Semua manusia memerlukan udara untuk bernafas. Udara adalah hidup bagi badan seperti mana doa adalah hidup bagi badan rohani kita. Bila kita tidak berdoa, kita akan kesesakkan dan mungkin mati secara rohani!
Doa adalah perbualan kita, iaitu anak-anak Allah, dengan Tuhan, Bapa kita. Usaha ini terhasil dari satu keinginan untuk mengadakan satu perhubungan yang intim dan suci dengan Tuhan. Doa adalah persekutuan dengan Allah Bapa menerusi Yesus. MelaluiNya kita berhubung dengan Allah.
Allah mengarahkan kita untuk sentiasa berhubung denganNya. Dengarlah apa yang dinyatakan oleh rasul Paulus di dalam 1 Tesalonika 5:17: Tetaplah berdoa.
Mengapakah kita mesti berdoa?
Pertama, untuk menerima perbekalan harian kita dari Allah. Kita banyak kali kekosongan dan hilang sukacita kerana gagal meminta apa yang kita perlu daripada Tuhan. Sebenarnya, segala sesuatu yang kita minta dari Allah Bapa akan diberikan kepada kita. Inilah yang dijanjikan Yesus kepada kita seperti mana yang dicatat di dalam Injil Yohanes bab 16 ayat 23 dan 24 yang berbunyi:
Sesungguhnya segala sesuatu yang kamu minta kepada Bapa, akan diberikanNya kepadamu dalam namaKu. Sampai sekarang kamu belum meminta sesuatupun dalam namaKu. Mintalah maka kamu akan menerima, supaya penuhlah sukacitamu.
Kedua, kita berdoa kerana doa adalah senjata kita melawan godaan. Kita semua akan digoda. Kejayaan mengatasi godaan banyak bergantung kepada doa. Jika kita berdoa dan menggunakan Firman Allah sebagai inti utama doa kita, kejayaan atas godaan akan menjadi pasti. Inilah nasihat Yesus kepada murid-muridnya di dalam Injil Lukas bab 22 ayat 40:
Berdoalah supaya kamu jangan jatuh ke dalam pencobaan.
Kita sering risau. Banyak peristiwa di sekeliling kita membuat hati kita kacau. Perbuatan dan kata-kata orang yang membenci kita sering menimbulkan kerisauan dan ketidaktentuan di dalam hidup kita. Rasul Petrus menggalakkan kita untuk berdoa apabila kerisauan melanda. Sebab ketiga kita berdoa ialah untuk melawan kerisauan. Inilah nasihat rasul Petrus di dalam surat 1 Petrus pasal 5 ayat 7.
Serahkanlah segala kekhuatiranmu kepadaNya, sebab Ia yang memelihara kamu.
Sebab keempat, kita berdoa untuk menerima keselamatan dari Allah. Banyak kali kita mengalami kesukaran dan memerlukan bantuan Allah. Allah sedia menyelamatkan kita dari situasi-situasi yang membahayakan. Kita hanya perlu berdoa, menyeru kepadaNya untuk menyelamatkan kita. Ingat, keselamatan Allah dekat, sedekat doa di bibir.
Kelima, kita berdoa untuk mengetahui kehendak dan bimbingan Allah. Adalah sangat penting bagi kita untuk hidup berdasarkan kehendak Allah, dipimpin oleh suara Allah sahaja. Satu cara yang baik untuk mengetahui kehendak Allah ialah dengan menanyakan Tuhan. Di dalam doa kita boleh memohon petunjuk dan menerima bimbingan dari Allah. Dalam suasana berdoa, suara Allah lebih senang untuk didengar. Kerana itu, lapangkanlah banyak masa dalam doa, lebih-lebih lagi apabila kita memerlukan petunjuk atau firman yang khusus daripada Allah mengenai sesuatu situasi. Inilah yang dinyatakan oleh Tuhan kepada kita di dalam buku Yeremia 33:3, kataNya:
Berserulah kepadaKu, maka Aku akan menjawab engkau dan akan memberitahukan kepadamu hal-hal yang besar dan yang tidak terpahami, yakni hal-hal yang tidak kau ketahui.
Inilah sebabnya kita berdoa. Kita berdoa untuk mengalami sukacita, keselamatan, kebebasan . Kita berdoa untuk menerima bimbingan dan nasihat. Kita berdoa kerana tanpa doa kita akan gagal.
Doa sangat penting dan kerana itu kita mesti selalu berdoa. Doa boleh dilakukan dimana-mana sahaja.Tidak ada tempat di mana kita tidak boleh berbual denganNya. Apabila rasul Paulus menasihati Timotius mengenai hal ini, dia berkata:
Oleh kerana itu aku ingin supaya di mana-mana orang laki-laki berdoa dengan menadahkan tangan yang suci tanpa marah dan tanpa perselisihan.
Petikan yang diambil dari surat 1 Timotius 2 ayat 8 mendedahkan keinginan Paulus supaya di mana-manapun, umat Tuhan akan berdoa.
Akhir kata, berdoalah selalu. Kita bebas berdoa bila-bila masa, setiap hari. Kita tidak akan rugi apabila kita berdoa. Jadikanlah doa satu tabiat yang diamalkan setiap hari.
