Rabu, 10 Disember 2008

Tubuhku Rumah Allah

Marilah kita ke 1 Korintus 6:19 untuk membaca satu ayat yang sungguh unik, kerana ia menyatakan apakah sebenarnya tujuan tubuh badan kita ini. Tubuh orang Kristian ialah tempat kediaman Allah, rumah Allah yang telah Allah kuduskan serta pilih untuk menetap.

Atau tidak tahukah kamu, bahawa tubuhmu adalah bait Roh Kudus yang diam di dalam kamu, Roh Kudus yang kamu peroleh dari Allah, - dan bahawa kamu bukan milik kamu sendiri?

Apabila Paulus menulis kepada orang Kristian di bandaraya Korintus, ia menyoal mereka mengenai konsep yang mereka pegang selama ini mengenai tubuh badan mereka. Ia menyatakan rasa hairannya kerana mereka tidak tahu bahawa tubuh mereka ialah rumah Roh Kudus. ‘Bait’ merupakan nama bagi bangunan sembahyang orang Yahudi dan Paulus membuat satu perbandingan di antara rumah sembahyang orang Yahudi dan tubuh badan orang Kristian. Pada masa itu adalah kepercayaan orang Yahudi bahawa Allah menetap di Bait Suci mereka yang terletak di Yerusalem. Bait itu dipercayai didiami oleh Allah sendiri dan kerana itu ia sering juga dipanggil Bait Allah atau Bait Suci. Kata Paulus, tubuh badan kita ialah bait Roh Kudus. Tubuh badan kitalah tempat di mana Roh Kudus menetap. Roh Kudus yang diberikan Allah kepada semua orang Kristian sebenarnya diam dalam tubuh kita. Roh Kudus yang telah kita peroleh dari Allah sebenarnya diam di dalam kita. Tubuh kita ialah bait Allah masa kini, dan tubuh kita suci kerana didiami Roh Allah yang suci.

Sedarkah kita bahawa tubuh badan kita didiami Roh Kudus? Sedarkah kita bahawa di dalam tubuh kita menetap satu lagi peribadi yang jauh lebih hebat dan kudus daripada kita? Sedarkah kita bahawa tubuh badan kita ini rumah tempat kediaman Roh Allah?

Ramai orang Kristian tidak sedar akan hal ini dan oleh kerana itu sanggup menggunakan tubuh mereka untuk melakukan berbagai perbuatan yang tidak senonoh. Ada juga orang Kristian yang tahu Roh Kudus menetap di dalam mereka dan tubuh mereka itu bait Allah. Akan tetapi mereka sering lupa apa yang yang mereka sudah ketahui dan kelupaan ini mengakibatkan pengunduran dan penyalahgunaan tubuh untuk tujuan yang kurang mulia. Sama ada kita belum tahu atau lupa, kenyataannya ialah bahawa tubuh kita ini rumah suci Roh Kudus dan kita harus menggunakannya dengan was-was dan bukan untuk tujuan percabulan.

Jika badan kita milik Allah dan RohNya tinggal dalam kita, maka tidak hairanlah jika Allah memerintahkan kita supaya baitNya dijaga dengan baik dan kekudusanya dipelihara. Kita tidak boleh menggunakan rumah Allah ini untuk tujuan-tujuan yang bercanggah dengan sifat Allah atau untuk kerja-kerja yang tidak suci. Kerana itu percabulan tidak boleh dilakukan oleh orang Kristian. Percabulan dilarang kerana badan kita, bait Roh Kudus, tidak boleh dicemarkan oleh dosa, lebih-lebih lagi dosa yang menggunakan tubuh kita sebagai alat kerjanya. Maka dengan pengertian inilah Allah berkata:

Makanan adalah untuk perut dan perut untuk makanan: tetapi kedua-duanya akan dibinasakan Allah. Tetapi tubuh bukanlah untuk percabulan, melainkan untuk Tuhan, dan Tuhan untuk tubuh. Tidak tahukah kamu, bahawa tubuhmu adalah anggota Kristus? Akan kau ambilkah anggota Kristus untuk menyerahkannya kepada percabulan? Sekali-kali tidak! Jauhkanlah dirimu dari percabulan! (1 Korintus 6: 13,15,18.)

Haruslah kita sedar dan percaya terlebih dahulu bahawa tubuh kita bukan diciptakan untuk percabulan. Penggunaan tubuh badan kita untuk tujuan percabulan adalah satu perbuatan yang tidak normal, satu perbuatan yang bercanggah dengan tujuan asal penciptaan badan kita yang ajaib ini. Menggunakan tubuh kita untuk melakukan percabulan adalah seperti menggunakan kaki kita untuk makan atau kepala kita untuk menendang. Ia adalah satu amalan yang tidak mengikut tujuan asal serta rencana Allah yang baik bagi diri kita. Tubuh kita bukan untuk percabulan.

