Isnin, 16 Mei 2011

Yesus Di Kubur Lazarus (1)

Dalam Injil Yohanes ada sebuah kisah menarik tentang Yesus dan saya ingin kita memberi perhatian kepadanya. Kisahnya dicatat dalam Yohanes 11:28-44, iaitu kisah Yesus di kubur Lazarus. 

Kisah ini bermula dengan Marta (kakak Lazarus) bergegas kembali ke kampungnya dan memberitahu adik perempuannya yang bernama Maria bahawa Yesus telah tiba di Betani dan memanggilnya. Dia berkata, "Guru ada di sana dan Dia memanggil engkau". Yesus masih memanggil pada hari ini. Yesus yang sama ini berdiri dan memanggil manusia melalui InjilNya. Setiap orang diseruNya untuk membuka pintu hatinya dan mempelawa Yesus, Juruselamat dunia, untuk masuk. 

Reaksi Maria begitu cepat. Dia tidak membuang masa, tetapi sebaliknya dia dengan segera bangkit dan pergi kepada Yesus. Apakah reaksi kita seperti reaksi Maria? Apakah dengan segera tanpa berlengah-lengah kita pergi ke Yesus apabila dia memanggil? Ataupun dengan lambat?

Yesus menemui Marta dan Maria di luar perkampungan Betani. Apabila berhadapan dengan Yesus, Maria tersungkur di kakiNya. Ini mungkin suatu perlakuan penyembahan ataupun perbuatan seorang yang diselubungi perasaan yang amat sedih. Seperti Marta, kakaknya, Maria meluahkan perasaan kesalnya kerana Yesus belum sampai di Betani pada masa abangnya meninggal; jikalau Yesus ada, abangnya tidak akan mati.

Melihat Maria dan teman-temannya berasa sedih, Yesus pun terasa pilu dan hatinya tidak tenteram. Sememangnya, Yesus memikirkan tentang semua kesedihan, kesengsaraan dan kematian yang telah memasuki dunia akibat daripada dosa. Ini membuatkan Dia merasai kesedihan yang mendalam. Adakah kita berasa baik jikalau kita tidak betul di hadapan Allah? Bagaimanakah perasaan kita jika rakan-rakan kita tidak betul di hadapan Allah? Yesus memahami perasaan kita itu dan Dia sedia menghiburkan kita.

Tuhan Yesus tentulah tahu di mana Lazarus dikuburkan. Tetapi Dia menyoal Marta dan Maria agar memberi pengharapan, untuk mendorongkan iman dan untuk mendapatkan kerjasama daripada mereka. Dengan iklas walaupun diselubungi perasaan sedih mereka membawa Tuhan Yesus ke kubur Lazarus.

Yohanes 11:35 merupakan ayat terpendek di dalam Alkitab. Walaupun begitu mesejnya sungguh luarbiasa. Begini bunyinya: Yesus menangis. Ini ialah satu daripada tiga ayat di dalam Perjanjian Baru yang menyatakan bahawa Yesus menangis. Contoh-contoh yang lain ialah semasa Dia meratapi kota Yerusalem dan ketika Dia berdoa di kebun Getsemani. 

Kenyataan bahawa Yesus menangis merupakan bukti kemanusiaan Yesus. Dia mengalirkan air mata kesedihan apabila Dia melihat kesan buruk dosa ke atas umat manusia. Kenyataan bahawa Yesus menangis ketika hadirnya kematian, menunjukkan bahawa adalah tidak salah jika umat Kristian menangis jika seorang yang dikasihi itu meninggal dunia. Mungkin adalah tidak betul ataupun tidak baik juga jika seseorang itu tidak meratapi kematian seseorang yang dikasihi. 

Di dalam ayat ini, air mata bererti kasih. Air mata bererti mengambil berat. Walau bagaimanapun, umat Kristian tidak menangis seperti orang yang tidak ada harapan. Kita menangis kerana kita mengasihi orang yang telah kembali kepada Allah.  Kita mengasihi orang yang telah ditinggalkan oleh si mati. Itulah sebabnya kita menangis.

Orang Yahudi melihat air mata Yesus sebagai bukti kasih sayangnya kepada Lazarus. Sememangnya mereka betul tentang hal ini. Yesus juga mengasihi mereka dengan kasih yang dalam dan yang tidak terbelah-bahagi. Malangnya, ramai orang Yahudi gagal untuk memamhami hal ini. Hari ini, apakah kita benar-benar memahami bahawa Yesus amat mengasihi kita?

Kehadiran Yesus telah menimbulkan persoalan di antara orang yang ada di tanah perkuburan Betani. Ada di antara mereka yang mengenali Yesus sebagai seorang yang mencelikkan mata orang yang buta. Mereka bertanya-tanya mengapa Yesus tidak menyelamatkan Lazarus daripada kematian. Sememangnya Yesus boleh berbuat demikian. Tetapi sebaliknya Dia memilih untuk melakukan satu daripada keajaiban yang terunggul pernah tercatat dalam sejarah dunia. Sememangnya, keajaiban ini telah membawa harapan besar kepada semua orang yang percaya di seluruh dunia sekarang. Apakah keajaiban ini ada di dalam hidup kita hari ini? Apakah hidup ini di dalam kehidupan kita?

Pelajar-pelajar Alkitab berpendapat bahawa kubur Lazarus merupakan sebuah gua bawah tanah. Seorang itu harus masuk dan keluar menggunakan tangga. Sebuah batu diletakkan di atas mulut gua tersebut. Ini bukanlah seperti kubur Tuhan Yesus yang telah digali daripada batu di mana seseorang itu boleh berjalan masuk dan keluar tanpa menaiki atau menuruni tangga. Yesus mengarahkan orang di sana untuk mengalihkan batu penutup daripada gua Lazarus. Apakah yang Yesus lakukan seterusnya?





Selasa, 3 Mei 2011

Pertaubatan Membaiki Segalanya

Tanggungjawab yang besar bagi seorang guru Kristian ialah menghubungkan muridnya dengan Allah. Hal itu amat penting sekali. Orang tidak akan mempunyai hubungan yang baik dengan dirinya sendiri atau dengan orang lain jika hubungannya dengan Allah belum sempurna. Hubungan itu merupakan satu-satunya dasar untuk mempersatukan hidup secara benar. Sebagaimana jarum bermagnet akan terus bergetar sampai menunjukan kutub utara demikian pula halnya dengan setiap manusia: ia akan terus hidup tanpa ketentuan sampai ia dihubungkan dengan Yesus. Kebenaran hanya dapat diwujudkan apabila seseorang itu bertaubat kepada Allah. Itulah dasar segala kemajuan yang susila. Segala kegiatan hidup harus dikendalikan dari pusat ini. Hal itu merupakan penyesuaian hidup yang terbesar. Benarlah pendapat beberapa orang bahawa masalah-masalah yang bertalian dengan seks dapat dipecahkan dengan perasaan takut akan Allah. Demikian pula segala hal yang berhubungan dengan soal kesusilaan dan perdamaian dunia. Maka Yesus ada berkata: “Carilah dahulu Kerajaan Allah dan kebenaranNya, maka semuanya itu akan ditambahkan kepadamu” (Matius6:33) Ia ada juga berkata: “Jikalau kamu tidak bertaubat, kamu semua akan binasa atas cara demikian” (Lukas 13:3). Kepada Nikodemus yang terpelajar Yesus berkata: “Jika seorang tidak dilahirkan kembali, ia tidak dapat melihat Kerajaan Allah” (Yohanes 3:3). Oleh sebab itu, Yesus Kristuslah yang pertama berusaha untuk membawa orang bertaubat kepada Allah. Itulah juga tugas kita yang terbesar sebagai seorang guru. Pengalaman pertaubatan ini dilukiskan sebagai suatu kelahiran, suatu kebangkitan, suatu hati yang baru, atau suatu cara pemikiran yang baru. Walaupun begitu pengalaman ini tidak sama bentuknya, bergantung kepada tabiat, umur, pendidikan dan taraf dosa seseorang itu masing-masing. Tetapi semuanya itu bertalian dengan hubungan yang selaras antara peribadi insani dengan peribadi ilahi.
Pengalaman pertaubatan itu mungkin terjadi dengan perasaan tenang sahaja, tetapi mungkin juga melalui pergolakan. Pertaubatan mungkin terjadi dengan tiba-tiba, tetapi mungkin pula dengan perlahan-perlahan. Pertaubatan itu mungkin lebih mengenai akal, emosi, ataupun kemahuan. Dan mungkin lebih merupakan penjauhan dari dosa, atau pedekatan kepada kebenaran. Pendek kata semua itu meliputi suatu penyerahan diri kepada Allah dan permulaan kehidupan Kristian. Pertaubatan itu menimbulkan satu tekad yang baru, minat yang baru, dan kegiatan yang baru. “Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengan segenap akal dan budimu dan dengan segenap kekuatanmu”ialah nasihat Yesus kepada semua yang bertaubat dalam Markus 12:30. Itulah pengalaman yang mengubah dunia. Setiap guru Kristian hendaklah mengajar, dan berdoa dan bekerja dengan tujuan agar setiap muridnya menyerahkan hidup mereka kepada Allah secepat mungkin. Hendaklah setiap murid dipimpin, seperti anak yang hilang itu, sehingga ia akan berkata: “Aku akan bangkit dan pergi kepada bapaku”. (Lukas 15:18) Kita juga perlu memperbaiki perhubungan kita dengan orang ramai yang di sekitar kita. Kehidupan Kristian meliputi hubungan yang benar dengan Allah dan hubungan dengan orang lain. Sebenarnya kedua-dua hal itu tersimpul dalam suatu perintah yang dinyatakan oleh Yesus dalam Markus 12:31 di mana Dia berkata: “Kasihilah sesamamu manusia seperti dirimu sendiri.” Ketika Yesus menekankan doktrin pahala dan akhirat, dinyatakanNya bahawa pahala itu berdasarkan kepada apa yang diperbuat orang kepada orang lain sewaktu di dunia, misalnya, memberi makanan kepada orang yang lapar, memberi pakaian kepada orang yang telanjang, dan berbuat baik kepada orang asing, orang sakit, dan orang di dalam penjara. Perkara ini dijelaskan oleh Yesus dalam Matius 25:35-36. Jikalau seorang berkata: ‘Aku mengasihi Allah,’ dan ia  membenci saudaranya, maka ia adalah pendusta.” ialah kesimpulan rasul Yohanes dalam 1 Yohanes 4:20.
Seharusnya kita diubah menjadi makhluk sosial, bukan peribadi yang masing-masing berdiri sendiri, tiada hubungan satu dengan yang lainnya. Kita harus mempunyai hubungan yang selaras dengan Allah, tetapi haruslah kita mempunyai hubungan yang selaras dengan manusia. Seorang pernah berkata: “Agama berhubungan erat dengan hubungan-hubungan, kecenderungan, dan perjuangan-perjuangan manusia secara timbal balik; ini tidak dapat dielakkan. Dan keagungan agama bukannya dalam kebesaran yang terpisah dari kehidupan, melainkan dalam kesanggupannya dalam mengatasi atau menguasai seluruh kehidupan.” Yesus berusaha menyelaraskan hubungan seorang dengan orang lain, melalui pertaubatan kepada Allah. Ia menghendaki kita berbuat hal yang sama.
Tugas menyelaraskan hubungan seorang dengan orang lain meliputi beberapa aspek. Salah satu yang ditekankan oleh Yesus adalah kasih, sebagaimana telah disebutkan dalam Pesan Agung itu. Yesus berkata dalam Yohanes 13:34: “Supaya kamu saling mengasihi; sama seperti Aku telah megasihi kamu.” Yesus sedar bahawa kasih yang sejati dapat meruntuhkan segala macam rintangan. Yesus memperingatkan kita agar waspada terhadap perasaan benci. Ia bahkan berkata: “Berdoalah bagi mereka yang menganiayai kamu” (Matius 5:44). Hubungan yang selaras tidak mungkin terjalin apabila perasaan benci menguasai diri kita. Sesungguhnya perasaan benci itu merupakan benih pembunuhan. Salah satu hal yang amat ditekankan Yesus ialah hal mendamaikan orang. “Berbahagialah orang yang membawa damai, kerana mereka akan disebut anak-anak Allah” ialah pengisytiharan Yesus dalam Matius 5:9. Dan mengenai kesucian seks Ia berkata: “Setiap orang yang memandang perempuan serta menginginkannya, sudah berzinah dengan dia di dalam hatinya” (Matius 5:28). Apakah hubungan kita dengan sesama manusia dipandu oleh prinsip-prinsip Yesus ini?

