Selasa, 27 September 2011

Keintiman dan penyembuhan


Nampaknya manusia sama sahaja, tidak kira apa agama mereka, lebih-lebih lagi jika mereka sedar kewujudan dan keperibadian Allah.

Ini ialah kesimpulan yang saya capai apabila saya memerhatikan senarai buku-buku paling laris di MPH (satu rangkaian kedai buku paling besar di Malaysia) bar-baru ini.

Buku-buku yang paling banyak dibaca menyentuh dua topik yang saya yakin orang Kristian pun minat: kerinduan untuk mendekati dan berhubung dengan Allah, dan penyembuhan ilahi.

Jika ini ialah apa yang dicari oleh pembaca-pembaca Muslim, usaha mengkhabarkan Berita Baik harus menawarkan dua solusi hebat dari Yesus: jalan kepada Allah yang terbuka dan penyembuhan sempurna dalam nama Yesus.

Lain kali anda bersaksi kepada orang Muslim (dan sesiapa yang lain di Malaysia) jangan lupa menyentuh dua hal ini: Yesus ialah jalan kepada Allah dan Yesus boleh menyembuh.

Bagaimana dengan anda pula, hai pembaca blog ini yang beragama Kristian? Adakah anda mendekati Allah dan mempunyai perhubungan yang intim denganNya? Apakah anda telah mengalami kuasa penyembuhan Yesus dan mendoakan orang supaya sembuh?

