Rabu, 27 Oktober 2010

Sedia Patuh, Apa Saja

Pembaca sekalian, lihatlah apa yang diajukan kepada kita oleh penulis surat Ibrani, di dalam pasal 12 ayat 1 yang berbunyi demikian,

Kerana kita mempunyai banyak saksi, bagaikan awan yang mengelilingi kita, marilah kita menanggalkan semua beban dan dosa yang begitu merintangi kita, dan berlumba dengan tekun dalam perlumbaan yang diwajibkan bagi kita.

Allah sedang memanggil semua orang kudus untuk menanggalkan semua bebanan yang mengikat atau yang menahankan mereka kepada perkara-perkara di bumi. Kita diseru untuk membebaskan diri kita dari segala sesuatu yang akan menahan kita dari memenuhi panggilan Allah. Berusahalah melepaskan diri kita dari apa-apa yang akan merintangi kesanggupan kita untuk mengalir dengan RohNya.

Allah tidak mencari bejana-bejana emas dari bumi ini. Dia tidak mencari bejana-bejana perak. Dia mencari bejana-bejana yang sederhana, biasa, dan yang setia mematuhi apapun yang disuruhNya. Bila Allah berfirman, kita harus patuh. Kita tidak perlu mengajukan pertanyaan-pertanyaan. Kita tidak usah mengadakan tunjuk perasaan, atau dengan kebijaksanaan manusia membahaskan soal-soal rohani.

Bila Allah bersabda, kita harus segera mematuhiNya. Kepatuhan ini dibuat dengan menyedari bahawa Dia dapat dipercayai untuk melaksanakan FirmanNya. Dengan kesedaran ini kita juga akan mengetahui bahawa Dia tidak akan pernah gagal.

Bila sahaja Allah bersabda, kita dapat yakin bahawa Dia akan meneruskan kata-kataNya dengan manifestasi yang dapat dilihat. Buah-buah hasil daripada ucapanNya yang telah digenapi akan jelas kelihatan. Jika Allah bersabda, "Lompatlah menembusi tembok itu!" kita tidak boleh bertanya di mana letaknya lubang dalam tembok itu. Kita harus melompat dan membiarkan Allah untuk memikirkan hal di mana tempat letaknya lubang itu. Ini mungkin kedengaran agak keterlaluan, tetapi begitulah seharusnya kekuatan iman kita kepada Allah.

Marilah kita membangunkan diri kita, agar kita mampu juga untuk membangun orang lain. Allah sentiasa berkata, "Bangunkanlah para pahlawan lelaki dan wanita. Bangunkanlah mereka yang suci hati, yang tahu cara berperang dalam roh sampai tibanya kemenangan. Bangunkanlah mereka yang dihina dan ditolak oleh para pemimpin keagamaan yang berkuasa. Bangunkanlah mereka yang dihina dan ditolak kerana tradisi manusia yang bertentangan dengan Aku."

Dalam masa terakhir pencurahan Roh Kudus ini, kita menghadapi banyak pertempuran besar. Demi untuk meneruskan hidup, kita harus melepaskan diri kita daripada semua belenggu dan beban yang tetap mengikat kita pada bumi ini. Ini adalah supaya kita akan tetap maju dalam pertempuran sebelum musuh kita mulai menyerang, sementara kita belajar untuk mengalir dengan Roh Kudus yang mulia itu.

Kita harus masuk ke ruang takhta Allah, duduk di meja pertemuanNya dan menerima recana-rencana serta perintah-perintahNya bagi kita. Sebahagian dari maklumat yang akan dikongsikan Allah merupakan perintah rahsia, dan tertutup rapat, yang tidak boleh diketahui oleh sesiapapun juga. Hari ini kita sedang berdiri dipersimpangan jalan, baik orang percaya secara peribadi, mahupun sebagai gereja secara keseluruhannya. Setiap orang percaya dan setiap badan gereja harus membebaskan diri dari semua keterlibatan duniawi agar mereka dapat dengan segera menanggapi petunjuk akhir zaman dari Allah itu.

Ramai orang yang telah menghayunkan beberapa langkah mereka ke dalam alam Roh Kudus untuk mendengar suara Allah gagal untuk tinggal di sana. Ini adalah kerana mereka tidak melepaskan diri mereka sepenuhnya. Selanjutnya mereka gagal untuk mengetahui apa yang Allah yang telah rancangkan hanya untuk mereka.

Tentu sahaja orang yang berjalan dalam daging akan berusaha untuk melemahkan semangat kita, ketika kita berusaha bergerak sepenuhnya di dalam alam roh. Mereka akan berkata, "Jadilah normal sahaja. Jangan jadi aneh." Pernahkah kita mendengar ucapan ini? Sebenarnya, apa yang mereka ucapkan itu adalah, "Janganlah jadi normal. Jadilah aneh seperti kami!"

Apakah beban atau ikatan yang membuat kita undur? Apakah ianya satu persahabatan yang tidak sihat? Apakah ianya perasaan sombong? Apakah ianya satu hutang yang belum dijelaskan? Biar apapun beban itu, buangkanlahnya!

Langkahkanlah kaki kita ke dalam kemerdekaan yang telah disediakan oleh Kristus. Firman Allah telah membukakan jalan keluar bagi kita. Carilah Allah dengan rajin, melalui doa dan FirmanNya, supaya kita dapat mengalir bersama dengan RohNya. Tuhan mahu kita bebas dan menang dalam perlumbaan hidup yang sudah kita sertai.

Anggaplah diri kita sebagai seorang pelari dalam perlumbaan yang telah ditetapkan oleh Yesus. Bebaskanlah diri kita dari segala sesuatu yang mungkin akan meringtangi kesempatan kita untuk menang.

Tiada ulasan: