Rabu, 27 Oktober 2010

Siaran TV Baru - Udang di Sebalik Batu?

Selamat pagi dan shalom kepada semua pembaca blog saya.

Baru-baru ini telah diumumkan bahawa satu lagi saluran TV akan diperkenalkan di Malaysia (pelancarannya pada 1 Disember) yang akan membekalkan rancangan-rancangan dalam agama rasmi negara ini sahaja (TV-Al Hijrah). Stesyen penyiaran ini terletak di Pusat Islam di Kuala Lumpur. Bertemakan "Segalanya Bermula Di Sini", siaran percuma ini memberi fokus kepada program-program untuk kanak-kanak, remaja dan mereka di bawah umur 40 tahun. Rancangan-rancangan tempatan akan diberi keutamaan tetapi rancangan dari Iran, Turki dan Belanda juga akan ditayangkan.

Siaran awal saluran TV ini akan berlaku di empat negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, dua buah negeri yang mempunyai jumlah penduduk agama rasmi Malaysia yang kurang.

Saya yakin tujuannya adalah untuk membantu memperkukuhkan iman penganut agama ini. Walaupun begitu siaran ini adalah pedang dua mata yang walaupun memberkati mereka seagama juga boleh menjadi alat dakwah kepada majoriti bukan-Islam di Sabah dan Sarawak yang banyak menonton TV atau ingin tahu apakah rancangan-rancangan yang ditawarkan oleh siaran baru ini.

Marilah kita sentiasa berwaspada apa yang dibenarkan masuk melalui tingkap mata kita . . .

Sedia Patuh, Apa Saja

Pembaca sekalian, lihatlah apa yang diajukan kepada kita oleh penulis surat Ibrani, di dalam pasal 12 ayat 1 yang berbunyi demikian,

Kerana kita mempunyai banyak saksi, bagaikan awan yang mengelilingi kita, marilah kita menanggalkan semua beban dan dosa yang begitu merintangi kita, dan berlumba dengan tekun dalam perlumbaan yang diwajibkan bagi kita.

Allah sedang memanggil semua orang kudus untuk menanggalkan semua bebanan yang mengikat atau yang menahankan mereka kepada perkara-perkara di bumi. Kita diseru untuk membebaskan diri kita dari segala sesuatu yang akan menahan kita dari memenuhi panggilan Allah. Berusahalah melepaskan diri kita dari apa-apa yang akan merintangi kesanggupan kita untuk mengalir dengan RohNya.

Allah tidak mencari bejana-bejana emas dari bumi ini. Dia tidak mencari bejana-bejana perak. Dia mencari bejana-bejana yang sederhana, biasa, dan yang setia mematuhi apapun yang disuruhNya. Bila Allah berfirman, kita harus patuh. Kita tidak perlu mengajukan pertanyaan-pertanyaan. Kita tidak usah mengadakan tunjuk perasaan, atau dengan kebijaksanaan manusia membahaskan soal-soal rohani.

Bila Allah bersabda, kita harus segera mematuhiNya. Kepatuhan ini dibuat dengan menyedari bahawa Dia dapat dipercayai untuk melaksanakan FirmanNya. Dengan kesedaran ini kita juga akan mengetahui bahawa Dia tidak akan pernah gagal.

Bila sahaja Allah bersabda, kita dapat yakin bahawa Dia akan meneruskan kata-kataNya dengan manifestasi yang dapat dilihat. Buah-buah hasil daripada ucapanNya yang telah digenapi akan jelas kelihatan. Jika Allah bersabda, "Lompatlah menembusi tembok itu!" kita tidak boleh bertanya di mana letaknya lubang dalam tembok itu. Kita harus melompat dan membiarkan Allah untuk memikirkan hal di mana tempat letaknya lubang itu. Ini mungkin kedengaran agak keterlaluan, tetapi begitulah seharusnya kekuatan iman kita kepada Allah.

Marilah kita membangunkan diri kita, agar kita mampu juga untuk membangun orang lain. Allah sentiasa berkata, "Bangunkanlah para pahlawan lelaki dan wanita. Bangunkanlah mereka yang suci hati, yang tahu cara berperang dalam roh sampai tibanya kemenangan. Bangunkanlah mereka yang dihina dan ditolak oleh para pemimpin keagamaan yang berkuasa. Bangunkanlah mereka yang dihina dan ditolak kerana tradisi manusia yang bertentangan dengan Aku."

Dalam masa terakhir pencurahan Roh Kudus ini, kita menghadapi banyak pertempuran besar. Demi untuk meneruskan hidup, kita harus melepaskan diri kita daripada semua belenggu dan beban yang tetap mengikat kita pada bumi ini. Ini adalah supaya kita akan tetap maju dalam pertempuran sebelum musuh kita mulai menyerang, sementara kita belajar untuk mengalir dengan Roh Kudus yang mulia itu.

Kita harus masuk ke ruang takhta Allah, duduk di meja pertemuanNya dan menerima recana-rencana serta perintah-perintahNya bagi kita. Sebahagian dari maklumat yang akan dikongsikan Allah merupakan perintah rahsia, dan tertutup rapat, yang tidak boleh diketahui oleh sesiapapun juga. Hari ini kita sedang berdiri dipersimpangan jalan, baik orang percaya secara peribadi, mahupun sebagai gereja secara keseluruhannya. Setiap orang percaya dan setiap badan gereja harus membebaskan diri dari semua keterlibatan duniawi agar mereka dapat dengan segera menanggapi petunjuk akhir zaman dari Allah itu.

Ramai orang yang telah menghayunkan beberapa langkah mereka ke dalam alam Roh Kudus untuk mendengar suara Allah gagal untuk tinggal di sana. Ini adalah kerana mereka tidak melepaskan diri mereka sepenuhnya. Selanjutnya mereka gagal untuk mengetahui apa yang Allah yang telah rancangkan hanya untuk mereka.

Tentu sahaja orang yang berjalan dalam daging akan berusaha untuk melemahkan semangat kita, ketika kita berusaha bergerak sepenuhnya di dalam alam roh. Mereka akan berkata, "Jadilah normal sahaja. Jangan jadi aneh." Pernahkah kita mendengar ucapan ini? Sebenarnya, apa yang mereka ucapkan itu adalah, "Janganlah jadi normal. Jadilah aneh seperti kami!"

Apakah beban atau ikatan yang membuat kita undur? Apakah ianya satu persahabatan yang tidak sihat? Apakah ianya perasaan sombong? Apakah ianya satu hutang yang belum dijelaskan? Biar apapun beban itu, buangkanlahnya!

Langkahkanlah kaki kita ke dalam kemerdekaan yang telah disediakan oleh Kristus. Firman Allah telah membukakan jalan keluar bagi kita. Carilah Allah dengan rajin, melalui doa dan FirmanNya, supaya kita dapat mengalir bersama dengan RohNya. Tuhan mahu kita bebas dan menang dalam perlumbaan hidup yang sudah kita sertai.

Anggaplah diri kita sebagai seorang pelari dalam perlumbaan yang telah ditetapkan oleh Yesus. Bebaskanlah diri kita dari segala sesuatu yang mungkin akan meringtangi kesempatan kita untuk menang.

Isnin, 27 September 2010

Yesus Pengantara Kita

Dunia memerhati dengan kagum ketika negara Israel dan Organisasi Pembebasan Palestin menandatangani suatu perjanjian yang menjanjikan perdamaian antara mereka yang telah bermusuhan berabad-abad lamanya.

Apakah kedua tokoh pemimpin itu hanya secara kebetulan berjumpa pada suatu hari? Tidak. Saat bersejarah itu tiba setelah adanya perundingan bertahun-tahun melalui pihak ketiga iaitu melalui seorang pengantara.

Akibat dari darah yang dicurahkannya, Tuhan Yesus telah menjadi pengantara kita dengan Allah. Marilah kita perhatikan bersama apa yang ditulis di dalam surat Ibrani 9:15.

Kerana itu Ia adalah Pengantara dari suatu perjanjian yang baru, supaya mereka yang telah terpanggil, dapat menerima bagian kekal yang dijanjikan, sebab Ia telah mati untuk menebus pelanggaran-pelanggaran yang telah dilakukan selama perjanjian yang pertama.

Umat manusia selalu memerlukan seorang pengantara. Ayub pernah berkata, "Oh, kiranya ada seorang yang dapat memohon untuk manusia kepada Allah" (Ayub 6:21).

Di bawah perjanjian yang lama, imam besar menjadi wakil rasmi umat Allah dalam urusan-urusan rohani. Tetapi, ada beberapa persoalan yang tidak dapat diselesaikannya.

Eli, seorang imam besar Israel ada berkata, "Jika seseorang berdosa terhadap seorang yang lain, maka Allah yang akan mengadili: tetapi jika seseorang berdosa terhadap Tuhan, siapakah yang menjadi pengantara baginya? (1 Samuel 2:25).

Kini Kristus telah menjadi imam besar kita melalui penumpahan darahNya. Itulah yang memberikanNya hak untuk menjadi pengantara kita yang rasmi di syurga, mewakili kita di hadapan Allah. Sebagai pengantara, Yesus mengantara untuk kepentingan kita. Di dalam surat Roma 8:34, Rasul Paulus berkata bahawa Yesus telah mati, bangkit dan duduk di sebelah kanan Bapa. Di sana Yesus menjadi Pembela bagi kita. Dialah imam besar kita yang selalu mengantara untuk kita.

Kerana Yesuslah imam besar kita, maka dosa tidak akan dapat mengalahkan kita. Inilah harapan kita semua kerana ada tertulis di dalam surat Ibrani 7:25 janji ini:

Kerana itu Ia sanggup juga menyelamatkan dengan sempurna semua orang yang oleh Dia datang kepada Allah, sebab Ia hidup sentiasa untuk menjadi Pengantara mereka.

Hanya ada satu alasan sahaja mengapa Yesus dapat menjadi pengantara kita di syurga. Ini adalah kerana Dia adalah Allah dan manusia sekaligus! Dengarlah kesaksian Alkitab mengenai hal ini di dalam surat Ibrani 2:14.

Kerana anak-anak itu adalah anak-anak dari darah dan daging, maka Ia juga menjadi sama dengan mereka dan mendapat bagian dalam keadaan mereka.

Hanya Yesus dapat berkata, "Aku tahu keadaan manusia dan Aku dapat memberitahu kepadamu keadaan Allah. Aku memahami keadaan mereka berdua". Apabila kita sedang digoda, Yesus dapat berbicara kepada Bapa dan berkata, "Aku telah mengalami hal itu juga". Surat Ibrani 4:15 berkata,

Sebab Imam Besar yang kita punyai, bukanlah imam besar yang tidak dapat turut merasakan kelemahan-kelemahan kita, sebaliknya sama dengan kita, Dia telah dicobai, hanya tidak berdosa.

Yesus tidak berdosa, namun Dia menjadi penanggung dosa kita. Dia menyucikan kita dari kenajisan dosa sepenuhnya. Melalui darah dari salib, Yesus menyingkirkan rintangan yang menyebabkan pemisahan antara Allah dan manusia dan memulihkan persekutuan kita dengan Allah.

Walaupun Yesus itu kudus dan tanpa salah, namun Dia turut merasakan kelemahan-kelemahan kita. Kerana itu kita dapat dengan penuh keberanian menghampiri takhta Allah kerana di sana Juruselamat kita sedia untuk membela kita. Kita dapat menghampiri takhta kasih kurnia Allah dan menerima rahmat dari Allah melalui pengantaraan Yesus. Juruselamat yang ajaib ini tidak akan menghukum kita. Dia mengasihi kita. Dia telah mati bagi kita supaya kita dapat sekali lagi menjadi waris rahmat Allah. Yesuslah pengantara kita, antara kita dan Allah. Inilah yang dinyatakan di dalam surat 1 Timotius 2:5-6,

Kerana Allah itu esa dan esa pula Dia yang menjadi pengantara antara Allah dan manusia, iaitu manusia Yesus Kristus, yang telah menyerahkan diriNya sebagai tebusan bagi semua manusia.

Kerana tebusan inilah, maka Allah menyatakan bahawa kita bebas dari dosa dan maut. Jadi, datanglah kepada Yesus Kristus pengantara kita sekarang. Yesus telah bersabda,

Akulah jalan dan kebenaran dan hidup. Tidak ada seorang pun yang datang kepada Bapa, kalau tidak melalui Aku (Yohanes 14:6)

Yesus sedang menunggu kita.

Ahad, 26 September 2010

Memahami Allah Tritunggal

Salam sejahtera,

Saya membuat anggapan anda telah hadir seminar Triniti di Shalom kelmarin. Saya gembira anda sedang memikir dan cuba memahami dan menyelitkan fahaman yang sudah ada untuk membayangkan atau memahami ayat-ayat tentang Triniti. Ok, sekarang untuk jawab soalan anda:

Bagi saya soalan ini tidak timbul jika anda mempunyai fahaman teologi (ajaran tentang Tuhan) dan kristologi (ajaran tentang Yesus) yang betul dan lengkap.

