Isnin, 29 November 2010

Beritahu saya

Pembaca blog saya yang setia,

Tahun depan saya akan mula berusaha untuk mencetak buku-buku Kristian Bahasa Malaysia hasil tulisan anak-anak Tuhan dari Sabah dan Sarawak. Saya ingin tahu pendapat anda mengenai dua isu:
  1. Apakah pendapat anda tentang menhasilkan buku bulanan untuk membantu renungan dan kajian Alkitab yang mudah dan ringkas dan diedarkan percuma? Sila beri komen dan cadangan.
  2. Apakah anda rasa remaja Kristian di Sabah dan Sarawak akan minat membaca cerpen Kristian dalam Bahasa yang bertemakan cinta, isu masa kini atau kehidupan di sekolah/kampus? Sila beri komen anda - lebih banyak lebih bagus!
Terima kasih kerana membantu.

Kenangan KKR di Mulu

Saya menulis blog ini di Miri setelah tiga hari berada di Mulu menyampaikan Firman Tuhan dalam 7 sesi/kebaktian. Saya bersyukur untuk kekuatan dari Allah dan Firman yang dapat saya sampaikan. Harapan saya semua yang mendengar diberkati, yakin Allah telah berbicara kepada mereka melalui saya dan bertekad untuk mengaplikasi apa yang telah didengar.
Semua ajaran saya berlegar di sekeliling dua fokus - (1)pemulihan yang Allah sedang lakukan di dalam semua orang percaya secara peribadi dan (2)bagaimana menjadi saksi Tuhan dan kemudiannya bersaksi tentang apa yang benar mengenai Yesus kepada lain.
Saya juga berpeluang berkenalan dengan beberapa pastor dan berkongsi rancangan saya untuk memulakan pelayanan penerbitan buku Kristian Bahasa Malaysia percuma mulai tahun depan. Saya betul-betul berharap ramai pastor akan mengongsikan nota-nota khutbah mereka, nota-nota seminar yang mereka susah payah sediakan serta apa-apa tulisan Kristian lain hasil kerja tangan mereka untuk diterbitkan dalam bentuk buku untuk kebaikan semua.
Puji Tuhan juga untuk pelbagai berkat yang diterima - jualan buku/DVD yang hangat, makanan (khususnya babi) yang tak habis-habis serta berkat kewangan.
Segala pujian kepada Bapa di syurga!

Sabtu, 6 November 2010

Siapa Tentukan Makanan Saya?

Sekarang mereka tidak benarkan anak-anak kami makan nasi goreng babi di sekolah.
Walaupun orang bukan-Islam telah menunjukkan toleransi yang tinggi dan berpanjang sabar dengan tuntutan hukum makan agama Islam, saya rasa terhina kerana toleransi dan penghormatan yang sama tidak ditunjukkan oleh orang Islam kepada mereka yang bukan-Islam.
Mula-mula makanan tidak halal tak boleh dijual di kantin kerana sebab menghormati orang Islam. Sekarang kami yang mahu makan makanan tidak-halal juga tidak dibenarkan membawa dan makan makanan lazim kami. Sejak bila boleh satu agama lain dan pihak berkuasa sekolah berhak menentukan apa seorang rakyat Malaysia makan atau tidak?
Jika pelajar terbabit memberi makanan tidak-halalnya kepada kawan Muslimnya atau mencampakkan makanan itu kepada pelajar Muslim, memang layak dia disebat 10 kali tetapi jika dia membawa bekal makanannya dan makan tanpa mengganggu pelajar Muslim, mengapa pula dia diganggu?
Sebagai rakyat Malaysia kita diseru untuk SALING menghormati tetapi apa yang saya lihat ialah ialah orang bukan-Islam yang selalu diseru untuk menghormati tuntutan makanan orang Islam sehingga restoran Cina kini pun tidak jual lagi hidangan babi! Tetapi bila pula masanya orang Islam menghormati tuntutan makan orang bukan-Islam? Di mana toleransi dan penghormatan kepada orang bukan-Islam?
Saya percaya ianya tidak adil bahawa saya mesti mengubah pemakanan saya supaya penganut sebuah agama lain dapat menikmati makanannya sesuai dengan tuntutan agamanya. Bagaimana dengan hak dan selera saya yang bukan-Islam?
Tidak ramai sedar bahawa orang Yahudi juga tidak makan babi dan walaupun mereka tinggal bersama orang yang suka makan babi, contohnya di Amerika, mereka tidak ada buat tuntutan supaya semua sekolah berhenti jual masakan yang ada bai atau panggilan supaya pelajar yang makan babi di sekolah disebat.
Mungkin ada baiknya pihak berkuasa sekolah dan agama belajar bagaimana penduduk Yahudi di Amerika tetap berjaya hidup bertoleransi dan hormat dengan pemakan-pemakan babi yang ada di sekeliling mereka tanpa membuat tuntutan yang tidak menghormati bangsa dan agama lain serta mencederakan mereka yang tidak mahu tukar selera makan mereka hanya supaya mereka yang tak makan babi boleh hidup dengan selesa.
Cukuplah di sini. Saya berseru kepada pihak berkuasa sekolah dan agama rasmi negara ini untuk SALING MENGHORMATI mereka dari agama dan selera makan yang berbeza. Tanpa ini, konsep 1Malaysia satu igauan berasap untuk mengaburi mata rakyat.
Sekarang saya mahu pergi makan - nasi babi panggang di Kedai Makan Siang Siang!

