Dunia memerhati dengan kagum ketika negara Israel dan Organisasi Pembebasan Palestin menandatangani suatu perjanjian yang menjanjikan perdamaian antara mereka yang telah bermusuhan berabad-abad lamanya.
Apakah kedua tokoh pemimpin itu hanya secara kebetulan berjumpa pada suatu hari? Tidak. Saat bersejarah itu tiba setelah adanya perundingan bertahun-tahun melalui pihak ketiga iaitu melalui seorang pengantara.
Akibat dari darah yang dicurahkannya, Tuhan Yesus telah menjadi pengantara kita dengan Allah. Marilah kita perhatikan bersama apa yang ditulis di dalam surat Ibrani 9:15.
Kerana itu Ia adalah Pengantara dari suatu perjanjian yang baru, supaya mereka yang telah terpanggil, dapat menerima bagian kekal yang dijanjikan, sebab Ia telah mati untuk menebus pelanggaran-pelanggaran yang telah dilakukan selama perjanjian yang pertama.
Umat manusia selalu memerlukan seorang pengantara. Ayub pernah berkata, "Oh, kiranya ada seorang yang dapat memohon untuk manusia kepada Allah" (Ayub 6:21).
Di bawah perjanjian yang lama, imam besar menjadi wakil rasmi umat Allah dalam urusan-urusan rohani. Tetapi, ada beberapa persoalan yang tidak dapat diselesaikannya.
Eli, seorang imam besar Israel ada berkata, "Jika seseorang berdosa terhadap seorang yang lain, maka Allah yang akan mengadili: tetapi jika seseorang berdosa terhadap Tuhan, siapakah yang menjadi pengantara baginya? (1 Samuel 2:25).
Kini Kristus telah menjadi imam besar kita melalui penumpahan darahNya. Itulah yang memberikanNya hak untuk menjadi pengantara kita yang rasmi di syurga, mewakili kita di hadapan Allah. Sebagai pengantara, Yesus mengantara untuk kepentingan kita. Di dalam surat Roma 8:34, Rasul Paulus berkata bahawa Yesus telah mati, bangkit dan duduk di sebelah kanan Bapa. Di sana Yesus menjadi Pembela bagi kita. Dialah imam besar kita yang selalu mengantara untuk kita.
Kerana Yesuslah imam besar kita, maka dosa tidak akan dapat mengalahkan kita. Inilah harapan kita semua kerana ada tertulis di dalam surat Ibrani 7:25 janji ini:
Kerana itu Ia sanggup juga menyelamatkan dengan sempurna semua orang yang oleh Dia datang kepada Allah, sebab Ia hidup sentiasa untuk menjadi Pengantara mereka.
Hanya ada satu alasan sahaja mengapa Yesus dapat menjadi pengantara kita di syurga. Ini adalah kerana Dia adalah Allah dan manusia sekaligus! Dengarlah kesaksian Alkitab mengenai hal ini di dalam surat Ibrani 2:14.
Kerana anak-anak itu adalah anak-anak dari darah dan daging, maka Ia juga menjadi sama dengan mereka dan mendapat bagian dalam keadaan mereka.
Hanya Yesus dapat berkata, "Aku tahu keadaan manusia dan Aku dapat memberitahu kepadamu keadaan Allah. Aku memahami keadaan mereka berdua". Apabila kita sedang digoda, Yesus dapat berbicara kepada Bapa dan berkata, "Aku telah mengalami hal itu juga". Surat Ibrani 4:15 berkata,
Sebab Imam Besar yang kita punyai, bukanlah imam besar yang tidak dapat turut merasakan kelemahan-kelemahan kita, sebaliknya sama dengan kita, Dia telah dicobai, hanya tidak berdosa.
Yesus tidak berdosa, namun Dia menjadi penanggung dosa kita. Dia menyucikan kita dari kenajisan dosa sepenuhnya. Melalui darah dari salib, Yesus menyingkirkan rintangan yang menyebabkan pemisahan antara Allah dan manusia dan memulihkan persekutuan kita dengan Allah.
Walaupun Yesus itu kudus dan tanpa salah, namun Dia turut merasakan kelemahan-kelemahan kita. Kerana itu kita dapat dengan penuh keberanian menghampiri takhta Allah kerana di sana Juruselamat kita sedia untuk membela kita. Kita dapat menghampiri takhta kasih kurnia Allah dan menerima rahmat dari Allah melalui pengantaraan Yesus. Juruselamat yang ajaib ini tidak akan menghukum kita. Dia mengasihi kita. Dia telah mati bagi kita supaya kita dapat sekali lagi menjadi waris rahmat Allah. Yesuslah pengantara kita, antara kita dan Allah. Inilah yang dinyatakan di dalam surat 1 Timotius 2:5-6,
Kerana Allah itu esa dan esa pula Dia yang menjadi pengantara antara Allah dan manusia, iaitu manusia Yesus Kristus, yang telah menyerahkan diriNya sebagai tebusan bagi semua manusia.
Kerana tebusan inilah, maka Allah menyatakan bahawa kita bebas dari dosa dan maut. Jadi, datanglah kepada Yesus Kristus pengantara kita sekarang. Yesus telah bersabda,
Akulah jalan dan kebenaran dan hidup. Tidak ada seorang pun yang datang kepada Bapa, kalau tidak melalui Aku (Yohanes 14:6)
Yesus sedang menunggu kita.