Isnin, 2 Mei 2011

Tanya Tu Pulak . . .

Di sebuah universiti di Malaysia, pelajar-pelajar sebuah kursus yang langsung tidak ada kaitan dengan kursus Perbandingan Agama, disuruh untuk membentangkan kertas berjudul "Status wanita dari perspektif agama Kristian dan Islam" dan sesudah pembentangan dibuat, pelajar-pelajar disoal oleh pensyarah yang beragama Islam. Soalan-soalannya dikatakan macam sengaja dibuat untuk menyebabkan pelajar Kristian bingung dan meragui fahaman Kristian. 
Dalam membentangkan kisah Hawa, soalan yang ditanya pensyarah Islam ini ialah: Apakah nama saintifik bagi buah kehidupan? 
Saya yakin soalan-soalan ini tidak sesuai ditanya oleh pensyarah ini kerana latar belakang agamanya dan kursus yang dia ajar. Memang tertanya apakah motif sebenar tugasan dan soalan-soalan yang ditanya. Saya juga tertanya apakah dia akan membenarkan seorang pensyarah kristian menyoal pembentangan pelajar-pelajar Islam? 
Pelajar-pelajar Kristian yang terlibat telah cuba menjawab macam-macam ketika ditanya supaya pensyarah mereka itu tidak salah tafsir - mereka kurang yakin mereka berjaya. Saya tidak hairan kerana tajuk seperti ini TIDAK dibentangkan dalam gereja dan buku-buku Kristian tentang hal ini tidak ada dan jika ada memang sukar ditemui. Saya juga yakin ramai pemuda-pemudi Kristian tak pernah memikirkan isu ini . . . nah, tiba-tiba kena tanya dan jawapan pun tunggang terbalik. 
Apakah tujuan 'posting' saya ini? Senang saja - orang muda Kristian mesti belajar dengan mendalam agama mereka untuk sedia menjawab pelbagai soalan pelik-pelik dari pensyarah mereka (dan ramai orang lain) dan memberi jawapan bernas dan berkuasa! 
Pastor-pastor, sedarlah khutbah hari Ahad tidak memadai - banyak maklumat lain mesti anda sediakan dan perlengkapi anak-anak muda dengan banyak hal/topik lain juga.