Sebaliknya tubuh badan kita telah diciptakan Allah untuk dipakai olehNya, dijadikan tempat kediamanNya di bumi. Ini juga sesuatu yang menghairankan - bagaimana Allah menciptakan tubuh kita supaya Ia boleh menggunakannya serta menempatkan Roh Kudus di dalamnya. Akan tetapi jika kita sedar hakikat ini dan memeluknya dengan hati yang penuh percaya, satu perubahan yang besar akan terjadi. Kita akan mulai menghormati diri kita, khasnya badan kita ini. Kita akan mulai menjaga tubuh kita dan berusaha menggunakannya untuk tujuan-tujuan yang murni. Kita akan lebih senang menolak amalan-amalan serta bahan-bahan tertentu yang akan membinasakan dan menyakitkan tubuh kita ini. Kita akan belajar menghormati tubuh badan kita. Inilah yang Allah mahu kita lakukan dan ini akan dapat kita lakukan jika kita percaya bahawa tubuh kita itu telah diciptakan oleh Allah bagi kegunaanNya.

Akhirnya, kita mesti terima kenyataan bahawa kita sebagai orang Kristian mesti menjauhkan diri dari percabulan. Kita mesti menjauhkan diri kita dari melakukan percabulan dan kita mesti juga menjauhkan diri dari percabulan yang dilakukan di sekeliling kita. Mula-mula kita sendiri mesti menjauhkan diri dari melakukan percabulan. Kita mesti lari dari situasi-situasi yang tidak dapat kita kawal yang akan menyebabkan kita mudah jatuh. Kita mesti sentiasa berusaha untuk menjauhkan diri dari percabulan serta penglibatan dalam perbuatan-perbuatan yang akan menggalakkan percabulan. Bukan itu sahaja kita juga mesti menjauhkan diri dari percabulan, percabulan yang diamalkan di depan kita, baik oleh orang di sekeliling atau oleh bahan media yang terpapar untuk pandangan kita.

Satu cara untuk menjaga tubuh kita serta memelihara kesuciannya ialah dengan menyerahkan diri kita kepada Allah. Hidup penuh penyerahan kepada Allah adalah satu cara yang kuat untuk mengelakkan percabulan. Jika kita sepenuhnya terserah kepada Allah, sukar untuk kita menyerah kepada hawa nafsu dan perbuatan-perbuatannya yang kotor.

Dan janganlah kamu menyerahkan anggota-anggota tubuhmu kepada dosa untuk dipakai sebagai senjata kelaliman tetapi serahkanlah dirimu kepada Allah sebagai orang-orang yang dahulunya mati tetapi yang sekarang hidup. Dan serahkanlah anggota-anggota tubuhmu kepada Allah untuk menjadi senjata-senjata kebenaran. (Roma 6:13)

Serahkanlah diri kita kepada Allah dan bukan itu sahaja, serahkanlah tubuh badan kita serta semua anggota-anggotanya kepada Allah. Ini boleh dilakukan melalui doa serta ketetapan yang baru setiap hari di hadapan Allah. Ingatlah ini, jika kita dengan sengaja pilih menyerah tubuh kita kita kepada Allah, kita sudah mulai mengalami kemenangan. Bawalah diri kita kepada Allah setiap hari dan serahkanlah tubuh kita kepada Allah. Saya pasti Allah akan menerima doa kita dan menjaga tubuh badan kita, baitNya yang suci.

Kita juga mesti belajar menguasai diri kita. Tubuh badan kita harus dilatih supaya tidak lagi mahu atau berkebolehan untuk melakukan percabulan. Tubuh kita boleh dikuasai. Keinginan-keinginan badan kita boleh dikawal. Hawa nafsu kita sebenarnya boleh dibendung kalau kita mahu. Dengarlah apa yang Rasul Paulus lakukan dalam usahanya mengejar kekudusan tubuh.

Tetapi aku melatih tubuhku dan menguasainya seluruhnya, supaya sesudah memberitakan Injil kepada orang lain, jangan aku sendiri ditolak.

Paulus melatih tubuhnya. Paulus menguasai tubuhnya. Paulus berjaya menggunakan tubuhnya untuk kemuliaan Allah dan bukan untuk percabulan. Marilah kita juga membuat ketetapan yang sama. Marilah kita berdoa menyerahkan tubuh badan kita untuk digunakan Allah sebagai alat kebenaran. Marilah kita melatih tubuh kita untuk menjauhi percabulan. Marilah kita berusaha dengan sungguh-sungguh untuk menguasai tubuh kita ini sepenuhnya. Marilah kita lakukan semua ini dengan bantuan satu peribadi yang mahakuasa dan suci, Roh Allah sendiri, iaitu Roh yang tinggal dalam diri kita, dalam tubuh kita. Saya pasti lewat kerjasamaNya dengan kita, kita akan menang dan tubuh badan kita akan tetap kudus.

Tiada ulasan: