setiap kali kamu meminumnya, menjadi peringatan akan Aku!" Sebab setiap kali kamu makan roti ini dan minum cawan ini, kamu memberitakan kematian Tuhan sampai Ia datang.

Sesungguhnya, pengisytiharan tumpahan darah Yesus dan kuasanya bagi kita harus dilakukan sehingga Yesus kembali. Ianya harus dilakukan selalu supaya kita tidak lupa mengatakan hal darah Yesus serta meraihkan berkat-berkatnya.
Tuhan tidak pernah mengubahkan niatnya tentang perjanjian darah dengan umatNya. Perjanjian darah Allah dengan umatnya tidak terbatas pada masa penggembaraan umat Israel di padang gurun semasa menuju ke Tanah Perjanjian. Perintah untuk memperingati hari Paskah tetap laku sesudah mereka sampai di tanah perjanjian. Inilah yang dikatakan nabi Musa kepada umat Israel di dalam buku Keluaran 12:25,

Dan apabila kamu tiba di negeri yang akan diberikan Tuhan kepadamu, seperti yang difirmankanNya, maka kamu harus pelihara ibadah ini.

Sebenarnya, lebih banyak lagi yang harus kita ingat sebagai orang Kristian pada masa kini. Kita harus ingat bahawa Allah telah menggantikan darah domba dan kambing dengan korban yang sempurna, iatu Yesus. Kita harus memperingati perjanjian Allah dengan kita melalui darah Yesus sampai selama-lamanya.
Kita juga harus sering memohon kepada Allah untuk menudungi kita dengan darah Yesus. Darah Yesus telah ditumpahkan untuk kita. Jika darah seekor binatang dapat melindungi sebuah keluarga pada waktu nabi Musa, betapa lebih lagi kesanggupan darah Yesus untuk melindungi kita sekarang. Roh-roh jahat mengenal kuasa darah Yesus. Jadi jika roh-roh jahat mengenalnya, maka kita harus lebih mengenalnya.
Saya yakin bahawa bila kita memohon Allah untuk menudungi kita dengan darah Yesus, maka Dia menghormati hal itu. Ini adalah kerana hal ini melambangkan nama Yesus dan erti nama itu, iaitu Juruselamat.
Kuasa menyelamat ada di dalam Yesus dan kita mempunyai satu jalan masuk ke dalam keselamatan itu, iaitu melalui doa. Segala sesuatu dapat terjadi melalui doa. Semoga kita juga akan belajar mengalami kuasa darah Yesus melalui doa dan dengan itu tetap hidup dalam keselamatan yang benar.

Tiada ulasan: