Rabu, 10 Disember 2008

Yesus Bersama Kita

Sebelum Yesus kembali ke syurga, Ia telah memberi satu kepastian kepada murid-muridNya bahawa Dia tidak akan pernah meninggalkan mereka. Janji Yesus ini kepada murid-muridya adalah janji Yesus kepada kita juga. Yesus tidak akan meninggalkan kita. Dia akan bersama kita; Dia akan menyertai kita selama-lamanya. Lihatlah apa yang dikatakan oleh Yesus semasa berada di sebuah bukit di Galilea:

Dan ketahuilah, Aku menyertai kamu senantiasa, sampai kepada akhir zaman.

Petikan dari Injil Matius bab 28 ayat 20 ini adalah satu daripada janji-janji Yesus yang paling berharga dan bermakna bagi kita orang Kristian. Kepastian akan penyertaan Yesus bersama kita setiap hari adalah satu perkara yang sangat penting di dalam kehidupan seorang Kristian. Penyertaan Yesus bukan hanya penting, tetapi perlu jika kita mahu menjadi seorang Kristian yang berkeyakinan dan berjaya.

Apabila kita sedar dan pasti bahawa Yesus menyertai kita sentiasa, kita tidak akan takut. Inilah kesan paling positif dan ketara dalam kehidupan mereka yang telah percaya dan pasti bahawa Yesus ada bersama mereka. Jika kita percaya bahawa Yesus menyertai kita sentiasa, kita juga tidak akan takut.

Apabila kedua belas pengintip yang telah diutus Nabi Musa kembali dari tanah Kanaan, sepuluh dari mereka telah memberi satu laporan yang negatif mengenai tanah Kanaan sehingga segenap umat Israel yang mendengar laporan mereka menangis dengan suara yang nyaring. Tetapi dua lagi, iaitu Yosua dan Kaleb, berkeyakinan penuh bahawa tanah Kanaan boleh dimiliki dan mereka memberi satu laporan yang positif. Kata-kata mereka dipenuhi dengan perkataan-perkataan yang positif. Mereka tidak berasa takut seperti kesepuluh pengintai yang lain. Mereka penuh keyakinan bahawa mereka boleh menang. Mereka pasti yang mereka boleh mengambil alih tanah Kanaan. Mengapa mereka tidak takut dan penuh keyakinan walaupun kesepuluh yang lain yang bersama-sama dengan mereka telah pergi ke tanah Kanaan, penuh dengan perasaan takut dan tidak yakin? Apakah yang menyebabkan perbezaan di antara kedua kumpulan ini? Saya percaya jawapannya terkandung di dalam kata-kata Yosua dan Kaleb seperti mana yang telah direkodkan di dalam buku Bilangan bab 14 ayat 9 yang berbunyi,

Hanya, janganlah memberontak kepada TUHAN,dan janganlah takut kepada bangsa negeri itu, sebab mereka akan kita telan habis. Yang melindungi mereka sudah meninggalkan mereka, sedang TUHAN menyertai kita; janganlah takut kepada mereka.

Yosua dan Kaleb boleh berkata, "Kita akan telan mereka" dengan penuh keyakinan kerana mereka pasti bahawa TUHAN menyertai mereka. Mereka percaya bahawa TUHAN mereka ada bersama mereka dan kerana itu mereka tidak takut. Inilah yang saya mahu kita semua sedar dan percaya hari ini, bahawa jika Yesus menyertai kita, kita tidak perlu takut. Ingatlah apa yang dikatakan oleh kedua pengintip Israel yang berani itu kepada umat Israel: "Tuhan menyertai kita, janganlah takut".

Satu sebab mengapa kita tidak perlu takut jika Yesus menyertai kita ialah kerana jika Yesus bersama kita, bantuan selalu sedia ada apabila kita memerlukannya. Ini sangat penting, lebih-lebih lagi jika kita mendapati diri kita lemah atau musuh kita lebih ramai atau lebih kuat. Kepastian bahawa bantuan dari Allah sentiasa ada dan boleh diterima dengan cepat akan menyebabkan kita berperang melawan musuh dengan iman yang teguh, yakin bahawa kita akan menang kerana bantuan dari Allah terjamin.

Keyakinan yang seperti inilah yang telah dinampakkan oleh Raja Hizkia, raja Yehuda, apabila Sanherib, raja Asyur, menyerbu Yehuda. Bacalah apa yang dikatakan oleh raja Hizkia kepada pahlawan-pahlawan dan rakyatnya seperti mana tercatat di dalam buku 2 Tawarikh 32 ayat 7 dan 8.

Kuatkanlah dan teguhkanlah hatimu! Janganlah takut dan terkejut terhadap raja Asyur serta seluruh askar yang menyertainya, kerana yang menyertai kita lebih banyak daripada yang menyertai dia. Yang menyertai dia adalah tangan manusia, tetapi yang menyertai kita adalah TUHAN, Allah kita, yang membantu kita dan melakukan peperangan kita.

Raja Hizkia tidak takut kerana dia tahu Allah menyertai dia. Dia sedar bahawa jika Allah menyertai dia, dia tidak perlu takut kerana Allah akan membantu dia dan akan berperang bagi dia. Inilah keyakinan yang dipunyai oleh semua orang Kristian yang percaya bahawa Allah menyertai mereka. Apabila Allah menyertai kita, Dia tidak akan berdiam diri. Jika kita diserang, Allah akan membantu. Dia akan melawan bagi kita. Ingatlah ini - jika Allah menyertai kita, kita lebih banyak dari semua askar-askar jahat yang datang melawan kita. Ingatlah bahawa yang menyertai musuh kita ialah kekuatannya sendiri atau kuasa iblis tetapi yang menyertai kita ialah Allah sendiri, Allah yang Mahakuasa, pencipta langit dan bumi, pencipta manusia dan iblis. Kerana itu, janganlah takut apabila kita diserang tetapi selalu ingat bahawa Yesus ada bersama kita dan bantuan yang secukupnya dari Allah memang pasti. Bacalah apa yang terjadi setelah Raja Hizkia membuat ucapannya, seperti mana yang direkodkan pada penghujung ayat 8 pada bab yang sama.

Oleh kata-kata Hizkia, raja Yehuda itu, rakyat mendapat kepercayaannya kembali.

Inilah juga harapan saya. Saya berharap bahawa kepercayaan kita dalam diri kita sendiri dan dalam Tuhan akan dikembalikan apabila kita sedar bahawa Yesus selalu bersama kita dan Dia sedia membantu dan melawan bagi pihak kita. Jika kita takut dan sedang mengalami serangan yang bertubi-tubi, bergantunglah kepada Yesus. berserulah kepadaNya, memohon bantuan dari Dia. Saya pasti Yesus yang ada bersama kita akan membantu kita dan melakukan peperangan kita.

Ini didapati benar oleh Raja Daud apabila dia menyeru kepada Allah memohon bantuan dariNya. Allah tidak hanya membantu Raja Daud, Dia juga telah melindungi Raja Daud. Lihatlah kesaksian Raja Daud yang telah ditulisnya di dalam Mazmur 46 ayat 8.

TUHAN semesta alam menyertai kita, kota benteng kita ialah Allah Yakub.

Ya, kota benteng kita ialah Allah. Apabila Allah menyertai kita, kita selamat kerana kita dilindungi oleh kota benteng yang paling kukuh di dunia ini. Kota benteng ini sentiasa bersama kita, kota benteng itu ialah Yesus. Yesus akan sentiasa melindungi kita dari malapetaka dan kecelakaan asalkan kita sentiasa berlindung di dalamNya, asalkan kita sentiasa berada di dalamNya dan Dia di dalam kita.

Yesus telah berjanji untuk menyertai kita sentiasa; apakah kita sedia bersama dengan Yesus sentiasa? Yesus telah berjanji bersama kita selalu. Kerana itu marilah kita juga berusaha untuk bersama denganNya setiap hari dan dengan itu, menikmati berkat-berkat penyertaan Allah yang hebat. Saya percaya mesej ini akan mengembalikan keyakinan kita dalam Allah dan memberi harapan yang baru kepada kita yang berasa dukacita dan tawar hati. Ingat, Yesus bersama kita sentiasa!

Tiada ulasan: