Jumaat, 14 Januari 2011

Sedikit Tentang Allah

Penulis novel, Katherine Mansfield, seorang ateis, bangun pada satu pagi yang indah di vilanya di selatan Perancis, memandang keluar tingkapnya pada keindahan yang ada, dan berkata: 'Bagaimana saya berharap ada seseorang untuk saya ucapkan terimakasih!'
Ada Katherine. Dan Allah telah mendengar anda. . .
Siapa Allah? Di mana Allah? Seperti apa Allah?
Apabila anda berhadapan dengan Allah yang digambarkan dalam Alkitab, anda patut bersedia untuk beberapa kejutan. Kita mendefinisikan realiti dalam linkungan pengalaman yang terhad, dan, jika pengalaman itu telah dicacatkan oleh perhubungan yang tidak baik, 'nasib malang' atau pengurusan-hidup yang kurang baik, kita mungkin menghasilkan jangkaan-jangkaan tentang Allah yang juga cacat. Kita hanya mengetahui sebahagian dan melihat melalui kaca yang gelap. Jadi apabila kita berbicara mengenai Allah ('cakap-Allah') kita menderita pembatasan yang hebat.
Siapa Allah? Mistik Jerman, Gerhard Tersteegan menulis: 'Tuhan yang difahami, tuhan yang diketahui, bukan lagi tuhan.' Setelah semua perkataan dan teori, khutah dan teologi, Tuhan masih tersembunyi, dan di luar pengertian kita. 'Kita tidak dapat melihat cahaya,' tulis C.S. Lewis dalam The Four Loves, 'walaupun dengan cahaya kita boleh melihat benda-benda. Kenyataan-kenyataan tentang Allah adalah ekstrapolasi-ekstrapolasi dari pengetahuan akan benda-benda ini yang diketahui dengan bantuan penerangan ilahi.'
Dari dahulu lagi, tradisi Ortodoks Timur telah berpegang bahawa Allah pada dasarnya tidak diketahui; dia diketahui melalui kerja-kerja dan kata-kataNya.
'Allah' bukan katanama yang statik tetapi katakerja yang dinamik. Ianya seperti cuba memahami satu pejalanan keretapi dengan meneliti jadual perjalanannya; anda mesti menyertai perjalanan itu untuk mengalaminya. Nicholas Berdyaev, ahli falsafah Rusia, mengingatkan kita bahawa akidah teologi tidak perlu untuk iman, tetapi iman perlu untuk akidah teologi. Percaya itu hasil dari melihat.
Menurut rasul Paulus, Allah Alkitab ialah dia yang dapat menciptakan apa yang ada dari apa yang tidak ada: dia boleh membuat orang mati hidup kembali. Allah ialah jumlah penuh semua yang mungkin.
Allah itu kasih dan Allah adil. Keadilan Allah, kata C.S. Lewis, ialah kasihNya yang bertungkus-lumus berusaha menjadikan kita senang dikasihi. Apabila dosa kita menjadi jijik kepada kita sepertimana ianya begitu tampak kepada Allah, kita mungkin memahami sedikit amarahNya terhadap dosa yang memusnahkan kita. Dia telah memberi kita sepuluh hukum (bukan sepuluh cadangan) untuk memelihara satu persekitaran moral di mana manusia dapat hidup selamat. Kebaikan hati dan kekerasan Allah (Roma 11:22) digabungkan bersama dalam Alkitab, dan apa yang Allah cantumkan janganlah orang Farisi atau orang sentimental asingkan (walaupun ada misteri yang besar di sini). Hakim seluruh dunia akan bertindak adil, dia dapat lakukannya tanpa bantuan kita, dan itu melegakan.
Di mana Allah? Di syurga, di tempat-tempat suci dan perayaan-perayaan keagamaan, ya, tetapi juga di dalam kita, iaitu dasar kewujudan kita (Tillich), dalam kebiasaan harian, dan dalam krisis, dalam keindahan alam yang pelbagai, dalam orang lain dan secara unik dalam Yesus dari Nazaret - 'Allah telah berada dalam Kristus.' Kita memikir tentang Allah sebagai dia yang melampaui segalanya - ('di luar sana') - dan sebagai dia yang selalu ada ('di bawah sini').Allah bukan hanya jauh di sana, melewati langit biru yang terang; dia lebih dekat dari nafas kita, lebih dekat dari tangan dan kaki kita sendiri. Allah ialah nyawa dalam setiap mahkluk hidup - Justin Martyr berkata dia 'hadir dalam semua ciptaanNya walaupun tidak kelihatan' - tetapi sebagai Pencipta dia lebih agung dari semua ciptaanNya.
Tetapi soalan yang lebih penting ialah: 'Di mana Allah apabila saya sakit?' dan 'Apakah Allah pekak?' Sejak zaman alkitabiah ketidakhadiran dan kesenyapan Allah yang ketara telah membingungkan dan menyakitkan umatNya.
Dalam buku Samuel Beckett, Waiting for Godot, 'Allah' dianggap, tidak datang. Sejak peristiwa di Auschwitc, ramai tertanya-tanya apakah kita masih dapat memuji dia. Dan hari ini, di banyak bahagian dunia, hamba-hambaNya diejek, disiksa dan dibunuh. Dan tangisan mereka yang mati syahid tetap lebih kuat dari suara mereka yang membantah ketidakadilan yang telah dilakukan.
Tuhan tidak pekak, dia mendengar. Dia menderita dengan umatnya dan mendengar tangisan mereka. 'Di mana Allah anda apabila anak saya mati dalam kemalangan kereta?' minta seorang ibu yang bingung kerana sedih.Gembala itu menjawab dengan tenang, 'Di tempat yang sama apabila anakNya dibunuh'
Seperti apa Allah itu? Kelaparan kita untuk Allah Allah telah diungkapkan oleh Filipus dengan baik: 'Ya Tuhan, tunjukkanlah Bapa kepada kami, supaya kami puas' (Yohanes 14:8). Jawaban Yesus menakjubkan: 'Orang yang sudah melihat Aku sudah melihat Bapa' (Yohanes 14:8). Seperti apa Allah? Dia seperti Yesus. Yesus ialah Allah untuk anda, dekat anda. Iman anda bergantung atas dia dari permulaan hingga akhir (Ibrani 12:2). Dia tidak berhenti mengasihi anda. Dia fikir anda cantik, dia bersuka dalam anda; jadi dalam sukacita dan penghiburan penerimaanNya yang penuh, sediakanlah ruang untuk kejutan, harapan kekaguman dan yang tidak disangka dan, terulung sekali, kepastian yang menggalakkan bahawa anda dikasihi buat selama-lamanya.
Dan jangan lupa, sepertimana pernah dikatakan oleh seorang mistik tua, jika anda memiliki Allah, segala yang lain anda tidak miliki selain Allah sahaja; dan jika anda memiliki segalanya dan tidak memiliki Allah, anda tidak mempunyai apapun.

Buku Baru, Buku Percuma



Sukacita dimaklumkan bahawa Pelayanan Petros telah menghasilkan satu lagi buku Kristian untuk kegunaan sidang-sidang Tuhan khasnya di Sabah dan Sarawak - Bagaimana Menjadi Seorang Kristian. Buku yang dikarang oleh Pastor Peter de Run (Pengarah Pelayanan Petros dan pengajar Firman bebas) ialah sebuah buku kecil (32 muka surat) yang menerangkan mengapa mempercayai Yesus dan menerimaNya sebagai Tuhan dan Penyelamat adalah cara untuk diselamatkan. Buku ini juga menyentuh beberapa salah faham tentang mengapa seorang itu Kristian dan tuduhan-tuduhan yang biasa dilemparkan tentang ajaran Kristian.

Buku ini sesuai untuk sesiapa sahaja:
  • yang berminat menjadi seorang Kristian dan sedang mencari penjelasan
  • yang dibesarkan dalam komuniti Kristian tetapi belum diselamatkan
  • tetamu kebaktian
  • pemberian percuma ketika menginjil
  • bahan bacaan untuk mereka yang baru percaya
Buku ini boleh dibeli dengan harga RM2.00 senaskhah dengan membuat pesanan melalui e-mel (peterderun@gmail.com) atau panggilan telefon (019-8898049). Anda boleh memuat turun dengan PERCUMA buku ini dari www.scribd.com/doc/45911783/Bagaimana-Menjadi-Kristian

Sukacita juga dimaklumkan bahawa Pelayanan Petros sekarang menawarkan perkhidmatan penerbitan buku kepada mana-mana orang Kristian yang mahu menerbitkan buku Kristian dalam Bahasa Malaysia yang telah mereka tulis. Pihak kami juga sedia memberi bantuan khidmat nasihat dan pemasaran buku yang telah dicetak.

Saya mahu menggalakkan khususnya hamba-hamba Tuhan yang telah banyak berkhutbah, menganjurkan seminar atau lama melayani mengambil kesempatan ini mengkompilasikan semua nota-nota khutbah atau seminar dan menjadikannya buku untuk bacaan lebih ramai orang. Juga pengalaman-pengalaman semasa pelayanan sememangnya harus direkodkan dan dijadikan buku untuk memuliakan nama Tuhan. Apakah anda minat? Hubungi saya menggunakan e-mel atau nombor telefon yang tertera di atas.

Semoga Allah bapa dan Yesus Kristus, Penyelamat kita, menyertai anda serta memberkati anda dengan damai sejatera dan kasih kurnia dari syurga.

