Rabu, 10 Disember 2008

Yesus Bersama Kita

Sebelum Yesus kembali ke syurga, Ia telah memberi satu kepastian kepada murid-muridNya bahawa Dia tidak akan pernah meninggalkan mereka. Janji Yesus ini kepada murid-muridya adalah janji Yesus kepada kita juga. Yesus tidak akan meninggalkan kita. Dia akan bersama kita; Dia akan menyertai kita selama-lamanya. Lihatlah apa yang dikatakan oleh Yesus semasa berada di sebuah bukit di Galilea:

Dan ketahuilah, Aku menyertai kamu senantiasa, sampai kepada akhir zaman.

Petikan dari Injil Matius bab 28 ayat 20 ini adalah satu daripada janji-janji Yesus yang paling berharga dan bermakna bagi kita orang Kristian. Kepastian akan penyertaan Yesus bersama kita setiap hari adalah satu perkara yang sangat penting di dalam kehidupan seorang Kristian. Penyertaan Yesus bukan hanya penting, tetapi perlu jika kita mahu menjadi seorang Kristian yang berkeyakinan dan berjaya.

Apabila kita sedar dan pasti bahawa Yesus menyertai kita sentiasa, kita tidak akan takut. Inilah kesan paling positif dan ketara dalam kehidupan mereka yang telah percaya dan pasti bahawa Yesus ada bersama mereka. Jika kita percaya bahawa Yesus menyertai kita sentiasa, kita juga tidak akan takut.

Apabila kedua belas pengintip yang telah diutus Nabi Musa kembali dari tanah Kanaan, sepuluh dari mereka telah memberi satu laporan yang negatif mengenai tanah Kanaan sehingga segenap umat Israel yang mendengar laporan mereka menangis dengan suara yang nyaring. Tetapi dua lagi, iaitu Yosua dan Kaleb, berkeyakinan penuh bahawa tanah Kanaan boleh dimiliki dan mereka memberi satu laporan yang positif. Kata-kata mereka dipenuhi dengan perkataan-perkataan yang positif. Mereka tidak berasa takut seperti kesepuluh pengintai yang lain. Mereka penuh keyakinan bahawa mereka boleh menang. Mereka pasti yang mereka boleh mengambil alih tanah Kanaan. Mengapa mereka tidak takut dan penuh keyakinan walaupun kesepuluh yang lain yang bersama-sama dengan mereka telah pergi ke tanah Kanaan, penuh dengan perasaan takut dan tidak yakin? Apakah yang menyebabkan perbezaan di antara kedua kumpulan ini? Saya percaya jawapannya terkandung di dalam kata-kata Yosua dan Kaleb seperti mana yang telah direkodkan di dalam buku Bilangan bab 14 ayat 9 yang berbunyi,

Hanya, janganlah memberontak kepada TUHAN,dan janganlah takut kepada bangsa negeri itu, sebab mereka akan kita telan habis. Yang melindungi mereka sudah meninggalkan mereka, sedang TUHAN menyertai kita; janganlah takut kepada mereka.

Yosua dan Kaleb boleh berkata, "Kita akan telan mereka" dengan penuh keyakinan kerana mereka pasti bahawa TUHAN menyertai mereka. Mereka percaya bahawa TUHAN mereka ada bersama mereka dan kerana itu mereka tidak takut. Inilah yang saya mahu kita semua sedar dan percaya hari ini, bahawa jika Yesus menyertai kita, kita tidak perlu takut. Ingatlah apa yang dikatakan oleh kedua pengintip Israel yang berani itu kepada umat Israel: "Tuhan menyertai kita, janganlah takut".

Satu sebab mengapa kita tidak perlu takut jika Yesus menyertai kita ialah kerana jika Yesus bersama kita, bantuan selalu sedia ada apabila kita memerlukannya. Ini sangat penting, lebih-lebih lagi jika kita mendapati diri kita lemah atau musuh kita lebih ramai atau lebih kuat. Kepastian bahawa bantuan dari Allah sentiasa ada dan boleh diterima dengan cepat akan menyebabkan kita berperang melawan musuh dengan iman yang teguh, yakin bahawa kita akan menang kerana bantuan dari Allah terjamin.

Keyakinan yang seperti inilah yang telah dinampakkan oleh Raja Hizkia, raja Yehuda, apabila Sanherib, raja Asyur, menyerbu Yehuda. Bacalah apa yang dikatakan oleh raja Hizkia kepada pahlawan-pahlawan dan rakyatnya seperti mana tercatat di dalam buku 2 Tawarikh 32 ayat 7 dan 8.

Kuatkanlah dan teguhkanlah hatimu! Janganlah takut dan terkejut terhadap raja Asyur serta seluruh askar yang menyertainya, kerana yang menyertai kita lebih banyak daripada yang menyertai dia. Yang menyertai dia adalah tangan manusia, tetapi yang menyertai kita adalah TUHAN, Allah kita, yang membantu kita dan melakukan peperangan kita.

Raja Hizkia tidak takut kerana dia tahu Allah menyertai dia. Dia sedar bahawa jika Allah menyertai dia, dia tidak perlu takut kerana Allah akan membantu dia dan akan berperang bagi dia. Inilah keyakinan yang dipunyai oleh semua orang Kristian yang percaya bahawa Allah menyertai mereka. Apabila Allah menyertai kita, Dia tidak akan berdiam diri. Jika kita diserang, Allah akan membantu. Dia akan melawan bagi kita. Ingatlah ini - jika Allah menyertai kita, kita lebih banyak dari semua askar-askar jahat yang datang melawan kita. Ingatlah bahawa yang menyertai musuh kita ialah kekuatannya sendiri atau kuasa iblis tetapi yang menyertai kita ialah Allah sendiri, Allah yang Mahakuasa, pencipta langit dan bumi, pencipta manusia dan iblis. Kerana itu, janganlah takut apabila kita diserang tetapi selalu ingat bahawa Yesus ada bersama kita dan bantuan yang secukupnya dari Allah memang pasti. Bacalah apa yang terjadi setelah Raja Hizkia membuat ucapannya, seperti mana yang direkodkan pada penghujung ayat 8 pada bab yang sama.

Oleh kata-kata Hizkia, raja Yehuda itu, rakyat mendapat kepercayaannya kembali.

Inilah juga harapan saya. Saya berharap bahawa kepercayaan kita dalam diri kita sendiri dan dalam Tuhan akan dikembalikan apabila kita sedar bahawa Yesus selalu bersama kita dan Dia sedia membantu dan melawan bagi pihak kita. Jika kita takut dan sedang mengalami serangan yang bertubi-tubi, bergantunglah kepada Yesus. berserulah kepadaNya, memohon bantuan dari Dia. Saya pasti Yesus yang ada bersama kita akan membantu kita dan melakukan peperangan kita.

Ini didapati benar oleh Raja Daud apabila dia menyeru kepada Allah memohon bantuan dariNya. Allah tidak hanya membantu Raja Daud, Dia juga telah melindungi Raja Daud. Lihatlah kesaksian Raja Daud yang telah ditulisnya di dalam Mazmur 46 ayat 8.

TUHAN semesta alam menyertai kita, kota benteng kita ialah Allah Yakub.

Ya, kota benteng kita ialah Allah. Apabila Allah menyertai kita, kita selamat kerana kita dilindungi oleh kota benteng yang paling kukuh di dunia ini. Kota benteng ini sentiasa bersama kita, kota benteng itu ialah Yesus. Yesus akan sentiasa melindungi kita dari malapetaka dan kecelakaan asalkan kita sentiasa berlindung di dalamNya, asalkan kita sentiasa berada di dalamNya dan Dia di dalam kita.

Yesus telah berjanji untuk menyertai kita sentiasa; apakah kita sedia bersama dengan Yesus sentiasa? Yesus telah berjanji bersama kita selalu. Kerana itu marilah kita juga berusaha untuk bersama denganNya setiap hari dan dengan itu, menikmati berkat-berkat penyertaan Allah yang hebat. Saya percaya mesej ini akan mengembalikan keyakinan kita dalam Allah dan memberi harapan yang baru kepada kita yang berasa dukacita dan tawar hati. Ingat, Yesus bersama kita sentiasa!

Tubuhku Rumah Allah

Marilah kita ke 1 Korintus 6:19 untuk membaca satu ayat yang sungguh unik, kerana ia menyatakan apakah sebenarnya tujuan tubuh badan kita ini. Tubuh orang Kristian ialah tempat kediaman Allah, rumah Allah yang telah Allah kuduskan serta pilih untuk menetap.

Atau tidak tahukah kamu, bahawa tubuhmu adalah bait Roh Kudus yang diam di dalam kamu, Roh Kudus yang kamu peroleh dari Allah, - dan bahawa kamu bukan milik kamu sendiri?

Apabila Paulus menulis kepada orang Kristian di bandaraya Korintus, ia menyoal mereka mengenai konsep yang mereka pegang selama ini mengenai tubuh badan mereka. Ia menyatakan rasa hairannya kerana mereka tidak tahu bahawa tubuh mereka ialah rumah Roh Kudus. ‘Bait’ merupakan nama bagi bangunan sembahyang orang Yahudi dan Paulus membuat satu perbandingan di antara rumah sembahyang orang Yahudi dan tubuh badan orang Kristian. Pada masa itu adalah kepercayaan orang Yahudi bahawa Allah menetap di Bait Suci mereka yang terletak di Yerusalem. Bait itu dipercayai didiami oleh Allah sendiri dan kerana itu ia sering juga dipanggil Bait Allah atau Bait Suci. Kata Paulus, tubuh badan kita ialah bait Roh Kudus. Tubuh badan kitalah tempat di mana Roh Kudus menetap. Roh Kudus yang diberikan Allah kepada semua orang Kristian sebenarnya diam dalam tubuh kita. Roh Kudus yang telah kita peroleh dari Allah sebenarnya diam di dalam kita. Tubuh kita ialah bait Allah masa kini, dan tubuh kita suci kerana didiami Roh Allah yang suci.

Sedarkah kita bahawa tubuh badan kita didiami Roh Kudus? Sedarkah kita bahawa di dalam tubuh kita menetap satu lagi peribadi yang jauh lebih hebat dan kudus daripada kita? Sedarkah kita bahawa tubuh badan kita ini rumah tempat kediaman Roh Allah?

Ramai orang Kristian tidak sedar akan hal ini dan oleh kerana itu sanggup menggunakan tubuh mereka untuk melakukan berbagai perbuatan yang tidak senonoh. Ada juga orang Kristian yang tahu Roh Kudus menetap di dalam mereka dan tubuh mereka itu bait Allah. Akan tetapi mereka sering lupa apa yang yang mereka sudah ketahui dan kelupaan ini mengakibatkan pengunduran dan penyalahgunaan tubuh untuk tujuan yang kurang mulia. Sama ada kita belum tahu atau lupa, kenyataannya ialah bahawa tubuh kita ini rumah suci Roh Kudus dan kita harus menggunakannya dengan was-was dan bukan untuk tujuan percabulan.

Jika badan kita milik Allah dan RohNya tinggal dalam kita, maka tidak hairanlah jika Allah memerintahkan kita supaya baitNya dijaga dengan baik dan kekudusanya dipelihara. Kita tidak boleh menggunakan rumah Allah ini untuk tujuan-tujuan yang bercanggah dengan sifat Allah atau untuk kerja-kerja yang tidak suci. Kerana itu percabulan tidak boleh dilakukan oleh orang Kristian. Percabulan dilarang kerana badan kita, bait Roh Kudus, tidak boleh dicemarkan oleh dosa, lebih-lebih lagi dosa yang menggunakan tubuh kita sebagai alat kerjanya. Maka dengan pengertian inilah Allah berkata:

Makanan adalah untuk perut dan perut untuk makanan: tetapi kedua-duanya akan dibinasakan Allah. Tetapi tubuh bukanlah untuk percabulan, melainkan untuk Tuhan, dan Tuhan untuk tubuh. Tidak tahukah kamu, bahawa tubuhmu adalah anggota Kristus? Akan kau ambilkah anggota Kristus untuk menyerahkannya kepada percabulan? Sekali-kali tidak! Jauhkanlah dirimu dari percabulan! (1 Korintus 6: 13,15,18.)

Haruslah kita sedar dan percaya terlebih dahulu bahawa tubuh kita bukan diciptakan untuk percabulan. Penggunaan tubuh badan kita untuk tujuan percabulan adalah satu perbuatan yang tidak normal, satu perbuatan yang bercanggah dengan tujuan asal penciptaan badan kita yang ajaib ini. Menggunakan tubuh kita untuk melakukan percabulan adalah seperti menggunakan kaki kita untuk makan atau kepala kita untuk menendang. Ia adalah satu amalan yang tidak mengikut tujuan asal serta rencana Allah yang baik bagi diri kita. Tubuh kita bukan untuk percabulan.

Sebaliknya tubuh badan kita telah diciptakan Allah untuk dipakai olehNya, dijadikan tempat kediamanNya di bumi. Ini juga sesuatu yang menghairankan - bagaimana Allah menciptakan tubuh kita supaya Ia boleh menggunakannya serta menempatkan Roh Kudus di dalamnya. Akan tetapi jika kita sedar hakikat ini dan memeluknya dengan hati yang penuh percaya, satu perubahan yang besar akan terjadi. Kita akan mulai menghormati diri kita, khasnya badan kita ini. Kita akan mulai menjaga tubuh kita dan berusaha menggunakannya untuk tujuan-tujuan yang murni. Kita akan lebih senang menolak amalan-amalan serta bahan-bahan tertentu yang akan membinasakan dan menyakitkan tubuh kita ini. Kita akan belajar menghormati tubuh badan kita. Inilah yang Allah mahu kita lakukan dan ini akan dapat kita lakukan jika kita percaya bahawa tubuh kita itu telah diciptakan oleh Allah bagi kegunaanNya.

Akhirnya, kita mesti terima kenyataan bahawa kita sebagai orang Kristian mesti menjauhkan diri dari percabulan. Kita mesti menjauhkan diri kita dari melakukan percabulan dan kita mesti juga menjauhkan diri dari percabulan yang dilakukan di sekeliling kita. Mula-mula kita sendiri mesti menjauhkan diri dari melakukan percabulan. Kita mesti lari dari situasi-situasi yang tidak dapat kita kawal yang akan menyebabkan kita mudah jatuh. Kita mesti sentiasa berusaha untuk menjauhkan diri dari percabulan serta penglibatan dalam perbuatan-perbuatan yang akan menggalakkan percabulan. Bukan itu sahaja kita juga mesti menjauhkan diri dari percabulan, percabulan yang diamalkan di depan kita, baik oleh orang di sekeliling atau oleh bahan media yang terpapar untuk pandangan kita.

Satu cara untuk menjaga tubuh kita serta memelihara kesuciannya ialah dengan menyerahkan diri kita kepada Allah. Hidup penuh penyerahan kepada Allah adalah satu cara yang kuat untuk mengelakkan percabulan. Jika kita sepenuhnya terserah kepada Allah, sukar untuk kita menyerah kepada hawa nafsu dan perbuatan-perbuatannya yang kotor.

Dan janganlah kamu menyerahkan anggota-anggota tubuhmu kepada dosa untuk dipakai sebagai senjata kelaliman tetapi serahkanlah dirimu kepada Allah sebagai orang-orang yang dahulunya mati tetapi yang sekarang hidup. Dan serahkanlah anggota-anggota tubuhmu kepada Allah untuk menjadi senjata-senjata kebenaran. (Roma 6:13)

Serahkanlah diri kita kepada Allah dan bukan itu sahaja, serahkanlah tubuh badan kita serta semua anggota-anggotanya kepada Allah. Ini boleh dilakukan melalui doa serta ketetapan yang baru setiap hari di hadapan Allah. Ingatlah ini, jika kita dengan sengaja pilih menyerah tubuh kita kita kepada Allah, kita sudah mulai mengalami kemenangan. Bawalah diri kita kepada Allah setiap hari dan serahkanlah tubuh kita kepada Allah. Saya pasti Allah akan menerima doa kita dan menjaga tubuh badan kita, baitNya yang suci.

Kita juga mesti belajar menguasai diri kita. Tubuh badan kita harus dilatih supaya tidak lagi mahu atau berkebolehan untuk melakukan percabulan. Tubuh kita boleh dikuasai. Keinginan-keinginan badan kita boleh dikawal. Hawa nafsu kita sebenarnya boleh dibendung kalau kita mahu. Dengarlah apa yang Rasul Paulus lakukan dalam usahanya mengejar kekudusan tubuh.

Tetapi aku melatih tubuhku dan menguasainya seluruhnya, supaya sesudah memberitakan Injil kepada orang lain, jangan aku sendiri ditolak.

Paulus melatih tubuhnya. Paulus menguasai tubuhnya. Paulus berjaya menggunakan tubuhnya untuk kemuliaan Allah dan bukan untuk percabulan. Marilah kita juga membuat ketetapan yang sama. Marilah kita berdoa menyerahkan tubuh badan kita untuk digunakan Allah sebagai alat kebenaran. Marilah kita melatih tubuh kita untuk menjauhi percabulan. Marilah kita berusaha dengan sungguh-sungguh untuk menguasai tubuh kita ini sepenuhnya. Marilah kita lakukan semua ini dengan bantuan satu peribadi yang mahakuasa dan suci, Roh Allah sendiri, iaitu Roh yang tinggal dalam diri kita, dalam tubuh kita. Saya pasti lewat kerjasamaNya dengan kita, kita akan menang dan tubuh badan kita akan tetap kudus.

Selasa, 11 November 2008

Singkirkannya!

Pada kemenangan yang masyhur oleh orang Israel atas Yerikho, Allah telah memberi satu petunjuk yang penting kepada Yosua. Dia menyuruh Yosua untuk memberitahu tenteranya agar mereka jangan sama sekali mengambil apa-apa barang milik musuh mereka. Sebaliknya, Allah menghendaki mereka membakar semua barang-barang yang telah ditetapkan untuk dimusnahkan. Lihatlah apa yang dikatakan Allah di dalam buku Yosua bab 6 ayat 18 akan hal ini.
Tetapi kamu ini, jagalah dirimu terhadap barang-barang yang dikhususkan untuk dimusnahkan, supaya jangan kamu mengambil sesuatu dari barang-barang yang dikhususkan itu setelah mengkhususkannya dan dengan demikian membawa kemusnahan atas perkhemahan orang Israel dan mencelakakannya.
Jelas dari ayat ini bahawa Allah tidak mahu umatnya memiliki barang-barang yang telah Dia khususkan untuk dimusnahkan. Menurut Allah, jika mereka menyimpan barang-barang itu, mereka akan membawa kemusnahan dan kecelakaan atas diri mereka dan juga bangsa mereka.
Dalam pertempuran Israel yang selanjutnya di Ai, askar-askar Yosua hampir dihancurkan. Mereka mengalami kekalahan yang besar dan gagal menakluki kota Ai yang jauh lebih kecil daripada kota Yerikho. Yosua menjadi sangat susah hati. Dia merobek pakaiannya dan menanyakan sebabnya dari Tuhan. Jawapan yang diberikan Tuhan sungguh mengejutkan. Tuhan berkata,
Orang Israel telah berbuat dosa, mereka melanggar perjanjianKu yang Ku perintahkan kepada mereka, mereka mengambil sesuatu dari barang-barang yang telah dikhususkan itu, mereka mencurinya, mereka menyembunyikannya, dan mereka menaruhnya di antara barang-barangnya (Yosua 7:10,11).
Menurut Tuhan, ada orang Israel yang tidak mematuhi arahanNya. Sebaliknya, mereka telah mencuri dan menyembunyikan satu daripada barang-barang yang telah dikhususkan Tuhan bagi pemusnahan. Keengganan mereka mematuhi arahan Tuhan telah menyebabkan kekalahan di kota Ai. Dosa orang Israel ini telah membawa kecelakaan kepada Yosua dan tenteranya.
Siapakah yang telah mengambil dan menyimpan barang larangan itu? Orangnya bernama Akhan, seorang askar dari suku Yehuda. Bacalah pengakuannya kepada Yosua seperti mana yang direkodkan bagi kita di dalam buku Yosua bab 7 ayat 20 dan 21.
Lalu Akhan menjawab Yosua, katanya, "Benar, akulah yang berbuat dosa terhadap TUHAN, Allah Israel, sebab beginilah perbuatanku: aku melihat di antara barang-barang jarahan itu jubah yang indah, buatan Sinear, dan dua ratus syikal perak dan sebatang emas yang lima puluh syikal beratnya; aku mengingininya, maka kuambil"
Kerana perbuatannya itu, Akhan dan seluruh keluarganya serta barang-barang curiannya terpaksa dimusnahkan. Seluruh Israel melontari dia dengan batu dan semua barang curiannya dibakar dengan api. Hanya setelah itu dilakukan, kutukan atas Israel diangkat dan perjanjian Allah dipulihkan. Yosua kemudiannya menyerang kota Ai sekali lagi dan kali ini dia dan askar-askarnya berjaya menawan kota Ai.
Amanat Allah jelas. Berhati-hatilah dengan apa yang kita bawa masuk ke dalam rumah kita. Ini adalah kerana ada benda-benda tertentu yang boleh membawa kemusnahan dan kecelakaan atas diri kita dan mereka yang kita kasihi. Apakah kita memiliki sesuatu yang tidak patut kita miliki? Apakah kita sedang menyimpan sesuatu yang Allah telah khususkan untuk dimusnahkan dan bukan untuk disimpan?
Saya yakin perlindungan Allah akan diangkat dari kita apabila kita memiliki sesuatu yang bertentangan dengan perintahnya. Keterangan yang diberikan Allah dalam buku Yosua bab 7 ayat 10 hingga 12 sangat jelas mengenai perkara ini. Allah melarang kita memiliki barang-barang yang terkutuk di rumah kita. Allah berkata,
Aku tidak akan menyertai kamu lagi jika barang-barang yang dikhususkan itu tidak lagi kamu musnahkan dari tengah-tengahmu.
Di banyak tempat kita akan dapat melihat secara langsung kuasa yang ada pada barang-barang yang berkaitan dengan penyembahan iblis. Jika kita mengambil dan menyimpan barang-barang itu, kita memberi peluang kepada iblis untuk mengganggu kita. Kita juga membuka diri kepada kuasa iblis setiap kali kita membaca horoskop, meminta telapak tangan untuk dibaca atau menonton filem-filem yang mengagungkan setan. Hal-hal ini membuka peluang untuk kegiatan iblis.
Untuk menghindarkan diri dari melakukan hal-hal ini, bacalah Alkitab dan dengarlah arahan Roh Kudus setiap hari. Jika kita memiliki sesuatu yang tidak diterima oleh Tuhan, singkirkan!

Jumaat, 19 September 2008

Rahsia Pernikahan

Dalam surat Efesus bab 5, Rasul Paulus menjelaskan pandangan Kristian mengenai pernikahan. Pada bahagian penutup penjelasannya itu, Paulus mengatakan bahawa "rahsia ini besar". Jadi, menurut Paulus, pernikahan itu sebenarnya merupakan satu rahsia, satu misteri. Pada zaman Paulus perkataan "rahsia" atau "misteri" itu lebih spesifik ertinya daripada apa yang dikaitkan kepada perkataan ini pada zaman sekarang. Dahulu perkataan "misteri" itu mengandungi makna yang khusus yang berkaitan dengan satu acara agama yang suci. Pada masa itu, yang dimaksudkan sebagai "rahsia" itu ialah suatu pengetahuan istimewa yang besar manfaatnya, yang hanya boleh diungkapkan kepada para anggota kelompok ugama tersebut, yang masing-masing telah mengangkat sumpah. Untuk "orang luar" yang mahu mendapatkan maklumat yang tersembunyi itu, mereka harus menjadi ahli kumpulan itu, melalui satu upacara yang disebut inisiasi atau upacara perkenalan.

Jadi, dengan menggunakan perkataan "rahsia" untuk menjelaskan hubungan pernikahan itu, Paulus sesungguhnya menunjukkan dua hal kepada kita. Pertama, ada suatu pengetahuan istimewa yang sangat dirahsiakan yang dapat menghasilkan kebahagiaan dalam pernikahan. Kedua, pengetahuan yang tersembunyi ini hanya dapat diperolehi setelah kita menempuh ujian-ujian dan memenuhi syarat-syarat tertentu. Itulah sebenarnya tujuan mesej ini, iaitu membantu anda mengenal rahsia ini supaya selalu lulus ujian-ujian yang harus ditempuhi dan syarat-syarat yang harus dipenuhi.

Di dalam buku Ulangan, dikisahkan bagaimana umat Israel bersiap-sedia untuk menyeberang ke tanah Kanaan dan memasuki negeri yang dijanjikan Allah kepada mereka. Di situ nabi Musa menjelaskan kepada mereka tentang pola atau cara hidup yang telah direncanakan Allah bagi mereka. Atas nama Allah, Musa berjanji, bahawa apabila umat Israel mentaati semua perintah Allah, mereka akan diberkati secara luarbiasa dalam segala bidang kehidupan mereka. Menurut satu terjemahan Alkitab dalam bahasa Inggeris bagi Ulangan 11 ayat 21, Musa pada dasarnya berjanji bahawa rumahtangga umat Israel masing-masing akan menjadi seperti "syurga di dunia". Nabi Musa melukiskan pernikahan dengan begitu indah dan menggambarkannya sebagai satu kepuasan dan kedamaian yang tidak berakhir. Betapa indahnya keadaan rumahtangga yang direncanakan Allah bagi umatNya.

Kira-kira seribu dua ratus tahun kemudian, melaui perantaraan nabi Maleakhi, Allah memeriksa kembali perilaku umat Israel semenjak mereka mendiami Tanah Perjanjian itu. Ramai di antara mereka ternyata gagal memenuhi syarat-syarat Allah, sehingga mereka tidak pernah mengecapi atau menikmati satu kualiti hidup yang tinggi, yang pada mulanya telah dirancangkan Allah bagi mereka.Ketika membuat penilaianNya, Allah menunjukkan kepada Israel hal-hal yang mereka telah gagal lakukan. Salah satu kegagalan adalah dalam kehidupan rumahtangga mereka, iaitu dalam hal pernikahan. Inilah yang dikatakan Allah di Maleakhi 2 ayat 13 dan 14.

Dan inilah yang kedua yang kamu lakukan: Kamu menutupi mezbah Tuhan dengan airmata, dengan tangisan dan rintihan, oleh kerana Ia tidak lagi berpaling kepada persembahan dan tidak berkenan menerimanya dari tanganmu. Dan kamu bertanya: "Oleh kerana apa?" Oleh sebab Tuhan telah menjadi saksi antara engkau dan isteri masa mudamu yang kepadanya engkau telah tidak setia, padahal dialah teman sekutumu dan isteri seperjanjianmu.

Kenyataan ini menunjukkan, bahawa kegagalan Israel dalam pernikahan bukan kerana mereka kurang beragama. Sesungguhnya mereka telah "menutupi mezbah Tuhan dengan airmata". Mereka cukup rajin berdoa, namun perkahwinan mereka tidak berjaya. Begitu juga yang sering terjadi di zaman sekarang. Ramai orang sibuk melakukan segala macam kegiatan keagamaan, tetapi pada kenyataannya perkahwinan mereka mengalami kegagalan. Jadi, agama belum tentu menjamin keberhasilan di dalam rumahtangga. Sebaliknya kesibukan yang berlebihan dengan urusan agama di luar rumah, baik dari pihak suami maupun isterilah yang sering menjadi pangkal penyebabnya suatu perkahwinan itu gagal.

Pada hakikatnya, dasar kegagalan umat Israel ditunjukkan dalam kata-kata di bahagian penutup ayat 14, "padahal dialah ... isteri seperjanjianmu". Bangsa Israel telah merosot akhlaknya sehingga mereka berfikir bahawa mereka berhak menetapkan standad mereka sendiri mengenai pernikahan, bahkan dengan sewenangnya mengubah dan membatalkan standad yang sudah ditetapkan Allah. Tetapi sekarang Tuhan memberi peringatan kepada mereka, bahawa Ia memandang pernikahan dari satu sudut yang lain. Menurut rencanaNya yang kekal, pernikahan merupakan satu perjanjian yang suci dan mengikat.

Inilah rumus rahsia, rumus dasar yang dapat menjamin kebahagiaan suatu pernikahan. Apabila rumus ajaib ini dilupakan atau diabaikan, pernikahan akan hilang nilai sucinya, sehingga hilanglah pula keseimbangan dan kekuatannya. Yang kita saksikan dalam masyarakat moden dewasa ini, tidak banyak bezanya dengan keadaan bangsa Israel pada zaman nabi Maleakhi. Penyebabnya pun sama, iaitu pandangan yang keliru mengenai ert pernikahan.

Sesudah ayat di Maleakhi tadi, wahyu ilahi yang selanjutnya mengenai perkahwinan, bahkan yang lebih lengkap lagi telah disampaikan kepada umat manusia melalui Tuhan Yesus. Intisari pengajaran Yesus mengenai perkahwinan dapat kita temukan dalam sebuah percakapannya dengan sejumlah pemimpin agama golongan Farisi, sepertimana tercatat di dalam Injil Matius 19 ayat 3-9. Ambillah sedikit masa sekarang untuk membaca ayat-ayat itu jika ada Alkitab bersama anda pada waktu ini.

Pengajaran Yesus di sini dapat disimpulkan ke dalam empat kalimat penting.
  • Pertama, standad bagi pernikahan yang pada akhirnya berlaku di negeri Israel menurut ajaran agama Yahudi jauh lebih rendah daripada standad atau tingkat mutu yang sebenarnya diinginkan Allah.
  • Kedua, tujuan Allah yang sebenarnya bagi pernikahan dinyatakan pada waktu Ia menciptakan lelaki dan perempuan pada mulanya.
  • Ketiga, ketika lelaki dan perempuan dipersatukan, mereka menyatu sedemikian sempurna, sehingga masing-masing hilang identiti peribadi kerana menjadi "satu daging".
  • Akhirnya, Yesus mempunyai rencana untuk memulihkan keadaan pernikahan dari seluruh umatNya, sehingga kembali kepada standad yang ditetapkan pada mulanya, pada saat penciptaan.

Harapan saya, semoga kita akan sedar dan menghormati isteri kita sebagai teman seperjanjian dan bersandar kepada prinsip-prinsip Allah yang telah dikongsikan untuk mempunyai satu pernikahan yang berjaya. Jika pernikahan kita tidak seperti yang direncanakan Allah, berserulah kepada Yesus untuk memulihkan dan menyempurnakan pernikahan kita itu. Saya pasti Dia akan memberkati pernikahan anda.

Ahad, 3 Ogos 2008

Persembahan Yang Benar

Ramai orang terpesona dengan kisah Kain dan Habel, kedua anak lelaki Adam dan Hawa. Alkitab menyatakan bahawa Hawa mengandung satu kali dan melahirkan anak dua kali. Kerana rekod ini, ada yang berpendapat bahawa Kain dan Habel mungkin merupakan anak kembar. Kenyataan ini boleh kita temui di dalam buku Kejadian bab 4 ayat 1 dan 2.
Kemudian manusia itu bersetubuh dengan Hawa, isterinya, dan mengandunglah perempuan itu, lalu melahirkan Kain; maka kata perempuan itu: "Aku telah mendapat seorang anak laki-laki dengan pertolongan Tuhan." Selanjutnya dilahirkannyalah Habel, adik Kain.
Mereka berdua mungkin nampak sama, tetapi mereka memilih dua jenis pekerjaan yang berlainan. Kejadian bab 4 ayat 2 menyatakan bahawa
Habel menjadi gembala kambing domba, Kain menjadi petani.
Setelah peristiwa yang dialami oleh kedua orang tua mereka (berdosa dan kemudian diusir keluar dari Taman Eden setelah dikenakan kulit domba sebagai pakaian), wajar sahajalah jika anak-anak ini diajar asas-asas mengenai persembahan yang patut dibawa kepada Tuhan. Inilah persembahan-persembahan yang dibawa oleh Kain dan Habel bagi Allah seperti yang ditulis dalam buku Kejadian bab 4 ayat 3 dan 4.
Setelah beberapa waktu lamanya, maka Kain mempersembahkan sebahagian dari hasil tanah itu kepada TUHAN sebagai korban persembahan: Habel juga mempersembahkan korban persembahan dari anak sulung kambing dombanya, yakni lemak-lemaknya.
Alkitab seterusnya mencatatkan bagi kita di dalam ayat 4 dan 5 bahawa
Tuhan mengindahkan Habel dan korban persembahannya itu, tetapi Kain dan korban persembahannya tidak diindahkanNya.
Apakah perbezaan di antara korban persembahan Kain dan korban persembahan Habel? Mengapa Allah menerima satu persembahan dan menolak persembahan lainnya? Jawabannya boleh di temukan di dalam surat Ibrani fasal 11 ayat 4, yang menyatakan
Kerana iman Habel telah mempersembahkan kepada Allah korban yang lebih baik daripada korban Kain. Dengan jalan itu ia memperoleh kesaksian kepadanya, bahawa ia benar, kerana Allah berkenan akan persembahannya itu dan kerana iman ia masih berbicara, sesudah ia mati.
Berdasarkan iman, Habel mempersembahkan korban darah kepada Tuhan. Kita diberitahu dalam surat Roma 10:17, bahawa iman timbul dari pendengaran. Jadi masuk akallah untuk kita menganggap kedua anak lelaki Adam ini mengenali kuasa darah korban dari kedua orang tua mereka. Saya percaya Adam dan Hawa telah mengongsikan pengalaman mereka semasa di Taman Eden. Kedua anak lelaki itu tahu bahawa Allah menuntut suatu perjanjian darah. Itulah sebabnya Allah bertanya kepada Kain,
Mengapa engkau marah dan mukamu muram? Apakah engkau tidak akan diterima jika engkau berbuat hal yang benar?
Soalan ini yang terdapat di dalam Kejadian bab 4 ayat 6 dan 7 menampakkan kepada kita keadaan Kain yang sebenar. Kain mengetahui hal yang benar tetapi dia tidak melakukannya. Sebagai gantinya, dia mempersembahkan persembahan sayur-sayuran, dan Allah menolaknya.
Habel patuh kepada Tuhan. Dengan iman dia mempersembahkan korban binatang, iaitu anak sulung dari ternaknya. Darah pengganti yang dipersembahkan oleh Habel keluar dari hati yang mengasihi dan percaya kepada Tuhan. Habel berusaha untuk masuk ke dalam perjanjian dengan Tuhan.
Kain membawa suatu persembahan tetapi bukan jenis yang dituntut oleh Allah. Ada perbezaan yang besar antara mempersembahkan hal yang dituntut Tuhan dan hanya semata-mata membawa persembahan. Dengarlah kata-kata Allah ini yang diambil daripada 1 Samuel bab 15 ayat 22.
Apakah Tuhan itu berkenan kepada korban bakaran dan korban sembelihan sama seperti kepada mendengarkan suara TUHAN? Sesungguhnya, mendengarkan lebih baik daripada korban sembelihan.
Kain tidak melakukan apa yang dituntut oleh Allah. Persembahannya tidak diterima kerana dia tidak berbuat benar. Jika dia melakukan apa yang benar dan membawa persembahan yang dituntut Allah, saya yakin persembahan dia juga akan berkenan di hadapan Allah.
Begitulah juga keadaannya dengan kita. Jika kita tidak berbuat benar dan mempersembahkan kepada Allah apa yang tidak dituntutnya, maka persembahan kita itu sia-sia sahaja. Marilah kita belajar menjadi seperti Habel, mempersembahkan korban yang dituntut Allah. Mendengar dan mematuhi suara Allah adalah korban kita yang benar. Korban yang seperti itu akan diterima Allah.

Selasa, 22 Julai 2008

Mengukuhkan Pernikahan Kita

Teks: Pengkhutbah 4:9-12

Saya percaya kita semua sudah pun bersedia untuk menerima satu lagi ajaran dari Alkitab yang boleh mengubah serta membahagiakan kehidupan kita. Saya percaya kita semua mahu mempunyai pernikahan yang kuat dan bahagia dan kerana itu marilah kita berusaha memberi perhatian kepada apa yang telah saya tulis di bawah ini.
Apabila kita mempelajari kisah yang tercatat di dalam Kejadian bab 1 dan 2 mengenai penciptaan Adam dan Hawa, khususnya cara mereka dipersatukan, satu fakta akan dapat dilihat dengan jelas ialah bahawa Allah sendiri terlibat secara langsung dalam peristiwa itu. Jadi, bukanlah Adam yang mulai berfikir bahawa ia memerlukan seorang jodoh, melainkan Allah. Allahlah yang menjadikan Hawa dengan mengambil tulang rusuk Adam. Allahlah yang membawa Hawa kepda Adam.
Allahlah juga yang menetapkan syarat-syarat yang terkandung dalam hubungan ikat-janji yang mempersatukan mereka itu. Kerana itu tidak salahlah kalau dikatakan bahawa di seluruh Perjanjian Lama, pernikahan dipandang sebagai suatu hubungan ikat-janji. Sayang sekali, gagasan pernikahan selanjutnya, yang berkembang dalam agama Yahudi merosot jauh dari standad dan mutu yang ada pada saat penciptaan manusia. Dalam agama Yahudi hubungan ikat-janji ini hanya bersifat mendatar, iaitu perhubungan di antara lelaki dan perempuan, padahal hubungan ikat-janji pada saat penciptaan mempunyai dua dimensi, iaitu mendatar dan menegak. Secara mendatar, hubungan itu menyatukan Adam dan Hawa, tetapi secara menegak, hubungan itu menyatukan mereka berdua dengan Allah.
Pembaca sekalian, ada ayat-ayat di dalam buku Pengkhutbah yang menunjukkan kepada kita perbezaan jelas di antara kedua tingkat pernikahan tersebut.

Berdua lebih baik dari pada seorang diri, kerana mereka menerima upah yang baik dalam jerih payah mereka. Kerana kalau mereka jatuh, yang seorang mengangkat temannya, tetapi celakalah orang yang jatuh, yang tidak mempunyai orang lain untuk mengangkatnya! Juga, kalau orang tidur berdua, mereka menjadi panas, tetapi bagaimana seorang saja dapat menjadi panas? Dan bilamana seorang dapat dikalahkan, dua orang akan dapat bertahan. Tali tiga lembar tidak mudah diputuskan (Pengkhutbah bab 4 ayat 9 hingga 12).

Raja Solomo, penulis petikan yang baru dibacakan itu, bermula dengan prinsip bahawa "berdua lebih baik dari pada seorang diri". Itu sesuai dengan alasan yang diberikan Allah pada mulanya, mengapa Ia menyediakan seorang teman Adam, iaitu kerana "tidak baik kalau manusia itu seorang diri sahaja". Solomo kemudian memberikan tiga contoh yang cukup jelas mengenai prinsip ini: kalau dua orang sedang bersama-sama dan seorang di antaranya terjatuh, maka yang lain dapat mengangkatnya; kalau dua orang berbaring bersama-sama, mereka dapat menjaga satu sama lain agar tidak kesejukkan; jika mereka sedang bersama pada waktu diserang musuh, mereka dapat bersama-sama mengalahkan penyerang itu.
Namun contoh yang terakhir yang diberikan Solomo agak lain dari tiga contoh sebelumnya: "tali tiga lembar tidak mudah diputuskan". Di sini kekuatan diperoleh bukan dari hanya dua yang bersama-sama, melankan tiga yang bersama-sama, iaitu satu penyatuan antara-tiga.
Contoh yang diberikan oleh Salomo itu dapat juga dipakai untuk menunjukkan perbezaan antara konsep pernikahan menurut agama Yahudi dan konsep pernikahan yang dimulakan oleh Allah sendiri pada saat penciptaan. Tiga contoh pertama yang diberikan Solomo mengenai "dua orang bersama" sesuai untuk mengambarkan pernikhan yang dilihat dari sudut pandangan manusia, iaitu hubungan yang mendatar antara lelaki dan perempuan. Tetapi contoh Solomo yang keempat, iaitu "tali tiga lembar" merupakan gambaran yang tepat mengenai pernikahan yang diberkati Allah sendiri pada saat penciptaan. Itulah ikatan antara tiga pihak : pihak lelaki, pihak perempuan dan pihak Allah. Hubungan antara lelaki dan perempuan tetap bersifat manusiawi. Tetapi pada saat Allah mulai terlibat juga dalam perhubungan itu timbullah satu dimensi baru, suatu hal yang baru, kerana di situ Allah menjadi bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari pernikahan tersebut.
Sesungguhnya salah satu hal yang paling revolusioner yang diajarkan oleh Yesus ialah standadNya yang begitu tinggi bagi pernikahan. Yesus menolak mentah-mentah apa pun juga yang mengurangi standad Allah yang mula itu. Sebab itu, contoh yang diberikan Solomo mengenai "tali tiga lembar" itu sangat sesuai untuk mengambarkan pola pernikahan yang telah ditetapkan Tuhan pada waktu penciptaan. Selain dari itu, contoh ini juga sesuai bagi orang yang telah dipersatukan oleh iman mereka di dalam Kristus.
Jadi, ketiga lembar tali itu menggambarkan seorang lelaki, seorang perempuan dan Allah dan prinsip yang menjalinkan ketiganya menjadi satu ialah perhubungan ikat-janji atau perjanjian yang kekal. Apa yang dikatakan Salomo itu tetap laku hingga hari ini : ikatan sedemikian "tidak mudah diputuskan". Dengarlah kesaksian seorang pengajar Firman Tuhan yang terkenal, yang telah dianugerahi dengan suatu rumahtangga bahagia selama lebih 30 tahun mengenai hal ini. Inilah kesaksiannya:

Selesai saya berkhutbah, ada seorang di antara hadirin yang mendekati saya dan memperkenalkan dirinya. "Saya seorang ahli dalam pembuatan tali," kata orang itu, "dan saya ingin mengatakan bahawa apa yang gembala sampaikan itu tadi semuanya benar. Memang demikian, tali yang kuat adalah tali yang terdiri dari tiga lembar." Ia menjelaskan kepada saya bahawa untuk membuat jalinan tali yang mengikat satu sama lain, paling banyak dapat dipakai tiga utas. Tali tiga lembar tidak akan putus, sekalipun salah satu utas, bahkan dua utas mulai terlepas kerana tegangan yang berat, asalkan lembar yang ketiga tetap utuh. Uraian orang itu mempunyai kesan di hati saya. Saya dapat membayangkan sebuah tali yang mengalami ketegangan yang begitu berat, sehingga dua lembar di antaranya mulai menipis tetapi kerana lembar yang ketiga tetap kuat, tali itu tetap bertahan sampai ketegangan itu berlalu. Saya terus terfikir, "Demikianlah yang sering terjadi di dalam pernikahan Kristian. Pada suatu saat timbul ketegangan yang melemahkan si isteri atau si suami sehingga melemahkan mereka dan mereka rasa tidak mampu menahan beban yang harus dipikul tetapi Tuhan sendirilah yang menjadi `lembar tali' yang ketiga itu, yang tetap kuat menghadapi keadaan sampai ketegangan itu berlau lalu hubungan suami isteri itu dipulihkan dan menjadi normal semula".

Pembaca, asas yang saling menjalinkan lembar-lembar tali itu dan mengikatnya menjadi satu ialah adanya satu ikatan-janji antara si lelaki dengan si perempuan dan mereka berdua dengan Allah. Ikatan-janji ini merupakan syarat mutlak untuk setiap pernikahan yang bahagia. Doa saya ialah supaya kita semua yang sudah berumahtangga telah membuat ikatan-janji ini, bukan hanya dengan teman kita tetapi bersama dengan Allah. Hanya dengan cara itu, rumahtangga kita akan mula bahagia.

Khamis, 10 Julai 2008

Mengisytiharkan Kedatangan Raja

Ada suara yang berseru-seru: "Persiapkanlah di padang gurun jalan untuk Tuhan, luruskanlah di padang belantara jalan raya bagi Allah kita!" (Yesaya 40:3)

Menurut ayat ini, Allah berbicara melalui nabi Yesaya bahawa sebelum kedatangan Yesus, akan ada satu suara, satu seruan dari seorang yang berkhutbah, mempersiapkan orang untuk menerima Juruselamat mereka. Dia akan menjadi pembuka jalan bagi Raja segala Raja.

Pada masa lalu dan di beberapa tempat di dunia bahkan sampai sekarang ini, apabila seorang raja sedang dalam perjalanan menuju ke suatu daerah yang berada di bawah penguasaannya, biasanya akan ada seorang pembawa berita yang mendahului orang penting ini, mengumumkan dengan suara yang lantang bahawa raja sedang dalam perjalanan menuju tempat itu. Seruan ini memberi kesempatan kepada orang ramai untuk mempersiapkan diri mereka sebelum raja datang dan lalu di sana. Mereka menghentikan percakapan dan urusan mereka di tempat-tempat umum, mereka mengemaskan pakaian dan penampilan mereka, mereka menundukkan kepala bahkan ada yang berlutut di hadapan raja apabila raja dan rombongannya itu datang mendekat. Jika penduduk di kawasan itu tidak diberi peringatan sebelumnya, maka nyawa mereka mungkin berada dalam bahaya kerana mereka tidak siap untuk memberikan sambutan yang sesuai dan semestinya pada raja mereka. Bagi penduduk-penduduk ini, tugas si pembawa berita itu adalah sangat penting, walaupun di dalam kerajaan itu, dia mungkin hanya seorang pelayan rendahan sahaja.

Yohanes Pembaptis dilahirkan ke dalam keluarga Zakaria dan Elizabet, dan sejak dalam kandungan dia sudah ditetapkan untuk menjadi pembawa berita, mempersiapkan jalan bagi kedatangan Yesus Kristus, yang tidak lama lagi. Kehidupan dan pelayanan Yohanes Pembaptis sangat menarik dan juga sangat berkait rapat dengan kehidupan kita dewasa ini.

Alkitab mengajar kepada kita bahawa Yesus akan datang kembali untuk kedua kalinya ke dunia ini. Nubuatan Yesaya tentang kedatangan Yesus yang kedua kali sama pentingnya sebagaimana kedatangan Yesus kali pertama.

Siapakah yang akan memberitakan kedatangan Yesus yang kedua kali? Jawabannya mudah sekali. Saya dan kita, pelayan-pelayan Injil Yesuslah, yang akan berfungsi sebagai pembawa berita mengenai ketibaan Raja kita yang segera datang. Bagaimana kita melakukan hal ini? Kita akan melakukannya dalam roh dan pelayanan Yohanes Pembaptis yang ditetapkan di dalam hati dan kehidupan umat Allah di seluruh spektrum Kekristianan masa kini.
Pada waktu Allah berfirman melalui nabi Maleakhi seperti mana yang dicatat di dalam buku Maleakhi bab 4 ayat 5 dan 6, Dia menyatakan
Sesungguhnya Aku akan mengutus nabi Elia kepadamu menjelang datangnya hari Tuhan yang besar dan dasyat itu. Maka ia akan membuat hati bapa-bapa berbalik kepada anak-anaknya dan hati anak-anaknya kepada bapa-bapanya supaya jangan Aku datang memukul bumi sehingga musnah.

Sudahkah Allah mengutus Elia yang dijanjikan itu? Menurut Yesus, Allah sudah mengutus Elia dan orangnya ialah Yohanes Pembaptis. Inilah yang dikatakan oleh Yesus pada murid-muridNya mengenai Yohanes Pembaptis:

Sebab semua nabi dan kitab Taurat bernubuat hingga tampilnya Yohanes dan - jika kamu mahu menerimanya - ialah Elia yang akan datang itu. Siapa yang bertelinga, hendaklah ia mendengar!

Setiap kali Yesus membuat penyataan, "Yang bertelinga, hendaklah ia mendengar", kita harus sedar bahawa apa yang telah disampaikan perlu diterima dengan iman dan dengan pengertian rohani. Ini sangat penting.

Pelayanan Yohanes akan kelihatan semula di bumi, bukan sahaja sebagai seorang yang berseru-seru di padang gurun Israel, tetapi melalui kehidupan orang percaya yang mengetahui masa dan hidup dalam sikap dan tingkah laku seorang pembawa berita yang penting, yang menyiapkan jalan bagi kedatangan kembali Tuhan kita. Bilamana roh Yohanes Pembaptis terlihat kembali dalam pelayanan kepemimpinan gereja, kita boleh yakin bahawa kedatangan kembali Tuhan kita sudah begitu dekat.

Dengan memperhatikan secara saksama kehidupan Yohanes, kita akan dapat melihat sebuah pola dan contoh untuk kehidupan dan pelayanan kita sendiri. Roh Allah memanggil umatNya, terutama pelayan-pelayanNya, untuk memisahkan diri dari perkara-perkara duniawi, supaya dapat hidup sesuai dengan panggilan dan penetapan mereka. Roh Allah juga memanggil kita untuk menjauhkan diri dari yang tidak benar, hidup bergantung kepada penyediaan dan pembekalan Tuhan secara alamiah dan rohani. Ini bukan satu pemisahan secara fizikal seperti Yohanes, akan tetapi ia adalah satu panggilan kepada pengudusan dan penjauhan diri dari pengaruh dan daya tarikan dunia terhadap kita. Kita mesti mulai hidup sebagai pembawa-pembawa berita dan bersiap sedia untuk mengisytiharkan kembalinya Yesus, Raja segala Raja, ke bumi ini tidak lama lagi.

Ahad, 6 Julai 2008

Melayani di Kuala Lumpur

Pada 6 dan 7 Jun yang lepas, saya berada di The Summit USJ Subang sebagai pengkhutbah jemputan bagi Konsert Muda-Mudi: Generasi Berpengaruh anjuran BM Youth Assemblies of God Malaysia.

Pada hari pertama saya menyampaikan khutbah berjudul “Sudah Selesai?” yang didasarkan atas Efesus 2:10. Secara ringkas saya menyatakan bahawa kita adalah ciptaan Allah yang sangat baik (Kejadian 1:18,25 dan 31) yang telah rosak oleh dosa tetapi telah dipulihkan dalam Yesus kerana Allah mahu kita menyudahkan tugas yang telag Dia berikan kepada kita (lihat contoh Yeremia dalam Yeremia 1:4-10, Yesus dalam Yohanes 19:30 dan Paulus dalam 2 Timotius 4:6-7).



Pada hari kedua saya menyampaikan dua bengkel: (1) Bagaimana Menangani Tekanan Rakan Sebaya dan (2) Mengatasi Godaan Seksual Ketika Berpacaran. Kedua-dua bengkel ini disambut baik dan ada yang berpendapat mereka telah diberkati.

Pada malam hari Sabtu ini saya menyampaikan satu lagi khutbah, kali ini berjudul “Siapa Kamu?” di mana saya menekankan bahawa identity kita sebagai garam dunia (Matius 5:13) menuntut supaya kita terlibat secara aktif menyembuhkan dunia ini, menghalang pereputan moral yang berlaku di sekeliling kita dan “menyedapkan” keadaan sekeliling kita supaya manusia dapat hidup aman damai dan selesa.

Semoga semua yang hadir dan mendengar Firman Allah telah diberkati.

Khamis, 22 Mei 2008

Mengenal Suara Tuhan

Di dalam buku 1 Samuel bab 1, kita akan menjumpai cerita mengenai kelahiran seorang nabi Israel yang terkenal, Nabi Samuel. Ibu Samuel bernama Hana. Dia ialah satu daripada dua isteri milik seorang lelaki dari pergunungan Efraim bernama Elkana. Hana tidak dapat melahirkan anak kerana Tuhan telah menutup rahimnya. Hatinya selalu disakiti oleh isteri Elkana yang satu lagi, Penina. Setiap kali Hana berdoa, hatinya gusar dan sedih. Dia sering berdoa memohon dari Tuhan untuk diberikan seorang anak.
Pada suatu hari, dia bernazar, katanya,"Tuhan berikanlah hambaMu ini seorang anak laki-laki, maka aku akan memberikan dia kepada Tuhan untuk seumur hidupnya." Tuhan ingat apa yang dikatakan Hana dan setahun kemudian mengandunglah Hana dan dia melahirkan seorang anak lelaki. Ia menamakan anaknya itu Samuel kerana dia telah memintanya dari Allah. Samuel tinggal bersama ibunya sehinggalah dia cerai susu dan kemudian dia dibawa ke rumah Tuhan di Silo. Di sanalah dia hidup bersama seorang imam Israel yang terkenal, Eli namanya. Samuel yang muda ini menjadi pelayan Tuhan di bawah pengawasan Eli.
Pada suatu hari Eli sedang berbaring di tempat tidurnya. Samuel pada masa itu sudahpun tidur di dalam bait suci Tuhan, tempat tabut Allah disimpan. Tuhan memanggil Samuel di sana, kataNya, "Samuel, Samuel." maka Samuel pun bangun dan menjawab, "Ya, bapa". Lalu dengan cepat dia berlari kepada Eli dan berkata, "Ya, bapa, saya di sini. Bukankah bapa yang memanggil saya tadi?" Eli menjawab, "Saya tidak memanggil kamu, kembali tidur." Lalu Samuel pun pergi tidur.
Tuhan memanggil Samuel sekali lagi. Samuel bangun lalu pergi mendapatkan Eli. Dia berkata kepadanya, "Ya bapa, saya di sini. Tidakkah bapa memanggil saya?" Tetapi Eli berkata, "Anak, saya tidak memanggil kamu, tidurlah kembali."
Tuhan memanggil Samuel buat kali ketiga dan sekali lagi Samuel pergi mencari Eli. Lalu Eli sedar bahawa Tuhanlah yang sedang memanggil Samuel, Tuhanlah yang memanggil anak itu. Inilah nasihat yang diberikan Eli kepada Samuel seperti mana yang dicatat dalam buku 1 Samuel bab 3 ayat 9.
Pergilah tidur dan apabila Ia memanggil engakau, katakanlah: Berbicaralah, TUHAN, sebab hambaMU ini mendengar.
Mengapakah Samuel tidak tahu yang suara yang didengarnya itu suara Tuhan? Mengapakah Samuel berfikir bahawa Eli yang menaggilnya dan bukan Allah? Mengapakah Samuel tidak mengerti bahawa adalah suara Allah yang didengarnya? Saya percaya jawapannya terkandung di dalam satu ayat pendek yang terselit di dalam naratif ini. Ayat yang saya maksudkan ialah dari 1 Samuel bab 3 ayat 7. Beginilah bunyinya:
Samuel belum mengenal TUHAN; firman TUHAN belum pernah dinyatakan kepadanya.
Saya percaya pada hari ini Tuhan masih berbicara. Tuhan bukan Tuhan yang bisu dan Dia bukanlah Tuhan yang tidak mengambil berat mengenai keadaan diri kita. Saya pasti Tuhan masih mahu berbicara dengan kita dan Dia selalu berusaha berkomunikasi dengan kita. Akan tetapi, seperti Samuel kita tidak sedar bahawa Tuhanlah yang sedang berbicara. Kita tidak sedar bahawa Tuhan baru sahaja habis bercakap dengan kita. Seperti Samuel yang walaupun mendengar suara Allah telah berlari kepada Eli, kita juga, yang walaupun sudah mendengar suara Allah, berlari kepada manusia atau tuhan-tuhan lain dan bukan kepada Allah. Mengapakah demikian? Saya percaya sebabnya sama dengan kes Samuel. Kita seperti Samuel, tidak mengenal Allah dan tidak pernah ditunjukkan firman Tuhan.
Ramai orang tidak mengenal Allah. Mereka mengetahui serba sedikit mengenaiNya, tetapi mereka tidak mengenal Dia secara peribadi. Tidak ada perhubungan yang intim yang wujud di antara Tuhan dan mereka. Mungkin ada di antara kita yang berkata, "Bolehkah manusia mempunyai satu perhubungan yang intim dan peribadi dengan Allah?" Jawapannya saudara ialah, "Boleh". Boleh kerana kita, Tuhan yang mahu mengadakan perhubungan ini. Tuhan terlebih dahulu telah mengambil inisiatif untuk berkawan dengan kita. Tuhan terlebih dahulu telah berusaha untuk berdamai dengan kita supaya kita boleh berinteraksi denganNya secara bebas dan rapat.
Bacalah kesaksian Rasul Paulus mengenai kenyataan yang hebat ini dalam 2 Korintus fasal 5, mula dari ayat 18 hingga ayat 20. Begini bunyinya:
Dan semuanya ini dari Allah, yang dengan perantaraan Kristus telah mendamaikan kita dengan diriNya dan telah mempercayakan pelayanan pendamaian itu kepada kami. Sebab Allah mendamaikan dunia dengan diriNya oleh Kristus dengan tidak memperhitungkan pelanggaran mereka. Ia telah mempercayakan berita pendamaian itu kepada kami. Jadi kami ini adalah utusan-utusan Kristus, seakan-akan Allah menasihati kamu dengan perantaraan kami; dalam nama Kristus kami meminta kepadamu: berilah dirimu didamaikan dengan Allah.
Jelaslah dari ayat-ayat ini bahawa Tuhan mahu kita mempunyai satu perhubungan yang intim denganNya. Tuhan mahu kita berkawan denganNya. Tuhan mahu kita mengenalNya.
Seperti Samuel, ramai daripada kita belum lagi ditunjukkan Firman Allah atau dengan perkataan lain, Firman Tuhan belum dinyatakan kepada kita. Saya percaya ada di antara kita yang sedang membaca artikel ini belum memiliki sebuah Alkitab. Saya percaya ada di antara kita yang tidak mempunyai sumber lain untuk menikmati Firman Tuhan selain dari buku ini. Harapan dan doa saya ialah supaya Firman Allah yang bertulis akan terus-menerus sampai ke tangan anda, untuk dimiliki dan dibaca, dalam usaha anda mengenal suara Allah.
Bagaimana pula dengan kita yang sudahpun memiliki sekurang-kurangnya satu Alkitab? Sudahkah Firman Allah dinyatakan kepada kita? Sudahkah kita membuka buku itu dan membacanya? Sudahkah kita mentelaah ayat-ayat yang terkandung dalam Alkitab milik kita itu? Doa saya ialah supaya kita akan membacanya, dan bukan hanya membacanya tetapi memahaminya lalu melakukan apa yang disuruhnya. Janganlah kita menjadi seperti Samuel, yang walaupun tidur di dalam bait Allah itu sendiri, tetapi tidak pernah ditunjukkan Firman Allah. Keadaannya seperti seorang yang tinggal di sebuah kedai makanan yang besar tetapi tidak pernah menikmati masakan-masakan yang dihasilkan oleh kedai itu. Alangkah sedihnya jika kita yang memiliki Alkitab tidak berusaha untuk membacanya dan mentaati ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya.
Janganlah kita jadi seperti Samuel. Tuhan berbicara kepada dia. Dia mendengar suara Tuhan tetapi dia tidak sedar bahawa itu suara Tuhan. Mengapa demikian? Kerana dia tidak mengenal Allah dan Firman Allah belum dinyatakan kepadanya. Bagaimana dengan kita? Sudahkah kita mengenal Allah? Sudahkah Firman Allah dinyatakan kepada kita? Saya memohon kepada Allah supaya Ia membantu kita mengenalNya serta FirmanNya yang kudus itu. Selamat mendengar suaraNya!

Khamis, 15 Mei 2008

Mengalahkan Serangan Musuh

Untuk kita memahami pergelutan-pergelutan yang kita alami hari ini, kita perlu ingat peristiwa yang terjadi di taman Eden. Ketika Allah menciptakan Adam, dia seorang manusia yang sempurna. Dia mempunyai fikiran yang cemerlang, yang sanggup menamakan setiap binatang serta mengingat nama mereka itu. Pada waktu itu, lelaki dan wanita pertama hidup dalam keserasian yang sempurna dengan Allah.
Tetapi ada musuh yang bersembunyi di taman Eden! Inilah yang tertulis di dalam buku Kejadian bab 3 ayat 1.

Adapun ular ialah yang paling cerdik dari segala binatang di darat yang dijadikan oleh Tuhan Allah. Ular itu berkata kepada perempuan itu: "Tentulah Allah berfirman: Semua pohon dalam taman ini jangan kamu makan buahnya, bukan?"

Iblis itu cerdik dan licik. Dia menemui wanita itu dan mengajukan sebuah pertanyaan tentang petunjuk Allah yang menyangkut soal makan dari pohon tertentu itu. Dia bertanya, "Benarkah Allah sudah berfirman, "Engkau jangan makan dari setiap pohon dari taman ini?" Iblis menggunakan senjata kata-kata ini kerana dia ingin Hawa mempersoalkan kesetiaan Allah. Jawapan yang telah diberikan Hawa menunjukkan bahawa dia lebih mempercayai si penggoda yang memutar belitkan ucapan Allah daripada kata-kata Allah yang benar. Wanita itu menjawab kepada ular,

"Buah pohon-pohon dalam taman ini boleh kami makan, tetapi tentang buah pohon yang ada di tengah-tengah taman, Allah berfirman: Jangan kamu makan ataupun raba buah itu, nanti kamu mati." (Kejadian 3:2,3)

Baca ayat di atas dengan teliti sekali lagi dan kenal pastilah kesilapan Hawa di dalam jawapannya kepada iblis. Hawa hanya berkata,"... nanti kamu mati" tetapi sebenarnya Tuhan berfirman, "Pastilah engkau mati".
Kemudian Iblis berdusta kepada wanita itu. Dia berkata, "Sekali-kali kamu tidak akan mati, tetapi Allah mengetahui bahawa pada waktu kamu memakannya, matamu akan terbuka, dan kamu akan menjadi seperti Allah, tahu tentang yang baik dan yang jahat." Kata-kata dusta iblis ini yang dipetik dari Kejadian bab 3 ayat 4 dan 5, menampakkan kepada kita niat sebenar Iblis. Iblis selalu berniat untuk menjadi seperti Allah. Alkitab, di dalam buku Yesaya 14 ayat 13 mencatat bahawa Iblis berkata dalam hatinya,

"Aku hendak naik ke langit, aku hendak mendirikan takhtaku mengatasi bintang-bintang Allah."

Iblis telah dibuang dari syurga kerana berusaha untuk menjadi seperti Allah. Kini dia cuba pula untuk menawarkan kedudukan yang setaraf dengan Allah itu kepada Hawa.
Hawa bukan hanya tertipu oleh dusta iblis, tetapi dia juga memujuk Adam untuk bergabung dengan dia, dan dosa warisan masuklah ke dalam hati manusia. Lihatlah perkembangan ini dari buku Kejadian bab 3 ayat 6.
Perempuan itu melihat, bahawa buah pohon itu baik untuk dimakan dan sedap kelihatannya, lagi pula pohon itu menarik hati kerana memberi pengertian. Lalu ia mengambil dari buahnya dan dimakannya dan diberikannya juga kepada suaminya yang bersama-sama dengan dia, dan suaminya pun memakannya.

Dalam satu ayat ini, kita menemukan tiga godaan besar yang biasanya digunakan iblis. Godaan-godaan ini merayu kepada keinginan daging kita, keinginan mata kita dan kepada keangkuhan hidup dalam diri kita itu. Iblis mengusahakan tiga godaan yang serupa ini semasa perjumpaannya dengan Yesus di gurun. Apakah yang ditawarkannya kepada Yesus? Pertama, peluang memuaskan keinginan daging dengan memerintahkan batu-batu menjadi roti. Kedua, ketika iblis memperlihatkan semua kerajaan dunia dengan kemegahannya, dia menggoda Yesus dengan keinginan mata. Dan ketiga, dia merangsang keangkuhan hidup dengan mencabar Yesus untuk menjatuhkan dirinya dari bangunan yang tinggi lalu memerintahkan para malaikat untuk menyelamatkan dirinya.
Iblis mengetahui Firman Allah dan cuba menggunakannya untuk menggoda Yesus. Tetapi Yesus lebih mengetahui Firman Allah itu. Dengan kewibawaan syurga Dia menolak godaan-godaan Iblis menggunakan Firman Allah. Tiga kali secara berasingan Dia merujuk kepada ayat-ayat dalam Alkitab dan akhirnya memerintahkan Iblis untuk enyah dariNya.
Musuh kita, si Iblis itu, masih menggunakan siasat yang serupa dewasa ini. Tetapi ingat, Yesus telah mengalahkan Iblis dengan kuasa Firman, dan kuasa yang serupa itu ada pada kita hari ini. Gunakannya untuk mencapai kemenangan atas godaan-godaan iblis!

Rabu, 14 Mei 2008

Luarbiasa bagi Allah

Tetapi malaikat itu berkata kepadanya: "Jangan takut, hai Zakharia, sebab doamu telah dikabulkan dan Elizabet isterimu akan melahirkan seorang anak laki-laki bagimu dan haruslah engkau menamai dia Yohanes. Engkau akan bersukacita dan bergembira, bahkan ramai orang akan bersukacita atas kelahirannya itu. Sebab ia akan besar di hadapan Tuhan dan ia tidak akan minum anggur atau minuman keras dan ia akan penuh dengan Roh Kudus mulai dari rahim ibunya; ia akan membuat ramai orang Israel berbalik kepada Tuhan, Allah mereka, dan ia akan berjalan mendahului Tuhan dalam roh dan kuasa Elia untuk membuat hati bapa-bapa berbalik kepada anak-anaknya dan hati orang derhaka kepada fikiran orang benar dan dengan demikian menyiapkan bagi Tuhan satu umat yang layak bagiNya."

Demikianlah nubuatan tentang Yohanes Pembaptis seperti yang terdapat dalam Injil Lukas bab 1, ayat 13 hingga ayat 17. Sesungguhnya sesuatu hal itu boleh dianggap luarbiasa kalau dalam dalam pandangan Allah hal itu dikatakan besar dan hebat. Dalam pandangan manusia pada umumnya, Yohanes Pembaptis orang yang aneh, tidak lazim, tidak mahu berkompromi dan sangat sederhana, tetapi bagi Allah, Yohanes ialah manusia yang luarbiasa.
Dalam ayat-ayat di atas kita diberitahu mengenai tugas Yohanes Pembaptis yang diberikan oleh Allah sendiri. Tugasnya sangat mencabar. Ini juga merupakan cabaran yang dihadapi oleh semua pengikut Yesus pada zaman akhir ini, walaupun kita tidak dipenuhi dengan Roh Allah sejak di dalam kandungan ibu lagi. Namun demikian, saya percaya kata-kata Raja Daud menyatakan keistimewaan diri kita semua.

Sebab Engkaulah yang membentuk buah pinggangku, menenun aku dalam kandungan ibuku ... Tulang-tulangku tidak terlindung bagiMu, ketika aku dijadikan di tempat yang tersembunyi, dan aku direkam di bagian-bagian bumi yang paling bawah; mataMu melihat selagi aku bakal anak, dan dalam kitabMu semuanya tertulis hari-hari yang akan dibentuk, sebelum ada satupun dari padanya. (Mazmur 139 ayat 13, 15 dan 16)

Ada bukti yang cukup dalam Alkitab untuk kita memahami bahawa Tuhan mengetahui tentang diri kita. Bahkan sebelum kita dikandung, Dia telah pun mengetahui kita dan telah menetapkan supaya kita menjadi alat yang perkasa dalam tanganNya, berfungsi sebagaimana Yohanes Pembaptis pada hari-hari akhir ini.
Sebagaimana dinubuatkan oleh malaikat Gabriel dalam Injil Lukas bab 1, Yohanes menjalani satu kehidupan yang kudus dan memisahkan diri dari perkara-perkara duniawi. Dalam Injil Matius bab 3, kita mempelajari bahawa gaya hidup Yohanes Pembaptis dari segi makanan dan pakaian adalah sangat sederhana tetapi menyihatkan. Dia tidak dibebani dengan segala macam gangguan dan hal-hal tambahan lain yang sering menjebak kita, menjadikan kehidupan kita sangat selesa dan ketamakan. Kita hidup di dalam dunia yang mengukur keberhasilan atas dasar kekayaan dan kelebihan perkara-perkara material. Kita diserang oleh iklan-iklan yang berusaha meyakinkan kita bahawa kita akan kehilangan harga diri kalau kita tidak memiliki kekayaan-kekayaan tertentu dan bahawa kita tidak menarik kalau tidak menggunakan produk-produk tertentu.
Ada suatu kecenderungan dewasa ini pada orang Kristian untuk mendapatkan sejumlah besar kekayaan, untuk terus menerus menyesuaikan gaya hidup mereka selaras dengan penghasilan mereka. Tetapi ingatlah bahawa Rasul Paulus memberitahu kita dalam surat Roma fasal 12 ayat 2,

Janganlah kamu menjadi serupa dengan dunia ini.

