Dalam artikel ini kita akan memberi perhatian kepada satu petikan dari surat Paulus kepada Titus yang diberi judul `Dipilih Untuk Melayani'. Mari kita perhatikan bersama ayat yang pertama hingga ayat yang ketiga dari pasal satu surat Titus ini.
Dari Paulus, hamba Allah dan rasul Yesus Kristus, untuk memelihara iman orang-orang pilihan Allah dan pengetahuan akan kebenaran, seperti yang nampak dalam ibadah kita, dan berdasarkan pengharapan akan hidup yang kekal yang sebelum permulaan zaman sudah dijanjikan Allah yang tidak berdusta, dan yang pada waktu yang dikehendakiNya, telah menyatakan firmanNya dalam pemberitaan Injil yang telah dipercayakan kepadaku sesuai dengan perintah Allah, Juruselamat kita.
Rasul Paulus memulakan suratnya kepada Titus dengan satu penerangan ringkas mengenai dirinya sendiri, menerangkan siapa dirinya dan apa tanggungjawabnya. Rasul Paulus memperkenalkan dirinya sebagai hamba Allah dan rasul Yesus Kristus. Tidak ada tempat lain di dalam Perjanjian Baru di mana Paulus menggambarkan dirinya sebagai hamba Allah kecuali di sini walaupun frasa `hamba Yesus Kristus' digunakan olehnya dalam surat Roma dan Filipi. Perkataan `rasul' pula menarik perhatian kita kepada sifat rasmi pelayanan Paulus yang telah diterimanya dari Yesus sendiri. Paulus selalu mengaitkan pelayanannya dengan identitinya.
Saya rasa ini adalah satu amalan yang baik dan patut dicontohi oleh semua orang Kristian. Kita harus cenderung mengaitkan identiti kita dengan pelayanan kita dalam Kerajaan Allah. Ramai orang Kristian hanya mengaitkan identiti mereka dengan pekerjaan sekular mereka. Kita biasa mendengar orang memperkenalkan nama mereka serta kerja yang mereka lakukan. Contohnya, seseorang yang bekerja di sekolah akan berkata, "Saya Ibrahim, seorang guru" apabila dia memperkenalkan dirinya. Jarang sekali kita mendengar seorang berkata, "Saya Ibrahim, anak Allah dan hamba Yesus" apabila timbul peluang untuk memperkenalkan diri kita kepada orang lain. Siapakah kita sebenarnya? Apakah kedudukan kita dan tanggungjawab kita di dalam Kerajaan Allah? Ini ialah soalan-soalan yang penting yang harus kita ketahui jawabannya kerana hanya dengan mengetahui siapakah kita dan apakah pelayanan kita di dalam Kerajaan Allah, dapat kita memperkenalkan diri kita sepertimana yang dilakukan oleh Paulus.
Paulus seterusnya menerangkan kenapa ia dipanggil untuk menjadi hamba Tuhan dan rasul Yesus. Ia menyatakan bahawa tanggungjawabnya sebagai seorang hamba dan rasul ialah untuk memelihara iman orang Kristian, orang pilihan Allah, dan pengetahuan akan kebenaran yang nampak dalam ibadah kita yang percaya dalam Yesus. Paulus tahu kenapa ia dipilih menjadi hamba Allah. Paulus tahu apakah tanggungjawabnya sebagai seorang rasul. Kita juga harus tahu kenapa Allah memanggil kita. Kita harus tahu apakah tanggungjawab kita di dalam Kerajaan Alah dan tugas yang Tuhan mahu kita lakukan baginya sebagai seorang hamba milik Allah. Orang Kristian dipanggil orang pilihan Allah. Ini ialah satu konsep yang mesti difahami oleh semua orang Kristian. Kita ialah oarang pilihan Allah. Allah telah memanggil kita. Di dalam panggilan ini terkandung satu mandat yang mesti kita ketahui dan laksanakan dengan sepenuhnya. Kita bukanlah peribadi-peribadi kosong yang diselamatkan untuk memenuhi syurga tetapi kita merupakan umat Allah, pilihanNya sendiri, untuk melakukan berbagai jenis perbuatan baik di dunia ini yang akan membawa kemuliaan kepada Allah dan kemajuan kepada Gereja Allah yang berada di bumi. Sebagai orang pilihan Allah, kita tidak akan tergugat dan terlepas dari hukuman Allah. Kenyataan ini boleh kita ceduk dari surat Roma pasal 8 ayat 33 yang berbunyi,
Siapakah yang akan menggugat orang-orang pilihan Allah? Allah, yang membenarkan mereka? Siapakah yang akan menghukum mereka?
Sebagai orang pilihan Allah, kita juga telah telah dikuduskan dan dikasihi oleh Allah. Ini jelas dinyatakan di dalam surat Kolose pasal 3 ayat 12, bahagian yang pertama yang berbunyi,
Kerana itu, sebagai orang-orang pilihan Allah yang dikuduskan dan dikasihiNya.
Ya, kita ialah sebahagian daripada umat pilihan Allah yang telah dikuduskan, dibenarkan, dikasihi dan dibebaskan daripada hukuman. Tahukah kita bahawa kita telah dipilih untuk melayani Allah? Tahukah kita bahawa Allah telah memilih kita untuk melakukan sesuatu yang istmewa bagiNya? Tahukah kita kerja baik yang Tuhan mahu kita lakukan itu? Bagi Paulus, Allah telah memilih dia untuk memelihara iman orang percaya dan pengetahuan mereka mengenai ibadah Kristian yang benar. Bagaimana pula dengan diri kita, apakah kita sudah tahu kerja yang Allah mahu kita lakukan?
Seterusnya, Paulus menyentuh mengenai pengharapannya untuk hidup yang kekal yang sudah dijanjikan oleh Allah sebelum permulaan zaman lagi. Harapannya didasarkan atas janji Allah dan harapannya itu tidak sia-sia kerana Allah tidak berdusta, segala yang dikatakanNya benar dan akan terlaksana. Hidup kekal merupakan janji Allah kepada semua yang percaya dalam Yesus dan Paulus sememangnya percaya kepada Yesus. Harapan ini juga harus harapan kita jika kita telah percaya dan menerima Yesus sebagai satu-satunya Tuhan dalam hidup kita. Pelayanan Paulus didasarkan atas harapan ini, iaitu bahawa hidup kekal adalah miliknya kerana Allah yang telah menjanjikannya dan kerana itu segala yang dilakukannya adalah untuk Allah dan tidaklah sia-sia. Ini harus juga dijadikan sebab kita melayani Allah, dan dasar pelayanan kita dalam Kerajaan Allah. Harapan ini berakar di dalam janji-janji Allah yang merupakan batu dasar yang paling kukuh kerana Allah tidak boleh bohong. Dimanakah letaknya harapan kita? Di dalam janji-janji buatan manusia atau di dalam janji-janji dari mulut Allah sendiri? Jika kita bergantung kepada janji-janji manusia, kita senang kecewa dan sakit, tetapi jika kita bersandar kepada janji-janji Allah, kita tidak akan binasa tetapi memperoleh hidup yang kekal dan berkelimpahan. Dimanakah letaknya harapan kita hari ini?
Akhirnya Paulus menyatakan bahawa firman Allah terkandung di dalam mesej Injil. Sudah sampai waktunya, kata Paulus, di mana Allah menyatakan firmanNya, janji-janjiNya, kepada manusia di dalam mesej Injil. Allah telah menampakkan diriNya dan sifat-sifatNya melalui Yesus, fokus utama Injil. Di dalam Yesus dan mesejNya, boleh kita jumpa semua janji-janji Allah, yang akan menjadi dasar harapan kita yang tidak akan goyah. Janji-janji Allah ini dinyatakan kepada kita melalui pemberitaan Injil, satu pelayanan yang telah Allah amanahkan kepada Paulus dan juga kepada ramai lagi orang Kristian sehingga hari ini. Paulus pasti bahawa pemberitaan Injil ialah tugas yang telah dipercayakan Allah kepada dirinya. Apakah kita pasti akan pelayanan yang telah Allah amanahkan kepada kita? Apakah mungkin kita telah dipilih untuk memberitakan Injil kepada orang yang belum mengenali Yesus? Bagi Paulus, memberitakan Injil ialah perintah Allah kepadanya? Apakah perintah Allah kepada kita? Apakah yang Allah mahu kita lakukan?
Saya berharap kita telah sedar bahawa kita ini penting di dalam Kerajaan Allah dan sebenarnya telah di panggil untuk melayani. Saya juga berharap bahawa kita akan dapat mengenalpasti panggilan kita dan bergiat dengan aktif dalamnya sehingga segala yang Allah mahu kita lakukan terlaksana.