Jumaat, 9 September 2011

Jangan gagal kerana cacat sifat


Dalam surat Ibrani pasal 12, penulisnya mengutip dari buku Hagai mengenai maksud Allah untuk menggoncangkan bumi dan langit. Dia selanjutnya menjelaskan bahawa maksud penggoncangan Allah adalah untuk membiarkan hal-hal yang sudah terjadi berguguran, sehingga hal-hal yang tidak dapat digoncangkan tetap tinggal. Dewasa ini, dalam dunia Kekristianan di seluruh dunia, kita dapat melihat dengan jelas goncangan ini. Melalui goncangan ini, Tuhan mahu menguji tubuhNya, menyingkirkan dosa, membersihkan dan memurnikan tubuhNya. Melalui goncangan ini banyak kelemahan dan kecacatan dalam watak dan moral para pemimpin gereja dinyatakan.
Apabila pendedahan ini berlaku, ramai ahli gereja mengalami perasaan sakit kerana dikhianati atau merasa duka seperti mana yang mungkin dialami oleh seorang isteri apabila suaminya tidak setia. Reaksi dari ahli-ahli memang berbeza antara satu dengan yang lain, tetapi yang seringkali ada pada mulanya ialah perasaan marah dan sakit hati terhadap orang yang bersalah itu.
Akan tetapi, akibat jangka panjanglah yang paling dikhuatirkan. Ada orang percaya yang menjadi kecewa, bingung dan tidak menentu arah tujuan mereka, bahkan ramai yang mundur sama sekali. Orang Kristian yang dahulunya berapi-api bagi Tuhan, kini memendam luka batin kerana dikecewakan dan mulai kendor dalam semarak mereka. Mereka berubah menjadi orang Kristian biasa yang menghadkan diri untuk hadir ke gereja yang dirasai lebih aman. Mereka memberhentikan semua aktiviti Kristian mereka kecuali pembacaan Alkitab dan renungan peribadi. Untuk mengisi kekosongan yang sekarang ada dalam hidup mereka, mereka mencari kebahagian dengan melakukan pekerjaan-pekerjaan yang dapat menghasilkan wang yang banyak, mengejar kekayaan material dan mencari kesenangan.
Bagi gereja yang terlibat pula, akibatnya sudah pasti: ianya menjadi suam, ramai anggota tidak bersedia untuk memberi diri mereka dengan bersungguh-sungguh bagi melayani, enggan mempercayai para pemimpin yang lain dan akhirnya bersikap curiga dan ragu akan visi pemimpin-pemimpin gereja yang baru.
Mengapakah hal seperti ini boleh berlaku? Salah satu dari jawapannya ialah kerana fokus yang salah. Fokus dunia Kristian pada beberapa dekad yang lepas ialah pada peribadi Roh Kudus dan pada kurnia-kurnia rohani yang diberikan Roh kepada orang yang mencarikannya. Allah telah membangkitkan kurnia-kurnia pelayanan dengan mengadakan banyak mukjizat-mukjizat besar dan perbuatan-perbuatan yang ajaib. Melalui pelayanan orang yang diberi kurnia-kurnia ini, ramai yang sudah dibawa masuk ke dalam Kerajaan Allah. Pelayanan pengajaran dan nubuatan telah memberikan tuntunan kepada kita untuk mendapatkan pengertian yang mendalam dari Alkitab, apabila pemimpin-pemimpin yang diurapi Allah membukakan kepada kita rahsia-rahsia yang terkandung di dalam Firman Allah.
Kita memuji Tuhan kerana Dia telah memakai baik lelaki maupun perempuan untuk membangunkan gerejaNya. Ramai dari mereka ini setiap tahun menyelesaikan tugas yang hanya dapat dilakukan oleh sepuluh orang melalui kuasa dinamik Roh Kudus. Tetapi lambat laun, kita telah mengizinkan fokus kita berpindah dari kurnia Allah dalam seseorang kepada orang itu sendiri. Kita mula berfikir bahawa pemimpin itu mendapat kenan Allah dan berjasa kepada Allah melalui kesalehan dan kekudusan. Oleh kerana itu, kita berfikir, Allah menggunakannya dengan begitu luarbiasa sekali. Fokus yang salah ini seringkali menyebabkan ahli-ahli gereja menyerahkan kekuasaan dan pengawalan secara mutlak kepada pemimpin mereka. Ini adalah kerana mereka keliru, berfikir bahawa pemimpin mereka itu begitu rapat dengan Tuhan dan kerana itu tidak berani untuk mengawal atau membatasi hidupnya. Sikap sebegini sudah menjadikan kepemimpinan dalam gereja dewasa ini berada dalam situasi yang bahaya kerana ianya memberi pemimpin dalam gereja kuasa mutlak.
Rasul Paulus dalam suratnya kepada Titus, pasal 1:5-9 memberikan kepada kita syarat-syarat bagi seorang yang mahu menjadi pemimpin. Dia menggunakan empat dari lima ayat itu untuk menyenaraikan watak, reputasi dan kedewasaan yang diperlukan bagi seorang pemimpin gereja.Hanya satu ayat sahaja berbicara mengenai kebolehan dan kurnia. Dalam hal yang sama, rasul Paulus dalam surat 1 Timotius mempergunakan tiga belas ayat dalam pasal 3 untuk menyenaraikan syarat-syarat yang perlu bagi seorang pemimpin, menyebutkan kecekapan mengajar sebagai satu kurnia yang diperlukan selain dari lapan belas syarat mengenai watak yang dicari dalam seorang pemimpin.
Walaupun kurnia-kurnia karisma dan panggilan Allah dalam kehidupan seorang pemimpin itu jelasnya penting, jelas dari apa yang sudah diketengahkan oleh Alkitab bahawa hal-hal ini merupakan hal-hal yang kedua penting jika dibandingkan dengan mempunyai watak dan gaya hidup yang sesuai.
Dari kenyataan ini dapat kita simpulkan bahawa seorang pemimpin gereja tidak dapat diangkat dengan terburu-buru hanya atas sebab ia memiliki kurnia sepertimana kita diingatkan dalam 1 Timotius 5:22. Sebaliknya kepemimpinan gereja harus terdiri dari orang yang sudah diamati untuk satu jangkamasa tertentu dan sudah membuktikan diri mereka sesuai dalam satu-satu pelayanan di sebuah gereja tempatan. Kenyataan penting yang mesti diingat oleh setiap daripada kita ialah bahawa syarat-syarat ini tidak hanya laku pada awal pelayan pemimpin itu, tetapi masih laku juga selama pemimpin itu terus melayani secara langsung.
Walaupun kurnia-kurnia rohani dari Allah nyata terbukti dalam kehidupan seorang pemimpin, perkembangan buah Roh sepertimana dihuraikan dalam Galatia 5 harus diberi perhatian untuk menyediakan satu dasar kukuh bagi kehidupan peribadi setiap pemimpin. Kejayaan atau kegagalan seorang pemimpin sebenarnya bergantung kepada sifat dan wataknya. Biarlah kita mempunyai fokus ini apabila memimpin atau mencari pemimpin.