Ayat ini juga boleh membawa maksud "Jangan biarkan dunia ini membentuk atau mempengaruhi anda". Jika kita ingin menjadi orang yang berorientasi kepada Kerajaan Allah, kita harus menetapkan gaya hidup kita kepada satu tingkat yang sederhana dan dalam kerendahan hati, belajar berpuas hati dengan apa yang ada supaya kita dapat memusatkan perhatian kita lebih pada hal-hal Kerajaan Allah. Jika kita melakukan itu, Allah senang mempercayakan kita dengan kewangan dan kuasaNya bagi kepentingan KerajaanNya. Memusatkan perhatian kepada perkara-perkara duniawi akan menghalang aliran kuasa Allah melalui kehidupan kita. Kerana itu, titik beratkanlah nasihat Yesus ini yang dipetik dari Injil Matius bab 6 ayat 33.

Tetapi carilah dahulu kerajaan Allah dan kebenarannya, dan semuanya itu akan ditambahkan kepadamu.

Tuhan mengenali kita dan telah menetapkan kita untuk menjadi alat-alat yang berupaya mengubah dunia ini bagi Allah. Marilah berusaha menjalani satu kehidupan yang suci dan pisahkan diri dari perkara-perkara duniawi. Dengan cara yang demikian kita akan menjadi luarbiasa bagi Allah!

Rabu, 30 April 2008

Lemah Lembut dan Rendah Hati

Yesus adalah seorang guru yang agung. KehebatanNya bukan hanya kerana ajaran-ajaranNya yang radikal tetapi juga kerana sifat diriNya sendiri berbeza dari sifat guru-guru lain yang semasa denganNya. Dengarlah apa yang dikatakan Yesus mengenai sifatNya sebagai seorang guru seperti mana yang dicatat oleh Rasul Matius dalam Injil tulisannya:

Pikullah kuk yang Kupasang dan belajarlah padaKu, kerana aku lemah lembut dan rendah hati dan jiwamu akan mendapat ketenangan.

Ayat dari Injil Matius bab 11 ayat 29 ini mendedahkan dua sifat Yesus yang telah menjadikanNya seorang guru yang hebat dan disegani oleh semua yang telah bertemu atau mendengar Dia mengajar. Yesus ialah seorang guru yang bersifat lemah lembut dan rendah hati. Kedua sifat ini akan saya berikan perhatian yang lebih dalam pelajaran ini kerana kedua hal ini adalah sifat-sifat yang sama yang mesti kita punyai, lebih-lebih lagi jika kita mahu mengongsikan Firman Allah dengan berkesan. Marilah kita belajar dari Yesus. Marilah kita belajar untuk menjadi sepertiNya - lemah lembut dan rendah hati.
Kita dipanggil untuk menjadi orang yang lemah lembut dan rendah hati. Jika kita mempunyai sifat ini, banyak berkat akan menjadi milik kita.
Sudah cukup lama kita berpendapat bahawa bersikap lemah lembut dan rendah hati ini adalah sesuatu yang kurang penting atau hanya untuk mereka yang takut dan lemah sahaja. Ini adalah satu konsep yang salah. Sikap lemah lembut dan rendah hati ialah satu sikap yang mulia dan yang sangat susah untuk diamalkan. Hanya mereka yang mempunyai ketekunan, ketabahan serta iman dalam Allah dapat hidup setiap hari sebagai peribadi-peribadi yang lemah lembut serta rendah hati.
Seperti yang dikatakan tadi, jika kita mengamalkan sikap lemah lembut dan rendah hati dalam diri kita, kita akan memperoleh banyak berkat. Pertamanya, kita akan kenyang. Inilah yang dijanjikan Allah kepada kita dalam Mazmur 22:27.

Orang yang rendah hati akan makan dan kenyang, orang yang mencari Tuhan akan memuji-muji Dia; biarlah hatimu hidup untuk selamanya!

Ya, pembaca, orang yang rendah hati akan merasa kenyang selepas mereka makan, dan bukan seperti orang lain yang walaupun memakan berbagai jenis hidangan, tetapi akhirnya masih tidak merasa puas dan kenyang. Mereka yang rendah hati dapat berpuas hati dan menikmati apa sahaja hidangan di depan mereka. Segalanya diterima dengan pujian dan ini menghasilkan rasa kenyang yang memuaskan.
Juga, orang yang rendah hati akan menerima bimbingan. Inilah berkat yang boleh kita alami jika kita bersikap lemah lembut. Perhatikanlah ayat ini yang di petik dari Mazmur 25:9.

Ia membimbing orang-orang yang rendah hati menurut hukum, dan Ia mengajarkanjalanNya kepada orang-orang yang rendah hati.

Mereka yang bersikap rendah hati pasti akan menerima bimbingan dari Allah. Orang yang rendah hati Tuhan senang pimpin kerana mereka senang patuh. Mereka yang rendah hati akan diajar oleh Tuhan sendiri. Mereka akan dibimbing ke jalan yang benar dan selamat. Saya pasti ini adalah keinginan kita semua. Jika ini benar, ketahuilah bahawa jika kita bersikap rendah hati pengajaran dan bimbingan dari Tuhan secara peribadi akan menjadi milik kita.
Berkat seterusnya yang boleh kita terima jika kita bersikap rendah hati dan lemah lembut ialah satu warisan yang kekal. Inilah yang dikatakan Allah dalam Mazmur 37:11.

Tetapi orang-orang yang rendah hati akan mewarisi negeri dan bergembira kerana kesejahteraan yang berlimpah-limpah.

Betapa hebatnya warisan orang yang rendah hati! Janji Allah ialah bahawa mereka akan mewarisi negeri dan mewarisinya dengan penuh kesejahteraan. Sesungguhnya, apabila Tuhan menyeru kita merendahkan hati kita, Ia menyeru kita untuk mewarisi segala kebaikanNya. Setiap mereka yang bersikap rendah hati akan mewarisi berkat-berkat Allah yang berlimpah-limpah dan menerimanya dengan hati yang penuh kesyukuran. Semoga pembaca sekalian merupakan satu daripada mereka ini yang bersikap rendah hati serta lemah lembut.
Semua orang percaya yang bersikap rendah hati akan dihiaskan dengan keselamatan dari Allah. Keselamatan Allah adalah bagi mereka yang lemah lembut, yang rendah hati. Tuhan berkenan untuk memahkotakan mereka dengan keselamatan. Mereka tidak perlu takut kerana keselamatan Allah adalah milik mereka. Dengarlah apa yang Tuhan akan lakukan bagi mereka yang bersikap rendah hati seperti mana dinyatakanNya dalam Mazmur 149:4.

Sebab TUHAN berkenan kepada umatNya, Ia memahkotai orang-orang yang rendah hati dengan keselamatan.

Pembaca sekalian, bersikap rendah hati dan lemah lembut adalah satu daripada kehendak Allah bagi kita. Adalah kehendak Allah supaya kita semua yang percaya kepadaNya mempunyai sikap anakNya, Yesus Kristus. Lihatlah nasihat Allah yang diambil dari surat Efesus pasal 4 ayat 2 ini.

Hendaklah kamu selalu rendah hati, lemah lembut dan sabar. Tunjukkanlah kasihmu dalam hal saling membantu.

Ya, kita dikehendaki bersikap rendah hati, lemah lembut dan juga sabar. Mengapa? Saya percaya satu sebabnya adalah supaya semua berkat yang dinyatakan sebentar tadi akan menjadi milik kita. Tuhan mahu memberkati kita tetapi Ia tidak dapat kalau kita belum lagi mempunyai sikap-sikap yang akan membuka berkat-berkat Allah ini kepada kita. Marilah kita bersikap rendah hati dan lemah lembut dalam hidup kita. Marilah kita jadi seperti Yesus.
Seperti yang telah saya katakan sebelum ini, Yesus memiliki sifat lemah lembut dan rendah hati. Yesus tidak mencari kepentingan diriNya sendiri ataupun pujian yang sia-sia dari manusia yang ada di sekelilingNya. Sebaliknya Dia dengan rendah hati menganggap orang lain lebih penting dari diriNya sehingga Ia sanggup menjadi hamba manusia, melayani mereka dari pagi sampai malam. Beginilah sikap Tuhan kita, Yesus Kristus yang kita sanjung dan kasihi. Yesus tidak hanya memperhatikan kepentingan diriNya sendiri tetapi Dia juga memperhatikan keperluan orang lain yang ada disekelilingNya. Inilah yang dimaksudkan mempunyai sikap lemah lembut dan rendah hati, inilah yang dimaksudkan mempunyai minda seperti Yesus. Dengarlah seruan Paulus kepada orang percaya di bandaraya Filipi apabila dia berkata,

Sebaliknya hendaklah dengan rendah hati yang seorang menganggap yang lain lebih utama dari pada dirinya sendiri dan janganlh tiap-tiap orang hanya memperhatikan kepentingannya sendiri, tetapi kepentingan orang lain juga. Hendaklah kamu dalam hidupmu bersama, menaruh fikiran dan perasaan yang terdapat juga dalam Kristus Yesus.

Petikan dari surat Filipi pasal 2 ayat 3-5 ini,menyimpulkan dengan baik apa yang telah kita baca setakat ini. Marilah kita menjadi seperti Yesus, Guru dan Tuhan kita. Marilah kita bersikap rendah hati dan lemah lembut.

Rabu, 23 April 2008

Memiliki Kasih, Sukacita Dan Damai

Di dalam semua bahagian Alkitab, tidak ada bahagian yang lebih tepat mengenai sifat Kristus dan buah yang dibawa oleh Roh ke dalam hidup kita daripada Galatia 5:22-23. Dengarlah apa yang dikatakan oleh Rasul Paulus dalam ayat-ayat itu.

Tetapi buah Roh ialah: kasih, sukacita, damai sejahtera, kesabaran, kemurahan, kebaikan, kesetiaan, kelemah-lembutan, penguasaan diri.

Petikan ini berbicara mengenai hubungan kita dengan Allah dan orang lain. Berhubung satu dengan yang lain dalam buah Roh harus menjadi ciri hidup kita. Kesemua ciri-ciri hidup yang mulia ini akan kita punyai jika kita tinggal di dalam Kristus. Melalui Yesus kita memperolehi Roh Kudus yang akan melaksanakan pekerjaan Allah di dalam kita.
Buah Roh yang pertama adalah kasih. Tidak ada ciri seorang Kristian yang lebih menonjol daripada kasih. Injil Yohanes 13:35 menyatakan

Dengan demikian semua orang akan tahu, bahawa kamu adalah murid-muridKu, iaitu jikalau kamu saling mengasihi.

Bab yang paling agung mengenai kasih di dalam Alkitab adalah 1 Korintus pasal 13. Gambaran ini mengenai kasih seharusnya ditulis dengan tulisan emas pada hati setiap orang Kristian. Jikalau kita harus memilih menghafalkan suatu bab dari Alkitab selain Yohanes 3, maka pilihan harus jatuh pada 1 Korintus 13. Pada waktu kita merenungkan erti kasih, kita akan melihat ertinya bagi diri kita. Kasih adalah seperti musim menuai bagi petani. Kasih menyebabkan tumbuhnya bunga yang paling indah dalam jiwa kita. Sebetulnya, kasih itu bagaikan bunga yang terindah dalam kebun anugerah Allah. Jikalau kasih itu tidak menjadi ciri kehidupan kita, maka kosonglah kehidupan kita.
Demonstrasi kasih dari Allah yang termulia adalah pada salib di mana Dia mengirimkan AnakNya, Kristus Yesus, untuk mati bagi dosa-dosa kita. Oleh kerana kita harus mengasihi seperti apa yang dilakukan Allah, orang percaya perlu memiliki kasih Allah itu.Walaupun begitu, kita tidak dapat memiliki kasih ini secara alamiah. Kita tidak dapat mengembangkannya kerana pekerjaan daging tidak boleh menghasilkannya. Kita harus menerimanya dari Roh Kudus melalui kurniaNya yang istimewa. Dia mengerjakan ini pada waktu kita menyerahkan diri kita kepada kehendak Allah. Apabila kita menyerah kepada Roh Tuhan, Dia akan dapat menghasilkan kasih Allah ini dengan sempurna di dalam kita.
Mengenai kasih Roh ini, ada satu hal yang perlu bagi kita ketahui dengan jelas. Seringkali kasih hanya dilihat sebagai suatu perasaan sahaja. Memang dalam hal mengasihi, emosi terlibat, baik kasih untuk orang lain atau kasih bagi Allah. Tetapi kasih itu bukan suatu perasaan sahaja melainkan juga suatu perbuatan. Allah menyatakan dalam surat I Yohanes 3:18 kehendakNya apabila Ia berkata

Anak-anakKu, marilah kita mengasihi bukan dengan perkataan atau dengan lidah, tetapi dengan perbuatan dan dalam kebenaran.

Jadi pembaca saya sekalian, kasih itu adalah suatu perbuatan dari kemahuan kita sendiri. Itulah sebabnya mengapa kemahuan kita harus diserahkan dahulu kepada Kristus, sebelum kita dapat menghasilkan buah kasih. Kita harus mengasihi, mencari yang terbaik baik orang lain dengan perbuatan-perbuatan kita. Ini adalah kasih yang mahu menjangkau semua orang - isteri kita, suami kita, anak-anak kita, bahkan sesama kita.
Perintah mengasihi bukan merupakan suatu pilihan. Kita harus mengasihi samada kita menyukainya, ataupun tidak. Sesungguhnya, kita dapat mengatakan bahawa mengasihi orang lain adalah tanda pertama bahawa kita telah dilahirkan kembali. Keupayaan untuk mengasihi juga menanakan bahawa Roh Kudus sedang bekerja di dalam kehidupan kita.
Buah Roh yang seterusnya adalah sukacita. Sebelum peristiwa Golgota terjadi, Tuhan kita menemui murid-muridNya dan menjelaskan hubungan mereka dengan Bapa. Sesudah itu Dia berkata,

Semuanya itu Kukatakan kepadamu, supaya sukacitaKu ada di dalam kamu dan sukacitamu menjadi penuh.

Kata-kata Yesus ini, yang diambil daripada Injil Yohanes bab 15 ayat 11, jelas menunjukkan kepada kita bahawa sukacita itu datang dari Allah dan boleh kita miliki. Dunia hari ini tidak memiliki sukacita. Ianya penuh dengan bayangan kosong, kekecewaan, dan ketakutan. Kebebasan kini sudah mulai hilang. Bersama dengan hilangnya kebebasan, banyak kesukaan lahiriah dan kesenangan juga turut hilang. Perlu juga kita faham bahawa sukacita tidak sama dengan kesenangan. Kesenangan itu hanya sementara, tetapi sukacita itu dalam dan tetap tinggal walaupun dalam keadaan hidup yang paling sukar sekalipun.
Begitu juga dengan damai sejahtera. Perkataan damai dalam Alkitab membawa erti kesatuan, kesempurnaan, dan ketenteraman. Jika kita menyerah kepada kekhuatiran, kita telah menolak hak Roh Kudus untuk memimpin kita di dalam keyakinan dan damai. Hanya Roh Kudus dapat memberi kita damai di tengah badai keresahan dan keputus-asaan. Kita hendaklah jangan mendukakan Roh Kudus, dengan menurut kekhuatiran dan memperhatikan diri kita sendiri secara berlebihan. Damai dari Allah yang dapat bertakhta di dalam hati kita, selalu didahului oleh damai dengan Allah. Ini adalah titik permulaannya. Berhubungan dengan damai Allah, kita hendaknya jangan memandang kepada buah itu sendiri, tetapi kepada sumber segala damai, Yesus. Kristus melalui Roh Kudus, dengan bijak membentuk kehidupan kita untuk membiarkannya menghasilkan damai.
Walaupun manusia terus mencari damai, mereka tidak akan mendapatkannya sebelum mereka sampai kepada kesedaran yang penuh bahawa Kristus adalah damai. Lantas saudara, adakah cara yang terbaik untuk mendapatkan sukacita dan damai? Percayalah kepada Yesus dan serahkanlah diri kita kepada RohNya. Buah Roh ialah damai, sukacita dan kasih tetapi apakah kita memilikinya di dalam hati kita? Jika tidak, berserulah kepada Allah, memohon Roh Allah untuk mengubah hati kita. Roh Kudus dapat dan sedia memberikan buah-buah ini kepada kita. Kita hanya perlu menyerah dan bekerjasama denganNya.

Selasa, 22 April 2008

Janji

Membuat janji adalah satu perkara yang ramai manusia lakukan. Suami dan isteri berjanji untuk tetap mengasihi sampai akhir hayat. Anak berjanji kepada bapa untuk berjaya dalam pelajarannya. Seorang majikan berjanji menaikkan gaji pekerja pada penghujung tahun. Ada berbagai sebab dan tujuan kita berjanji.
Allah juga berjanji. Alkitab merekodkan bagi kita banyak janji-janji yang telah dibuat antara Allah dan manusia. Di dalam kitab Perjanjian Lama, Allah telah menetapkan satu perjanjian darah yang besar yang dipanggil Perjanjian Abraham. Lihatlah apa yang dikatakan Allah kepada Abraham apabila Dia membuat janji itu. Kata-kata Allah ini dicatat di dalam buku Kejadian bab 17 ayat 1 dan 2

TUHAN menampakkan diri kepada Abram dan berfirman kepadanya: "Akulah Allah Yang Mahakuasa, hiduplah di hadapanKu dengan tidak bercela. Aku akan mengadakan perjanjian antara Aku dengan engkau, dan Aku akan membuat engkau sangat banyak".

Mendengar apa yang dikatakan Allah itu, Abram bersujud di hadapan Allah. Melihat kerendahan hati Abram, "Allah berfirman kepadanya: `Dari pihakKu, inilah perjanjianKu dengan engkau: Engkau akan menjadi bapa sejumlah besar bangsa'" (Kejadian 17:3,4). Allah tahu bahawa hambaNya, Abram, akan segera menjadi manusia yang baru setelah diubah oleh janjiNya yang istimewa itu. Kerana itu, Allah menukar nama Abram. Bacalah apa yang dikatakan Allah kepada Abram di dalam buku Kejadian bab 17 ayat 5

Kerana itu namamu bukan lagi Abram, melainkan Abraham, kerana engkau telah Kutetapkan menjadi bapa sejumlah besar bangsa.

Allah menukar nama Abram menjadi Abraham yang bermaksud "Bapa sejumlah besar bangsa". Tetapi Allah tidak berhenti di sana. Seterusnya di dalam ayat 6 dan 7, Allah berkata kepada Abraham,

Aku akan membuat engkau beranak cucu sangat banyak; engkau akan Kubuat menjadi bangsa-bangsa, dan dari padamu akan berasal raja-raja. Aku akan mengadakan perjanjian antara Aku dan engkau serta keturunanmu turun-temurun menjadi perjanjian yang kekal, supaya Aku menjadi Allahmu dan Allah keturunanmu.

Tuhan berjanji untuk menjadikan keturunan Abraham sangat banyak. Dia juga mengatakan bahawa anak-anak Abraham akan menjadi bangsa-bangsa baru.
Abraham diberi sebuah nama baru oleh Allah kerana dia sudah berubah. Hubungan Abraham dengan Tuhan juga telah berubah sedemikian rupa sehingga Tuhan sekarang dipanggil "Allah Abraham". Apakah yang telah menghasilkan perubahan yang mendadak itu? Yang menghasilkan perubahan ini ialah suatu perjanjian darah dengan Allah. Perjanjian yang Allah lakukan kepada Abraham ditandai dengan penumpahan darah. Maksud saya, perjanjian di antara Allah dan Abraham telah dimeteraikan dan diteruskan melalui suatu perbuatan yang menumpahkan darah. Apakah perbuatan itu? Lihatlah ayat-ayat berikut yang dipetik dari buku Kejadian bab 17 ayat 10 dan 11 untuk mengetahui jawapannya.

Inilah perjanjianKu, yang harus kamu pegang, perjanjian antara Aku dan kamu serta keturunanmu, iaitu setiap laki-laki di antara kamu harus disunat; haruslah dikerat kulit khatanmu dan itulah yang akan menjadi tanda perjanjian antara Aku dan kamu.

Allah telah menghormati perjanjianNya itu, sehingga sekalipun pada usianya yang lanjut, Abraham sanggup menjadi seorang ayah. Isterinya Sara, yang berusia 90 tahun, mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Mereka menamakannya Ishak.
Allah telah memberi kepada kita banyak janji-janji yang istimewa. Janji-janjinya selalu bertujuan untuk memberkati kita. Janji-janjiNya juga selalu bersyarat. Jika kita mematuhi syarat-syarat perjanjian Allah, segala yang dijanjikan Allah akan menjadi milik kita. Perhatikanlah janji ini yang diambil dari Injil Yohanes bab 3 ayat 16 dan kenal-pastikan syarat-syaratnya.

Kerana begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengurniakan AnakNya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepadaNya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal.

Di dalam ayat ini, Allah menjanjikan keselamatan dari kebinasaan. Untuk menerima keselamatan yang Allah janjikan itu, kita mesti memenuhi syaratnya. Apakah syaratnya itu? Syaratnya ialah percaya kepada Yesus. Begitu juga dengan semua janji-janji Allah yang lainnya. Setiap janji Tuhan ada syaratnya. Jika kita berusaha mengenalpasti syarat-syarat itu dan mematuhinya, semua yang dijanjikan Allah itu akan menjadi milik kita. Janji-janji Allah semuanya hebat. Marilah kita juga seperti Abraham, merendahkan diri di hadapan Allah dan dengan rendah hati menerima segala pemberianNya yang baik itu hari ini.

Isnin, 21 April 2008

Ingatlah Penciptamu

Bersukacitalah! Itulah nasihat Tuhan kepada setiap pemuda dan pemudi pada masa muda mereka. Tuhan memanggil mereka untuk menikmati masa muda mereka. Tuhan memanggil mereka menikmati masa muda mereka yang ada sekarang ini, melakukan kehendak dan keinginan hati masing-masing.
Dari buku Pengkhutbah bab 11 ayat 9, kita dapati empat perkara yang Tuhan galakkan setiap pemuda dan pemudi lakukan. Mari kita bacakan ayatnya dahulu.

Bersukacitalah, hai pemuda, dalam kemudaanmu, biarlah hatimu bersuka pada masa mudamu, dan turutilah keinginan hatimu dan pandangan matamu, tetapi ketahuilah bahawa kerana segala hal ini Allah akan membawa engkau ke pengadilan!

Keempat hal yang Allah galakkan setiap pemuda dan pemudi lakukan ialah bersukaria dalam kemudaan mereka, membiarkan hati mereka bersuka pada masa muda, menuruti keinginan hati mereka, dan menuruti pandangan mata mereka.
Sekali imbas, galakkan Tuhan ini seolah-olah memberi kemerdekaan sepenuhnya kepada setiap pemuda dan pemudi melakukan apa-apa sahaja yang mereka mengingini untuk yang baik dan juga yang jahat. Sebenarnya kebebasan ini bukanlah kebebasan tanpa batas-batas sihat kerana apa-apa kebebasan yang tidak mempunyai batas-batas yang khusus akan menghasilkan peribadi-peribadi yang hanya tahu membuang masa yang berharga dengan perkara-perkara yang remeh-temeh atau yang lebih teruk lagi, dengan melakukan maksiat serta perbuatan-perbuatan tidak senonoh yang lain. Kebebasan yang Tuhan berikan kepada pemuda-pemudi haruslah diatur berdasarkan pola perhubungan yang bertanggungjawab, khasnya perhubungan dengan Tuhan.
Oleh itu, sesudah memberikan kebebasan kepada pemuda-pemudi, Tuhan juga menyatakan batas-batasNya serta cara pemuda-pemudi boleh berhubung denganNya melalui cara-cara yang bertanggungjawab dan sesuai. Tuhan menyeru pemuda-pemudi untuk ingat bahawa segala perbuatan yang mereka lakukan dalam kemerdekaan yang telah diberikan akan diadili. Setiap pemuda-pemudi akan dihadapkan ke muka pengadilan untuk diadili oleh Allah bagi menentukan samada kebebasan itu telah dipakai dengan cara bertanggungjawab di dalam lingkungan batas-batas yang telah disediakan Allah atau sebaliknya. Tindak-tanduk orang muda diberi perhatian berat oleh Allah - janganlah lupa hal itu! Tuhan memanggil orang muda bersukaria dengan penuh tanggungjawab.
Orang muda juga dipanggil Tuhan untuk menyingkirkan hal-hal yang akan menghalang mereka dari menikmati masa muda mereka. Dua perkara yang dinyatakan dengan khusus ialah kesedihan di hati dan penderitaan tubuh. Ini boleh kita perhatikan pada ayat seterusnya iaitu dalam buku Pengkhutbah bab 11 ayat 10.

Buanglah kesedihan dari hatimu dan jauhkanlah penderitaan dari tubuhmu, kerana kemudaan dan fajar hidup adalah kesia-siaan.

Kesedihan di hati bermaksud kepahitan hidup hasil dunia yang kosong dan yang menyesalkan. Kesedihan di hati atau dukacita ini sering mengganggu pemuda-pemudi masa kini. Hal ini Tuhan mahu singkirkan dari setiap orang muda. Penderitaan tubuh pula merujuk kepada berbagai jenis penyakit dan kecederaan fizikal yang sering melanda orang muda yang kurang berjaga-jaga. Ini juga Tuhan ingin singkirkan.
Dua hal ini sering melanda pemuda-pemudi, merompak dari mereka semua kebahagiaan dan sukacita yang harus mereka alami semasa muda mereka. Peristiwa-peristiwa pahit yang melanggar mereka menghasilkan kesedihan yang melarat dan menyusahkan hati. Penyakit yang menyerang tubuh menhalang mereka daripada berfungsi dengan sepenuhnya, terencat dari menikmati kesihatan dan kekuatan jasmani yang sepatutnya dipunyai oleh orang muda.
Perkataan-perkataan yang Tuhan pakai, "buang" dan "jauhkan", ialah perkataan-perkataan yang menggambarkan usaha yang sungguh-sungguh serta peribadi, yang harus dilakukan oleh pemuda dan pemudi itu sendiri. Pemeliharaan sukacita di hati dan kesihatan tubuh adalah tanggungjawab setiap pemuda-pemudi, kalau mereka ingin menikmati masa muda mereka.
Tetapi mengapakah Tuhan menitikberatkan pemeliharaan tubuh dan jasmani setiap orang muda? Saya percaya kerana mereka tidak akan selama-lamanya muda. Kemudaan mereka tidak akan bertahan selama-lamanya dan alanglah sedihnya jika keranatidak mengikut seruan Tuhan, mereka mempercepatkan proses menjadi tua, dimakan oleh kesedihan dan penyakit. Masa muda sangat berharga dan indah, marilah peliharakannya dengan baik-baik.
Setakat ini jelas bahawa Tuhan ingin setiap pemuda dan pemudi menikmati masa muda mereka tetapi dengan cara yang bertanggungjawab kerana pada hujung hari segala perbuatan mereka akan diadili. Jelas juga bahawa Tuhan ingin setiap pemuda dan pemudi menikmati masa muda mereka dan berusaha untuk mencapai ini dengan menyingkirkan dari hidup mereka kesedihan dan penyakit yang sering merompak kebahagiaan pemuda-pemudi. Ini mesti dilakukan kerana masa muda adalah satu masa yang berharga dan indah tetapi singkat. Oleh itu Tuhan menyeru kepada semua pemuda dan pemudi,

Ingatlah akan Penciptamu pada masa mudamu, sebelum tiba hari-hari yang malang dan mendekat tahun-tahun yang kaukatakan, "Tak ada kesenangan bagiku didalamnya". (Pengkhutbah 12:1)

Semua ini adalah rayuan hati Tuhan bagi setiap orang muda di dunia ini. Saya mengajak semua pemuda-pemudi untuk memberi perhatian kepada seruan Allah ini, kerana di dalamnya terkandung kunci kehidupan yang seutuhnya bagi setiap orang muda. Nasihat Tuhan mudah sahaja: Ingatlah Penciptamu.
Inilah yang harus dilakukan oleh setiap orang muda dalam masa muda mereka, melakukan hal-hal yang perlu, supaya Tuhan tidak dilupakan dalam mereka menikmati kemudaan kepunyaan mereka yang untuk seketika itu. Usaha-usaha yang dilakukan harus mempunyai kesan mendalam di hati setiap pemuda-pemudi sehingga menjadi satu tanda yang akan memperingatkan mereka akan tanggungjawab mereka. Menyebutkan nama Tuhan dan pekerjaanNya dalam perbualan harian, mengimbas kembali apa yang diketahui tentang Allah dan perbuatan-perbuatanNya, serta merekodkan urusan-urusan Allah dalam hidup peribadi didalam diari atau mana-mana buku catatan lain yang sesuai adalah beberapa usaha yang mudah tetapi berkesan untuk memperingati Tuhan. Dengan ertikata lain Tuhan tidak harus jauh di hati ataupun di mata tetapi siang dan malam diingati, diakui dan diberi hak atas pengendalian hidup harian.
Tuhan yang diingati ialah Tuhan Pencipta. Memang Tuhan dikenali dengan nama-nama lain yang menerangkan sifat-sifat serta pekerjaan-pekerjaanNya yang mulia tetapi bagi orang muda, ia harus diingati, diakui dan di terima sebagai Pencipta.
Apabila Tuhan sebagai Pencipta selalu diingati, seorang pemuda akan menyedari beberapa hal yang penting - hal-hal yang akan menentukan kualiti dan arahan hidupnya. Apabila seorang pemuda menerima dan mengakui Tuhan sebagai Penciptanya ia akan mempunyai identiti dan nilai diri yang sihat. Ia akan sedar bahawa dia adalah dalam rupa Allah dan bahawa dia senya baik. Dia akan sedar bahawa Tuhan mempunyai hak atas hidupnya kerana Tuhan yang mencipta dan juga berhak memusnahkan ciptaannya itu. Seterusnya dia juga akan tahu bahawa hidupnya mempunyai maksud dan tujuan khusus. Akhirnya, dia akan terhindar dari menyembah dan memuja makhluk dan segala ciptaan Allah yang lain. Hatinya akan terserah kepada Tuhan saja dan bebas untuk memujinya selama-lamanya.

Khamis, 17 April 2008

Hadiah Dari Yesus

Pada suatu hari ada seorang pemuda sedang membawa keretanya yang baru di sebuah jalanraya. Tiba-tiba dia melihat seorang lelaki di tepi jalan memintanya untuk berhenti. Orang itu memikul beg yang besar dan berat dibahunya. Pemuda itu berhenti dan bertanya, "Ke mana kamu mahu pergi?" Jawab orang itu, "Ke bandar. “Naiklah, saya akan menghantar kamu ke sana" ujar pemandu kereta itu. Setelah berjalan beberapa kilometer, si pemandu itu berasa hairan apabila melihat orang yang diambilnya itu masih dengan begnya terlekat di bahu. “Mengapa dia tidak menurunkan begnya itu?”, fikirnya dalam hati. Akhirnya dia bertanya dengan orang yang menumpang keretanya, "Mengapa kamu tidak menurunkan beg kamu itu?" "Ah!", kata penumpang itu, "saya tidak mahu merosakkan kereta baru kamu."
Ramai orang Kristian hari ini meniru perbuatan penumpang itu. Mereka menumpang kenderaan keselamatan, tetapi mereka masih mahu memikul beban mereka sendiri yang berat. Berulang-ulang kali Yesus telah bersabda,

Marilah kepadaKu, semua yang letih lesu dan berbeban berat, Aku akan memberi kelegaan kepadamu. Pikullah kuk yang Kupasang dan belajarlah padaKu, kerana Aku lemah lembut dan rendah hati dan jiwamu akan mendapat ketenangan (Matius 11:28,29).

Ya, Yesus telah berkata, "Turunkanlah beban itu. Akulah yang akan memikulnya bagimu." Akan tetapi, dengan membanggakan usaha diri mereka sendiri, ramai orang Kristian berkata, "Tidak usah Tuhan. Saya lebih suka melakukannya menurut cara saya sendiri." Bagaimanakah kita dapat percaya bahawa kita telah ditebus jika kita berusaha mencapai syurga dengan perbuatan-perbuatan kita?
Banyak gereja bermula dengan pencurahan Roh Kudus dan kasih Allah. Tidak lama kemudian, para pemimpinnya menambahkan amal baik ke dalam kehidupan gereja. Anggota-anngota gereja seperti ini diberitahu, "Beginilah caranya masuk ke dalam syurga. Jika kita mengikuti peraturan-peraturan ini, maka kita akan mempertahankan keselamatan kita, jika tidak kita akan menanggung akibatnya." Pengikut-pengikut Yesus ini diberi satu daftar senarai kegiatan lahiriah yang harus dilakukan. Banyak kali mereka menurut apa yang disuruh kerana mereka menyukai usaha-usaha itu. Mereka dengan keliru telah percaya bahawa tindakan mereka akan menyenangkan hati Allah.
Ramai orang menyamakan kesucian dengan satu kesalehan lahiriah.
Tetapi sebagai seorang Kristian, kita perlu ingat bahawa kesucian itu merupakan terutamanya keadaan sikap hati yang betul dan bukan satu senarai perbuatan yang baik.
Sebahagian orang memerlukan waktu seumur hidup untuk menyedari bahawa kesucian itu tidak dihasilkan oleh pelaksanaan hukum secara legalistik. Legalisme berasal dari daging dan Allah tidak mengingininya. Sebagai ganti, kita mesti mempunyai tanggapan yang benar mengenai anugerah Allah yang Mahakuasa.
Dengarlah kesaksian seorang penginjil terkenal mengenai hal ini.
Saya mendengar suara Tuhan dalam roh saya. Tuhan bertanya, "Apakah engkau menyelamatkan dirimu sendiri? Atau adakah darahKu yang telah menyelamatkanmu?"
"Engkau yang telah menyelamatkan aku," jawab saya.
"Engkaulah yang memilih Aku?" Dia bertanya.
"Tidak, Tuhan. Engkaulah yang memilih aku."
"Engkaukah yang membebaskan dirimu sendiri dari dosa?"
"Tidak, Engkaulah yang membebaskan aku dari dosa."
"Engkaukah yang menarik dirimu kepada salib?"
"Tidak, Tuhan, Engkaulah yang menarik diriku ke salib."
Kemudian Tuhan bersabda, "Kerana Engkau sama sekali tidak berurusan dengan keselamatanmu, engkau juga sama sekali tidak ikut campur dengan mempertahankan dirimu agar tetap selamat."
Kita perlu sedar bahawa oleh darah Kristus dan anugerahNya kita diselamatkan. Kerana itu ada tertulis di dalam Alkitab, di dalam surat Efesus 2: 8 dan 9 kata-kata ini:

Sebab kerana kasih kurnia kamu di selamatkan oleh iman; itu bukan hasil usahamu, tetapi pemberian Allah, itu bukan hasil pekerjaanmu: jangan ada orang yang memegahkan diri.

Hanyalah bila kita menyerah kepada Yesus dan menerima keselamatanNya, dapat kita berkata, "Saya sudah memiliki hidup yang kekal." Sudahkah kita melakukan ini?

Rabu, 16 April 2008

Buah Roh

Tajuk yang menjadi perbincangan kita dalam artikel ini merujuk kepada satu watak penting di dalam kehidupan rohani kita. Satu fungsi utama Roh Kudus ialah untuk menanam kekudusan Allah di dalam kita. Buah Roh membuktikan kepenuhan Roh serta penguasaanNya di dalam kita. Buah Roh menghasilkan watak yang akan menyatakan sifat-sifat Kristus dalam diri kita. Ini bertujuan untuk membantu kita mendapat kedewasaan yang sepenuhnya di dalam pertingkatan kerohanian kita. Peningkatan ini dapat digalakkan sesuai dengan kepenuhan Kristus dalam kita. Surat Efesus 4:13 berkata bahawa adalah keinginan Allah supaya semua orang Kristian diperlengkapi dan mencapai “kedewasaan penuh dan tingkat pertumbuhan yang sesuai dengan kepenuhan Kristus.”
Buah Roh ini merupakan sesuatu yang amat diharapkan oleh Allah dalam hidup kita. Harus kita ingat bahawa Buah Roh tidak sama dengan kurnia-kurnia Roh. Ini adalah kerana kurnia-kurnia Roh diberikan lengkap kepada orang yang percaya manakala Buah Roh dihasilkan secara perlahan-lahan. Buah Roh sebenarnya adalah hasil daripada kepenuhan Allah di dalam kita. Ianya bertentangan dengan segala keinginan-keinginan daging yang ada di dalam kita. Terdapat dua kemestian yang harus terjadi di dalam hidup kita untuk menghasilkan Buah Roh ini.
Pertama, kita haruslah meninggalkan segala dosa serta pelanggaran kita. Kedua, kita hendaklah membenarkan Roh Kudus masuk untuk memenuhi hidup kita. Kolose fasal 3 ayat 5 dan 12 menyatakan ini:

Kerana itu matikanlah dalam dirimu segala sesuatu yang duniawi .. Sebagai orang pilihan Allah yang dikuduskan dan dikasihiNya, kenakanlah belas kasihan, kemurahan, kelemah-lembutan dan kesabaran.

Dengan mengeluarkan hal-hal yang tidak baik dari dalam diri kita, kita telah pun membenarkan Roh Kudus itu masuk, serta mengendalikan hidup kita. Itulah sebabnya mengapa kita harus berserah kepada Allah selalu. Dengan terbuangnya segala hal yang tidak baik dari dalam diri kita, kita telah pun membenarkan Dia menguasai kitaran hidup kita. Penyingkiran ketidak-baikan kita ini akan membawa sesuatu yang baru di dalam diri kita. Roh Kudus ingin agar kita berbuah, dan kemudian berbuah lagi, sehinggalah berlimpah-limpah.
Jadi, sejauh manakah keterbukaan hati kita kepada Allah Roh Kudus itu? Sediakah kita untuk membenarkan Roh Kudus mengendalikan hidup kita? Sudahkah segala sesuatu yang telah diterapkan oleh Allah Roh Kudus itu ke dalam kita menghasilkan buahnya?
Untuk mempunyai buah sepertimana yang diharapkan oleh Allah itu, kita haruslah tahu bagaimana buah itu bertumbuh. Saya percaya jawapannya terkandung di dalam Mazmur 1:2 yang berbunyi,

Tetapi yang kesukaannya ialah Taurat Tuhan, dan yang merenungkan Taurat itu siang dan malam. Dia seperti pohon yang ditanam ditepi aliran air, yang menghasilkan buah pada musimnya, dan tidak layu daunnya; apa saja yang diperbuatnya berhasil.

Dengan menjadikan Hukum Tuhan sebagai kesukaan kita serta merenungnya siang dan malam, kita akan menjadi lebih matang dalam
iman. Hasil daripada kematangan iman ini, kita akan menghasilkan buah itu, sesuai pada musimnya.
Mari kita perhatikan beberapa ciri buah Roh. Yang pertama, kasih. Kasih merupakan tonjolan ciri seorang Kristian. Ia merupakan sifat yang paling anggun di dalam jiwa kita, anugerah Allah yang terindah. Kasih ini dihasilkan oleh suatu kehendak yang telahpun diserahkan kepada Kristus. Kerana itu, haruslah kita ingat bahawa perintah Allah untuk mengasihi bukanlah suatu pilihan, melainkan suatu keharusan bagi kita. Lantas Allah di dalam surat 1 Yohanes 3:18 mengatakan ini,

Anak-anakKu, marilah kita mengasihi bukan dengan perkataan atau dengan lidah tetapi dengan perbuatan dan dalam kebenaran.

Allah langsung tidak memilih bangsa, asal-usul, keturunan, dan juga warna kulit untuk diberikan kasihNya. Yang pasti adalah bahawa kasihNya meliputi seluruh dunia. Ini membuktikan bahawa kasih yang dimilikiNya adalah kasih yang sejati, kasih yang tidak memandang kepada rupa. Inilah jenis kasih yang Allah mahu hasilkan di dalam kita. Kasih yang Allah mahu kita nyatakan adalah kasih yang ingin untuk mencapai setiap orang.
Satu lagi ciri buah Roh ialah sukacita. Sukacita membawa erti "perasaan senang" atau "kegirangan". Sukacita seperti ini mempunyai Allah sebagai sumbernya. Sukacita dari Roh Allah ini tetap akan meliputi jiwa seseorang, walaupun dia bersemuka dengan pintu gerbang maut sekalipun. Misalnya Rasul Paulus. Walaupun dihukum penjara, dan diancam maut namun sukacita Tuhan sentiasa bersamanya. Dia mampu menulis surat terakhirnya kepada Timotius sebelum dihukum mati, di mana dia menggalakkan Timotius untuk terus bersukacita di dalam Allah.
Ciri buah Roh yang terakhir dalam pengajian saya kali ini ialah damai sejahtera. Perkataan damai membawa erti kesatuan, kesempurnaan dan ketenteraman. Untuk memiliki damai, kita mesti sedar bahawa hanya Allah sahaja yang mampu untuk memapah kita, memimpin kita serta menghiburkan kita. Allah biasanya memberi kita damai, ketika kita menghadapi saat-saat keputus-asaan, keresahan, dan kesedihan. Surat Roma 15:13 berkata,

Semoga Allah, sumber pengharapan, memenuhi kamu dengan segala sukacita dan damai sejahtera dalam iman kamu, supaya oleh kekuatan Roh Kudus kamu berlimpah-limpah dalam pengharapan.

Saya berdoa supaya kita juga akan memperolehi Buah Roh Kudus dan mengalami kasih, damai dan sukacita Allah. Lakukanlah apa yang telah saya kongsikan dalam artikel ini supaya Buah Roh Allah juga nyata dalam hidup kita.