1. Tuhan ialah ROH - perkataan 'roh' boleh disamakan dengan perkataan 'gas'. Tuhan bersifat gas - wujud, tetapi tidak boleh dilihat tetapi ada sifat khusus. Allah Triniti ibaratkan gas sebatian - satu jenis gas yang mengandungi 3 komponen. Di mana gas itu berada, di sana ketiga-tiga komponen itu ada. Sama dengan Allah Triniti - di mana Allah berada dan apa saja Allah buat ketiga-tiga peribadi Allah ada di sana dan terlibat bersama. Bapa, Anak dan Roh bersifat Roh.

2. Apabila orang Kristian berkata Yesus menjadi manusia, apa yang dimaksudkan ialah apa yang difahami orang Kristian tentang penciptaan manusia dalam rahim wanita. Untuk setiap manusia yang tercipta - badan mereka dihasilkan dalam rahim dan hidup (nyawa) untuk ketulan daging dalam rahim itu terhasil apabila roh disimpan di dalamnya (roh diberi dari Allah). Dalam inkarnasi Yesus, tubuh fizikal dibuat dan disediakan dari benih Maria oleh Roh Kudus dalam rahim Maria, dan Yesus (dalam keadaan roh) masuk ke dalam badan itu (mendiami/mengenakan darah dan daging). dan untuk sedikit masa Yesus mengehadkan dirinya dalam badan itu. Setelah Yesus bangkit, tubuh itu mengalami perubahan luarbiasa - walaupun boleh dipegang, boleh juga menembusi dinding dan tidak terhad dengan masa/jarak. Dengan ertikata lain, badan itu 'dimuliakan' dan sekarang sama sifat ketika Yesus dalam bentuk roh sebelum Dia menjelma sebagai manusia. Jadi Allah Triniti masih bersama dan tidak terasing dan masih berfungsi bersama.

Semoga ini membantu.

Khamis, 16 September 2010

Buku Kristian dalam Bahasa Malaysia

Sejak kebelakangan ini, seruan supaya orang Kristian dari Malaysia (khususnya yang pandai Bahasa) menulis buku-buku dalam Bahasa dan menyentuh topik-topik yang relevan untuk penduduk Malaysia, telah menerima sambutan yang baik. Akan tetapi, buku-buku Kristian dalam Bahasa masih sedikit.
Mengapa?
Kerana walaupun ada ramai yang penulis, hanya ada satu atau dua badan Kristian yang mampu dan berkebolehan untuk mencetak buku-buku ini.
Jika anda sudah menulis sesuatu dan mahu tulisan anda dicetak atau anda mahu terlibat dalam usaha penerbitan buku-buku Kristian Bahasa Malaysia (layout, cover design, page making dsbnya), silalah hubungi saya (peterderun@gmail.com) kerana masanya sudah sampai, bukan hanya untuk menulis buku-buku Kristian dalam Bahasa Malaysia, tetapi juga untuk mencetak buku-buku ini dengan banyak dan mengedarkan kepada semua yang sedia membaca karangan hamba-hamba Allah.

Isnin, 29 Mac 2010

Percintaan Alkitabiah

Satu daripada seminar yang saya selalu diminta sampaikan ialah perhubungan lelaki-perempuan dari pandangan Alkitabiah atau Kristian. Berikut ialah sedutan sedikit daripada apa yang selalu saya ajar. Selamat melihat dan mendengar dan semoga dapat belajar sesuatu.


Khamis, 9 April 2009

Disiplin Allah Menyelamatkan

Sesungguhnya, Allah meremukkan kepala musuhNya, tempurung kepala yang berambut dari orang yang tetap hidup dalam kesalahan-kesalahannya (Mazmur 68:22).

Apabila membaca ayat di atas, apakah kita berfikir, “Wah! Ini kata-kata yang agak kasar”? Ya, ayat dalam buku Mazmur ini merupakan kata-kata yang agak keras mengenai Allah dan disiplin yang dikenakanNya ke atas mereka yang tetap tinggal dalam dosa-dosa mereka. Tetaplah membaca untuk mengetahui dengan lebih banyak lagi mengenai disiplin dari Allah ini.

Di dalam kehidupan keluarga yang terbaik pun, ada saat-saatnya di mana anak-anak tidak mahu diatur dan tidak mentaati kedua ibu bapa mereka. Mereka berusaha menguji batas-batas yang sudah ditentukan bagi sikap dan tingkah laku mereka. Mereka ingin membuktikan sendiri apakah yang di katakan ibu bapa mereka itu benar atau tidak. Dalam keadaan seperti itu, perlu sekali bagi seorang bapa untuk bertindak dan mendisiplinkan anak-anaknya. Mendisiplinkan di sini bermaksud menghukum dengan tujuan yang positif. Tujuan disiplin itu adalah untuk memulihkan tatatertib di dalam rumah dan untuk perkembangan sifat yang baik. Disiplin yang seperti ini sangat diperlukan untuk mendidik anak - anak supaya mengikut jalan yang patut baginya.

Apa yang terjadi dalam keluarga kita di bumi juga terjadi di dalam keluarga Allah. Ada masa-masa di mana Allah terpaksa bangkit dan mendisiplinkan anak-anakNya yang tidak mahu diatur. Ketidaktaatan seperti ini di dalam kehidupan Kristian akan mendatangkan banyak ketidaktertiban dalam Gereja Tuhan. Pemberontakan harus didisiplinkan supaya kedamaian dalam rumah Allah terjamin.

Di dalam Mazmur 68:20,21, Raja Daud berkata bahawa Allah kita adalah Allah yang menyelamatkan. Allah sebenarnya melakukan lebih banyak daripada sekadar memberikan keselamatan kepada umatNya. Dia sebenarnya adalah keselamatan kita. Kita tidak hanya diselamatkan dari dosa-dosa kita. Kita juga telah diselamatkan untuk membina satu hubungan yang terus dengan Allah. Ini merupakan satu proses yang akan terus berjalan dan bertumbuh. Ini adalah rencana Allah bagi Adam sebelum dia jatuh.

Dalam Kristus hari ini, hal itu masih merupakan maksud Allah bagi kita. Dia menghendaki kita bertumbuh dalam pengenalan kita akan Dia. Dia mahu kita menjadi semakin seperti Dia; dalam pemikiran kita, perkataan-perkataan kita dan perbuatan-perbuatan kita.
Melalui orang Kristian kehidupan Kristus dinyatakan di bumi. Kita seharusnya menjadi saksi yang setia kepada setiap bangsa, suku dan kaum di dunia. Ini memerlukan satu jangka masa yang lama. Proses ini melibatkan ujian dan disiplin dari Allah agar kita menjadi satu dengan kehendakNya. Allah dengan sabar dan setia akan berurusan dengan kita sehingga rencanaNya tercapai.

Konsep pendisiplinan Allah hampir sama tua dengan Alkitab itu sendiri. Allah membetulkan dan mendisiplinkan umatNya kerana Dia mengasihi mereka. Dia mahu supaya mereka melakukan kehendakNya. DisiplinNya mungkin menyebabkan kita merasa sakit. Namun demikian, tujuanNya adalah untuk menghindarkan kita dari akibat tragik kerana mengikut jalan sendiri.

Roma bab 6 ayat 23 berkata: Upah dosa ialah maut. Maut adalah keadaan terpisah dari Tuhan; terpisah dari kasih, sukacita dan damai sejahtera yang datang dari Allah. Rasa sakit terkena disiplin Allah adalah satu peringatan bahawa kita sudah melangkah ke jalan yang berbahaya dan salah.
Dalam buku Ulangan, Allah telah berfirman: Maka haruslah engkau insaf, bahawa Tuhan, Allahmu, mengajari engkau seperti seseorang mengajari anaknya (Ulangan 8:5).
Daud merujuk kepada prinsip inilah ketika dia mengungkapkan kata-kata yang telah dibaca pada permulaan bab ini, iaitu dari Mazmur 68:22. Beberapa orang beranggapan bahawa tindakan-tindakan yang dimaksudkan dalam Mazmur 68 dilakukan terhadap musuh-musuh Israel. Tetapi musuh-musuh Allah boleh berada di antara umatNya juga.

Sesiapa pun dalam kesombongan melawan kehendak Allah akan menjadi musuh Allah. Ini termasuk juga kita semua dari waktu ke waktu, bilamana kita digodai untuk menurut kehendak sendiri dan bukan kehendak Allah. Kalau kita menurut tawaran godaan itu, kita menempatkan diri kita dalam satu keadaan yang mendatangkan disiplin Allah atas hidup kita.

Adalah harapan saya, semoga kita akan tetap mengikut kehendak Allah dan tidak menurut keinginan hati kita sendiri. Jika kita sudah atau sedang didisiplinkan oleh Tuhan, bersukacita. Allah tetap mengasihi kita dan Dia mahu menyelamatkan kita. Berserah kepada Dia dan bertaubat. Keselamatan Allah sudah tersedia bagi kita.