Rabu, 15 Disember 2010

Tujuan Berdoa

Semua manusia memerlukan udara untuk bernafas. Udara adalah hidup bagi badan seperti mana doa adalah hidup bagi badan rohani kita. Bila kita tidak berdoa, kita akan kesesakkan dan mungkin mati secara rohani!
Doa adalah perbualan kita, iaitu anak-anak Allah, dengan Tuhan, Bapa kita. Usaha ini terhasil dari satu keinginan untuk mengadakan satu perhubungan yang intim dan suci dengan Tuhan. Doa adalah persekutuan dengan Allah Bapa menerusi Yesus. MelaluiNya kita berhubung dengan Allah.
Allah mengarahkan kita untuk sentiasa berhubung denganNya. Dengarlah apa yang dinyatakan oleh rasul Paulus di dalam 1 Tesalonika 5:17: Tetaplah berdoa.
Mengapakah kita mesti berdoa? 
Pertama, untuk menerima perbekalan harian kita dari Allah. Kita banyak kali kekosongan dan hilang sukacita kerana gagal meminta apa yang kita perlu daripada Tuhan. Sebenarnya, segala sesuatu yang kita minta dari Allah Bapa akan diberikan kepada kita. Inilah yang dijanjikan Yesus kepada kita seperti mana yang dicatat di dalam Injil Yohanes bab 16 ayat 23 dan 24 yang berbunyi:
Sesungguhnya segala sesuatu yang kamu minta kepada Bapa, akan diberikanNya kepadamu dalam namaKu. Sampai sekarang kamu belum meminta sesuatupun dalam namaKu. Mintalah maka kamu akan menerima, supaya penuhlah sukacitamu.
Kedua, kita berdoa kerana doa adalah senjata kita melawan godaan. Kita semua akan digoda. Kejayaan mengatasi godaan banyak bergantung kepada doa. Jika kita berdoa dan menggunakan Firman Allah sebagai inti utama doa kita, kejayaan atas godaan akan menjadi pasti. Inilah nasihat Yesus kepada murid-muridnya di dalam Injil Lukas bab 22 ayat 40:
     Berdoalah supaya kamu jangan jatuh ke dalam pencobaan.
Kita sering risau. Banyak peristiwa di sekeliling kita membuat hati kita kacau. Perbuatan dan kata-kata orang yang membenci kita sering menimbulkan kerisauan dan ketidaktentuan di dalam hidup kita. Rasul Petrus menggalakkan kita untuk berdoa apabila kerisauan melanda. Sebab ketiga kita berdoa ialah untuk melawan kerisauan. Inilah nasihat rasul Petrus di dalam surat 1 Petrus pasal 5 ayat 7.
     Serahkanlah segala kekhuatiranmu kepadaNya, sebab Ia yang memelihara kamu.
Sebab keempat, kita berdoa untuk menerima keselamatan dari Allah. Banyak kali kita mengalami kesukaran dan memerlukan bantuan Allah. Allah sedia menyelamatkan kita dari situasi-situasi yang membahayakan. Kita hanya perlu berdoa, menyeru kepadaNya untuk menyelamatkan kita. Ingat, keselamatan Allah dekat, sedekat doa di bibir.
Kelima, kita berdoa untuk mengetahui kehendak dan bimbingan Allah. Adalah sangat penting bagi kita untuk hidup berdasarkan kehendak Allah, dipimpin oleh suara Allah sahaja. Satu cara yang baik untuk mengetahui kehendak Allah ialah dengan menanyakan Tuhan. Di dalam doa kita boleh memohon petunjuk dan menerima bimbingan dari Allah. Dalam suasana berdoa, suara Allah lebih senang untuk didengar. Kerana itu, lapangkanlah banyak masa dalam doa, lebih-lebih lagi apabila kita memerlukan petunjuk atau firman yang khusus daripada Allah mengenai sesuatu situasi. Inilah yang dinyatakan oleh Tuhan kepada kita di dalam buku Yeremia 33:3, kataNya:
     Berserulah kepadaKu, maka Aku akan menjawab engkau dan akan memberitahukan kepadamu hal-hal yang besar dan yang tidak terpahami, yakni hal-hal yang tidak kau ketahui.
Inilah sebabnya kita berdoa. Kita berdoa untuk mengalami sukacita, keselamatan, kebebasan . Kita berdoa untuk menerima bimbingan dan nasihat. Kita berdoa kerana tanpa doa kita akan gagal.
Doa sangat penting dan kerana itu kita mesti selalu berdoa. Doa boleh dilakukan dimana-mana sahaja.Tidak ada tempat di mana kita tidak boleh berbual denganNya. Apabila rasul Paulus menasihati Timotius mengenai hal ini, dia berkata:
     Oleh kerana itu aku ingin supaya di mana-mana orang laki-laki berdoa dengan menadahkan tangan yang suci tanpa marah dan tanpa perselisihan.
Petikan yang diambil dari surat 1 Timotius 2 ayat 8 mendedahkan keinginan Paulus supaya di mana-manapun, umat Tuhan akan berdoa.
Akhir kata, berdoalah selalu. Kita bebas berdoa bila-bila masa, setiap hari. Kita tidak akan rugi apabila kita berdoa. Jadikanlah doa satu tabiat yang diamalkan setiap hari. 

Isnin, 13 Disember 2010

Kembalikan Kristus kepada Krismas

Sebenarnya ada dua perayaan Krismas yang berlangsung serentak setiap kali bulan Disember menjelang. Krismas yang pertama ialah perayaan yang diraikan dengan penuh kegembiraan oleh mereka khususnya di negara-negara Barat dan oleh mereka yang terpengaruh dengan budaya dan amalan mereka.Perayaan ini memberi perhatian kepada keadaan salji dan pelbagai aktiviti berkaitan dengannya, kepentingan pulang kampung dan bersama dengan keluarga, makanan yang enak dan pelbagai, serta pembelian pelbagai perhiasan dan hadiah. Peribadi utama dalam perayaan Krismas ini ialah Santa Claus, orang gemuk tua berbaju merah yang sentiasa ceria (Ho, ho, ho!). Perayaan ini diraikan oleh ramai orang bukan-Kristian dan tidak ada kaitan terus dengan sebab sebenar Krismas di raikan - Kristus.Krismas ini saya panggil Krismas tanpa Kristus atau lebih bagus dipanggil Xmas atau Clausmas.
Perayaan Krismas yang kedua, yang diraikan secara kecil-kecilan diseluruh dunia oleh pelbagai bangsa, memberi keutamaan kepada peribadi utama Krismas - Yesus Kristus.Mereka yang meraikannya semua orang Kristian yang gembira Tuhan Yesus Kristus telah datang ke dunia. Inkarnasi Tuhan dan sebab Dia datang (untuk mati di kayu salib) dinyanyikan dan diisytiharkan oleh mereka. Semua amalan dan aktiviti ketika perayaan ini dilangsungkan untuk menyampaikan mesej Allah telah datang dalam bentuk manusia - lagu-lagu Krismas dan 'carolling', pokok Krismas yang terang dan bintang besar di atasnya,  dan perhiasan-perhiasan rumah yang menggambarkan Maria dan Yusuf bersama anak mereka yang baru lahir beserta gembala-gembala kambing yang datang melawat.
Krismas yang mana satu anda raikan? Marilah kita berusaha mengembalikan dan mengutamakan Kristus dan Injil dalam perayaan Krismas (Christ + Mass) tahun ini.

Selasa, 7 Disember 2010

Mana Kristian Internet?


Sudah sampai masanya pemuda-pemudi Kristian yang berjalan sana sini membawa laptop mereka, yang sentiasa berhubung melalui email, yang meluahkan isi hati dan pengalaman dalam blog dan yang berkawan dan berkongsi dengan beratus malahan beribu orang tentang diri mereka dalam Facebook untuk bangkit dan menggunakan dunia baru ini serta semua kecanggihannya untuk mengisytiharkan Yesus dan InjilNya, berhubung dengan orang Kristian lain dalam dunia siber dan mencetuskan serta menyebarkan hadirat agama Kristian dalam Bahasa Malaysia ke dalam dunia siber ini. Anda sudah? Anda mahu? Anda boleh!

Isnin, 29 November 2010

Beritahu saya

Pembaca blog saya yang setia,

Tahun depan saya akan mula berusaha untuk mencetak buku-buku Kristian Bahasa Malaysia hasil tulisan anak-anak Tuhan dari Sabah dan Sarawak. Saya ingin tahu pendapat anda mengenai dua isu:
  1. Apakah pendapat anda tentang menhasilkan buku bulanan untuk membantu renungan dan kajian Alkitab yang mudah dan ringkas dan diedarkan percuma? Sila beri komen dan cadangan.
  2. Apakah anda rasa remaja Kristian di Sabah dan Sarawak akan minat membaca cerpen Kristian dalam Bahasa yang bertemakan cinta, isu masa kini atau kehidupan di sekolah/kampus? Sila beri komen anda - lebih banyak lebih bagus!
Terima kasih kerana membantu.

Kenangan KKR di Mulu

Saya menulis blog ini di Miri setelah tiga hari berada di Mulu menyampaikan Firman Tuhan dalam 7 sesi/kebaktian. Saya bersyukur untuk kekuatan dari Allah dan Firman yang dapat saya sampaikan. Harapan saya semua yang mendengar diberkati, yakin Allah telah berbicara kepada mereka melalui saya dan bertekad untuk mengaplikasi apa yang telah didengar.
Semua ajaran saya berlegar di sekeliling dua fokus - (1)pemulihan yang Allah sedang lakukan di dalam semua orang percaya secara peribadi dan (2)bagaimana menjadi saksi Tuhan dan kemudiannya bersaksi tentang apa yang benar mengenai Yesus kepada lain.
Saya juga berpeluang berkenalan dengan beberapa pastor dan berkongsi rancangan saya untuk memulakan pelayanan penerbitan buku Kristian Bahasa Malaysia percuma mulai tahun depan. Saya betul-betul berharap ramai pastor akan mengongsikan nota-nota khutbah mereka, nota-nota seminar yang mereka susah payah sediakan serta apa-apa tulisan Kristian lain hasil kerja tangan mereka untuk diterbitkan dalam bentuk buku untuk kebaikan semua.
Puji Tuhan juga untuk pelbagai berkat yang diterima - jualan buku/DVD yang hangat, makanan (khususnya babi) yang tak habis-habis serta berkat kewangan.
Segala pujian kepada Bapa di syurga!