Khamis, 8 September 2011

Kuat Dalam Allah


Kekuatan ilahi dapat kita terapkan dalam beberapa cara yang berbeza. Allah memberikan kepada kita kuasa rohani yang kita perlukan untuk memperkuatkan pelayanan kita. Adalah melalui autoriti dari FirmanNya dan kuasa Roh Kudus bahawa kita dapat memaksa lawan kita untuk lari. Bilamana kita tunduk dan berada di bawah autoriti Allah, maka autoritiNya akan berada di atas kita. Setan atau si jahat itu tidak dapat bertahan menghadapi kekuatan rohani yang ada di dalam kita. Kita akan dapat mengusir dia dan dia akan lari. Inilah yang dijanjikan Allah di dalam surat Yakobus 4:7.
Allah juga memperkuatkan kita dengan keamanan ilahi. Petrus mengetengahkan hal ini dalam ungkapan berikut yang telah dipetik dari 1 Petrus 1:5,
     Kamu dipelihara dan dijaga dalam kekuatan Allah kerana imanmu. Keselamatanmu sepenuhnya akan dinyatakan kepadamu pada zaman akhir.
Iman dan keyakinan kita, keselamatan dan keamanan kita, berada di dalam kekuatan Allah yang Mahakuasa. Kita sudah dibersihkan, dipanggil dan diutus oleh Allah. Kita juga dengan aman akan dipelihara dan diselamatkan oleh Allah sampai selama-lamanya.
Dengan kefahaman ini, lihatlah kata-kata yang membangkitkan iman,  diambil dari 2 Timotius 1:12.
     Kerana aku tahu kepada siapa aku percaya dan aku yakin bahawa Dia berkuasa untuk memelihara apa yang telah dipercayakanNya kepadaku hingga pada hari Tuhan.
Kekuatan Allah juga kita terima apabila kita mengambil bahagian dalam pujian Allah. Kita adalah imam-imam bagi Allah. Kita duduk bersamaNya di syurga. Kita berbaris bersama Dia dalam kemenangan sesudah peperangan rohani dimenangkan.
Isteri seorang raja atau presiden akan ikut ambil bahagian dalam kebesaran dan pujian apabila berada di sisi suaminya. Dalam hal yang sama, kita juga, yang disebut "mempelai Kristus" turut mengambil bahagian dalam kemuliaan pengantin lelaki syurgawi kita itu. Sebagai Raja atas segala raja dan Tuhan atas segala tuhan, semua hormat dan pujian adalah milikNya. Dengan kekuatan kita dan kerana diri kita sendiri, kita tidak layak mendapatkan kehormatan seperti itu. Tetapi, kerana kita milikNya, kita dapat berkongsi hormat itu. Seluruh syurga akan selama-lamanya memuji Allah. Dan kita berada di sana, di sisi Allah, ikut serta bersama Dia dalam kebesaran dan hormat dari Allah yang Maha Perkasa.
Di dalam Mazmur 68:28, Raja Daud berkata kepada Allah,
     .. tunjukkanlah kekuatanMu, ya Allah, Engkau yang telah bertindak bagi kami.
"Kuatkan atau mantapkanlah, ya Allah apa yang sudah Engkau kerjakan bagi kami" nampaknya seperti satu doa yang luarbiasa untuk diucapkan oleh Daud. Namun saya pasti kita tahu apa yang dimaksudkannya. Allah mahu mengerjakan sesuatu di dalam kita yang akan menetap bersamaNya. Dia mahu menempatkan kuasaNya yang cukup kuat di dalam jiwa kita untuk selama-lamanya.
Banyak pekerjaan Allah runtuh apabila menghadapi ujian dan pencobaan. Mereka tidak cukup kuat untuk bertahan menghadapi tekanan. Allah ingin mengerjakan di dalam kita satu pekerjaan yang kuat, mantap dan teguh. Dia mahu membuat kita tetap bertahan apabila menghadapi pencobaan.
Kekuatan Allah adalah seperti adunan konkrit pada saat dituangkan ke dalam rangka bangunan buat pertama kalinya. Ianya harus ditekan-tekan atau dipadatkan sebelum cukup kuat dan kukuh untuk digunakan. Inilah juga keinginan rasul Paulus bagi orang Kristian di Korintus. Dia berkata,
     Kerana itu, saudara-saudaraku yang dikasihi, berdirilah teguh, jangan goyah, dan giatlah selalu didalam pekerjaan Tuhan! Sebab kamu tahu bahawa dalam persekutuan dengan Tuhan jerih payahmu tidak sia-sia (1 Korintus 15:58).
Allah bermaksud untuk memantapkan pekerjaanNya di dalam kehidupan kita sehingga kita kuat. Ini juga merupakan keinginan yang sangat besar di dalam hati Daud bagi dirinya dan bangsanya. Oleh itu, dia telah berdoa, "Ya Allah perkuatkanlah diriku".
Kita akan menang dan berhasil apabila Allah menguatkan kita. Kita akan mencapai sasaran-sasaran kita dan mengatasi semua halangan. Allah sudah menyakinkan kita bahawa kita pasti akan menang, akhirnya.