Selasa, 2 November 2010

Kasihku dan AnugerahNya

Sudah lebih dua belas abad umat Israel menjalankan upacara korban untuk menebus dosa mereka. Akan tetapi perhatian mereka telah beralih dari Pemberi Hukum Taurat kepada Taurat itu sendiri. Mereka seterusnya terjerumus ke dalam perhambaan. Allah berulang-ulang kali berusaha memanggil mereka kembali. Dia bersabda, “Yang penting ialah hatimu - bukan pekerjaanmu. Aku ingin engkau mengasihiKu. Setelah itu barulah patuhi perintah-perintahKu.”

Kita mungkin berkata, "Saya berfikir Perjanjian Lama hanya berurusan dengan Hukum Taurat dan bukannya dengan kasih". Tidak demikian kesnya. Nabi Musa ada memberitahu umat Israel ini:

Haruslah engkau mengasihi Tuhan, Allahmu, dan melakukan dengan setia kewajibanmu terhadap Dia dengan sentiasa berpegang pada segala ketetapanNya, peraturanNya dan perintahNya (Ulangan 11:1).

Allah meletakkan satu syarat kepada janjiNya pada Israel yang menjanjikan bahawa tanah milik Israel itu akan subur bagi mereka. Syarat itu berlandaskan atas kasih dan bukan perbuatan.

Bacalah syarat itu sepertimana yang telah dicatat di dalam buku Ulangan bab 11 ayat 13 hingga 15.

Jika kamu dengan sungguh-sungguh mendengarkan perintah yang ku sampaikan kepadamu pada hari ini, sehingga kamu mengasihi Tuhan, Allahmu, dan beribadah kepadaNya dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu, maka Ia akan memberikan hujan untuk tanahmu pada masanya, hujan awal dan hujan akhir, sehingga engkau dapat mengumpulkan gandummu, anggurmu dan minyakmu, dan Dia akan memberi rumput di padangmu untuk haiwanmu, sehingga engkau dapat makan dan menjadi kenyang.

Allah memusatkan perhatianNya kepada kasih kita terhadapNya dan bukan ketaatan yang penuh kepada hukum Taurat. Tuhan tahu bahawa bukan sahaja sulit bagi umat Israel untuk mematuhi hukum Taurat, ianya mustahil. Alkitab ada menyatakan bahawa

Tidak seorang pun yang dibenarkan kerana melakukan hukum Taurat, tetapi hanya oleh kerana iman dalam Kristus Yesus .... sebab tidak ada seorang pun yang dibenarkan oleh kerana melakukan hukum Taurat (Galatia 2:16).

Adalah mustahil untuk mematuhi kehendak Allah dengan kekuatan kita sendiri. Ada seorang pernah berkata, "Menghayati kehidupan Kristian bukanlah sukar, ianya mustahil" Kerana itu Allah mengutus Roh Kudus untuk hidup di dalam hati kita dan menyanggupkan kita untuk mematuhi perintah-perintahnya. Dengarlah apa yang diberitahu Tuhan kepada nabi Yehezkiel di dalam buku Yehezkiel bab 36 ayat 27.

Begini bunyinya,

RohKu akan Ku berikan diam di dalam batinmu dan Aku akan membuat kamu hidup menurut segala ketetapan Ku dan tetap berpegang pada peraturan-peraturan Ku dan melakukannya.

Saya percaya bahawa orang Kristian pada abad pertama juga mengetahui fakta ini, iaitu bahawa kita tidak dibenarkan oleh amal baik melainkan oleh iman kepada Allah. Dalam buku Kisah Para Rasul ada dikisahkan tentang beberapa orang yang datang dari Yudea ke Antiokhia dan mengajar orang Kristian di situ. Mereka berkata, "Jikalau kamu tidak disunat menurut adat istiadat yang diwariskan oleh Musa, kamu tidak dapat diselamatkan".

Sebahagian dari murid Yesus telah diutus ke Yerusalem untuk membicarakan persoalan ini. Setelah melalui banyak perbahasan, rasul Petrus berdiri dan berkata:

Hai saudara-saudara, kamu tahu, bahawa telah sejak mula lagi Allah memilih saya dari antara kamu, supaya dengan perantaraan mulutku bangsa-bangsa lain mendengar berita Injil dan menjadi percaya. Dan Allah, yang mengenal hati manusia, telah menyatakan kehendak Nya untuk menerima mereka, sebab Ia mengurniakan Roh Kudus juga kepada mereka sama seperti kepada kita, dan Ia sama sekali tidak mengadakan perbezaan antara kita dengan mereka, sesudah Ia menyucikan hati mereka oleh iman (Kisah Para Rasul 15:7-9).

Taurat menuntut penyunatan, tetapi yang dituntut oleh perjanjian yang baru hanyalah iman. Ingatlah hal ini, Taurat dan perbuatan amal merupakan lawan anugerah dan rahmat.

Taurat berkata, "Ikutlah peraturan-peraturan ini." Anugerah Allah berkata, "Itu adalah suatu pemberian percuma". Taurat berkata, "Lihatlah dosamu". Anugerah Allah berkata, "Allah menerima kamu dengan segala apa yang ada padamu". Taurat berkata, "Lakukanlah atau mati". Anugerah Allah berkata, "Terimalah Yesus sebagai Juruselamat dan hiduplah".