Ahad, 31 Oktober 2010

Allah Benar Boleh Selamatkan Balleh

Petikan suratkhabar hari ini

Baru-baru ini beberapa 'malapetaka' melanda penduduk di kawasan Ulu Rejang khususnya di kawasan Balleh. Saya yakin banyak daripada tragedi alam semulajadi di kawasan ini adalah hasil akhir ketamakan dan salah-pelihara alam sekitar buatan manusia. Dengan maksud lain, manusialah yang patut dipersalahkan.
Sedihnya masih ramai penduduk di kawasan ini yang yakin malapetaka alam ini adalah buatan allah-allah atau roh-roh yang menguasai kawasan/alam sekitar ini dan kerana belum bertuhankan Allah Pencipta langit dan bumi yang telah menyatakan diriNya melalui Yesus, mereka telah membuat keputusan untuk menyembah tuhan-tuhan ini (kalau betul-betul wujud dan layak dipanggil allah) dengan harapan tuhan-tuhan ini tidak marah lagi dan akan memberhentikan kerosakan alam sekitar di kawasan ini. Kesian betul, salah/jahat manusia, roh jahat/tuhan palsu dipersalahkan.
Apa yang tidak disedari oleh penyembah-penyembah tuhan palsu ini ialah jika usaha penyembahan ini diteruskan, Allah yang benar AKAN menjadi marah dan apabila Allah marah, hukumanNya banyak kali melibatkan penggunaan alam sekitar dan keadaan cuaca untuk menghukum manusia yang menyembah allah lain (ada yang akan terlibat dalam upacara 'miring' ini orang yang mengaku diri mereka Kristian!) - jangan kita lupa kisah Nuh dan banjir sedunia, Lot dan pemusnahan bandar Sodom dan . . .
Semoga Allah menunjukkan belas kasihanNya apabila upacara pemujaan ini berlaku supaya tidak banyak lagi bencana alam berlaku di kawasan ini. Semoga mereka yang Kristian akan berusaha menghalang dan mendoakan berhentinya usaha ini. Akhirnya, semoga semua yang terlibat akan sedar Allah Pencipta alam yang dinyatakan dalam Alkitab sedia membantu dan menyelamatkan Ulu Rejang dan kawasan Balleh jika umatNya bertaubat, merendahkan diri dan berdoa meohon pengampunan dan penyelamatan dari Allah Abraham, Ishak dan Yakub.
Amin.

Khamis, 28 Oktober 2010

Lagu Apa Yang Didengar Tu?

Banyak lagu-lagu moden yang tersebar luas di seluruh dunia mengandungi unsur-unsur yang boleh mempengaruhi pendengarnya untuk melakukan perbuatan yang buruk. Apakah anda terkejut mendengar kenyataan ini atau sedang menganggukkan kepala tanda setuju? Jika anda perhatikan isi kandungan lagu-lagu popular hari ini, anda akan dapati bahawa sejumlah besar darinya berbicara mengenai kepercayaan kepada kuasa ghaib, perbuatan-perbuatan lucah serta pemberontakan terhadap Tuhan dan mereka yang berkuasa. Banyak daripada lagu-lagu cinta sebenarnya luahan hati penyanyi yang merindukan perbuatan yang sumbang dengan kekasihnya. Ada juga sejumlah besar lagu yang menggalakkan kepercayaan dalam dan penyembahan iblis.

Satu daripada punca keburukkan isi lagu-lagu moden ialah bapa segala yang jahat iaitu Iblis. Iblis ialah pemberontak agung yang sampai kini berjuang menentang Allah. Satu daripada caranya untuk mengajak manusia menyertainya dalam usaha menentang Allah ialah dengan menggunakan muzik. Iblis ingin menjadi seperti Allah dan menerima pujian sepertimana yang diberikan oleh malaikat-malaikat di syurga kepada Allah setiap saat. Dalam Yesaya 14:13 dan 14 anda diberitahu hal berikut tentang Iblis:

Engkau bertekad naik ke langit dan menempatkan takhtamu di atas bintang-bintang yang tertinggi. Engkau ingin naik ke puncak awan dan menjadi seperti Yang Maha Kuasa.

Sedikit sebanyak Iblis telah berjaya mencapai ini melalui muzik. Banyak jenis muzik masa kini memuja Iblis. Pendengar dan penyanyi lagu-lagu ini secara langsung memuji Iblis setiap kali lagu itu dinyanyi atau dihayati. Walaupun ada yang tidak sedar atau tidak percaya akan kenyataan ini, hakikatnya nama Iblis telah dipuji.

Dunia muzik tidak asing kepada Iblis. Apabila diciptakan oleh Allah, Iblis dicipta sebagai malaikat kerub dan tugasnya ialah memimpin malaikat-malaikat lain menyanyi pujian kepada Allah. Di dalam Yehezkiel 28:11-19, Alandab menyatakan bahawa Iblis diciptakan dengan alat-alat bunyian di dalam badannya. Kemungkinan besar alat-alat inilah yang menghasilkan muzik yang dipakai para malaikat sewaktu memuji Allah di syurga. Jadi, tidak hairanlah jika Iblis menyasarkan muzik sebagai satu alat utamanya menjangkau dan memerangkap manusia ke dalam kuasa gelapnya. Iblis sekarang sedang beroperasi di dunia kerana ke sinilah dia dilemparkan setelah usahanya melawan Allah gagal. Dan di sinilah Iblis bekerja keras untuk menipu umat manusia. Lihat apa yang tertulis dalam Wahyu 12: 9

Naga besar itu dibuang dari syurga. Itulah ular tua yang bernama Iblis atau Syaitan, yang menipu seluruh dunia.

Ya, Iblis yang telah dibuang ke bumi ini sedang giat menipu manusia. Satu cara dia melakukan penipuannya adalah melalui muzik. Jika anda perhatikan lirik-lirik lagu popular hari ini, anda mungkin akan terkejut. Banyak sekali dari lirik lagu kini berunsur lucah dan berkaitan dengan pemberontakan serta pembunuhan. Ini tidaklah menghairankan jika apa yang baru sahaja saya kongsikan itu benar.

Apakah tujuan Iblis? Apakah yang mahu dicapai Iblis dalam dunia ini? Saya percaya jawabannya boleh ditemui dalam Yohanes 10:10. Di sana Yesus mengelarkan Iblis si Pencuri dan berkata,

Pencuri datang hanya untuk mencuri, membunuh dan merosak.

Ya, itulah agenda Iblis di dunia ini. Melalui muzik dia sedang berusaha mencuri ramai orang muda dari Kerajaan Allah. Melalui muzik popular dia menggalakkan pendengar-pendengar muzik ini membunuh diri. Muzik moden boleh merosakkan ramai dari pendengarnya, baik secara mental, fizikal maupun rohani.

Apakah tanggungjawab anda sebagai umat Kristian terhadap usaha Iblis ini? Pertama, anda harus sedar bahawa anda diarah untuk meniru Yesus. Sebagai orang Kristian, idola anda mestilah Yesus dan bukan penyanyi-penyanyi yang tidak mempedulikan Allah. Ramai orang masa kini melihat kepada penyanyi-penyanyi terkenal sebagai model mereka. Gaya hidup dan pakaian mereka menjadi tiruan. Idea-idea bukan-Kristian yang terkandung dalam lagu-lagu nyanyian penyanyi pujaan mereka dijadikan falsafah hidup mereka. Jika ini dilakukan oleh orang Kristian, jelaslah dia hidup dipandu oleh manusia dan bukan Yesus. Anda haruslah boleh berkata dengan rasul Paulus kata-kata ini:

Ikutlah teladanku, sebagaimana aku pun mengikut teladan Kristus (1 Korintus 11:1).

Teladan siapakah yang sedang anda ikut - penyanyi yang dipuja atau Yesus yang disembah?

Kedua, sebagai orang Kristian, anda mesti memastikan bahawa apa yang baik sahaja memasuki minda anda. Satu cara paling senang untuk sesuatu masuk ke dalam minda anda adalah melalui deria pendengaran. Lagu-lagu dengan senikata lucah atau jahat jika didengar dan dihafal telahpun memasuki dan menetap dalam minda anda. Ini tidak patut berlaku. Lihatlah arahan Allah dalam Filipi 4:8 yang berbunyi,

Akhirnya, saudara-saudaraku, hendaklah kamu menumpukan fikiran hanya kepada perkara-perkara yang baik dan yang patut dipuji, iaitu perkara yang benar, yang mulia, yang adil, yang murni, yang elok dan yang terhormat.

Perintah ini sukar ditaati jika anda siang dan malam mendengar dan menyanyi lagu-lagu berunsur lucah dan anti-Kristian. Sebaliknya, adalah baik dan penting bahawa telinga anda sentiasa dihadapkan dengan lagu-lagu rohani yang suci dan indah.

Apabila anda mendengar lagu-lagu rohani, lirik-lirik Alandabiah akan menyerap masuk ke dalam minda anda dan membantu anda mentaati arahan Allah dalam surat Filipi. Secara jujur tanyalah dan jawablah soalan ini: Apakah lagu-lagu yang anda nyanyikan setiap hari itu membantu anda mempunyai minda yang mulia dan murni? Jika jawabannya tidak, ingin saya galakkan anda untuk berhenti mendengar dan menyanyi lagu-lagu yang tidak sesuai ini. Apakah lagu-lagu yang anda minati itu sesuai untuk pendengaran orang Kristian? Jika tidak, saya galakkan saudara untuk berhenti mendengar dan memiliki lagu-lagu ini.

Rabu, 27 Oktober 2010

Siaran TV Baru - Udang di Sebalik Batu?

Selamat pagi dan shalom kepada semua pembaca blog saya.

Baru-baru ini telah diumumkan bahawa satu lagi saluran TV akan diperkenalkan di Malaysia (pelancarannya pada 1 Disember) yang akan membekalkan rancangan-rancangan dalam agama rasmi negara ini sahaja (TV-Al Hijrah). Stesyen penyiaran ini terletak di Pusat Islam di Kuala Lumpur. Bertemakan "Segalanya Bermula Di Sini", siaran percuma ini memberi fokus kepada program-program untuk kanak-kanak, remaja dan mereka di bawah umur 40 tahun. Rancangan-rancangan tempatan akan diberi keutamaan tetapi rancangan dari Iran, Turki dan Belanda juga akan ditayangkan.

Siaran awal saluran TV ini akan berlaku di empat negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak, dua buah negeri yang mempunyai jumlah penduduk agama rasmi Malaysia yang kurang.

Saya yakin tujuannya adalah untuk membantu memperkukuhkan iman penganut agama ini. Walaupun begitu siaran ini adalah pedang dua mata yang walaupun memberkati mereka seagama juga boleh menjadi alat dakwah kepada majoriti bukan-Islam di Sabah dan Sarawak yang banyak menonton TV atau ingin tahu apakah rancangan-rancangan yang ditawarkan oleh siaran baru ini.

Marilah kita sentiasa berwaspada apa yang dibenarkan masuk melalui tingkap mata kita . . .

Sedia Patuh, Apa Saja

Pembaca sekalian, lihatlah apa yang diajukan kepada kita oleh penulis surat Ibrani, di dalam pasal 12 ayat 1 yang berbunyi demikian,

Kerana kita mempunyai banyak saksi, bagaikan awan yang mengelilingi kita, marilah kita menanggalkan semua beban dan dosa yang begitu merintangi kita, dan berlumba dengan tekun dalam perlumbaan yang diwajibkan bagi kita.

Allah sedang memanggil semua orang kudus untuk menanggalkan semua bebanan yang mengikat atau yang menahankan mereka kepada perkara-perkara di bumi. Kita diseru untuk membebaskan diri kita dari segala sesuatu yang akan menahan kita dari memenuhi panggilan Allah. Berusahalah melepaskan diri kita dari apa-apa yang akan merintangi kesanggupan kita untuk mengalir dengan RohNya.

Allah tidak mencari bejana-bejana emas dari bumi ini. Dia tidak mencari bejana-bejana perak. Dia mencari bejana-bejana yang sederhana, biasa, dan yang setia mematuhi apapun yang disuruhNya. Bila Allah berfirman, kita harus patuh. Kita tidak perlu mengajukan pertanyaan-pertanyaan. Kita tidak usah mengadakan tunjuk perasaan, atau dengan kebijaksanaan manusia membahaskan soal-soal rohani.

Bila Allah bersabda, kita harus segera mematuhiNya. Kepatuhan ini dibuat dengan menyedari bahawa Dia dapat dipercayai untuk melaksanakan FirmanNya. Dengan kesedaran ini kita juga akan mengetahui bahawa Dia tidak akan pernah gagal.

Bila sahaja Allah bersabda, kita dapat yakin bahawa Dia akan meneruskan kata-kataNya dengan manifestasi yang dapat dilihat. Buah-buah hasil daripada ucapanNya yang telah digenapi akan jelas kelihatan. Jika Allah bersabda, "Lompatlah menembusi tembok itu!" kita tidak boleh bertanya di mana letaknya lubang dalam tembok itu. Kita harus melompat dan membiarkan Allah untuk memikirkan hal di mana tempat letaknya lubang itu. Ini mungkin kedengaran agak keterlaluan, tetapi begitulah seharusnya kekuatan iman kita kepada Allah.

Marilah kita membangunkan diri kita, agar kita mampu juga untuk membangun orang lain. Allah sentiasa berkata, "Bangunkanlah para pahlawan lelaki dan wanita. Bangunkanlah mereka yang suci hati, yang tahu cara berperang dalam roh sampai tibanya kemenangan. Bangunkanlah mereka yang dihina dan ditolak oleh para pemimpin keagamaan yang berkuasa. Bangunkanlah mereka yang dihina dan ditolak kerana tradisi manusia yang bertentangan dengan Aku."

Dalam masa terakhir pencurahan Roh Kudus ini, kita menghadapi banyak pertempuran besar. Demi untuk meneruskan hidup, kita harus melepaskan diri kita daripada semua belenggu dan beban yang tetap mengikat kita pada bumi ini. Ini adalah supaya kita akan tetap maju dalam pertempuran sebelum musuh kita mulai menyerang, sementara kita belajar untuk mengalir dengan Roh Kudus yang mulia itu.

Kita harus masuk ke ruang takhta Allah, duduk di meja pertemuanNya dan menerima recana-rencana serta perintah-perintahNya bagi kita. Sebahagian dari maklumat yang akan dikongsikan Allah merupakan perintah rahsia, dan tertutup rapat, yang tidak boleh diketahui oleh sesiapapun juga. Hari ini kita sedang berdiri dipersimpangan jalan, baik orang percaya secara peribadi, mahupun sebagai gereja secara keseluruhannya. Setiap orang percaya dan setiap badan gereja harus membebaskan diri dari semua keterlibatan duniawi agar mereka dapat dengan segera menanggapi petunjuk akhir zaman dari Allah itu.

Ramai orang yang telah menghayunkan beberapa langkah mereka ke dalam alam Roh Kudus untuk mendengar suara Allah gagal untuk tinggal di sana. Ini adalah kerana mereka tidak melepaskan diri mereka sepenuhnya. Selanjutnya mereka gagal untuk mengetahui apa yang Allah yang telah rancangkan hanya untuk mereka.

Tentu sahaja orang yang berjalan dalam daging akan berusaha untuk melemahkan semangat kita, ketika kita berusaha bergerak sepenuhnya di dalam alam roh. Mereka akan berkata, "Jadilah normal sahaja. Jangan jadi aneh." Pernahkah kita mendengar ucapan ini? Sebenarnya, apa yang mereka ucapkan itu adalah, "Janganlah jadi normal. Jadilah aneh seperti kami!"

Apakah beban atau ikatan yang membuat kita undur? Apakah ianya satu persahabatan yang tidak sihat? Apakah ianya perasaan sombong? Apakah ianya satu hutang yang belum dijelaskan? Biar apapun beban itu, buangkanlahnya!

Langkahkanlah kaki kita ke dalam kemerdekaan yang telah disediakan oleh Kristus. Firman Allah telah membukakan jalan keluar bagi kita. Carilah Allah dengan rajin, melalui doa dan FirmanNya, supaya kita dapat mengalir bersama dengan RohNya. Tuhan mahu kita bebas dan menang dalam perlumbaan hidup yang sudah kita sertai.

Anggaplah diri kita sebagai seorang pelari dalam perlumbaan yang telah ditetapkan oleh Yesus. Bebaskanlah diri kita dari segala sesuatu yang mungkin akan meringtangi kesempatan kita untuk menang.